Saturday, 17 October 2015

Notis Tuntutan

Bismillahi wal hamdulillah.

Notis Tuntutan

Kadang-kadang Allah hantarkan peringatan melalui berbaga-bagai cara. Tapi aku tak pasti sama ada apa yang aku lalui ini adalah merupakan teguran daripada Allah ataupun sebaliknya. Mungkin Dia nak tegur aku supaya menyegerakan membayar hutang dan tidak berbuat tidak tahu sahaja. Bila difikirkan balik, apa yang aku pinjam adalah apa yang sepatutnya kami sebagai rakyat dapat, iaitu pinjaman pendidikan. Namun, aku tetap positif. Allah ingin menegur aku mengenai sesuatu.

Minggu lepas, aku mendapat message daripada adik aku mengatakan ada surat daripada PTPTN sampai ke rumah. Ia merupakan notis tuntutan yang mana meminta aku membayar keseluruhan baki pinjaman, jika tidak aku akan berdepan dengan tindakan undang-undang. Ayahku pun susah hati dengan surat tersebut, sehinggakan di menelefon aku untuk bertanyakan selanjutnya. Kesian pok, susah hati dibuatnya. Maaf ye pok, anakmu masih lagi membuatkanmu risau walaupun sudah besar panjang.


Jalan Penyelesaian

Keesokan harinya iaitu hari Jumaat aku menelefon pihak PTPTN dan bertanya dengan lebih lanjut mengenai perkara tersebut. Dan memang, tidak dapat tidak aku terpaksa menjelaskan keseluruhan baki pinjaman. Namun aku meminta sedikit kelonggaran. Pihak PTPTN menawarkan supaya aku membayar jumlah minimum iaitu sebanyak RM1000 sebelum hujung bulan ini. Dan baki selebihnya akan dijelaskan melalui ansuran bulanan setelah bertukar kepada sistem Ujrah. Pada mulanya aku bersetuju untuk menjelaskan jumlah minimum tersebut.

Namun, setelah suami membuat penelitian dan pencarian di internet, ada satu cara lagi untuk menyelesaikan masalah ini. Dia mencadangkan aku menjelaskan hutang melalui akaun 2 KWSP. Setelah berhubung dengan pihak PTPTN mengenai ini, aku bersetuju dan akan menyelesaikannya secepat mungkin. Namun aku perlu ke kaunter PTPTN terlebih dahulu untuk meminta surat tawaran dan perjanjian pinjaman yang telah aku tandatangani pada tahun 2006 dahulu, iaitu tahun pertama aku mula melanjutkan pengajian di universiti.

Sesi Urusan PTPTN dan KWSP

Pada hari Selasa lepas, aku dan suami ke kaunter PTPTN di Wisma Chase Perdana bagi mengambil surat perjanjian dan tawaran serta penyata pengesahan baki dari pihak PTPTN. Segalanya dipermudahkan, tidak ramai yang berurusan di kaunter pada hari tersebut dan aku merupakan peminjam pertama yang berurusan. Urusan yang disangkakan mengambil masa yang lama rupanya hanya mengambil masa tak sampai setengah jam. Dan kami boleh terus ke KWSP untuk urusan yang seterusnya. Alhamdulillah. Tetapi selepas berurusan di kaunter PTPTN, kami terpaksa balik ke rumah semula untuk mengambil transkrip ijazah aku. Kalau tahu boleh terus ke KWSP, baik aku bawa terus segala dokumen yang diperlukan. Nak buat macam mana, terpaksa jugalah balik ambil supaya boleh terus selesai hari ini.

Setelah segala dokumen diambil, kami terus ke ibu pejabat KWSP di Jalan Raja Laut. Lokasinya yang di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur agak meyukarkan suami untuk mencari parking. Hampir beberapa kali berpusing di tempat yang sama semata-mata untuk mencari parking. Nasib baik emosi suami masih terkawal. :) Akhirnya, setelah penat berlegar-legar, kami parking di basement bangunan. Ada disediakan parking untuk pelawat. Kena bayar RM3 untuk satu jam pertama, padahal urusan tak sampai setengah jam pun. :(

Urusan di kaunter KWSP juga tiada masalah. Segalanya Allah permudahkan, Alhamdulillah. Sebaik sahaja sampai, aku diarah mengisi borang yang berkaitan dan mengambil nombor giliran. Orang pun tidak ramai yang berurusan di kaunter. Selepas beberapa orang, tibalah giliran aku untuk berurusan. Segala dokumen lengkap, borang lengkap dan tiada masalah, maka urusan pun selesai. Aku diberitahu bayaran akan dibuat dalam tempoh 21 hari bekerja dan emel akan dihantar kepada aku setelah bayaran dibuat. Jadi sekarang, aku hanya perlu menunggu. Setakat ini, aku boleh menarik nafas lega kerana hutangku dengan PTPTN telah langsai. Alhamdulillah. Setakat ini, tiada lagi potongan dibuat dari KWSP apabila aku melihat baki penyata secara online. Mungkin masih pending. Aku hanya perlu bersabar.

Setelah segalanya selesai, kami pulang ke rumah. Dalam perjalanan balik, suami belikan nasi ayam kegemaran sebagai makan tengahari. Selepas makan semua, aku ke sekolah untuk terus berkhidmat. :)

No comments: