Sunday, 15 November 2015

Hari-hari Terakhir

Bismillahi wal hamdulillah

Minggu Terakhir

Minggu ni merupakan minggu terakhir bagi pelajar-pelajar sekolah aku untuk sesi persekolahan tahun ni. Hujung minggu ini pula merupakan hari untuk ambil report card.

Jadi, untuk minggu terakhir ini aku telah mengadakan jamuan kelas akhir tahun, dan juga jamuan perpisahan. Aku kan dah tak akan jumpa mereka lagi tahun depan. Tapi, mungkin sebahagian daripada mereka aku akan jumpa lagi di sekolah yang baru. Mana tahu... :)

Aku telah mengadakan jamuan akhir tahun pada hari Rabu, selepas cuti Deepavali. Sebelum itu, aku terlebih dahulu telah memaklumkan kepada parents yang aku akan mengadakan jamuan. Jadi, mereka boleh menyediakan makanan untuk dibawa oleh anak mereka ke sekolah.

Jamuan Akhir Tahun

Small gift yang dimaksudkan. :)
Sempena jamuan perpisahan kali ini, aku ada menyediakan small gift untuk mereka. Sebagai tanda ingatan, walaupun ianya murah dan mereka boleh beli sepuluh yang sama, tapi nilainya tak sama. Ianya tanda ingatan seorang guru buat anak muridnya. Lagipun, aku menjadi guru homeroom bagi kebanyakan mereka untuk tempoh dua tahun. Suatu tempoh masa yang agak lama juga. Jadi aku dah mengenali mereka dengan cukup baik. (Ye ke? :))

Antara makanan yang dibawa.
Semasa hari jamuan, ada beberapa orang yang tidak hadir. Pelbagai makanan serta juadah yang dibawa ke majlis, antaranya ada spagetti, brownies, puding kastard, puding trifle dan banyak lagi. Tapi majoritinya adalah manisan pemanis mulut, dan tidak lupa makanan ringan ataupun jajan. Majlis dimulakan pada waktu tengahari dengan ucapan ringkas daripada aku dan diikuti dengan jamuan makan. Memang mereka dah tak sabar-sabar nak makan, dari pagi lagi duk minta nak makan makanan yang dibawa.

Gelagat Pelajar

Seronok aku melihat gelagat dan reaksi mereka makan bersama-sama. Mungkin suatu hari nanti aku akan merindui saat-saat bersama dengan mereka. Gelagat Khairiyah dan Aleya yang selalu menceriakan. Khairina yang selalu mengadu dengan memek muka yang tidak puas hati. Si Falysha yang suka menjerit dan membingitkan suasana kelas. Kusya yang paling tinggi di dalam kelas, bila bercakap sangat lembut dan penuh dengan kasih sayang. Myra pula yang selalu tegur pakaian teacher dia ini dan selalu bertanya "Teacher sihat hari ini?" Semoga mereka terus berjaya di dunia dan juga di akhirat.

Yang lelaki pula mesti aku akan rindu dengan Adam yang selalu ada saja alasan bila disuruh buat kerja. Senyuman Syahir yang selalu nampak gigi dan menceriakan, gelagat Samuel yang mukanya selalu tiada perasaan, watak Rusyaidi yang sangat lemah lembut dan sopan bila bercakap dengan guru, waktu bermain dengan kawan-kawan pun boleh nampak kesopanannya, si Ishyraf yang selalu menunjukkan sikap ingin bersaing dengan kawan-kawan siapa yang lebih baik. Aduhai...moga kalian semua terus fokus dan matang dalam menghadapi hari-hari mendatang.

Jom layan gambar-gambar mereka. :)









Aktiviti Lain

Selain dari jamuan akhir tahun kelas, aku juga kekenyangan di hari-hari minggu terakhir ini sebab jamuan di kelas-kelas lain juga. Tiga hari aku tidak makan di dining hall, sebab dah kenyang makan di jamuan kelas lain. :) Aku dan kawan-kawan juga menyiapkan apa yang patut untuk hari ambil report card nanti. Segala dokumen yang diperlukan aku siapkan secepat mungkin. Dan turut diadakan aktiviti untuk pelajar seperti pertandingan mewarna bagi pelajar darjah 1 hingga darjah 3, pertandingan melukis poster adab dalam islam bagi pelajar darjah 4 hingga 6 dan juga hari keusahawanan untuk pelajar menengah. Alhamdulillah, segalanya bergembira sebelum mereka mula bercuti.

Akhirnya, minggu ini berakhir. Minggu depan merupakan minggu terakhir aku di sekolah ini. Lepas ini aku sudah tidak lagi berkhidmat di sini. Beberapa aktiviti telah dijadualkan untuk kami pada minggu hadapan. Semoga aku tabah untuk seminggu lagi, kemudian aku sekeluarga akan pulang ke kampung. Doakan semoga aku mendapat keberkatan walau di mana jua dan dipermudahkan urusan di hari-hari mendatang. Ada masa aku akan menulis lagi, untuk kenangan di masa akan datang. :)

Sunday, 8 November 2015

Penghujung

Bismillahi walhamdulillah.

Dah hampir masuk pertengahan November, bulan kedua akhir untuk tahun ni. Dah penghujung tahun juga la maknanya. Cepatnya masa berlalu. Aku masih aku yang sebelum ni, tak berubah apa-apa melainkan usia yang makin meningkat, badan yang semakin berisi dan kedut-kedut kat muka yang makin nampak, kot... :)

Aku meneruskan hidup dengan rutin yang sama, bangun pagi pergi kerja. Hantar Mursi ke rumah pengasuh. Kat sekolah masuk kelas, melayan budak-budak. Petang balik kerja, ambil anak yang sehari tak jumpa. Sampai rumah siapkan makan malam. Malam pulak melayan mursi main sebelum dia tidur dan aku pun terlelap. Begitulah rutin aku setiap hari melainkan hujung minggu yang mana aku tak perlu pergi kerja. Walau apapun, aku sentiasa bersyukur dengan setiap apa yang dinikmati. Tak semua orang merasai apa yang aku nikmati sekarang, walaupun ada kalanya hidup tidak selalu cerah.

Sempena nak melangkah ke tahun baru nanti, aku juga akan melangkah meninggalkan tempat kerja sekarang. Insya-Allah aku akan berhijrah. Kalau ada rezeki aku akan berkhidmat di sekolah lain pula. Nanti aku kongsikan bila aku dah rasmi bekerja di sana. Untuk yang sekarang ini, aku telah menghantar notis berhenti kerja dua bulan, bermula 12 Oktober yang lepas. Kiranya tempoh aku berkhidmat di tempat kerja sekarang ialah sampai 12 Disember akan datang.

Keputusan yang dibuat adalah setelah mendapat persetujuan dari suami dan aku juga bersama-sama dengan beberapa orang kawan di tempat kerja sekarang. Kiranya kami meletak jawatan secara berjemaah. Sebab kenapa kami berbuat demikian adalah kerana sudah tidak tahan lagi dengan sistem pengurusan dan pentadbiran pihak sekolah. Terlalu banyak perkara yang kami rasakan tidak betul dan menidakkan jasa sesetengah cikgu yang telah lama berkhidmat untuk mereka. Aku tak mahu memburukkan mereka lebih-lebih, tapi cukuplah sekadar coretan di sini menjadi ingatan dan kenangan buat aku suatu hari nanti. Aku percaya yang suatu hari nanti aku akan baca semula segala coretan di sini. Jadi, masa tu bila aku terbaca mesti aku akan ingat semula. :)

Offer Letter tempat kerja baru

Aku berharap moga-moga penghijrahan aku kali ini akan membawa kebaikan pada aku dan semua di sekeliling aku. Walaupun aku mendapat kerja di tempat lain, jauh di sudut hati aku masih berdoa semoga aku dapat bekerja dan menetap di kampung, maksud aku di Terengganu. Hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di tempat sendiri. Hehe, berpantun la pulak. Tapi memang betul pun, aku lebih suka bekerja di tempat sendiri. Walaupun Terengganu tidaklah semaju dan sepadat di sini, tapi keadaan yang tidak sesak itu yang aku suka. Aku tak mahu anak aku bersekolah di sini. Budaya yang tidak sihat banyak. Jiran-jiran pun tak kenal sesama sendiri. Aku tak suka. Insya-Allah, semoga suatu hari nanti aku ada rezeki mendapat kerja di kampung. Amin...

Baru-baru ini juga aku ada memohon jawatan GSTT di Yayasan Terengganu. Harap-harap la ada rezeki aku kali ni. Mana tahu ada rezeki. Cuba aje la dulu. Selebihnya aku berserah pada Dia. Ok, itu aje nak cerita untuk kali ni. Lain kali aku menulis lagi. Mencatat segala kisah hati yang ingin aku lakar di sini. Hehe, tagline sekali. Semoga esok masih ada untuk semua. Wasalam.