Sunday, 27 December 2015

Mursi Pergi Kerja

Bismillahi walhamdulillah.

Alhamdulillah, sudah hampir sebulan aku dan team bekerja keras untuk sekolah baru kami. Sepanjang tempoh tersebut, kami bekerja dari pejabat sementara, bukan lagi di sekolah baru memandangkan sekolah tersebut masih lagi dalam proses pembinaan. Tinggilah harapan dan doa aku semoga ianya siap sepenuhnya untuk kami beroperasi pada awal tahun depan, insya-Allah.

Dalam pada aku bekerja di ofis sementara ini, ada seminggu yang Mursi terpaksa ikut ummi pergi kerja. Sebabnya pengasuh Mursi pulang ke kampung. Bukan main seronok dia boleh ikut ummi ke tempat kerja. Pada mulanya aku agak risau juga. Risau nanti Mursi akan buat hal dan tidak boleh bergaul dengan orang, nak menempel dekat ummi aje. Alih-alih, dia seronok berlari-lari keliling ofis, langsung tak layan ummi dia ni haa. :)

Mursi dan Muhammad, sedang melayan Upin & Ipin. :)

Gambar ni diambil oleh Aunti Fadz.

Memandangkan sekolah kami ni adalah sekolah baru, memang sangat banyak kerja yang perlu disiapkan. Aku sangat respek dengan kakak-kakak senior tempat aku bekerja ni. Mereka sangat komited dengan penubuhan sekolah ini, walaupun terlalu banyak ujian dan dugaan yang dihadapi sepanjang proses penubuhannya. Apa yang aku harapkan sekarang ialah semoga segala impian dan doa kami akan menjadi kenyataan. Sekolah kami akan berjaya dibuka pada sesi persekolahan 2016 yang akan datang. Amin... Jom doakan bersama. :)

Monday, 14 December 2015

Zon Selesa

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah atas segala nikmat yang masih dikecapi. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Cuba tengok tajuk entri kali ni? Zon selesa? Apa tu zon selesa? Kat mana pulak tempatnya zon selesa? Boleh pergi ke? Hehe. Sesungguhnya zon selesa itu bukanlah suatu tempat yang kita boleh pergi bila-bila masa. Aku hanya merujuk ia sebagai keadaan aku yang sebelum ini. Yang mana berada dalam keadaan zon selesa. Kerja yang sebelum ini, buat kerja dan bila cukup bulan akan terima gaji. Seperti yang aku khabarkan sebelum ini, aku telahpun berhenti kerja dari tempat kerja lama. Dan bermula bulan ini, dan telah pun bermula sebenarnya bekerja di tempat baru.

Tempat baru yang aku mula bekerja ini juga merupakan sebuah sekolah swasta, sama macam sebelumnya. Ianya adalah sebuah sekolah yang baru hendak ditubuhkan. Jadi, aku merupakan antara perintis bagi sekolah tersebut. Aku dan juga kawan-kawan yang lain merupakan satu kumpulan yang keluar dari tempat kerja lama dan beralih ke sini. Oleh kerana ia merupakan sekolah yang baru hendak didaftarkan, jadi banyak perkara yang perlu kami lakukan. Aku sangat kagum dan respek dengan kakak-kakak senior dalam kumpulan kami yang sangat komited dalam menubuhkan sekolah ini. Sepanjang tempoh penubuhan sehinggalah kepada hari terbuka (Open Day) sekolah kami semalam, aku telah melihat banyak masalah yang dihadapi. Itu mungkin hanya sebahagian daripada masalah yang terpaksa mereka kumpulan pengurusan perlu selesaikan. Namun, kami menganggapnya sebagai ujian daripada Allah. Walaupun diberikan ujian, Dia tidak lupa untuk sertakan bersama penyelesaian. Sesungguhnya setiap ujian yang kami hadapi adalah sebagai landasan untuk kami terus meminta dan berdoa kepada Dia.

Ujian yang dihadapi juga merupakan salah satu cara untuk mengajar kami semua supaya tahu dan kenal akan cabaran-cabaran yang mendatang. Hendak menubuhkan sebuah sekolah, bukannya senang. Bayangkan kami bergerak sendiri, dan dengan bantuan para ibu-bapa yang sangat ikhlas membantu demi menyediakan sebuah institusi pendidikan buat anak-anak mereka. Sekolah yang kami akan tubuhkan ini insya-Allah semata-mata atas niat keran Allah, untuk melahirkan insan dan hamba Allah yang betul-betul mengikut acuan Al-quran dan Sunnah. Setiap kali aku berdoa semoga segala urusan penubuhan sekolah ini akan dipermudahkan sehingga ke akhirnya. Aku juga menjadi semakin bersemangat dengan jalan yang aku pilih sekarang. Dengan sokongan dan dorongan dari rakan-rakan sekeliling, insya-Allah aku akan berusaha sehabis daya untuk menjayakan 'sekolah kami'.

Friday, 4 December 2015

Sikap Suami yang Tidak Disukai Isteri

Bisillahirrahmanirrahim.

Dalam melayari sebuah bahtera perkahwinan, suami isteri haruslah saling melengkapi. Kebiasaannya kelebihan pasangan akan menyempurnakan kelemahan pasangan yang satu lagi. Sepatutnya sikap saling bertolak-ansur haruslah disemat dalam hati setiap pasangan suami isteri.


Namun begitu, sebagai seorang manusia biasa, kadangkala ada beberapa sikap suami yang sangat tidak disenangi oleh seorang isteri. Bukan nak kata isteri ni tak ada kelemahan, tapi biasanya isteri akan cuba untuk menjadi yang terbaik buat suaminya. Suami bila sedar yang dia adalah seorang suami, yang beranggapan bahawa dia mempunyai kuasa 'veto' langsung tidak mahu berubah malah tidak belajar untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Antara beberapa sikap suami yang kadang-kadang kurang disenangi oleh seorang isteri ialah:

  • Mementingkan diri sendiri
Sebagai sepasang suami isteri, fitrahnya hendaklah saling menerima kelemahan pasangan. Jika suami mempunyai sikap mementingkan diri sendiri atau 'selfish' ini, memang sukar untuk dibawa berbincang. Sekiranya boleh dibawa berbincang sekalipun, hasil perbincangan hanya akan memberi keuntungan buat dirinya semata-mata. Contohnya bila tiba giliran balik beraya di kampung. Janganlah mentang-mentang kita suami, setiap kali cuti raya mesti balik belah suami. Walaupun secara luarannya isteri bersetuju, namun jauh di sudut hati pasti ada perasaan untuk bersama-sama keluarganya pada pagi hari raya. Namun, atas perbincangan kedua pihak juga. Berbincanglah dengan baik.
  • Sukar meminta maaf 
Walaupun sedar kesalahan adalah berpunca daripada dirinya, namun perkataan 'maaf' tersangatlah sukar untuk dilafazkan. Tidak jatuh maruah seorang suami kalau hanya sekadar menuturkan perkataan maaf atas kesalahan yang dilakukan. Malah perbuatan tersebut amatlah terpuji dan sangat disenangi oleh isteri. Bukan asyik isteri sahaja yang perlu mengalah dan meminta maaf atas kesalahan yang dia tidak buat hanya untuk membetulkan keadaan. Suami juga haruslah mengambil contoh daripada kisah-kisah Rasulullah sebagai seorang suami.
  • Tidak boleh menerima keluarga isteri
Bila seorang lelaki mengahwini seorang perempuan, bermakna dia perlu mengahwini ahli keluarganya sekali. Maksudnya bila seseorang berkahwin, dia perlulah menerima ahli keluarga pasangan dan menganggap mereka sebagai ahli keluarga sendiri. Ini bukan hanya wajib ke atas suami sahaja, isteri pun sama juga perlu menerima ahli keluarga suami. Bila balik ke rumah keluarga belah isteri, bertanyalah khabar pada ayah dan ibu mertua. Berbual-bual pasal perkembangan terkini, bukan sekadar menunjuk muka tanpa sepatah perkataan kemudian berlalu. Bila keadaan ini berlaku, isteri mesti menganggap bahawa suaminya tidak menyukai dan tidak menerima ahli keluarganya. Belajarlah bergaul mesra dengan ahli keluarga, bukan hanya hidup dengan dunia sendiri. Kalau balik hanya nak buat hal sendiri, baik tak payah balik langsung.
  • Panas baran
Isteri mana yang suka bila suaminya panas baran? Percayalah, jika disoal pasti semua perempuan bencikan lelaki yang panas baran. Tapi, kalau dah jodoh dengan lelaki yang panas baran nak buat macam mana kan? Redha aje la. Cuma satu aje yang kena ingat, bila suami tengah marah atau baran, cubalah jangan melawan. Banyakkan bersabar. Bila isteri mula melawan suami yang tengah marah, pasti akan bertambah parah. Jadi, isteri di luar sana, selalulah berdoa semoga sentiasa diberikan kesabaran yang tertinggi untuk menguruskan emosi suami. Banyakkan istighfar dan berselawat untuk tenangkan hati.
  • Kurang berkomunikasi
Antara salah satu punca perceraian ialah masalah kurang komunikasi dalam rumah tangga. Suami perlu beri perhatian bahawa seorang isteri inginkan perhatian. Perhatian yang macam mana? Bila suami balik rumah, sapalah isteri walau dengan sepatah perkataan, misalnya bagi salam. Dengan salam itu sendiri boleh menyejukkan hati isteri. Tanya bagaimana hari isteri dan kalau boleh masing-masing bercerita tentang hari yang dilalui masing-masing. Kalau ada masalah, jangan dipendam seorang, berkongsilah dengan isteri. Walaupun kadang-kadang suami tidak mahu menyusahkan isterinya, namun bila berkongsi cerita dan minta pendapat dari isteri, isteri akan merasa sangat dihargai dan disedari akan kewujudannya. Berceritalah apa sahaja. Kalau dengan kawan boleh berkongsi cerita dan bergelak ketawa, takkan dengan isteri sendiri dilayan seperti orang asing.
  • Ego
Yang paling sinonim dengan lelaki ialah ego. Ego seorang suami sangat tinggi. Dia merasakan hanya mereka sahaja yang betul, langsung tidak boleh ditegur. Wahai suami sekalian, tidak ke mana kamu dengan ego kamu. Kamu nak isteri hormat kamu dengan ego kamu yang setinggi langit itu? Nampak gaya takkan bertahan lama. Isteri memang akan hormat, tapi hanya disebabkan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Tapi percayalah, cinta dan kasih sayang semakin pudar sekiranya perasaan bahawa kamu sentiasa betul masih beraja di dalam diri. Rumah tangga akan bahagia seandainya suami tahu tanggungjawab, bukan hanya tahu mengarah itu ini, merasakan segala yang dia buat betul belaka. Kalau tak tahu, jangan malu nak mengaku, belajarlah untuk berubah ke arah kebaikan. Perbetulkan diri, jadi ketua keluarga yang sebetulnya. Pimpin dan bimbinglah isteri dan anak-anak ke jalan yang diredhai Allah, bukannya kita sendiri terpesong dari ajaran Dia.
  • Bila marah, keluar bahasa kasar
Ini satu lagi sikap suami yang sangat tidak disukai oleh isteri. Marah biarlah berpada-pada, jangan sampai keluar segala perkataan yang tidak sepatutnya. Bukan tidak boleh marah, tapi lihat kembali macam mana sifat Rasulullah dalam kehidupannya. Bukan mencela, tidak menghamburkan perkataan-perkataan yang kasar, tidak menyakiti isteri dan bukan marah mengikut perasaan. Cubalah kawal perasaan marah, bila dalam keadaan berdiri cubalah duduk bertenang. Ambil wuduk dan solat sunat minta petunjuk dari Allah. Semoga kita semua terhindar dari sifat mazmumah hasutan syaitan.

Di atas adalah antara sikap-sikap suami yang tidak disukai oleh isteri. Aku menulis dari persepsi seorang isteri. Segala yang baik jadikan iktibar dan pedoman. Yang penting, hidup suami isteri hendaklah sentiasa bertolak ansur dan sentiasa memperbaiki diri untuk menjadi seorang yang lebih baik. Wallahualam.