Friday, 7 July 2023

Potty Train Nur Hana Maleesa

   بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ya Allah... bercinta betul nak buat posting baru kat blog ni. Sebenarnya tujuan asal blog ni adalah untuk abadikan memori yang terpahat sepanjang perjalanan hidup seorang Noor. Hidup seorang perempuan yang bergelar isteri dan ibu kepada 2 orang cahaya mata kini.

Inshaa-Allah untuk posting kali ni, aku akan kongsikan serba sedikit mengenai kisah potty training (PT) anak dara aku, si Nur Hana Maleesa. Untuk pengetahun, Hana sekarang dah berumur 3 tahun 5 bulan. Kalau nak dibandingkan dengan abang dia dulu, umur 2 tahun setengah dah bebas diapers, alhamdulillah. Tapi itulah, kita tak boleh nak bandingkan perkembangan setiap anak kita. Setiap anak berbeza tahap perkembangan mereka.

Hana sekarang masih follow-up dengan speech therapy (ST) dan juga occupational therapy (OT) di Hospital Shah Alam. Dan juga sedang mengikuti sesi terapi luar di NASOM Shah Alam. Kalau ada kerajinan nanti aku cerita juga dekat sini pasal terapi Hana. Inshaa-Allah.

Makdusnya, perkembangan Hana agak berbeza dengan abang dia, Mursi. Untuk potty train ni pun sebenarnya aku agak risau untuk mulakan. Sebabnya Hana masih belum ada perkataan bermakna yang keluar dari mulut dia. Panggil Ummi pun belum lagi. 😔

Macamana boleh bermula? Aku nekad untuk bermula selepas sesi terapi dengan ST awal bulan Mei lepas. Terapis nasihatkan untuk aku mulakan PT ni pada Hana. Dan kemudian kebetulan aku ada join sesi webinar Aishah Kassim mengenai cara-cara untuk PT anak-anak yang speech delay. Dari situ akhirnya aku mula rasa semangat nak mulakan dengan Hana.

Aku mulakan sesi PT hari pertama dengan Hana pada 20 Mei iaitu hari Sabtu. Lepas je dia bangun pagi hari tu, aku siap-siap mandikan dia dan tak pakaikan diapers dah. Aku dah siap-siap beli potty pants dari TikTok 4 helai sebagai persediaan. 😁 

Antara tips ataupun langkah-langkah sebelum mulakan PT dengan anak:

  • Kena pastikan ibu bapa, (especially ibu la) dan anak kita bersedia. Ibu pastikan tidak dalam fasa tertekan contohnya sedang mengandung, ataupun baru lepas pindah rumah. Anak pula bila kita dah nampak dia tunjukkan tanda yang dia tak selesa bila pakai diapers, ataupun dah pandai pakai seluar dan baju sendiri.
  • Untuk anak-anak yang special needs, boleh sediakan carta bergambar yang menunjukkan cara-cara untuk ke tandas dan sebagainya.
  • Sediakan carta PT anak. Carta yang menunjukkan sela masa kita bawa anak ke tandas untuk kencing dan berak. Boleh mulakan dengan bawa anak ke tandas setiap 30 minit.
Carta ni aku dapatkan dari Google je. Terus print dan tampal depan tandas. Ni carta untuk seminggu pertama saja. Minggu berikutnya dah boleh tahu waktu bila nak bawa Hana ke tandas.

Itulah, antara tips yang aku buat bila mulakan PT dengan Hana hari tu. Untuk hari pertama PT, dua kali Hana terbabas kencing atas tilam depan TV. Beberapa kali juga terbabas kencing dekat kerusi meja komputer ayah dia. Hampir give-up juga. 😥 Namun aku cekalkan hati. Tetap percaya yang Hana akan faham juga nanti.

Setiap kali bawa Hana untuk kencing di tandas, aku akan selalu cakap, "Hana kalau nak kencing cakap kat ummi ye. Kencing kena dekat toilet." Setiap setengah jam ye kena ulang. Bila dia kencing, ummi akan pujila, "Good job Hana! Hana dah kencing. Hana kencing kat toilet!" 😊

Bila tidur, aku akan pakaikan diapers semula. Cuma hari pertama je la, aku ingatkan potty pants tu tak bocor sangat. Rupanya sama je, basah lencun jugak. Hana bocor bila dia tidur tengahari.

Kalau ikutkan sampai ke hari ni (7 Julai 2023), kiranya dah sebulan lebih la aku lakukan PT pada Hana. So far, Alhamdulillah. Allah banyak permudahkan. Hana dah pandai bagi hint bila dia nak ke tandas untuk kencing. Sama ada dia akan tarik tangan kita, ataupun bila kita tanya "Hana nak kencing?" dia boleh tunjuk sign untuk kencing dengan pegang seluar.

Aku pun ada minta kerjasama taska juga untuk ajar PT di taska. Alhamdulillah, so far okay. Cuma teacher kat taska dia pakaikan diapers masa Hana tidur saja. Sama juga bila di rumah, aku masih pakaikan bila tidur malam.

Tapi dah beberapa kali juga cuba off bila time dia tidur siang. Alhamdulillah, nampaknya berjaya. Dan surprisingly semalam aku terlupa nak pakaikan diapers sebelum tidur. Sebab masa aku tidurkan dia semalam aku memang niat nak bangun balik untuk solat Isyak. Last-last, aku pun tertidur sekali. Bila aku terjaga tengah malam dan bangun, baru teringat yang tak pakaikan diapers pada Hana. Alhamdulillah, kering saja dan dia tidak kencing atas tilam. So, aku try offkan sampai ke pagi. Berjaya!

Nampak gaya, bolehlah slowly off diapers waktu tidur jugak. Inshaa-Allah harap semuanya berjalan lancar. Cuma buang air besar je dia kadang masih terbabas. Terbuang dalam seluar. Takpe Hana, take your time. Ummi will wait for your progress. 

Itulah cerita dia. Walaupun Hana masih belum boleh bercakap, namun ummi percaya Hana akan bercakap juga satu hari nanti. Tengok macam sesi PT ni la. Hana budak yang cepat belajar. Ummi yakin Hana akan bercakap macam kanak-kanak lain juga satu hari nanti. Aamiin. 💖