Saturday, 9 June 2018

Erti Hari Raya

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Salam 24 Ramadhan. Cuti sekolah dah bermula. Mood raya semua orang pun dah mula on rasanya. Tengok update di FB dan juga ig, dah ramai yang bergerak balik ke kampung. Tidak kurang juga yang sibuk menyiapkan kuih raya. Geng-geng tukang jahit pula sibuk menyiapkan tempahan baju raya pelanggan. 

Aku? Macam biasa, mood nak raya tidak seberapa. Mungkin sebab kita dah dewasa dan semakin tua. Bukannya anak kecil yang seronok nak balik raya dan menghitung jumlah duit raya. 😉 Lagi pula, masing-masing sudah berkeluarga semua. Aku biasanya berhari raya pertama di rumah keluarga suami saban tahun. Memang begitulah tradisi yang ditetapkan. Aku menurut sahaja.

Tahun ni juga merupakan tahun yang agak menyedihkan tapi menyenangkan dalam masa yang sama. Lebih setahun yang lepas, ayah telah bercerai dengan mak tiri aku. Mungkin raya kali ni agak menyedihkan buat dia, namun menyenangkan juga. Sebabnya bukan apa, mak tiri memang agak keterlaluan pada satu-satu masa. Perangai dia yang membuatkan ayah dan kami adik-beradik tidak senang dengannya. Mungkin ada hikmah yang besar di sebalik perceraian yang berlaku, inshaa-Allah.

Bila keadaan ni berlaku, kami adik-beradik sudah tawar hati untuk balik ke rumah di kampung. Sebabnya rumah bekas isteru ayah cuma di sebelah sahaja. Buatkan kami rasa tidak senang dan lagi suka bila tak tengok muka dia. Allah... Tapi aku juga kesiankan si ayah. Semalam pun dah telefon bertanya bila akan pulang ke kampung. Katanya dia akan beraya di rumah itu, menunggu kepulangan anak-anak pulang beraya. Sedih pula bila difikirkan. 😢

Persiapan raya tahun ni pun tidak seberapa. Aku langsung tiada membeli kuih raya atau kerepek raya. Entahlah, mood nak raya tu hilang. Cuma rasa rindu nak berjumpa dengan ayah dan adik-beradik yang lain saja. Adakah ini normal? Jubah raya pun dah lama beli, sebelum raya lagi. Beli sepasang aje, dan sepasang lagi pun ada tapi tak niat pun nak buat baju raya. Cuma beli untuk dipakai pada hari biasa. Cuma minggu lepas keluar untuk beli baju raya suami dan Mursi saja dan sepasang selipar raya untuk aku dan Mursi.

Inshaa-Allah aku sekeluarga akan pulang ke kampung pada Rabu depan. Suami start bercuti pada hari tu sehingga 19 haribulan. Lebih kurang seminggu juga di kampung. Alhamdulillah. Semoga raya tahun ni boleh melawat saudara-mara dan kawan-kawan yang lama tak jumpa. Inshaa-Allah.

Kenangan raya tahun akhir sebelum bergelar isteri 😍 Dengan kakak tersayang.
Selamat hari raya semua. Semoga kita dapat manfaatkan malam-malam terakhir bulan Ramadhan tahun ni. Jangan sia-siakan pahala yang dah kita kumpul dengan sikap berlebih-lebihan pada hari raya. Amin. Semoga kita berjumpa lagi dengan Ramadhan tahun depan.

Saturday, 2 June 2018

2 Jun 2012 ~ 2 Jun 2018

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, dah masuk bulan Jun. Dah setengah tahun berlalu untuk tahun 2018 ni. Dan hari ni dah masuk hari ke-17 Ramadhan. Allah, tak lama lagi Ramadhan dah nak pergi. Setakat mana kita manfaatkan bulan yang penuh keberkatan ni? Alhamdulillah, tahun ni aku rasa Ramadhan aku lebih bermakna. Semoga semangat Ramadhan tahun ni dapat aku teruskan di bulan-bulan yang seterusnya. Aminn, doakan...

Hari ni, 2 Jun 2018 genaplah 6 tahun usia rumahtangga aku dan juga suami. Alhamdulillah. Kami berjaya melepasi fasa 5 tahun pertama. Semoga kami akan terus bersama untuk tahun-tahun yang akan datang. Doa yang selalu aku panjatkan setiap kali ulangtahun kami, semoga Allah sentiasa merahmati rumahtangga yang dibina. Limpahkan rahmat dan kasih sayang kepada keluarga kami. Serta campakkan rasa kasih dan sayang ke dalam hati-hati kami. Inshaa-Allah.


Semoga kasih sayang kami kekal sampai syurga, inshaa-Allah. Tahun ni pun ada juga puisi buat si suami. 😘

Abang,
Terima kasih atas segalanya,
Segala keringat yang kau berikan
Mencari nafkah buat kita sekeluarga.

Abang,
Teruslah tetap setia dan cinta,
Kasih pada diri ini hingga akhirnya,
Aku jua kan terus kekal bersama.

Abang,
Kuatkan hati dan iman,
Untuk terus bimbing kami ke syurga,
Kerna itu adalah sebaik-baik pengakhiran.

(isterimu, 020618 / 17 Ramadhan 1439H)

Pesanan buat pasangan yang bakal berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan bukan hanya manis-manis sahaja. Ia akan dipenuhi dengan semua perasa, ada masin, masam, pahit macam-macam lagi. Persiapkan mental. 😉 Yang penting, hadapi setiap ujian yang datang dengan penuh hikmah. Sentiasa bertolak ansur dan sabar serta redha dengan kekurangan pasangan. Mungkin sebelum kahwin kita tak nampak kekurangan dia, tapi bila dah kahwin kita akan berkongsi segala. Inshaa-Allah semoga Allah redha setiap apa yang kita lakukan.

Selamat menunaikan ibadah puasa. Ramadhan ke-17. 🌹