Thursday, 17 September 2015

Field Trip ke Zoo Negara

Bismillahi wal hamdulillah.

Aktiviti Tahunan

Seperti yang dijanjikan, aku akan share mengenai lawatan ke Zoo Negara pada minggu lepas. Sebenarnya, aktiviti lawatan ni memang menjadi aktiviti tahunan sekolah. Dan sememangnya ia akan diadakan pada masa peperiksaan UPSR. Salah satu sebab ialah untuk memberikan persekitaran yang kondusif buat calon-calon peperiksaan supaya lebih fokus. Kalau pelajar lain sekolah macam biasa, mungkin sedikit sebanyak akan mengganggu konsentrasi mereka.

Nak dijadikan cerita, aku tersenarai untuk menjadi director program ni. Memang dari awal tahun lagi dah diberitahu mengenai jawatan tersebut. Tapi memang tidak ambil serius lagi. Sampailah awal bulan Ogos kot, aku dah mula risau. Mana nak cari tempat untuk bawa budak ni pergi lawatan. Aku kena jadi director bagi lawatan pelajar-pelajar Primary 1 sampai Primary 3. :) Sepatutnya aku kena siapkan proposal program dua bulan sebelum tarikh lawatan. Tapi biasalah, suka buat kerja last minute. Beberapa minggu sebelum hari kejadian baru sibuk nak cari tempat yang sesuai.

Persediaan Program

Pada awalnya, aku pilih tiga tempat; Kilang Coklat Grandeur di Selayang, Petrosains KLCC dengan Zoo Negara. Bila dicadangkan kepada pengurusan, akhirnya dia setuju dengan Zoo Negara. Nasib aku agak baik juga sebab dia tidak banyak soal. Biasanya kalau berurusan dengan dia ada aje yang dia tidak puas hati. Alhamdulillah Allah permudahkan langkah aku yang pertama. So, aku proceed dengan Zoo Negara. Dari buat budget, uruskan bas, hubungi pihak Zoo dan lain-lain yang semuanya aku buat seorang. Sebenarnya ada aje ajk yang terlibat, tapi memandangkan semua pun sibuk juga jadi aku setelkan mana-mana yang boleh. Cuma aku minta mereka beri kerjasama semasa hari kejadian.

Akhirnya, tibalah masa lawatan. Kami bertolak dari sekolah lebih kurang pukul 9.30 pagi dengan menaiki dua buah bas. Pelajar dibahagikan kepada lapan kumpulan dan diketuai oleh seorang guru pengiring. Budak-budak ni bukan selalu naik bas. Ada yang tak pernah naik pun. Jadi bila dapat naik bas dengan kawan-kawan, bukan main seronok lagi la mereka. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dalam 40 minit. Kami sampai di Zoo Negara pada pukul lebih kurang 10.15 pagi.

Pakai mask sebab musim jerebu.

Sesi Lawatan

Sebaik sampai aje di Zoo, aku terus ke kaunter tiket dan menunjukkan surat menyatakan kami akan adakan lawatan. Aku juga turut membeli tiket masuk untuk semua. Alhamdulillah orang tak ramai. Mungkin bukan waktu cuti atau hujung minggu, jadi tak ramai pelawat. Setelah selesai, aku segera menuju ke kumpulan sekolah di mana pelajar-pelajar sedang diawasi oleh guru masing-masing. Pelajar yang mengikuti sesi lawatan adalah seramai 92 orang dan 9 orang guru pengiring serta seorang pekerja biasa sekolah. Apabila selesai semua ahli kumpulan mengenakan tag dari pihak Zoo, kami pun bergerak untuk masuk ke dalam bersama kumpulan masing-masing. Sebaik sahaja melepasi pintu masuk, ada jurugambar yang dah standby untuk ambil gambar pelawat terutamanya dari sekolah-sekolah. Biasalah tu, bisnes kan. Lepas dah siap ambil gambar, dia akan promote supaya kita membeli gambar yang telah diambil. Untuk kali ni, aku membeli gambar dengan pakej yang ditawarkan iaitu 10 keping untuk RM100 bagi gambar bersaiz 6R berserta frame dari Zoo Negara. Gambar tu sekarang ada dengan salah seorang guru pengiring, Teacher Azeanti. Tapi sebelum tu, aku dah siap scan awal-awal. :) Untuk kenangan.

Kenang-kenangan aku menguruskan program lawatan.

Kami bermula dengan menyaksikan pertunjukan haiwan, yang dijadualkan pada pukul 11 setiap hari. Masuk aje dalam ruang pertunjukan, baru nampak ramai orang. Kebanyakannya pelajar sekolah, macam kami juga. Dekat luar tadi tak nampak sangat ramai orang. Ada la dua tiga haiwan yang buat pertunjukan, antaranya singa laut, burung kakak tua, bangau, helang dan ada lagi beberapa haiwan. Aku dah lupa nama dia. :) Agak seronok juga, sebab ni merupakan kali kedua aku sampai di Zoo Negara. Dulu tak pernah tengok pertunjukan haiwan ni. Dan dulu aku datang dengan keluarga, masa tu aku masih belajar di UKM kalau tak silap. 

Antara beberapa haiwan yang membuat pertunjukan.

Selepas pertunjukan dari beberapa jenis haiwan Zoo Negara, kami meneruskan sesi lawatan. Sesi lawatan kami termasuk juga untuk melawat panda. Kebetulan panda betina baru saja melahirkan anak, jadi kami hanya dapat melawat panda jantan sahaja. Jadi, sementara kami ingin menuju ke tempat konservasi panda, kami melawat dulu haiwan-haiwan yang lain seperti kancil, rusa, kanggaru, badak sumbu dan lain-lain. Bila melalui haiwan-haiwan di Zoo Negara ni, terdetik juga dalam hati. Kesian dekat binatang ni semua, sebab terpaksa hidup di Malaysia yang bukan habitat semula jadi mereka. Contohnya unta. Cuaca dan persekitaran yang tidak sesuai mungkin membantutkan perkembangan dan kesihatannya. Ia dikira zalim kepada binatang, bagi pendapat aku la.

Bila dah sampai dekat pusat konservasi panda, sekali lagi kami diminta berkumpul. Sebabnya ada jurugambar Zoo Negara nak ambil gambar. Macam biasalah, lepas ambil gambar dia akan promote gambar kat kita. Tapi kali ni aku tak beli dah. Cukuplah yang tadi sahaja. Lagipun, kali ni tidak ada pakej macam tadi. Sekeping berharga RM12. Kawan aku je yang beli dua keping. Tak sempat lagi nak pinjam dari dia untuk scan. :)

Muka masing-masing dah penat.


Bila masuk aje ke dalam kawasan panda ni, mula-mula kami diberitahu tidak boleh buat bising dan kalau nak ambil gambar pun mestilah tanpa flash. Dalam hati aku, "beruntung kau panda, dapat jagaan rapi". Sebaik sahaja masuk tengok panda, bagi aku yang tak berapa reti sangat nak menghargai ni tak ada apa yang menarik pun. Panda tu tidur aje, muka dia pun tak nampak. Setiap sesi lawatan diberikan masa selama 20 minit. Tapi aku rasa tak sampai 10 minit kami semua dah keluar. :P Lagipun semua budak-budak ni dah penat, sebab dah jauh berjalan. Lepas ni memang ingat nak keluar aje dan terus makan dan boleh balik.

Panda kebanggan negara kita.


Penutup

Akhirnya selepas beberapa kali sesat nak cari pintu keluar sampai juga kami ke tempat mula-mula kami masuk tadi. Sebelum balik, aku belikan sepasang baju untuk Mursi kesayangan ummi. Tapi bila balik try kat dia, kecik la pulak. Hurm... Sebelum balik, kami makan tengahari dulu dan akan solat sebaik sampai di sekolah nanti. Alhamdulillah, selesai tugas aku untuk hari ni. Bila sampai aje sekolah masa tu dalam pukul 3 petang, aku terus balik sebab Mursi mengamuk rumah pengasuh dia. Aku terlupa nak bekalkan susu, sebab susu di rumah pengasuh dia dah habis. Lagipun tak ada apa sangat dah yang nak diselesaikan di sekolah. Pelajar-pelajar semua akan terus balik. Lega aku bila program ni selesai. Harapnya aku tak perlu jadi director untuk mana-mana program lain lagi tahun depan. :)

Sunday, 13 September 2015

Cerita Raya 2015

Bismillahirrahmanirrahim.

Cerita dah basi, baru nak tulis. Ah, lantaklah. Nak share jugak. Biarlah dah basi pun. :P

Raya tahun ni pun macam raya tahun lepas juga. Aku berhari raya pertama di rumah suami aku dahulu. Dan aku rasakan tahun-tahun yang mendatang pun beginilah adatnya. Hari raya pertama di rumah suami, dan petang harinya baru balik ke rumah aku di Tok Dor. Bukan apa, sebabnya adik beradik ipar aku akan berkumpul di Kampung Batin pada hari raya pertama sahaja. Manakala adik beradik aku pula kebanyakannya akan balik kampung pada petang hari raya. Jadi, dua-dua pun ada kelebihannya. Adillah tu. Aku pun boleh bersama-sama dengan keluargaku beraya bersama.

Aku dan suami bertolak balik ke kampung pada pagi 16 Julai, Khamis. Bukan main suami aku nak bertolak awal pagi, sebelum Subuh katanya. Aku ni selaku isteri yang taat, bersiaplah apa yang patut. Kemas beg, sediakan makanan untuk sahur sebab cadangnya nak bersahur dalam perjalanan. Last-last, lepas Subuh jugak baru bertolak. Ingin mengelak jammed asalnya tu yang nak gerak dari rumah awal-awal pagi. Tapi Alhamdulillah jalan masa tu tak adalah jammed sangat. Masih bergerak dan sampai di rumah kakak iparku pada tengahari.

Petang itu sempatlah kami berbuka puasa beramai-ramai. Mursi macam biasa la, mula-mula jumpa dengan sepupu-sepupu dia susah sikit nak mesra. Tapi bila dah lama sikit, barulah ummi susah nak ajak masuk dalam rumah. Iyelah, asyik nak main aje kat luar. Sibuk nak main dengan abang-abang dan kakak-kakak sepupu dia.

Pagi raya tahun ni aku berazam untuk pergi solat sunat hari raya. Sebab dah beberapa tahun aku tak dapat solat raya. Kali terakhir ialah masa aku sambut raya pertama dengan suami, tiga tahun lepas. Kalau aku kat kampung aku dulu, mesti semua bersiap-siap cepat pagi raya takut terlepas untuk solat sunat hari raya. Tapi aku perhatikan keluarga suami aku ni tak macam tu. Kalau siapa nak pergi, boleh pergi, siapa yang taknak pergi pun tak apa. Memang la ia sunat sahaja, tapi setahun sekali je kot jumpa. Itula, aku niat nak pergi juga tahun ni. Lagi[un masjid bukannya jauh sangat dari rumah. Jalan kaki je kot. Aku bersiap apa yang patut, Mursi pun aku bawa sekali. Aku dukung Mursi ke masjid, disebabkan dah tergesa-gesa aku seorang aje yang ke masjid. Suami aku dah pergi dulu. Sampai aje di masjid, tengok orang dah mula solat. Aku letak Mursi kat belakang. Pada mulanya dia tak menangis. Belum sempat habis rakaat pertama dia dah menangis. Makin lama makin kuat. Tapi aku teruskan juga, khusyuk memang dah tak ada lah. Hehe. Mungkin Mursi takut tengok keadaan ramai sangat orang, lagipun dia tak pernah tengok keadaan macam tu. Lepas selesai solat aje, aku terus tenangkan Mursi dan balik ke rumah. Dengar khutbah raya dari rumah aje. :)

Juadah pagi raya rumah kakak ipar aku cuma ketupat segera dan kuah kacang sahaja. Sebabnya dah bercadang untuk makan di rumah Makde, iaitu ibu tiri suami. Dia menjemput kami sekeluarga untuk makan di sana. Dia masak nasi dagang katanya. Lepas selesai solat sunat hari raya dan berkumpul semua, kami pun bertolak ke rumah Makde. Tapi sebelum tu, tak lupa untuk ambil gambar famili. Untuk kenang-kenangan. Lepas siap bergambar semua barulah kami gerak ke rumah Makde.

Baby Faariha Huwaina. 1st raya of her. :)

My little family. :)

Semua sekali masuk gambar. :)

Gelagat Mursi di pagi raya. Anak ummi dah besar!
Alhamdulillah, dapat berjumpa dan bermaaf-maafan di hari raya. Trend ziarah-menziarahi saudara-mara di hari raya masih lagi diamalkan oleh keluarga suami aku. Boleh dikatakan setiap kali raya, mereka akan menziarahi saudara yang sama sahaja yang mana yang masih hidup. Alhamdulillah, aku pun dapat la bertemu muka dengan makcik dan pakcik saudara aku belah suami.

Lepas habis sesi menziarah, kami pulang semula ke rumah kakak ipar aku. Petangnya aku dan suami akan balik ke kampung aku pula. Yeayy, boleh jumpa dengan kesayangan-kesayangan semua. Lama tak berjumpa, rindu mestilah ada walaupun jarang berhubung. Tapi sekarang canggih, dah ada whatsapp group untuk famili juga. Boleh selalu bertanya khabar. Aku bertolak ke kampung selepas Asar. Alhamdulillah, selamat sampai di kampung tercinta sebelum Maghrib. Habis sesi ziarah-menziarahi pada hari raya pertama. Sambung pula dengan berkongsi cerita dengan adik-beradik sebelah malamnya. :)

Keesokannya sesi ziarah-menziarahi saudara-mara belah aku pula. Sempat la ke rumah mak saudara dan pak saudara aku yang dekat-dekat. Aku juga sempat beraya di rumah kawan aku masa sekolah rendah dulu. Dah lebih sepuluh tahun tak jumpa. Alhamdulillah, tahun ni Allah bagi peluang jumpa dengan dia. Masih sama macam dulu, bercakap tak berhenti. :) Itulah dia Norlaini. Belum lagi bertemu jodoh, insya-Allah akan tiba masanya.

Norlaini, moga cepat bertemu jodoh ye. :) Anak kawan yang dia pegang tu.
Tumpang pelamin sepupu, bergambar dengan kakak-kakakku. :)
Alhamdulillah, raya tahun ni lebih baik dari yang sebelumnya. Tapi keadaan rumah di kampung makin uzur. makin dimamah anai-anai sebab tiada siapa yang bermastautin di situ. Kalau dulu aku ada bolehlah tengok-tengokkan dan anai-anai pun tak adalah nak bermaharajalela sangat. Bila dah tak ada orang yang duduk makin seronoklah mereka. Kalau dibaiki pun selagi tak ada orang yang menghuninya setakat berkumpul setahun sekali, tak berbaloi juga. Rumah itu ajelah yang tinggal kenangan bersama arwah mak. Sedih pula bila dah makin uzur. Hurm, sampai sini aje lah untuk cerita raya tahun ni. Nanti sambung cerita lain pulak. :)

Friday, 11 September 2015

Kini Kembali

Bismillahi wal hamdulillah.

Sibuk ke? Banyak kerja ke? Hurm... Malas yang sebetulnya. Tu la sebabnya dah berbulan-bulan blog ni sepi aje. :)

Alhamdulillah, masih bernafas. Itu yang penting. Tapi ada yang tidak kurang pentingnya, apa khabar iman aku hari ni? Menaikkah? Menurunkah? Sama macam semalamkah? Renung dan cuba koreksi diri balik. Aku rasa menaik tu tak adalah agaknya, menurun nau'zubillah. Walhal terlalu banyak masa dihabiskan untuk perkara yang sia-sia. Astaghfirullahal 'adzhim.

Ada beberapa peristiwa yang aku nak kongsikan sepanjang beberapa bulan menyepi ini. Sekarang baru ada semangat dan kesempatan waktu untuk meng'update' blog sekejap. Mudah-mudahan Allah lapangkan masa dan terus memberi semangat untuk aku bercerita dan berkongsi di entri yang akan datang. Insya Allah. Untuk kepuasan sendiri juga sebenarnya, bukan untuk sesiapa. Andai ada yang baik boleh diambil, maka ambillah sebagai pedoman. Sekadar melayan minat yang suka menulis. Masih banyak yang perlu aku belajar.

Sebelum berundur, tengok la gambar aku yang terbaru. Ni semasa pergi lawatan ke Zoo Negara dua hari lepas. Entri akan datang insya-Allah aku akan bercerita lebih panjang. Wasalam. Senyum selalu.

Aku dan anak-anak yang comel :)