Friday, 15 August 2014

Kenduri di Kuantan

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam buat semua. 

Alhamdulillah, seperti yang dijanjikan aku akan berkongsi cerita perjalanan ke kenduri seorang sahabat yang juga merangkap pangkat adik yang pernah sama-sama bekerja di tempat kerja lama dulu, Ain.

Majlis kenduri Ain pada 2 Ogos 2014 yang lalu, iaitu hari Sabtu. Kalau diikutkan aku dan suami masih di kampung pada masa ini. Suami masih tidak pasti hendak pulang ke Kuala Lumpur samada hari Sabtu atau Ahad. Aku cuba memujuk suami supaya balik pada hari Sabtu supaya Ahad boleh rehat-rehatkan badan sebelum kembali masuk kerja pada hari berikutnya. Alang-alang balik Sabtu, boleh lah singgah di majlis kenduri Ain sekejap sementara dalam perjalanan. Terima kasih abang sebab sanggup temankan ke rumah kawan saya. :)

Maka pada hari Sabtu tersebut kami bersiap-siap ingin balik ke KL. Tapi agak lambat juga kami bertolak sebab tengahari tersebut ikut adik-beradik ipar pergi kenduri rumah sepupu dulu. Dalam pukul 1 lebih jugak rasanya betul-betul bertolak dari Terengganu. Keadaan jalan agak sesak juga sebab semua sudah mula kembali ke KL, cuti raya dah habis. Tapi Alhamdulillah, Mursi tidak merengek sepanjang perjalanan. Mursi memang seorang anak yang baik. Perjalanan yang mengambil masa 3 jam menjadi lebih lama. Akibatnya, kami tiba di rumah pengantin sudah agak lewat, mungkin pukul 5 lebih agaknya.

Semasa kami sampai, majlis telah berakhir. Semua tetamu pun sudah pulang, hanya ada sepasang suami isteri mungkin saudara Ain. Pengantin pun tiada di rumah, pergi outdoor photoshoot katanya. Tetapi disebabkan aku ingin berjumpa dengan dik Ain, aku tunggu sehingga dia dan suami kembali dari sesi bergambar tersebut. Lepas sepuluh minit lebih kurang, pengantin pun balik. Masa tu aku dan suami sedang makan. Alhamdulillah, dapat juga aku berjumpa dengan Ain dan suaminya. Kemudian, kami berborak dan merakam gambar kenang-kenangan. Tidak dapat menunggu dan berborak lama, sebab selepas ini kami terpaksa meneruskan perjalanan balik ke KL. 


Perjalanan seterusnya lancar walaupun ada sesetengah tempat agak sesak juga. Alhamdulillah kami sampai ke rumah lebih kurang pukul 12 tengah malam. Agak lewat sebab banyak kali juga berhenti di R&R untuk solat dan rawat diri. Walau apapun, Ain, akak doakan semoga masjid yang dibina akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Selamat melayari bahtera rumahtangga, banyak-banyakkan bertolak ansur antara satu sama lain, sedar akan tanggungjawab diri insya-Allah bahagia selamanya.


Thursday, 14 August 2014

Cerita Raya


Bismillahirrahmanirrahim...

Salam buat semua.

Alhamdulillah, thumma alhamdulillah masih diberi kesempatan hidup di dunia yang sementara. Lama menghilang, mungkin disebabkan kekangan masa lantas menjadikan aku tidak sempat untuk menulis. Padahal banyak perkara yang berlaku yang ingin aku kongsikan bersama.

Untuk kali ini, aku akan kongsi mengenai cuti hari raya baru-baru ini. Hari raya kali ini adalah merupakan hari raya pertama aku merasa balik kampung macam orang-orang lain. Maklumlah, aku sekarang menetap di KL, bolehlah menggunakan istilah 'balik kampung' tu. Bila ada yang bertanya "balik mana raya?" dengan senyuman aku akan menjawab "balik kampung kat Terengganu". :) Sebelum ni memang sudah menetap di Terengganu, jadi tiadalah istilah 'balik kampung' bila raya.

Aku sekeluarga (macam ramai je, padahal 3 orang je) bertolak pulang ke kampung pada pagi Sabtu pada pukul 11 pagi. Suami aku menggunakan aplikasi waze sepanjang perjalanan, mungkin disebabkan itu kami tidak terlibat dengan kesesakan yang teruk. Waze akan mengelakkan jalan yang sesak teruk dan kami selamat tiba di rumah lebih kurang pada pukul 8 malam. Kami singgah berbuka di rumahku di Tok Dor, kemudian meneruskan perjalanan ke rumah kakak ipar aku di Seberang Takir.

Keesokannya merupakan hari terakhir berpuasa. Sempat juga berpuasa dan berbuka puasa di kampung walaupun sehari. Raya tahun ini merupakan raya ketiga aku bersama suami dan raya pertama bersama si permata hatiku, Mursi. Rasa teruja untuk menyambut raya tahun ini lebih sikit, sebab ingin melihat keletah si kecil. Umur Mursi sudah hampir setahun, jadi aku belikan dia baju melayu juga untuk dipakai di pagi raya. Tidak lupa kopiah untuk dia, yang memang aku terbayang-bayang macamana la rupa Mursi kalau memakai kopiah. Tidak sabar aku nak melihat dia beraksi.

Selamat Hari Raya Aidilfitri dari kami sekeluarga. :)
 
Mursi dengan kopiah. Dia rimas sebenarnya. :)

Tema kami sekeluarga pada hari raya kali ini adalah hijau turqoise. Aku hanya beli jubah, manakala Mursi berbaju melayu yang aku beli di Jalan TAR dan suami hanya memakai baju melayu semasa majlis sambut menantu dulu. Dia malas nak beli baju melayu yang baru, sebab katanya bukan pakai sangat pun baju melayu. Rutin hari raya aku selepas kahwin ialah menziarahi saudara mara sebelah suami dari selepas solat hari raya sehinggalah ke petang bersama dengan adik-beradik suami. Kemudian petang barulah aku balik ke Tok Dor. Barulah aku akan beraya bersama adik-beradikku yang lain.

Apa yang best raya tahun ini ialah aku sempat berjumpa dengan sahabat yang lama sudah tidak bersua. Semuanya merupakan sahabat satu tempat kerja dulu. Aku sempat menziarahi Kak Tirah dan Kak Yana. Semasa di rumah Kak Tirah, Nik Izyani pun ada bersama sebab Kak Tirah ada buat rumah terbuka. Nik, Kak Tirah dan aku boleh dikatakan rapat juga semasa kami sama-sama bekerja di KIST dulu. Bila dah bersua, bolehlah tahu perkembangan masing-masing. Kak Tirah masih sibuk dengan PHDnya, Nik juga sudah tidak lama hendak menamatkan pengajian masternya. Masing-masing dengan kehidupan sendiri.



Alhamdulillah, aku juga sempat menziarahi Kak Yana. sahabat rapat juga. Dia yang selalu bersama dari aku mula-mula kahwin sampailah aku selamat melahirkan Mursi. Banyak cerita yang kami kongsikan bersama sepanjang tempoh tersebut. Kak Yana, saya selalu doakan akak semoga sentiasa dimurahkan rezeki dan berbahagia selalu. Allah sedang mengujimu, semoga kamu sentiasa kuat. He knows you can bear with this test, that's why He still pending your pray. Keep praying my dear! 


Nampak gaya ini sahaja cerita yang aku boleh kongsikan dengan semua. Insya-Allah jika berkelapangan lagi aku akan menulis lagi. Aku update ini pun salah satu sebab adalah Kak Yana, dia semangat hendak tahu perkembangan aku di sini. Ok kak, saya dah tunaikan hajat akak ni. Lepas ni Insya-Allah saya update pasal pergi kenduri Ain pula ye! :) Untuk akhirnya, tidak lupa aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya walaupun dah lebis pertengahan Syawal dah pun. Janji masih lagi bulan Syawal. :) Wasalam.