Friday 7 July 2023

Potty Train Nur Hana Maleesa

   بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ya Allah... bercinta betul nak buat posting baru kat blog ni. Sebenarnya tujuan asal blog ni adalah untuk abadikan memori yang terpahat sepanjang perjalanan hidup seorang Noor. Hidup seorang perempuan yang bergelar isteri dan ibu kepada 2 orang cahaya mata kini.

Inshaa-Allah untuk posting kali ni, aku akan kongsikan serba sedikit mengenai kisah potty training (PT) anak dara aku, si Nur Hana Maleesa. Untuk pengetahun, Hana sekarang dah berumur 3 tahun 5 bulan. Kalau nak dibandingkan dengan abang dia dulu, umur 2 tahun setengah dah bebas diapers, alhamdulillah. Tapi itulah, kita tak boleh nak bandingkan perkembangan setiap anak kita. Setiap anak berbeza tahap perkembangan mereka.

Hana sekarang masih follow-up dengan speech therapy (ST) dan juga occupational therapy (OT) di Hospital Shah Alam. Dan juga sedang mengikuti sesi terapi luar di NASOM Shah Alam. Kalau ada kerajinan nanti aku cerita juga dekat sini pasal terapi Hana. Inshaa-Allah.

Makdusnya, perkembangan Hana agak berbeza dengan abang dia, Mursi. Untuk potty train ni pun sebenarnya aku agak risau untuk mulakan. Sebabnya Hana masih belum ada perkataan bermakna yang keluar dari mulut dia. Panggil Ummi pun belum lagi. 😔

Macamana boleh bermula? Aku nekad untuk bermula selepas sesi terapi dengan ST awal bulan Mei lepas. Terapis nasihatkan untuk aku mulakan PT ni pada Hana. Dan kemudian kebetulan aku ada join sesi webinar Aishah Kassim mengenai cara-cara untuk PT anak-anak yang speech delay. Dari situ akhirnya aku mula rasa semangat nak mulakan dengan Hana.

Aku mulakan sesi PT hari pertama dengan Hana pada 20 Mei iaitu hari Sabtu. Lepas je dia bangun pagi hari tu, aku siap-siap mandikan dia dan tak pakaikan diapers dah. Aku dah siap-siap beli potty pants dari TikTok 4 helai sebagai persediaan. 😁 

Antara tips ataupun langkah-langkah sebelum mulakan PT dengan anak:

  • Kena pastikan ibu bapa, (especially ibu la) dan anak kita bersedia. Ibu pastikan tidak dalam fasa tertekan contohnya sedang mengandung, ataupun baru lepas pindah rumah. Anak pula bila kita dah nampak dia tunjukkan tanda yang dia tak selesa bila pakai diapers, ataupun dah pandai pakai seluar dan baju sendiri.
  • Untuk anak-anak yang special needs, boleh sediakan carta bergambar yang menunjukkan cara-cara untuk ke tandas dan sebagainya.
  • Sediakan carta PT anak. Carta yang menunjukkan sela masa kita bawa anak ke tandas untuk kencing dan berak. Boleh mulakan dengan bawa anak ke tandas setiap 30 minit.
Carta ni aku dapatkan dari Google je. Terus print dan tampal depan tandas. Ni carta untuk seminggu pertama saja. Minggu berikutnya dah boleh tahu waktu bila nak bawa Hana ke tandas.

Itulah, antara tips yang aku buat bila mulakan PT dengan Hana hari tu. Untuk hari pertama PT, dua kali Hana terbabas kencing atas tilam depan TV. Beberapa kali juga terbabas kencing dekat kerusi meja komputer ayah dia. Hampir give-up juga. 😥 Namun aku cekalkan hati. Tetap percaya yang Hana akan faham juga nanti.

Setiap kali bawa Hana untuk kencing di tandas, aku akan selalu cakap, "Hana kalau nak kencing cakap kat ummi ye. Kencing kena dekat toilet." Setiap setengah jam ye kena ulang. Bila dia kencing, ummi akan pujila, "Good job Hana! Hana dah kencing. Hana kencing kat toilet!" 😊

Bila tidur, aku akan pakaikan diapers semula. Cuma hari pertama je la, aku ingatkan potty pants tu tak bocor sangat. Rupanya sama je, basah lencun jugak. Hana bocor bila dia tidur tengahari.

Kalau ikutkan sampai ke hari ni (7 Julai 2023), kiranya dah sebulan lebih la aku lakukan PT pada Hana. So far, Alhamdulillah. Allah banyak permudahkan. Hana dah pandai bagi hint bila dia nak ke tandas untuk kencing. Sama ada dia akan tarik tangan kita, ataupun bila kita tanya "Hana nak kencing?" dia boleh tunjuk sign untuk kencing dengan pegang seluar.

Aku pun ada minta kerjasama taska juga untuk ajar PT di taska. Alhamdulillah, so far okay. Cuma teacher kat taska dia pakaikan diapers masa Hana tidur saja. Sama juga bila di rumah, aku masih pakaikan bila tidur malam.

Tapi dah beberapa kali juga cuba off bila time dia tidur siang. Alhamdulillah, nampaknya berjaya. Dan surprisingly semalam aku terlupa nak pakaikan diapers sebelum tidur. Sebab masa aku tidurkan dia semalam aku memang niat nak bangun balik untuk solat Isyak. Last-last, aku pun tertidur sekali. Bila aku terjaga tengah malam dan bangun, baru teringat yang tak pakaikan diapers pada Hana. Alhamdulillah, kering saja dan dia tidak kencing atas tilam. So, aku try offkan sampai ke pagi. Berjaya!

Nampak gaya, bolehlah slowly off diapers waktu tidur jugak. Inshaa-Allah harap semuanya berjalan lancar. Cuma buang air besar je dia kadang masih terbabas. Terbuang dalam seluar. Takpe Hana, take your time. Ummi will wait for your progress. 

Itulah cerita dia. Walaupun Hana masih belum boleh bercakap, namun ummi percaya Hana akan bercakap juga satu hari nanti. Tengok macam sesi PT ni la. Hana budak yang cepat belajar. Ummi yakin Hana akan bercakap macam kanak-kanak lain juga satu hari nanti. Aamiin. 💖

Thursday 24 November 2022

Journey Cabut Geraham Bongsu (Part 1)

  بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Akhirnya, ada juga kekuatan untuk update blog yang dah lama bersawang ni. Niat nak update tu selalu ada, tapi nak tunggu mood rajin tu datang mashaa-Allah bagai menunggu bulan jatuh ke riba. Hahaha. Alhamdulillah akhirnya sampai juga mood rajin ni.

Kali ni nak kongsi dan abadikan pengalaman aku sepanjang nak cabut sebatang gigi geraham bongsu yang rata-ratanya akan cakap sangat sakit. Memang bila aku dengar cerita kawan-kawan yang pernah ada pengalaman yang sama memang akan cakap ia sangat menyakitkan.

Aku memang sejak kecil tak pernah ada pengalaman cabut gigi di klinik gigi. Pernah satu ketika masa arwah mak masih ada, aku sakit gigi dan nak bawak ke klinik. Pergi naik teksi sebab masa tu belum ada kereta lagi. Bukan main berdebar sebab tak pernah jumpa doktor gigi. Tapi bila sampai klinik, tak jadi cabut. Kenapa entah, rasanya doktor tak ada kot masa tu. So, tak boleh cabut pada hari tu. Lepas tu dah tak pergi klinik gigi lagi. Cabut sendiri je kat rumah. 😁

Nak dimulakan cerita, gigi aku mula sakit pertengahan Ogos hari tu. Lepas beberapa hari rasa sakit, aku pun pergi Klinik Gigi Rohaya di Kota Damansara pada 16 Ogos sebab dah tak tahan sangat. Klinik ni dekat dengan tempat kerja dan kawan-kawan pun suggest pergi ke klinik ni. Bagus servis klinik ni katanya.

Klinik Pergigian Rohaya, Kota Damansara. Sangat selesa, doktor pun sangat friendly.
Ihsan gambar: Google.

Aku keluar ke klinik gigi masa free takde kelas sekejap. Bila doktor dah periksa semua, dia cakap gigi geraham bongsu aku tumbuh menyenget. Sebab tu yang sebabkan rasa sakit sangat tu. Dan doktor memang sarankan untuk cabut saja. Melalui surgeri. Bila dengar je macam tu, dah seram sejuk rasanya. 😨

Doktor ada cakap jugak kalau nak cabut dekat situ (Klinik Dr Rohaya), kos cabut sebatang gigi ialah RM800!!! Hoho, sebatang gigi harga 800! Memang kena fikir berkali-kali ni sebelum buat keputusan nak cabut kat situ. Doktor sarankan untuk balik berbincang dulu dengan suami samada nak teruskan buat surgeri di situ ataupun sebaliknya.

Bila tanya suami, dan beritahu kos untuk cabut sebatang gigi adalah hampir RM1k, dia minta untuk survey klinik kerajaan dulu. Aku ada juga tanya-tanya kawan sekerja. Ada yang cakap Klinik Kesihatan Kota Damansara kena book online. So, aku pun start la Google apa yang patut.

Daripada hasil carian, memang betul KK Kota Damansara kena book online untuk servis klinik gigi. Dan tarikh terdekat yang ada kekosongan untuk temujanji adalah pada bulan Disember! Oh no! Lambat sangat lagi. KK Sungai Buloh pulak macam lebih kurang saja, kena buat appointment dulu sebelum dapat tarikh untuk jumpa doktor gigi.

Tapi, aku gamble pergi Klinik Gigi Sungai Buloh. Aku pergi pada 19 Ogos 2022. Aku pergi walk in saja. Pada awalnya staf yang dekat kaunter tak bagi aku jumpa doktor. Lepas aku ceritakan serba sedikit history yang aku dah pergi ke klinik private segala, dan cakap gigi geraham bongsu nak kena cabut dan dah sakit sangat, akhirnya dia benarkan untuk aku jumpa doktor pada hari tu.

Sambungan di next part... 😉

Friday 11 March 2022

Maleesa Si Penghibur Hati Ummi

 بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Macam biasa, selepas setahun baru kita update blog. 😄 Menulis bukan untuk sesiapa, tapi lebih kepada untuk kepuasan diri sendiri. Untuk jadikan kenangan dan pengajaran buat diri sendiri. Semoga aku menjadi seorang yang lebih bersyukur di masa hadapan.

Main bowling ke dik?

Inshaa-Allah kali ni nak berkongsi rasa diri. 

Alhamdulillah, bulan Mac tahun ni Maleesa dah masuk 2 tahun 3 bulan atau bersamaan dengan 27 bulan. Dalam post yang sebelum ni, aku ada cerita pasal perkembangan Maleesa semasa dia berusia 18 bulan ataupun setahun setengah. Yang mana dia masih belum boleh bercakap walau satu pun perkataan bermakna. Boleh baca kat sini.

Sampai sekarang Maleesa masih sama. Masih belum boleh bercakap. Masih menunggu untuk Maleesa ungkapkan walau satu patah perkataan yang bermakna.

Dan untuk perkembangan mengenai follow up Maleesa, yes, aku memang dah buat follow up dengan Klinik Pakar kanak-kanak Hospital Shah Alam (HSA). Doktor di KK yang aku follow up untuk perkembangan Maleesa selama ni sudah berikan surat rujukan untuk dibawa ke hospital tersebut pada hujung tahun lepas iaitu masa checkup Maleesa 2 tahun.

Taknak ambil masa lama, aku terus ke sana. Sebab doktor KK tak bagi tarikh spesifik, cuma dia cakap lagi cepat lagi bagus untuk bawa surat tu ke bahagian paediatrik HSA. Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan, doktor mengesahkan yang Maleesa ada mild autism. Maleesa tidak menunjukkan ciri-ciri yang teruk, cuma dari segi fokus dan respon bila kita panggil nama dia. Dan juga speech delay yang ada. Jadi, doktor sarankan untuk bawa jumpa terapis. 

Pihak klinik pakar juga setkan temujanji bahagian audio dan juga speech terapist. Temu janji berikutnya ialah bulan depan iaitu bulan April.

Aku dan suami bersepakat untuk hantar Maleesa ke playschool atau taska yang ada program Early Intervention Program (EIP). Dan tidak merujuk ke terapis swasta. Kita tengok dulu macamana, sebab doktor paediatrik HSA pun bagi salah satu cadangan supaya masukkan ke taska yang ada EIP selain daripada bawa jumpa terapis swasta. Sebab kalau nak tunggu sesi dengan terapis HSA semata-mata memang lambat.

Dan memang betul pun, untuk sesi jumpa speech terapist HSA kena tunggu hampir setahun baru ada slot.

Jadi, bermula bulan Januari lepas Maleesa aku masukkan ke taska Al-Kauthar Eduqids Subang Bestari yang ada EIP. Kiranya dah hampir 3 bulan Maleesa join program tersebut. 

Apa yang aku boleh perhatikan, tidak banyak perkembangan yang aku perasan. Bila kita panggil nama dia, masih lagi tiada respon. Bila bagi arahan mudah pun masih tidak boleh ikut. Tapi bila aku atau suami larang sesuatu ada masa dia ikut. Contohnya tak bagi dia panjat rak TV. Tapi lepas tu panjat lagi.

Kalau mengikut cikgu dia di taska, Maleesa dah boleh buat apa yang diajar tanpa bantuan. Dah boleh makan sendiri dan biasanya akan habis makan. Sebelum ni dia agak susah juga nak makan. Kat rumah pun dah makan, cuma susah nak makan nasi. Dia paling suka pasta dan spageti. Ni favourite dia. Takpelah nak, makanlah apa yang Maleesa suka.

Nak pergi sekolah dah ni.

Apa lagi yang aku perasan dengan Maleesa ni ialah dia macam takde rasa takut. Ingat minggu lepas, kitorang keluar jalan-jalan dekat mall. Masa tu jalan kat tingkat 3 atas sekali rasanya. Dia boleh nak pergi dekat tangga yang ada penghadang kaca dan tengok bawah. Siap nak panjat lagi. Langsung tak ada rasa gayat atau takut.

Pernah jugak dia panjat tingkap kat bilik ni. Nasib baik ada gril, kalau tak boleh jatuh ke bawah awak dik! Na'uzubillahi min zalik! Masa tu ummi tengah solat. cepat-cepat ummi habiskan solat nak bawak turun dia.

Walau apapun, aku akan cuba sedaya upaya untuk bantu Maleesa supaya boleh bercakap dengan segera dan membesar sebaya dengan kanak-kanak yang lain. Aku sekarang pun selalu ikuti perkongsian Aishah Kassim dekat Facebook dia. Kalau ikutkan, dia ni seorang Speech Language Pathologist. Banyak ilmu pasal anak yang lambat cakap dan autism yang dia share. Banyak video-video dia yang aku jadikan rujukan. Korang kalau nak follow dia pun boleh la. Dia pun ada channel Telegram juga.

Untuk akhirnya, aku nak minta korang sama-sama doakan Maleesa ye. Doakan Maleesa cepat boleh bercakap dan membesar seperti anak-anak yang lain. Semoga doa yang baik-baik juga akan berbalik kepada kalian.

Love,

Noor. 💓

Monday 19 July 2021

Maleesa 18 bulan

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Lebih setahun blog ni tak berupdate. Kali ni rasa nak coretkan sesuatu, biar satu hari nanti akan jadi kenangan ataupun sebagai satu peringatan mungkin. Moga-moga ada hikmah di sebalik setiap apa yang berlaku. Inshaa-Allah.

Buat masa sekarang ni, Malaysia masih berkurung dalam tempoh PKP yang tak tahu sampai bila penamatnya. Memandangkan kes Covid masih lagi melebihi 5k kes setiap hari, makanya aku yang patuh arahan ni telah berkurung di rumah sepanjang tempoh tersebut yang telah ditetapkan. 

Apa yang aku nak coretkan di sini ialah mengenai anak perempuan kesayanganku, Nur Hana Maleesa. Masa checkup dia untuk 18 bulan pada 26hb Jun yang lalu, aku ada suarakan pada nurse pasal anak aku yang masih belum boleh bercakap walaupun sepatah perkataan yang bermakna. 

Nur Hana Maleesa, setahun 6 bulan. 💗

Pada mulanya, nurse macam anggap ia macam masalah biasa, tapi bila aku tanya details seperti yang ada dalam M-CHAT yang ibu bapa kena isi dalam buku rekod kanak-kanak tu macam kena jumpa dengan doktor untuk direview. Sebabnya ada beberapa point yang ditanya menunjukkan respon Maleesa yang tak normal kalau nak dibandingkan dengan kanak-kanak sebaya dengan usianya.

Contohnya, bila kita panggil nama dia, dia tidak respon ataupun lambat respon. Tidak bermain role-play ataupun pretend play. Dan pada masa tu jugak Maleesa ada tunjukkan reaction tangan dia. Dia gerak-gerakkan tangan ke depan. Dan bila nurse tengok, dia cakap macam tanda kanak-kanak autism. Allahuakbar, luluh kejap hati ummi bila nurse cakap macam tu. Tapi ummi tak anggap dia ada autism lagi sebelum doktor yang sahkan.

Jadi, nurse bagi tarikh 9hb Julai untuk jumpa doktor supaya doktor boleh review M-CHAT Maleesa. Tapi bila sampai tarikh 9hb, klinik tutup pula untuk urusan sanitasi klinik. Jadi ditunda ke tarikh 23hb Julai pula. Inshaa-Allah Jumaat nanti akan jumpa doktor. 

Seandainya doktor jadualkan untuk jumpa pakar, aku memang akan turutkan saja. Demi untuk kebaikan Maleesa. Sekarang pun aku dan suami usaha sedaya mampu untuk galakkan dia bercakap. Selalu buat terapi Fatihah, inshaa-Allah. Aku sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anakku Maleesa. 

Korang yang baca ni pun tolong doakan sekali ye. Ibu mana yang nak anaknya ada masalah sebegitu. Namun, andainya itu ketentuan yang Allah dah tetapkan, aku redha. Mungkin ada sesuatu yang Allah nak beri pada kami ibu ayah Maleesa, inshaa-Allah.

Moga yang baik-baik saja hendaknya. Nanti lepas dah jumpa doktor aku akan update lagi. Sebagai kenangan dan rujukan di masa akan datang. Sampai jumpa lagi di lain post. Assalamualaikum. 

Wednesday 18 March 2020

Mimpi Ngeri Belum Berakhir

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Allahuakbar, satu pengalaman yang baru dalam hidup. Andainya aku diberikan rezeki panjang umur beberapa tahun lagi, aku mahu segala kenangan pada tahun ini diabadikan di sini. Buat masa sekarang ni, hidup aku rasakan terlalu dekat dengan kematian. Negara Malaysia kini sedang dalam perintah kawalan pergerakan yang mana telah diumumkan oleh YB Perdana Menteri kelmarin.


Ini adalah berikutan pandemik penyakit virus corona (COVID-19) yang melanda seluruh dunia sekarang ni. Bagi aku, COVID-19 ni adalah merupakan satu teguran Allah buat seluruh umat manusia. Tidak dapat disangkal lagi akan kekuasaan Allah kerana Dia Maha berkuasa. Dia mampu menjadikan makhluk sekecil virus namun mampu memberi kesan yang sangat hebat di seluruh dunia. Manusia di seluruh dunia terkesan dengan pembawakan wabak ini.

Lagi mencemaskan aku adalah berita yang aku terima semalam. Aku dapat tahu bahawa salah seorang bapa pelajar kelas aku didapati positif COVID-19 tersebut. Aku bayangkan contact aku dengan pelajar sepanjang 2 minggu ini. Walaubagaimanapun, pelajar tersebut bersama ibunya masih menunggu keputusan ujian saringan, masih belum disahkan samada positif atau sebaliknya. Aku berdoa semoga dia dan keluarganya terhindar daripada wabak tersebut. Seandainya mereka juga didapati positif, aku juga terpaksa membuat ujian saringan COVID-19.

Perintah kawalan pergerakan yang diumumkan akan berlangsung selama 14 hari bermula pada hari ini iaitu 18 Mac sehingga 31 Mac. Semoga Malaysia terus dipelihara dan rakyat Malaysia patuh akan arahan daripada kerajaan. Ini adalah untuk kebaikan kita semua. Tindakan ini diambil susulan daripada bilangan kes di kalangan rakyat Malaysia meningkat secara mendadak. Dan terbaharu semalam juga telah mencatatkan 2 kes kematian yang disebabkan oleh virus tersebut. Allahuakbar!!

Ya Allah...
Pandanglah kami dengan pandangan rahmatMu,
Angkatlah doa kami Ya Allah,
Segeralah Kau angkat wabak COVID-19 ini,
Agar dapat kami terus beribadat kepada-Mu dengan lebih khusyuk,

Ya Allah...
Engkau yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu,
Engkau yang menciptakan virus ini dan aku harap Engkau juga yang akan membawa virus ini pergi secepatnya,
Perkenankan Ya Allah,
Kami bermohon,
Andainya ini tanda penghujung kehidupan dunia,
Ku mohon matikan aku dalam iman dan islam Ya Allah,
Matikan aku dengan pengakhiran yang baik.

Perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan juga menyebabkan banyak kepanikan yang berlaku. Orang ramai melakukan perbelanjaan panik, habis semua barang di pasaraya diborong untuk dibuat stok di rumah. Allah... Kerajaan arahkan rakyat kurangkan pergerakan dan perhimpunan ramai, tapi orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung. Allah...mungkin ada di kalangan kalian yang membawa virus ke kampung, kepada ibu bapa kita yang masih tua dan golongan yang lebih mudah dijangkiti. Allah...permudahkan segalanya ya Allah...

Semoga segala yang berlaku ini berlalu dan biarlah ia hanya menjadi sebuah mimpi ngeri dalam hidupku dan kita semua. Banyakkan berdoa semua.

Tuesday 28 January 2020

Bersalin Kali Kedua

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah thumma alhamdulillah. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Alhamdulillah aku dah selamat bersalin anak kedua baru-baru ini. Satu pengalaman yang baru buat ummi untuk proses melahirkan khalifah kecil kali ni. Betullah kata orang, setiap pengalaman melahirkan anak-anak adalah berbeza antara satu sama lain.

Untuk pengetahuan, aku dah selamat bersalin pada 21 Disember yang lalu di Hospital Sungai Buloh. Tarikh tersebut adalah tarikh seminggu lewat daripada tarikh yang sepatutnya aku bersalin iaitu pada 14 Disember. Setelah melakukan routine checkup  di KK, nurse menasihatkan aku supaya pergi ke hospital pada tarikh 14 tersebut untuk mendapatkan pendapat doktor sekiranya perlu tunggu ataupun dilakukan prosedur yang sepatutnya. Memandangkan aku tiada sebarang masalah kesihatan sepanjang kehamilan, maka doktor membenarkan 6 hari lagi untuk overdue dan sekiranya masih belum ada tanda-tanda nak bersalin aku terpaksa datang ke hospital semula pada 20 Disember.

Melalui pembacaan dan mendengar cerita pengalaman kawan-kawan, sekiranya tiada tanda-tanda bersalin maka doktor akan lakukan induce untuk mempercepatkan proses bersalin. Dan prosedur ini sangat menyakitkan. 😣 Untuk mengelakkan daripada kena induce, maka gigihlah aku buat aktiviti yang boleh mempercepatkan bukaan. Banyakkan berjalan, buat squat, jalan itik, duduk mencangkung dan macam-macam lagi. Suami aku pun ajak jalan-jalan di taman dan mall, nak bagi isteri turun tanda nak bersalin.

Jalan-jalan kat Taman Tasik Titiwangsa.

Namun, malangnya sehingga ke tarikh 20 haribulan masih belum keluar tanda-tanda untuk bersalin. Aku cuma rasa sakit yang tidak bersungguh orang kata. Sakit main-main. Bukan sakit contraction yang kuat untuk bersalin. Makanya pada 20 Disember pagi-pagi lagi aku redha dan pergi ke hospital untuk serah diri. Pada masa ni kalau kena induce pun aku terima. 

Bila sampai hospital, prosedur biasa yang perlu dilakukan ialah kena daftar masuk hospital, kemudian doktor akan cek jantung baby. Semua tiada masalah, dan doktor suruh pergi sarapan dulu. Suami belikan nasi lemak di kafe hospital, masa ni belum cek bukaan jalan lagi. Lepas breakfast, doktor panggil masuk untuk cek bukaan jalan. Alhamdulillah, jalan dah buka 3cm. Jadi, doktor cakap tak perlu untuk induce. Syukur teramat sebab tak perlu lalui proses yang menyakitkan itu. Maka, aku terpaksa tunggu untuk masuk wad. Sebelum tu, sekali lagi doktor panggil untuk cek bukaan dan alhamdulillah dah buka 4cm. "Go baby, cepat-cepat turun. Ummi tak sabar nak jumpa awak ni!"

Dari pagi sampailah ke petang bawa ke malam dan keesokannya, bukaan terakhir lepas diperiksa oleh doktor cumalah 5cm, lepas tu dah tak ada bukaan lagi. Bermalam di hospital juga akhirnya sebelum bersalin. Bukan main aku duk berkawad dalam wad nak bagi cepat bukaan. Ulang alik dalam wad, kebetulan ada geng sekali berkawad sama-sama. Bila teringat balik, kelakar pun ada. 😂

Lepas solat Asar 21 haribulan tu, aku dengar nurse panggil nama aku. Dia minta aku siapkan semua beg dan barang-barang dalam wad dan masuk ke bilik 5. Bilik 5 ni merupakan bilik sementara pesakit dibawa masuk ke labour room. Alamak, tiba-tiba je rasa berdebar-debar. Aku tahu masa aku untuk melahirkan akan sampai tak lama lagi. Masa ni, aku dah mesej bagitahu suami suruh datang hospital dan standby untuk dipanggil masuk teman aku dalam dewan bersalin. Dalam bilik 5, sekali lagi nurse cek jantung baby. Alhamdulillah, semuanya okay. Nurse bagitahu yang doktor akan pecahkan air ketuban untuk mempercepatkan proses bersalin.

Sebelum ditolak masuk ke dewan bersalin.

Bila dah masuk ke dewan bersalin, doktor dan nurse mempersiapkan apa-apa yang patut. Lebih kurang pada pukul 4.30 petang, doktor mula pecahkan air ketuban aku. Masa Mursi dulu, aku mengalami contraction secara semulajadi, tanpa bantuan atau proses pecahkan air ketuban macam ni. Bila dah selesai, barulah aku mula rasa kontraksi yang makin kerap. Allahuakbar, sampai sekarang masih terasa betapa sakitnya kontraksi kali ni. Bila reda sekejap daripada sakit, aku sempat bertanya pada nurse,

"Nurse, biasanya berapa lama tempoh masa antara pecahkan air ketuban dan saya akan bersalin?"

"Biasanya ambil masa beberapa jam juga bergantung kepada bukaan awak. 1 cm mewakili 1 jam. Awak tadi bukaan dah 6cm, jadi lebih kurang 4 jam lagi awak akan bersalin."

Bila dengar macam tu, rasa macam, "Allah...lama lagi ke aku kena tanggung sakit macam ni?" Rasa sakit sangat, tak dapat nak digambarkan. Nurse  siap pesan lagi kalau rasa nak teran bagitahu. Masalahnya aku pun tak pasti macamana rasa nak teran tu. Sebab dah lama sangat tempoh bersalinkan Mursi dulu, lebih 6 tahun dah. Lupa dah rasa macamana.

Tapi nak cakap Allah tu Maha Pengasih Maha Penyayang. Dia tahu setara mana aku mampu tahan kesakitan, Dia bagi aku sakit dalam satu jam lebih sahaja. Lebih kurang pada pukul 5.50 petang, maka lahirlah puteri yang ditunggu-tunggu. Alhamdulillah, Allah telah kabulkan doa aku untuk mendapat seorang puteri. 👧 Lengkaplah sepasang zuriat keturunan aku dan suami. Nama diberi untuk puteri kami ialah Nur Hana Maleesa binti Ahmad Mawardi Noor. Semoga anak ummi menjadi seorang anak yang solehah, menjadi harta berharga buat ummi dan ayah bila kami dah tiada nanti. Semoga ummi mampu mendidik kamu dengan didikan yang sebaik-baiknya. Aamiin.😊

Nur Hana Maleesa selepas beberapa jam keluar dari rahim ummi.

Tamatlah kisah bersalin aku untuk kali kedua ni. Semoga ia menjadi antara kenangan terindah dalam hidup aku dan biar ia segar selalu dengan coretan di sini. Inshaa-Allah akan ada lagi cerita selepas ni, mungkin pasal tempoh aku berpantang sendiri. Itupun kalau aku rajin nak menulis lagi. 😁 Sampai jumpa lagi, tata. Assalamualaikum.

Saturday 2 November 2019

Hujung-hujung Kehamilan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Pejam celik pejam celik dah masuk minggu ke-34 kehamilan aku yang kedua ni. Cepatnya rasa masa berlalu. Rasa macam baru lagi aku dapat tahu yang aku positive pregnant. Allahuakbar, hanya kepada Engkau segala pujian yang selayaknya.

Alhamdulillah, aku sangat bersyukur untuk pengalaman mengandung pada kali ni. Aku rasa segala urusan aku semasa kehamilan ini Allah sangat permudahkan. Bermula dari fasa awal-awal kehamilan sehinggalah ke saat ini, tiada perkara yang aku rasa menyusahkan. Semuanya Allah bantu dan permudahkan. Tiada fasa morning sickness yang terlampau teruk. Sebab bagi sesetengah orang akan melalui fasa ini dengan agak teruk sampai tak boleh melakukan rutin seharian. Segala bau aku boleh bau. Memasak pun boleh seperti biasa. Kerja-kerja di sekolah alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Tiada sehari pun yang aku ambil cuti sakit sepanjang mengandung kecuali time-off pada hari-hari yang aku perlu melakukan checkup bulanan di klinik. Alhamdulillah, thumma alhamdulillah.

Sekarang sudahpun berada di hujung-hujung kehamilan, perlu melakukan checkup dua minggu sekali di klinik sehingga melahirkan nanti. Perut pun dah semakin ke depan, makin sukar untuk bangun duduk dan tidur malam pun sudah tidak selena dulu. Tapi itu semua normal la bagi perempuan yang mengandung. Just enjoy the moment, ummi! Inshaa-Allah dalam beberapa minggu lagi aku akan dapat memeluk bayi yang telah aku kandungkan selama sembilan bulan ni. Semoga Allah permudahkan sehingga ke akhirnya.

Harapanku pada kali ni aku nak berpantang sendiri. Sedikit demi sedikit barang keperluan bayi dan keperluan berpantang aku sediakan. Buat masa sekarang, aku nak teruskan pemikiran positif supaya emosi aku tidak terganggu. Ini pun penting sebenarnya, apatah lagi ahli keluarga boleh dikatakan agak jauh. Tiada siapa yang boleh nak minta tolong. Aku nak jadi seorang isteri dan ummi yang berdikari, kuat dan sentiasa berfikiran positif. Perlu ada kekuatan mental dan fizikal yang kuat, apatah lagi kali ni aku berazam dari awal lagi semoga Allah kabulkan doaku supaya dapat menyusukan bayi yang baru lahir nanti dengan susu badanku sehingga berumur dua tahun. Semoga dipermudahkan Ya Allah...



Mursi pun tak sabar nak tunggu adik dia lahir. Semoga Mursi dapat jadi seorang abang yang penyayang, dan boleh tolong ummi jaga adik nanti. Bila makin besar, makin banyak la akalannya. Ummi setiap hari berazam taknak marah-marah, nak jadi seorang ummi yang penyabar. Tapi mesti ada je yang akan buat ummi jadi singa setiap hari. Maafkan ummi sayang...

Mengandung kali ni ummi tak banyak ambil gambar. Entahlah, memang selalu pun ummi jarang nak bergambar sangat. Tapi ada juga keinginan nak simpan kenangan gambar mengandung kali ni. Boleh jadi kenangan masa depan. Hehe. Untuk akhirnya, semoga ummi terus kuat dan dipermudahkan urusan oleh Allah sehingga ke akhirnya dan selepas kelahiran baby nanti. Doakan semuanya berjalan lancar, dapat bersalin normal dan bayi tiada apa-apa masalah.. Aamiin Ya rabbal alamin. Doakan ye semua, inshaa-Allah. Mungkin entry lepas ni bila ummi dah selamat bersalin. Cerita pengalaman bersalin kat sini pula. Hihi. Sampai jumpa lagi. Tata...