Bismillahi wal hamdulillah.
Khamis lepas merupakan tarikh temujanji Mursi di Hospital Sungai Buluh. Temujanji untuk berjumpa dengan pakar audiologi bagi melihat perkembangannya. Sepatutnya temujanji hari ini adalah sekali dengan temujanji untuk berjumpa pakar terapi pertuturan juga, tapi terpaksa ditunda ke minggu depan. Makanya, minggu depan terpaksalah ummi dan ayah ambil cuti separuh hari lagi untuk bawa Mursi ke hospital. Demi anak tersayang, apa saja untukmu, nak. Jangan pernah mengeluh ye wahai diri. :)
Pendaftaran
Aku dan suami bertolak ke hospital awal pagi, walaupun temujanji dijadualkan pada pukul 10.30 pagi. Kami bertolak pada pukul 7 pagi, disebabkan risau tiada parking kalau bertolak lambat. Kebiasaannya memang macam tu. Sebaik saja sampai di klinik pakar, aku terpaksa beratur menunggu pintu dibuka untuk pendaftaran. Pertama kali sampai hospital kena beratur. Itupun barisan dah agak panjang semasa aku sampai. Pendaftaran ini adalah fasa pertama, belum lagi pendaftaran untuk ke klinik audiologi. Kemudian, selepas selesai sesi pendaftaran, barulah perlu mendaftar sekali lagi di klinik audiologi.
Bila sampai di klinik audiologi, orang tidak ramai pun. Nombor giliran Mursi adalah yang kedua. Tetapi walaupun tidak ramai pesakit, tempoh menunggu saja macam ada sepuluh pesakit menunggu. Tak apalah, aku faham. Inikan hospital kerajaan. Tak nak komen lebih-lebih.
Giliran Mursi
Sepanjang tempoh menunggu giliran, Mursi memang tak duduk diam. Dia berjalan ke sekeliling hospital, yang mana masih dalam jangkauan aku dan suami. Dia pergi ke tempat budak-budak lain. Apa yang kelakarnya ialah, dia mendapat huluran makanan daripada orang lain. Malu aku dibuatnya. Kebetulan semasa dia berkeliaran dekat tempat budak-budak dalam klinik itu, mereka sedang makan. Jadi ada antara ibu mereka menghulurkan makanan kepada Mursi. Padahal dia pun sudah makan kentang goreng yang aku bawa bekal dari rumah. Mursi dapat karipap, sekeping biskut dan sebiji nugget dari 3 orang yang berasingan. Alahai Mursi anak ummi...
Setelah agak lama, maka giliran pun tiba. Kami masuk ke dalam bilik yang ditetapkan. Namun, pemeriksaan yang pertama diadakan ialah melihat ke dalam telinga Mursi. Katanya banyak tahi telinga ataupun ear wax katanya. Jadi, dia minta rujuk semula kepada klinik ENT. Terpaksa ke kaunter pendaftaran yang mula-mula tadi, kemudian ambil pula nombor giliran yang baru untuk ENT bagi keluarkan ear wax, lepas tu barulah boleh sambung dengan audio test yang sepatutnya. Tidak ke buang masa dekat situ dan buat dua kerja? Ok, faham. Kecelaruan dan ketidaksefahaman antara audiologis dan juga jururawat di situ. Susah la kalau tiada kesefahaman kerja macam ni. Yang jadi mangsa pesakit, membazir masa bagi ibu bapa yang bawa anak kecil.
Ujian Audio
Maka dipendekkan cerita, semasa proses mengeluarkan tahi telinga dari telinga Mursi, bukan satu operasi yang mudah. Mursi menangis semahu-mahunya. Mana tidaknya, kalau aku jadi Mursi mesti takut. Terpaksa dibaringkan di atas katil, kemudian dibedung dengan kain kedua-dua belah tangan, terdapat lampu terpasang di atas kepala, dan ada orang ramai (jururawat) di sekeliling. Mestilah suasana tersebut merupakan satu perkara yang asing baginya. Tak mustahil la dia menangis meraung semahu-mahunya. Boleh lagi doktor yang incharge tanya, "dia pernah buat macam ni ke? kuat sangat menangis..." Alahai la doktor. Tak ada common sense ke?
Selepas selesai sesi mengeluarkan ear wax Mursi, kena tunggu lagi untuk ujian audio yang sepatutnya. Sebaik sahaja giliran sampai, kami masuk semula ke dalam bilik yang awal tadi. Kali ni dengan audiologis lain pula. Ujian pertama, dia mengambil gelombang kedua-dua belah telinga Mursi. Alhamdulillah, normal. Kemudian, kami dibawa masuk ke sebuah bilik kecil yang kedap bunyi. Langsung tidak boleh dengar bunyi dari luar. Di sini, Mursi akan diuji sama ada dia peka kepada sesuatu bunyi atau tidak. Bunyi yang dikeluarkan adalah berbeza frekuensi dia. Apabila bunyi tersebut keluar, ada patung yang akan kelihatan di sebelah kanan Mursi.
Semasa ujian ini dijalankan, kedudukan Mursi adalah di atas ribaan aku. Peringkat pertama iaitu tanpa menggunakan headphone / earphone, Mursi lulus ujian ini. Namun masih perlu ujian seterusnya iaitu untuk menentukan kedua-dua belah telinganya berfungsi normal. Dan ini memerlukan Mursi untuk memakai headphone / earphone. Namun, sekali lagi Mursi tidak memberi kerjasama. Dia menangis dan tidak mahu memakai alat tersebut. Jadi, audiologis memutuskan bahawa kami perlu datang lain kali untuk diulangi ujian yang sama. Dia bagi tips supaya mencuba memakaikan earphone / headphone kepada Mursi bagi memudahkan sesi akan datang. Namun, jika tidak berjaya juga, akan dilakukan ujian tidur. Jadi, untuk kali ni memang kami tidak mendapat keputusan lagi. Terpaksa tunggu untuk ujian yang berikutnya iaitu dijadualkan pada 5 November akan datang.
Selesai
Semuanya selesai lebih kurang dalam pukul 11 pagi. Aku berbelah bahagi pada awalnya sama ada nak pergi kerja ataupun tidak. Tapi bila difikirkan banyak kali, aku kena pergi juga sebab budak-budak dah tak lama lagi nak peperiksaan akhir semester. Jadi, lepas makan dan hantar Mursi ke rumah pengasuh, aku terus ke tempat kerja. Sampai ke sekolah dalam pukul 12.45 tengahari, dan terus masuk kelas. Alhamdulillah, atas segala yang berlaku hari ni. Aku tidak mengambil gambar pun semasa di hospital. Jadi, entri kali ni memang tiada gambar. :) Harap sudi membaca. Ok, jumpa lagi di lain masa. Insya-Allah akan ada entri lain selepas ini dalam masa terdekat. :)
No comments:
Post a Comment