Tuesday, 30 April 2013

Lepas Geram

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ni hari terakhir dalam bulan April. Esok cuti hari buruh, 1 Mei. Hari ni jugak, dan bukan hari ni saje sebenarnya, sepanjang minggu ni rasa geram dan bengang sangat. Tak tahu nak cakap camane. Kerja tapi tak dapat gaji. Tak ke geram kalau gitu??!!

Kat tempat aku kerja ni sejak dulu memang dia amalkan gaji akan masuk 2 kali sebulan. Separuh masa awal bulan dan yang selebihnya pada pertengahan bulan. Nak diceritakan, sejak dua tiga bulan kebelakangan ni tempat aku kerja ni macam ada masalah sikit. Selalu lewat masukkan gaji pekerja. Gaji awal bulan yang biasa masuk 1 haribulan, dianjak ke 7 haribulan. Elaun yang sepatutnya masuk pada 16 haribulan, dianjak ke 20/21 haribulan ikut suka hati dia.

Aku ingatkan masalah ni akan selesai lepas beberapa bulan. Tapi nampaknya makin bertambah teruk aku tengok. Ok, untuk bulan ni saja gaji awal bulan dimasukkan pada 7hb kalau tak silap. Dan yang sangat tidak memuaskan aku dan kawan-kawan, elaun yang sepatutnya masuk pada tengah bulan sampai sekarang tak dengar khabar berita lagi. Bulan-bulan sebelum ni, ada diberitahu dalam emel bila akan dimasukkan. Tapi, untuk bulan ni hanya dimaklumkan ianya akan dimasukkan pada tarikh yang akan diberitahu kemudian. Dan tarikh tu sampai sekarang belum tiba lagi. Dan petang tadi sebelum balik kerja, dapat pulak emel baru. Makluman tentang gaji 1hb, dianjak ke 9hb! Oh tidak! Ingat kami semua ni makan pasir?? Isi kereta dengan air??!!

Entahlah, aku tak faham dengan cara pemikiran orang tertinggi syarikat tempat aku kerja ni. Mereka langsung tak menjaga kebajikan pekerja. Asyik pentingkan duit saja. Sibuk duk buat projek-projek baru. Perkhidmatan yang sedia ada ni tak nak jaga betul-betul. Kadang-kadang aku rasa bersalah jugak. Sebab aku selalu mengutuk tempat aku cari rezeki. Ya Allah, ampunkan aku... Tapi aku juga manusia biasa. Bukan maksum dengan segala sifat mahmudah. 

Hari ni jugak aku rasa down sangat. Dengan masalah gaji dan elaun yang entah bila akan masuk akaun, pastu kawan kat tempat kerja pulak 3 orang sekaligus yang hari ni merupakan last day mereka. Pertengahan bulan nanti, lagi 2 orang kawan akan berhenti, dari jabatan aku pulak tu! Ya Allah...berikan aku kekuatan untuk terus bersabar. Aku memang dari dulu lagi dah pasang niat nak cabut dari sini. Tapi nampaknya, Allah masih tetapkan aku cari rezeki kati sini lagi. Cik abang pun pesan supaya bersabar dulu. Tunggu lepas bersalin nanti, tengok keadaan macamana. Kalau dia tak dapat jugak kerja di Terengganu, mungkin aku akan ikut dia ke KL la. Apa-apa pun, tengok keadaan dulu.

Ya Allah...permudahkan segala urusan hamba-Mu ini. Sebelum tidur malam ni, aku nak muhasabah diri dulu. Mungkin ada di mana-mana yang aku buat salah sehingga aku diuji sampai macam ni sekali. Semoga Allah ampunkan segala dosa yang aku dah lakukan samada secara aku sedar ataupun tidak. Untuk akhirnya, aku mintak maaf segala salah silap. Aku maafkan segala kesalahan semua, dan harap semua orang pun akan maafkan aku. Ok, sampai sini dulu. Till then. Tata...

Monday, 22 April 2013

Senyum Dalam Tangisan

Bismillahirrahmanirrahim.

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.
(Al-Baqarah: 286)

 Ya Allah... berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Aku terpanggil untuk meluahkan rasa hatiku hari ni. Kawan sekerjaku berpangkat kakak, kak yana memberitahu keputusan IUI yang dia lakukakn lebih kurang dua minggu lepas. Keputusan yang diterima adalah negatif. Aku dapat menyelami perasaannya yang sangat sedih dan kecewa bila dapat tahu keputusan tersebut. Sepanjang dia masuk kerja lebih kurang setahun yang lepas, dia banyak bercerita pasal kehidupannya. Salah satunya adalah mengenai zuriat. Dah hampir tiga tahun mendirikan rumhtangga, namun masih belum dikurniakan rezeki anak.

Pagi tadi sesampai je kat ofis, aku dah perasan jugak riak wajahnya yang agak suram. Tapi aku tak nak la tanya, sebab aku macam dah boleh agak. Sampaila saat dia bagitau pasal keputusan yang ditunggu-tunggu selama 2 minggu lepas. Aku tergamam, tak tahu reaksi apa yang aku patut tunjukkan. Dalam hati, aku nak sangat peluk kak yana masa ni. Nak tenangkan dia, tapi aku kuatkan hati tak nak tunjukkan aku ni lemah. Kalau aku lemah, mesti kak yana akan lagi sedih. Aku cuma mampu ucapkan kata-kata semangat buat dia.

Kak Yana,
Kuatkan semangatmu,
Sesungguhnya kamu adalah hamba terpilih,
DipilihNya untuk menghadapi semua ini,
Dia tahu kamu mampu,
Mampu hadapi dengan redha dan hati yang kuat.

Ya Allah...
Sesungguhnya terlalu berat dugaanmu,
Buat sahabatku ini,
Aku berdoa padaMu,
Moga-moga ada sinar bahagia menantinya di kemudian nanti.

Kata-kata semangat yang selalu aku bisikkan buat diri sendiri bila ditimpa ujian, sesungguhnya ujian ni adalah tanda Allah sayang kat kita. Kita menjadi insan terpilih untuk dipandang oleh-Nya dan diuji. Allah Maha Mengetahui tahap kesabaran hamba-hamba-Nya dan tahap kekuatan kita untuk menghadapi dugaan yang ditimpakan. Semoga kak yana akan lebih tabah dan terus kuat untuk terus berusaha. Kami sentiasa mendoakan akak.


Sunday, 21 April 2013

Hujung Minggu Yang Best

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, Allah masih panjangkan usia untuk hidup lagi hari ni. Sekarang ni musim nak mengundi, penuh je bendera kat tepi-tepi jalan. Bila dah start kempen ni, lagi banyak la kot naik poster-poster manifesto parti masing-masing. Tapi, bukan tu yang aku nak cerita kali ni. Tu sebagai selingan je. Hehehe.

Hujung minggu baru ni, iaitu hari Jumaat aku menghabiskan masa di rumah kakakku di Padang Nenas. Balik keje petang Khamis tu, aku terus ke sana. Jauh jugak, sejam lebih aku drive. Mungkin sebab ditambah jalan jammed lagi kot, tu yang lambat sikit. Aku gi rumah kakak sebab dijemput sebenarnya. Kakak aku yang jemput aku tidur sana. Sebab dia tahu aku pun sorang-sorang je kat rumah. Dan sebab yang paling UTAMA ialah...dia nak tengok drama ADAM & HAWA!! Aku tak sangka kakak aku peminat drama tu, lepas dia tengok kat Astro Ria. Dia malas nak tunggu setiap jam 6 petang, so dia nak tengok yang aku dah download kat laptop. Berkali-kali dia pesan kat aku jangan lupa bawak laptop.

Sebaik aku sampai je rumah kakak aku, dia sedang tengok drama tu! Aduh, fanatik jugak kakak aku ni. Hehehe. Boleh dia suruh terus bukak laptop sebab nak terus tengok. Aduila, aku ni penat pun tak hilang lagi. Tapi, dia gurau je. Malam baru la dia bukak laptop tengok drama dia tu. Yang paling gembira jugak, anak buah aku la. Empat orang anak buah, tapi yang sulung ngan yang kedua la nampak excited bila aku datang. Aku suka anak buah aku ni, bagi aku mereka ni pandai berfikir dan bukan macam sesetengah kanak-kanak lain yang sebaya mereka. Tapi kadang-kadang, bergaduh jugak. Bila umi dia suruh buat sesuatu, masing-masing saling tak nak mengalah. Yang abang suruh adik, yang adik pulak suruh abang. Biasalah, budak-budak.

Malamnya, aku gi pasar malam ngan kakak dan semua anak buah. Suka sangat boleh gi jalan. Petang tu aku ada cakap yang aku teringin nak makan kek coklat moist. Pastu kakak aku ajak gi cari kat pasar malam. Sampai je pasar malam, terus je cari kek tu. Lama jugak cari, hampir putus asa. Tapi alhamdulillah jumpa jugak akhirnya. Tercapai hajat nak makan kek coklat moist. Tapi tak feel sangat, sebab kek tu dia buat cupcake. Aku terbayangkan kek yang besar pastu dipotong slice. Hehehe. Tapi takpela, kira ok la sebab rasa dia dah ada. Balik rumah je, kakak aku sambung tengok drama dia. Mulanya aku tengok sekali, tapi dah lewat sangat aku pun masuk tidur. Lagipun, aku dah tengok semua pun. Biarlah kakak aku je yang tengok ngan anak buah perempuan sorang.

Pagi esoknya aku tak ada buat apa. Kakak aku apa lagi, sambung tengok drama dia ah. Tapi aku ada belajar sesuatu yang baru. Aku belajar anyam reben dari anak buah lelaki. Masa kecik-kecik dulu, aku memang suka reben ni. Tak sangka pulak anak buah aku pandai buat. Senang je cara anyam dia sebenarnya. Nanti kalau ada masa aku nak anyam banyak-banyak. Hehehe.
Ni la anyaman reben yang aku maksudkan.
Aku dah gantung dekat kunci kereta aku. :)
Petang tu, aku ajak anak buah gi kait buah pelam belakang rumah. Tak sangka pulak boleh makan buah pelam ngan colek. Aku makan tak ingat dunia. Lagipun, aku memang teringin jugak nak makan colek ni. Sampai hajat satu lagi. Ni yang best ni. Dah la kakak kirim bawak balik sekali. Lagi la seronok. Hehehe. Dan malamnya aku tidur awal. Sebab pagi esok aku dah nak kena keje. Sehari je aku cuti. Memang tak puas. Huhu. Pagi esoknya aku bertolak seawal 7.30 pagi. Aku masuk keje pukul 8.30. Terlupa pulak yang hari tu hari penamaan calon, jalan agak jammed pagi tu. Dan aku berkira-kira aku akan terlewat masuk keje. Aku pun apa lagi, pecut kerete selaju boleh. Tapi aku masih ingat orang-orang tersayang. Sampai kat pejabat, terus gi punch in. Jam mesin punch tepat-tepat pukul 8.30. Adui, semput dibuatnya.

Bila dah masuk keje ni, rutin kembali macam biasa la. Pegi keje, balik keje. Huhu. Minggu depan cik suami balik. Tak sabar nak tunggu minggu depan. Ok la, sampai sini dulu kali ni. Lain kali cerita lagi. Tata.

***nota kaki: Hari ni aku tak berapa sihat masa kat tempat keje. Pening kepala dan muntah-muntah. Kelas pun terpaksa aku skip. Tapi sekarang dah ok. Doakan semuanya baik-baik saja ye. Tata.

Wednesday, 17 April 2013

Semuanya OK

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, masih diberi ruang dan kesempatan untuk update blog hari ni. Beberapa hari tak update, padahal masa awal-awal baru ni bukan main semangat mengupdate. Hahaha. Biasala tu, hangat-hangat tahi ayam. :P Sebenarnya, aku lebih pentingkan kerja lain, ni baru ada masa nak update blog.

Hari ni, aku kena pegi check-up lagi. Sebab 2 minggu lepas kan keputusan hb aku rendah, dan berat aku naik banyak dalam sebulan. Tapi alhamdulillah, hari ni tak ada masalah dan tak perlu jumpa doktor. Keputusan hb aku hari ni 11.1, dan berat pun naik 0.5 kg dalam 2 minggu. Ok la tu, semuanya tak ada masalah. Tekanan darah pun normal.

Tapi, nurse tadi beritahu yang aku kena minum air gula pada 7hb Mei nanti. Sebab masa aku buat buku pink hari tu aku ada beritahu sejarah keluarga pernah ada yang menghidap kencing manis iaitu arwah ibu aku. Tu yang aku kena screening untuk kencing manis tu, pada minggu ke 24. Harap-harapnya aku tak dapatla penyakit tu masa tengah mengandung ni dan untuk masa-masa yang akan datang.

Empat hari ni jugak cik abang ada balik. Sebab tu aku tak ada masa sangat dengan laptop aku ni. Kalau dia balik, mesti dia akan conquer laptop dengan tengok bola atau tengok movie dia. Semalam dia dah kembali semula ke tempat kerja. Tinggal la aku sorang-sorang kat rumah ni, bertemankan sepi dan rindu. Setiap hari duk menghitung bila pulak dia akan balik. Selalunya macam tu la. Entah bila agaknya aku akan sebumbung dengan suami, dan tidak PJJ lagi. Doa-doakan aku supaya dimurahkan rezeki kami.

Setakat ni dulu untuk kali ni. Nanti aku cerita lagi. Tata.

Friday, 12 April 2013

Panel VIVA

Bismillahirrahmanirrahim.

Untuk pengetahuan, aku merupakan salah seorang tenaga pengajar di sebuah IPTS di daerah Hulu Terengganu. Pada tiga hari lepas, aku telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi salah seorang panel VIVA bagi pelajar jabatan aku. Nak kata banyak pengalaman sangat tu, takdela. Tapi sebelum ni aku memang dah pernah menjadi panel VIVA pelajar.

Saje je aku nak cerita, VIVA kali ni adalah melibatkan pelajar sulung jabatan aku. Mereka baru je tamatkan semester 5 pengajian, selepas melalui latihan industri selama 16 minggu. Jadi, tinggal satu semester lagi sebelum mereka graduate. Pelajar yang terlibat adalah seramai 11 orang sahaja, dan mereka perlu present hasil kajian singkat mereka selama 16 minggu tersebut. Mereka dibahagikan kepada 4 kumpulan, dan perlu membentangkan tajuk masing-masing secara berkumpulan.

Aku jadi panel bersama dua orang lagi pensyarah yang telah dilantik. Secara keseluruhannya, VIVA kali ni lebih baik berbanding yang pernah aku jadi sebelum ni. Pelajar-pelajar lebih bersedia, dan lebih banyak membaca info luar selain dari apa yang tertulis dalam slide saja. So far, i'm proud of them. Lagipun, mereka memang antara pelajar yang terbaik. Tapi, biasala kali pertama dalam membentangkan hasil kajian. Pasti ada jugak kelemahannya. Ada kumpulan tu tersilap present data, nilai dalam jadual tidak sama dengan nilai pada graf. Ada satu kumpulan pulak, dia masukkan sekali kajian perpustakaan yang berjela-jela dalam presentation. Sepatutnya tak perlu tu semua. Cuma masukkan isi penting sahaja.

Semoga mereka semua dapat sedikit pengetahuan daripada apa yang telah dipersembahkan dan boleh membaiki lagi mana-mana kelemahan di masa yang akan datang. Semester 6 nanti mereka akan ada sekali lagi VIVA, tapi secara individu pula. Aku sebagai pengajar, mendoakan yang terbaik untuk semua pelajar aku. Tak ada pensyarah yang mendoakan kegagalan pelajar dia. Aku harap mereka semua akan dapat kerja yang bagus bila dah tamat belajar nanti. InsyaAllah.

Ok la, lain kali aku cerita lagi pasal kehidupan kerja aku. Cukup dulu setakat ni. Till then, tata.

Yang bertudung biru semua antara pelajar terlibat dengan VIVA.

Sunday, 7 April 2013

Februari Bulan Dugaan (3)

Bismillahirrahmanirrahim.

Mungkin ni adalah cerita sambungan bahagian terakhir bagi tajuk ni. Kalau panjang-panjangkan lagi, mesti yang baca pun akan bosan. betul tak? Hehehe.

Ok, sebaik saja aku sampai di HSNZ, dua orang nurse yang iring aku tadi selesaikan urusan pendaftaran semua. Bila aku dah ditempatkan di katil, mereka pun tinggalkan aku dan seterusnya aku diuruskan oleh pihak hospital sana pulak. Selepas beberapa ketika baring atas katil, datangla seorang doktor perempuan kat aku. Aku rasa dia ni doktor HO. Dia tanya keadaan aku segala, dan kemudian dia cakap aku dah kena start puasa sebagai persediaan untuk pembedahan.

Dalam tengahari jugak, suami tercinta pun sampai. Siap dengan keperluan semua la. Pada masa ni, aku memang agak lemah dan tidak bermaya ditambah lagi dengan penerangan dari seorang doktor sebelum si dia sampai. Doktor lelaki yang datang beritahu pasal pembedahan yang akan aku jalani. Dia cakap, kemungkinan pembedahan aku agak berisiko. Risiko untuk keguguran, memandangkan kandungan aku masih baru dan menggunakan bius penuh. Bila aku dengar je penerangan doktor tu, hampir menitis air mata aku.

Bila suami aku sampai, terus aku ceritakan kepadanya mengenai apa yang telah diberitahu oleh doktor tadi. Bergenang air mata aku sambil bercerita. Tapi, kata-katanya menyejukkan hatiku. Dia lebih rela kehilangan anak yang dikandungkan asalkan aku selamat. InsyaAllah rezeki anak nanti akan dapat lagi. Tapi, aku amat berharap agar aku dan kandunganku akan selamat. Aku tidak sanggup kehilangan kandunganku yang pertama ni.

Dipendekkan cerita, lebih 12jam aku puasa sebelum pembedahan. Untuk menunggu giliran dan bilik bedah kosong, lama jugak ye. Doktor cakap aku cuma tunggu masa je. Akhirnya, pagi 14 Februari pada jam lebih kurang 2.45 pagi, aku ditolak masuk ke bilik bedah. Suami masih setia di sisi menemani walaupun makcik guard dah marah-marah pada sebelah malamnya. Bila masuk bilik bedah, aku kena bius segala la. Lepas dah kena bius tu, aku memang dah tak ingat apa-apa. Langsung tak sedar masa pembedahan dijalankan. Sedar-sedar je aku dah sedia untuk ditolak ke wad semula. Itupun bila nurse kat bilik bedah tu panggil-panggil nama aku. Bila dah keluar tu, aku tengok jam lebih kurang dalam pukul 4.00 pagi.

Keesokannya, aku gagahkan diri bangun untuk solat subuh. Kemudian, suami minta izin untuk balik rumah. Aku sebenarnya kesiankan dia. Takpela, abang balik la berehat. Semalaman dia jaga aku. Tak cukup tidur dibuatnya. Pagi itu, doktor akan scan kandungan aku. Dan alhamdulillah, jantung dia aku nampak berdegup. Syukur pada-Mu ya Allah. Tapi petang nanti terpaksa scan sekali lagi untuk betul-betul memastikan keadaan aku dan kandungan dalam keadaan baik. Lepas pembedahan barulah aku boleh makan. Tapi aku hanya boleh makan makanan yang lembut-lembut sahaja. Dan aku juga kena berpantang makan lepas ni.

Petangnya, ramai adik beradikku yang datang melawat termasuk juga mak dan ayahku. Kawan-kawan pun ramai yang datang melawat. Terasa begitu dihargai sebab ramai yang ambil berat pasal diri aku. Petangnya dalam pukul 6 macam tu, aku sekali lagi kena scan kandungan. Kali ni discan oleh doktor O&G. Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik-baik saja. Kemungkinan, esok aku dah boleh keluar hospital. 

Memang betul, selepas doktor memeriksa aku pagi esoknya, aku dah dibenarkan keluar. Plaster yang ditampal di bahagian aku dibedah dibuka. Aku boleh nampak lima jahitan kat bahagian tersebut. Jahitan tu perlu dibuka pada hari Jumaat akan datang dan hanya perlu ke hospital berdekatan. Selepas menyelesaikan segala urusan yang berkaitan, suami membawa aku pulang. Aku diberi cuti sakit selama dua minggu. Tapi aku bermalam di rumah kakak ipar untuk semalaman sebelum balik rumah. Maka bermulalah tempoh berpantang aku selama bercuti sakit.

Rasanya, itu je kot yang aku nak ceritakan pasal bulan dugaan aku. Walaupun dugaan yang aku terima agak besar, namun aku bersyukur. Aku berjaya hadapinya dengan tenang. Sesungguhnya, setiap dugaan yang ditimpakan untuk hamba adalah sekadar untuk menguji kesabaran. Andai kita sabar, maka kita adalah antara orang-orang yang sangat beruntung. Alhamdulillah.

Sehingga berjumpa lagi di lain masa. Tata.

Wednesday, 3 April 2013

Masalah Lagi

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ni kena gi check-up bulanan kat klinik desa. Bukan main lagi memang yakin tak ada masalah dan tak perlu refer doktor kat Klinik Ajil. Ye la, rasanya makan semua ok. Makan sayur, buah, minum susu harapnya tak ada masalah la. Tapi...

Macam biasa, kalau hari aku kena pegi check-up bulanan, memang aku akan turun dari rumah awal dari biasa. Seawal 7.30 pagi aku dah turun untuk ke klinik. Memang bila aku sampai je, klinik dah buka. Nurse memang akan ada sorang yang datang awal. Jadi, aku masuk la daftar kejap. Memang aku orang pertama la biasanya. Hehehe. Dengan harapan dapat masuk pejabat tepat pada masanya, sebelum 8.30 pagi.

Mula-mula kena cek urin dulu. Urin tak ada masalah. Kemudian, ambil tekanan darah, cek hemoglobin (hb). Tekanan darah ok, tapi yang part hb ni masalah. Hb aku rendah lagi. hari tu dah sekali macam ni, hari ni harapnya takde la rendah lagi. Tapi rendah jugak, 10.5 bacaan dia. Lepas tu, timbang berat pulak. Yang ni pun masalah jugak. Berat aku naik lebih 3 kg dalam masa sebulan. Sepatutnya, bagi usia kandungan sebelum 5 bulan hanya dibenarkan naik 0.5 kg je dalam sebulan. Dua masalah ni la yang menyebabkan aku kena refer doktor di Klinik Ajil.

Sampai je kat klinik, ake terus ke klinik ibu dan anak untuk jumpa doktor. Tapi sebelum tu, aku kena ambil darah dulu di makmal. Mak aih, ramainya orang menunggu untuk ambil darah. Dekat sejam jugak aku kena tunggu giliran sampai. Memang silap hari la aku kena datang hari ni. Dalam hati, dah berkira-kira samada sempat ke tak nak masuk pejabat sebelum pukul 11. Kalau masuk pejabat selepas pukul 11, memang dikira EL (emergency leave) la.

Tunggu giliran untuk masuk jumpa doktor pun lama jugak. Hampir sejam lagi aku kena tunggu. Bila sampai je giliran, jam pun dah menunjukkan pukul 11 lebih. Rasa malas dah nak masuk pejabat. Doktor yang merawat aku tu kebetulan kakak senior masa dekat UKM dulu. Dia yang tegur dulu. Alang-alang dah kenal, minta MC je la. Aku pun memang dah malas nak masuk pejabat. Kelas pun tak ada hari ni. Jadi, bila dah dapat MC aku balik berehat di rumah je. Bukan selalu dapat rehat. Hehehe.

Harap-harapnya, dua minggu akan datang aku dah tak ada masalah lagi. Malas sebenarnya nak gi jumpa doktor ni. Leceh, kena ambil darah la, kena tunggu lama. Doa-doakan semoga lepas ni tak ada masalah lagi. Kena jaga makan la lepas ni. Makan kena kawal, jangan makan ikut sedap mulut je. Hehehe. Sampai sini dulu untuk kali ni, lain kali sambung cerita lagi. Tata.

Tuesday, 2 April 2013

Februari Bulan Dugaan (2)

Bismillahirrahmanirrahim.

Ok, sambung balik cerita yang tak habis sebelum ni. Masa aku sedang dirawat di bilik kecemasan, aku juga perlu menjalani ujian urin. Sementara menunggu keputusan ujian, suami la yang menunggu aku di ruang kecemasan tu. Doktor ada cakap, kalau keputusan urin takde masalah, aku dibenarkan balik rumah. Jika sebaliknya, aku akan dimasukkan ke wad di Hospital Hulu Terengganu.

Lebih kurang sejam kemudian, doktor pun datang. Dia bagitahu yang keputusan urin aku kurang memuaskan. Aras ketone tinggi, dan mungkin merbahaya sebab aku mengandung. Memang la, sebab segala isi perut dah keluar. Tambah lagi dari pagi tadi aku belum makan apa-apa. Nampak gayanya, aku terpaksa ditahan di wad. Pengalaman pertama aku menaiki ambulans, dari klinik Ajil ke Hospital Hulu Terengganu. Si dia setia menemani aku di sisi.

Selesai semua urusan pendaftaran, aku dimasukkan ke wad melur dan ditempatkan di katil 12. Dan ini juga merupakan pengalaman pertama aku dimasukkan ke wad. Paling kurang, aku boleh merasa pengalaman ni. Hehehe. Nampak gayanya, malam ni terpaksa la aku bermalam di wad. Suami tak dibenarkan untuk teman pulak tu. Aku kena tidur sorang-sorang la malam ni. Dah la katil 12 tu agak hujung kedudukannya, tepi tingkap pulak tu. Kesian si dia, terpaksa teman aku sampai malam. Kalau ikutkan, dia nak je teman aku kat wad, tapi pihak hospital tak benarkan, terpaksa jugakla dia balik rumah malam tu.

Segalanya bermula malam di wad. Tengah malam, perut aku rasa sakit sangat. Terjaga tengah-tengah tidur, dah tak boleh tidur balik. Perut aku rasa sakit menyucuk-nyucuk di sebelah kanan. Air mata aku hampir menitis semasa aku panggil nurse beritahu sakit perut. Tapi nurse tak mampu buat apa-apa jugak. Sebab malam takde doktor. Yang ada pun doktor on-call di bahagian kecemasan. Beberapa kali jugak aku panggil nurse sebab tak tahan sangat. Sampai la satu tahap, nurse yang pangkat tinggi sikit (pakai baju biru) call doktor beritahu keadaan aku. 

Selepas beberapa ketika, seorang nurse datang ke katil aku dan suntik ubat tahan sakit melalui wayar yang sedia dipasang di tangan aku. Lepas kena masuk ubat tu la baru aku boleh tidur, itu pun tidur-tidur ayam je. Untuk memudahkan aku dipantau, aku dipindahkan dari katil 12 ke katil 5, yang lebih dekat dengan meja nurse di wad tersebut. Aku tidur-jaga sampai la ke pagi. 

Pagi esoknya, doktor yang datang buat ward-round periksa keadaan aku. Dia tanya beberapa soalan dan kemudian dia tekan-tekan perut aku. Dia tekan perut aku sebelah kanan, dan angkat dengan cepat. Aduh, sakitnya! Kemudian, dia cakap aku positif appendisitis! Lagi memilukan, aku terpaksa dipindahkan lagi ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dibedah. Bila dengar je penjelasan doktor, aku jadi berdebar-debar, takut, sedih, semua ada. Ye la, sapa tak takut kalau nak kena bedah! Tambah lagi aku ni sedang mengandung. Aku terus hubungi suami aku. Dia aku dengar tenang saja, tapi aku tahu dalam hati dia pun risau sebenarnya.

Sekali lagi aku dapat pengalaman naik ambulans. Tak best pun naik ambulans ni sebenarnya, aku dah la sakit. Bila baring dalam tu, rasa melambung-lambung je. Buat lagi sakit ada la. Masa ni, ada dua orang nurse yang teman aku ke HSNZ. Aku sampai di sana lebih kurang dalam pukul 11.30 pagi macam tu. Terus aku dibawa ke wad pembedahan perempuan di tingkat 2.

Rasanya dah agak panjang cerita kali ni. Aku pun dah rasa mengantuk ni. Apa kata aku sambung esok je. Hehehe. Till then, tata.

Februari Bulan Dugaan (1)

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, aku masih diberi peluang oleh Allah untuk terus hidup dan menghirup udaraNya sehingga kini. Kalau diikutkan, memang tak layak lagi nak hidup, sebab banyak sangat dosa yang aku buat samada secara sedar ataupun tak sedar. Bila fikir positif, Allah nak bagi peluang untuk aku supaya bertaubat dulu atas segala dosa yang dilakukan. Allahu Allah. Betapa Maha Pemurah dan Penyayangnya Kamu kepada hamba ini.

Aku cuma nak imbas semula kenangan, atau lebih tepat lagi dugaan yang berlaku lebih sebulan yang lepas. Aku tidak bermaksud kesal dengan ujian yang menimpa, malah aku sedar bahawa ujian ditimpakan untuk lebih mendekatkan hamba kepada pencipta-Nya. Ujian juga merupakan penghapus dosa dan Allah tak akan timpakan ujian pada aku jika aku tak mampu untuk menanggungnya.

Pada Februari yang lepas, aku telah pertama kali menjalani pembedahan. Appendisektomi atau pembedahan untuk membuang appendiks. Mungkin bagi sesetangah orang, perkara ni biasa saja. Tapi bagi aku, aku rasakan ia amat berat untuk kulalui. Ok, begini kisahnya bermula...

Pagi itu (12 Februari) sepatutnya aku kerja macam biasa. Tapi, pagi tu aku terasa lain macam. Lepas subuh je, aku muntah-muntah. Kalau muntah alahan, aku tak rasa sakit perut macam pagi ni. Dan, aku dah berhenti alahan muntah pagi sejak masuk 3 bulan usia kandungan. Disebabkan itu, aku jadi malas untuk pegi kerja. Tambahan pula, si dia ada di rumah, masih bercuti sebab ganti cuti Tahun Baru Cina. Aku ambil keputusan untuk berehat je pagi tu.

Tiba-tiba aku terfikir, mungkin jugak gastrik aku kembali. Sebelum ni, aku memang selalu kena gastrik kat tempat kerja sampai kena masuk hospital dan kena masuk air sebab muntah teruk. Memang sah la ni, perut pun sakit sangat bila muntah. Gastrik punya pasal la ni. Dalam tengahari macam tu, aku bagitahu kat mak yang duduk umah sebelah (mak tiri). Masa tu dia cakap muka aku memang dah pucat lesi, macam mayat pun ada sebab segala isi perut dah keluar.

Mak bawa aku ke klinik Ajil untuk rawatan.Sesampai saja di klinik, aku terpaksa tunggu untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar. Tapi, aku tak boleh tahan lama sangat kena tunggu, akhirnya pembantu perubatan membawa aku masuk ke bahagian kecemasan. Di sini, doktor masukkan air garam (normal saline) sebanyak sebotol. Ramai nurse dan MA lain tanya mengenai keadaan aku masa tu. Mereka semua kasihankan aku sebab aku sedang mengandung.

Lepas ni aku akan sambung cerita lagi. Nak sambung buat kerja jap. Hehehe. Tata.

Monday, 1 April 2013

Kini Ku Sendiri Lagi

Bismillahirrahmanirrahim

Cakap bukan main semangat lagi nak buat post, tapi semalam tak de entry baru pulak. Hehehe. Bukan apa, semalam aku agak kurang sihat. Pening-pening dan rasa tak selesa. Alhamdulillah, hari ni semangat tu datang balik.

Tapi, dalam bersemangat ni aku sebenarnya sedih dan suram jugak. Biasala, lepas si dia kembali ke tempat kerja, aku memang akan macam ni. Semalam macam biasa, si dia akan naik bas Ekspress Tasik Kenyir untuk kembali mencari rezeki untuk aku dan anak yang bakal dilahirkan. Terima kasih abang.

Kini ku sendiri lagi
Menempuh rutin harian tanpa dia di sisi
Aku akan kuatkan semangat
Untuk terus melalui hari-hari yang makin mencabar.

Abang...
Ketahuilah olehmu tentang satu ini
Aku akan sentiasa menyayangimu
Sentiasa mencintaimu hingga akhir hayatku
Hari-hari yang dilalui tanpa dirimu
Menjadikan rindu di kalbu semakin membara
Untuk terus menghitung hari
Agar dapat kembali bersama.

Luahan hati aku...