Bismillahi walhamdulillah.
Dah hampir masuk pertengahan November, bulan kedua akhir untuk tahun ni. Dah penghujung tahun juga la maknanya. Cepatnya masa berlalu. Aku masih aku yang sebelum ni, tak berubah apa-apa melainkan usia yang makin meningkat, badan yang semakin berisi dan kedut-kedut kat muka yang makin nampak, kot... :)
Aku meneruskan hidup dengan rutin yang sama, bangun pagi pergi kerja. Hantar Mursi ke rumah pengasuh. Kat sekolah masuk kelas, melayan budak-budak. Petang balik kerja, ambil anak yang sehari tak jumpa. Sampai rumah siapkan makan malam. Malam pulak melayan mursi main sebelum dia tidur dan aku pun terlelap. Begitulah rutin aku setiap hari melainkan hujung minggu yang mana aku tak perlu pergi kerja. Walau apapun, aku sentiasa bersyukur dengan setiap apa yang dinikmati. Tak semua orang merasai apa yang aku nikmati sekarang, walaupun ada kalanya hidup tidak selalu cerah.
Sempena nak melangkah ke tahun baru nanti, aku juga akan melangkah meninggalkan tempat kerja sekarang. Insya-Allah aku akan berhijrah. Kalau ada rezeki aku akan berkhidmat di sekolah lain pula. Nanti aku kongsikan bila aku dah rasmi bekerja di sana. Untuk yang sekarang ini, aku telah menghantar notis berhenti kerja dua bulan, bermula 12 Oktober yang lepas. Kiranya tempoh aku berkhidmat di tempat kerja sekarang ialah sampai 12 Disember akan datang.
Keputusan yang dibuat adalah setelah mendapat persetujuan dari suami dan aku juga bersama-sama dengan beberapa orang kawan di tempat kerja sekarang. Kiranya kami meletak jawatan secara berjemaah. Sebab kenapa kami berbuat demikian adalah kerana sudah tidak tahan lagi dengan sistem pengurusan dan pentadbiran pihak sekolah. Terlalu banyak perkara yang kami rasakan tidak betul dan menidakkan jasa sesetengah cikgu yang telah lama berkhidmat untuk mereka. Aku tak mahu memburukkan mereka lebih-lebih, tapi cukuplah sekadar coretan di sini menjadi ingatan dan kenangan buat aku suatu hari nanti. Aku percaya yang suatu hari nanti aku akan baca semula segala coretan di sini. Jadi, masa tu bila aku terbaca mesti aku akan ingat semula. :)
![]() |
| Offer Letter tempat kerja baru |
Aku berharap moga-moga penghijrahan aku kali ini akan membawa kebaikan pada aku dan semua di sekeliling aku. Walaupun aku mendapat kerja di tempat lain, jauh di sudut hati aku masih berdoa semoga aku dapat bekerja dan menetap di kampung, maksud aku di Terengganu. Hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di tempat sendiri. Hehe, berpantun la pulak. Tapi memang betul pun, aku lebih suka bekerja di tempat sendiri. Walaupun Terengganu tidaklah semaju dan sepadat di sini, tapi keadaan yang tidak sesak itu yang aku suka. Aku tak mahu anak aku bersekolah di sini. Budaya yang tidak sihat banyak. Jiran-jiran pun tak kenal sesama sendiri. Aku tak suka. Insya-Allah, semoga suatu hari nanti aku ada rezeki mendapat kerja di kampung. Amin...
Baru-baru ini juga aku ada memohon jawatan GSTT di Yayasan Terengganu. Harap-harap la ada rezeki aku kali ni. Mana tahu ada rezeki. Cuba aje la dulu. Selebihnya aku berserah pada Dia. Ok, itu aje nak cerita untuk kali ni. Lain kali aku menulis lagi. Mencatat segala kisah hati yang ingin aku lakar di sini. Hehe, tagline sekali. Semoga esok masih ada untuk semua. Wasalam.

No comments:
Post a Comment