Tuesday, 28 January 2020

Bersalin Kali Kedua

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah thumma alhamdulillah. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Alhamdulillah aku dah selamat bersalin anak kedua baru-baru ini. Satu pengalaman yang baru buat ummi untuk proses melahirkan khalifah kecil kali ni. Betullah kata orang, setiap pengalaman melahirkan anak-anak adalah berbeza antara satu sama lain.

Untuk pengetahuan, aku dah selamat bersalin pada 21 Disember yang lalu di Hospital Sungai Buloh. Tarikh tersebut adalah tarikh seminggu lewat daripada tarikh yang sepatutnya aku bersalin iaitu pada 14 Disember. Setelah melakukan routine checkup  di KK, nurse menasihatkan aku supaya pergi ke hospital pada tarikh 14 tersebut untuk mendapatkan pendapat doktor sekiranya perlu tunggu ataupun dilakukan prosedur yang sepatutnya. Memandangkan aku tiada sebarang masalah kesihatan sepanjang kehamilan, maka doktor membenarkan 6 hari lagi untuk overdue dan sekiranya masih belum ada tanda-tanda nak bersalin aku terpaksa datang ke hospital semula pada 20 Disember.

Melalui pembacaan dan mendengar cerita pengalaman kawan-kawan, sekiranya tiada tanda-tanda bersalin maka doktor akan lakukan induce untuk mempercepatkan proses bersalin. Dan prosedur ini sangat menyakitkan. 😣 Untuk mengelakkan daripada kena induce, maka gigihlah aku buat aktiviti yang boleh mempercepatkan bukaan. Banyakkan berjalan, buat squat, jalan itik, duduk mencangkung dan macam-macam lagi. Suami aku pun ajak jalan-jalan di taman dan mall, nak bagi isteri turun tanda nak bersalin.

Jalan-jalan kat Taman Tasik Titiwangsa.

Namun, malangnya sehingga ke tarikh 20 haribulan masih belum keluar tanda-tanda untuk bersalin. Aku cuma rasa sakit yang tidak bersungguh orang kata. Sakit main-main. Bukan sakit contraction yang kuat untuk bersalin. Makanya pada 20 Disember pagi-pagi lagi aku redha dan pergi ke hospital untuk serah diri. Pada masa ni kalau kena induce pun aku terima. 

Bila sampai hospital, prosedur biasa yang perlu dilakukan ialah kena daftar masuk hospital, kemudian doktor akan cek jantung baby. Semua tiada masalah, dan doktor suruh pergi sarapan dulu. Suami belikan nasi lemak di kafe hospital, masa ni belum cek bukaan jalan lagi. Lepas breakfast, doktor panggil masuk untuk cek bukaan jalan. Alhamdulillah, jalan dah buka 3cm. Jadi, doktor cakap tak perlu untuk induce. Syukur teramat sebab tak perlu lalui proses yang menyakitkan itu. Maka, aku terpaksa tunggu untuk masuk wad. Sebelum tu, sekali lagi doktor panggil untuk cek bukaan dan alhamdulillah dah buka 4cm. "Go baby, cepat-cepat turun. Ummi tak sabar nak jumpa awak ni!"

Dari pagi sampailah ke petang bawa ke malam dan keesokannya, bukaan terakhir lepas diperiksa oleh doktor cumalah 5cm, lepas tu dah tak ada bukaan lagi. Bermalam di hospital juga akhirnya sebelum bersalin. Bukan main aku duk berkawad dalam wad nak bagi cepat bukaan. Ulang alik dalam wad, kebetulan ada geng sekali berkawad sama-sama. Bila teringat balik, kelakar pun ada. 😂

Lepas solat Asar 21 haribulan tu, aku dengar nurse panggil nama aku. Dia minta aku siapkan semua beg dan barang-barang dalam wad dan masuk ke bilik 5. Bilik 5 ni merupakan bilik sementara pesakit dibawa masuk ke labour room. Alamak, tiba-tiba je rasa berdebar-debar. Aku tahu masa aku untuk melahirkan akan sampai tak lama lagi. Masa ni, aku dah mesej bagitahu suami suruh datang hospital dan standby untuk dipanggil masuk teman aku dalam dewan bersalin. Dalam bilik 5, sekali lagi nurse cek jantung baby. Alhamdulillah, semuanya okay. Nurse bagitahu yang doktor akan pecahkan air ketuban untuk mempercepatkan proses bersalin.

Sebelum ditolak masuk ke dewan bersalin.

Bila dah masuk ke dewan bersalin, doktor dan nurse mempersiapkan apa-apa yang patut. Lebih kurang pada pukul 4.30 petang, doktor mula pecahkan air ketuban aku. Masa Mursi dulu, aku mengalami contraction secara semulajadi, tanpa bantuan atau proses pecahkan air ketuban macam ni. Bila dah selesai, barulah aku mula rasa kontraksi yang makin kerap. Allahuakbar, sampai sekarang masih terasa betapa sakitnya kontraksi kali ni. Bila reda sekejap daripada sakit, aku sempat bertanya pada nurse,

"Nurse, biasanya berapa lama tempoh masa antara pecahkan air ketuban dan saya akan bersalin?"

"Biasanya ambil masa beberapa jam juga bergantung kepada bukaan awak. 1 cm mewakili 1 jam. Awak tadi bukaan dah 6cm, jadi lebih kurang 4 jam lagi awak akan bersalin."

Bila dengar macam tu, rasa macam, "Allah...lama lagi ke aku kena tanggung sakit macam ni?" Rasa sakit sangat, tak dapat nak digambarkan. Nurse  siap pesan lagi kalau rasa nak teran bagitahu. Masalahnya aku pun tak pasti macamana rasa nak teran tu. Sebab dah lama sangat tempoh bersalinkan Mursi dulu, lebih 6 tahun dah. Lupa dah rasa macamana.

Tapi nak cakap Allah tu Maha Pengasih Maha Penyayang. Dia tahu setara mana aku mampu tahan kesakitan, Dia bagi aku sakit dalam satu jam lebih sahaja. Lebih kurang pada pukul 5.50 petang, maka lahirlah puteri yang ditunggu-tunggu. Alhamdulillah, Allah telah kabulkan doa aku untuk mendapat seorang puteri. 👧 Lengkaplah sepasang zuriat keturunan aku dan suami. Nama diberi untuk puteri kami ialah Nur Hana Maleesa binti Ahmad Mawardi Noor. Semoga anak ummi menjadi seorang anak yang solehah, menjadi harta berharga buat ummi dan ayah bila kami dah tiada nanti. Semoga ummi mampu mendidik kamu dengan didikan yang sebaik-baiknya. Aamiin.😊

Nur Hana Maleesa selepas beberapa jam keluar dari rahim ummi.

Tamatlah kisah bersalin aku untuk kali kedua ni. Semoga ia menjadi antara kenangan terindah dalam hidup aku dan biar ia segar selalu dengan coretan di sini. Inshaa-Allah akan ada lagi cerita selepas ni, mungkin pasal tempoh aku berpantang sendiri. Itupun kalau aku rajin nak menulis lagi. 😁 Sampai jumpa lagi, tata. Assalamualaikum.