Friday, 23 October 2015

Mursi Jumpa Speech Therapist

Bismillahi wal hamdulillah

Kalau entri sebelum ni, Mursi jumpa dengan pakar audio. Semalam giliran Mursi untuk jumpa dengan speech therapist pulak.

Sampai hospital

Temujanji yang sepatutnya sama tarikh dengan berjumpa audiologis terpaksa ditunda ke tarikh semalam. Macam biasa, kami bertolak awal pagi ke hospital. Untuk mengelakkan masalah parking. Namun, walaupun masa bertolak dari rumah adalah lebih kurang dengan yang lepas, kesesakannya agak berbeza. Orang yang mengunjungi hospital semalam lebih ramai kalau nak dibandingkan dengan minggu lepas. Jadi, suami tidak mendapat parking sebaliknya hanya double park sahaja.

Setelah selesai parking kereta, kami bersama-sama terus ke bahagian klinik pakar untuk pendaftaran. Sekali lagi agak terkejut. Kali ni nombor giliran yang dapat adalah yang ke-99, berbanding dengan yang lepas iaitu giliran ke-23. Memandangkan nombor giliran masih lambat, suami ajak pergi sarapan dahulu di kafe hospital. Aku menurut sahaja, sedangkan pada awalnya aku enggan. Sebabnya aku dah makan roti dari rumah dan suami berpuasa sunat. Akhirnya, suami tak jadi puasa sebab nak ajak aku sarapan. Aku cakap taknak sarapan kalau hanya aku seorang saja yang makan. :)

Giliran Mursi

Memang masa sarapan kami makan dengan tenang, tak ada kelam-kabut sebab ingat nombor giliran lambat lagi. Aku makan nasi goreng sikit dan bihun sikit. Berkongsi dengan Mursi. Suami pula makan nasi lemak. Alhamdulillah, kenyang rezeki dari Allah sarapan. Bila dah selesai semua, kembali ke bahagian pendaftaran. Tengok-tengokdah terlepas nombor giliran! Tergelak sekejap dengan suami, sebab memang tak sangka akan terlepas giliran. Mungkin ramai yang macam kami, fikir giliran lambat lagi pergi makan dulu. :) Kami terus saja ke kaunter dan beritahu kerani bahawa kami terlepas giliran. Nasib baik kakak tu tidak marah. Selepas daftar nama Mursi, aku ambil kad untuk terus ke klinik audio dan speech. Tapi nasib baik suami perasan yang pelekat kad pesakit tertera nama orang lain, nama india pula tu! Pergila tukar balik dengan kakak yang comel tu. Hehe.

Dah siap daftar kat kaunter utama, aku terus ke klinik audio dan speech, untuk daftar di klinik itu pula. Tapi daftar kat sini tak lama macam dekat kaunter utama. Tapi bilangan pesakit berkali ganda jika dibandingkan dengan yang lepas. Jadi, aku membuat kesimpulan bahawa hari Rabu adalah merupakan hari kebanyakan temujanji dibuat. :) Nombor giliran Mursi ialah yang keempat, bagi golongan kanak-kanak. Sementara menunggu, Mursi macam biasalah. Main berlari-lari ke sana ke mari. Tapi kali ni agak terbatas sebab ramai orang yang lalu-lalang.

Sebelum sesi terapi.
Sesi Terapi

Sebaik sahaja sampai giliran Mursi, kami dibawa ke bilik terapi. Mursi dah start nak berpaut dengan ummi saja dah bila nampak doktor tu. Doktor perempuan juga, sama macam sesi audio test yang lepas. Dalam bilik terapi, Mursi sepatutnya perlu duduk atas sebuah kerusi yang disediakan. Ummi pula hanya duduk di sebelahnya. Tapi pada permulaan, Mursi agak enggan sampailah doktor tersebut mengumpan dia dengan mainan magnet yang dilekatkan pada board. Sesi bermula dengan doktor menunjukkan beberapa keping mainan magnet dan meminta Mursi melekatkannya pada board yang disediakan. Antara mainan yang disediakan ialah bentuk bola, matahari, ikan, buah pisang, buah epal dan burung. Jadi Mursi perlu meletakkan mainan tersebut pada tempat yang betul di atas board bergambar berdasarkan cerita yang diceritakan oleh doktor tadi.

Ujian ini dinilai berdasarkan kebolehan Mursi untuk meletakkan setiap mainan di tempat yang betol, contohnya matahari perlu diletakkan di langit, bola diletak antara budak lelaki dan perempuan yang sedang bermain, buah pisang dan epal perlu diletakkan di atas pinggan atau di dalam bakul manakala burung pula dilekatkan pada langit. Jadi, apa yang Mursi buat ialah dia hanya melekatkan mainan tersebut di mana sahaja pada board tersebut. Ada la beberapa kali dia menurut perintah bila diarahkan melekatkannya pada satu-satu tempat.

Selesai sesi terapi tersebut, doktor ada bertanyakan beberapa soalan yang berkaitan. Contohnya adakah Mursi menunjukkan perangai yang pelik, atau tidak bergaul dengan orang lain. Aku menjawab jujur segala pertanyaan yang ditanya. Doktor merumuskan bahawa, hasil daripada ujian dan pemerhatian, dia menyatakan bahawa peringkat Mursi hanyalah pada usia antara 0-12 bulan, walhal umurnya yang sebenar sudahpun dua tahun lebih. Itu adalah keputusan daripada sesi yang pertama ini. Seterusnya doktor akan memberikan tarikh temujanji untuk sesi yang berikutnya.

Kesimpulan Ummi

Namun, bagi aku sebagai ummi keadaan Mursi adalah normal. Dan aku merasakan ujian yang dilakukan tidak merangkumi tahap Mursi yang sebenarnya. Bayangkan Mursi baru pertama kali jumpa dengan doktor, takkan la dia nak dengar dan ikut sebiji-sebiji apa yang doktor tu ceritakan. Lagi satu, dekat rumah Mursi tidak didedahkan dengan mainan yang berbentuk magnet begitu. Jadi agak sukar untuk dia mengenalpasti bentuk dan gambar yang dilihat. Mungkin di sini adalah kekurangan aku sendiri, aku mengaku. Tak apa sayang ummi, anak ummi sihat sahaja di mata ummi. Biasalah tu lambat bercakap sikit. Orang lain pun ada yang lebih teruk dari Mursi. :) Sebelum pulang, kami menerima tarikh temujanji yang berikutnya untuk sesi rawatan Mursi iaitu pada bulan Januari tahun hadapan. Lepas balik dari hospital, ummi boleh sambung bermain dengan Mursi sebab sekolah cuti, jerebu. :)

No comments: