Wednesday, 26 March 2014

Tragedi 14 Mac 2014

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam buat semua.

Sesungguhnya hanya Dia Yang Maha Mengetahui segala sesuatu yang terjadi dan akan terjadi ke atas hamba-Nya. Dalam entri kali ini, aku akan kongsikan kisah yang berlaku kepada aku dan suami pada dua minggu lepas.

Kejadian ini berlaku pada hari Jumaat yang merupakan hari genap dua minggu aku berkhidmat di IISKD. Hari itu juga diadakan qiyam di sekolah yang melibatkan pelajar sekolah menengah. Aku telah terpilih sebagai salah seorang warden perempuan. Diikutkan aku terpaksa bermalam di sekolah. Namun memandangkan aku mempunyai anak kecil, terpaksalah aku minta pengecualian dari yang berkenaan. Jadi aku boleh balik rumah selepas solat isyak. Suami aku turut balik lewat, tetapi dia keluar bermain badminton bersama kawan-kawan pejabatnya.

Sebaik sahaja selepas solat isyak, suami aku sampai dan kami terus ke rumah pengasuh untuk mengambil Mursi. Kesian dia, terpaksa tinggal dengan pengasuh untuk tempoh yang lebih lama. Sebaik sahaja mengambil Mursi, suami menyuarakan hasrat untuk membeli makanan di pasar malam sahaja. Dia tidak mahu aku memasak lagi sebab dia tahu aku dah penat. Sebaik sahaja parking di seberang jalan bertentangan dengan pasar malam, kami pun keluar untuk membeli makanan. Waktu masa itu lebih kurang pukul 9.30 malam. Kami parking agak jauh, sebab banyak sangat kenderaan. Suami memang telah mengunci kereta dan memeriksa untuk kali kedua samada sudah berkunci atau belum sebab dia kadang-kadang terlupa.

Semasa kami membeli makanan, langsung tidak pernah terlintas di fikiran apa yang akan berlaku selepas itu. Tiada rasa yang kurang enak, tidak perasan sebarang keadaan yang pelik dan sebagainya. Sampailah kami kembali dari membeli dan ingin pulang ke rumah. Sebaik sahaja tiba di tempat parking, kereta kami tidak kelihatan di mata. Pada mulanya aku ingatkan tersilap tempat parking. Tapi selepas puas suami aku mencari-cari kereta, memang sah kereta kami telah hilang! Dicuri! Lebih kurang dalam 10 minit jugalah aku seolah-olah baru tersedar dengan apa yang berlaku. Barulah aku menangis apabila terbayang-bayang segala barang berharga di dalam kereta. Menangis apabila mengenangkan bagaimana aku dan suami akan pergi bekerja. Memang patah kaki kalau tiada kereta. 

Antara barang yang terdapat di dalam kereta ialah beg tangan aku yang mempunyai handphone, beg duit, kad pengenalan aku dan Mursi, kad atm bank, segala jenis kad yang agak penting dan buku bank Tabung Haji. Selain dari itu, tablet hadiah pemberian suami sempena aku melahirkan Mursi, handphone Nokia Lumia biru aku, buku rekod pelan pengajaran, buku-buku yang berkaitan dan alat tulis aku. Beg baju Mursi yang dibawa ke rumah pengasuh dengan dua pasang baju, botol susu dan tuala. Barang suami termasuklah beg kerja dia, kasut, baju yang disalin sebelum bermain badminton dan pendrive. Aku juga kehilangan tiga buah pendrive yang terdapat dalam bekas alat tulis. Antara barang lain ialah carseat dan baby carrier Mursi. Aku baru teringat yang CD gambar kahwin dan gambar konvo aku juga terdapat di dalam kereta. CD itu aku bawa dari kampung semasa aku balik Terengganu pada cuti Raya Cina yang lepas. Sedihnya...

Setelah betul-betul pasti dengan apa yang berlaku, kami kembali ke alam realiti. Kami terus menuju ke balai polis yang berdekatan. Alhamdulillah, balai polis tidak jauh dari rumah kami dan hanya perlu berjalan kaki beberapa minit. Semasa dalam perjalanan, aku dan suami masing-masing menangis akan nasib diri. Terkejut dengan apa yang berlaku dan tergamam dengan ujian yang amat berat kami rasakan. Aku juga menghubungi kakakku yang di Kajang kerana aku hanya mengingati nombor telefonnya buat masa itu. Aku menceritakan segala yang berlaku dan meminta supaya memberitahu adik beradik yang lain. Mursi juga semakin gelisah, pertama kali berjalan kaki pada waktu malam.

Sebaik sampai di Balai Polis Damansara Damai, suami terus membuat laporan. Agak lama juga proses untuk membuatnya. Lebih kurang sejam juga kami di sana. Memandangkan kunci rumah juga tertinggal di dalam kereta, maka kami terpaksa meminta tolong daripada polis untuk memecahkan mangga rumah. Kemudian menghubungi tuan rumah untuk mendapatkan kunci pintu rumah. Segalanya berlaku dengan cepat. Tetapi alhamdulillah, kami berjaya masuk dalam rumah sebab sebelum itu terfikir kami akan tidur di mana.

Hujung minggu kami hanya menghabiskan masa di rumah. Masih menangisi nasib yang menimpa diri kami. Kemudian, pada Isnin berikutnya aku dan suami terpaksa mengambil cuti kecemasan untuk menyelesaikan beberapa perkara yang penting. Alhamdulillah, segalanya Allah permudahkan untuk kami menghadapi dugaan kali ini. Insya-Allah lepas ni aku akan update lagi mengenai perkembangan diri aku dan keluarga kecilku.

Tinggal kenangan...

p/s: Tidak tahu samada nak berharap jumpa balik kereta ataupun tidak. Ada yang cakap baik tidak perlu jumpa balik, sebab nanti kalau jumpa sebelum dapat pampasan insuran, memang tidak berbaloi la kalau kereta dalam keadaan nazak. Mungkin patut berharap semoga kita tidak berjumpa lagi ye Myviku sayang.

3 comments:

Blog Santai said...

Semoga tabah dengan ujian Allah Dilla. Anggaplah dah tak ada rezeki dengan kereta tu. Mungkin Allah ada perancangan yang lebih baik . In Shaa Allah..

dilla said...

Insya-Allah akan lebih tabah lepas ni. Saya redha dengan apa yang berlaku. Kita hanya merancang, tapi perancangan Allah adalah yang terbaik.

CNain..... said...

Akak....sedihnya....kete yang slalu sy tumpang klua mkn dlu....semoga dipermudahkan segala urusan akak....