Bisillahirrahmanirrahim.
Dalam melayari sebuah bahtera perkahwinan, suami isteri haruslah saling melengkapi. Kebiasaannya kelebihan pasangan akan menyempurnakan kelemahan pasangan yang satu lagi. Sepatutnya sikap saling bertolak-ansur haruslah disemat dalam hati setiap pasangan suami isteri.
Namun begitu, sebagai seorang manusia biasa, kadangkala ada beberapa sikap suami yang sangat tidak disenangi oleh seorang isteri. Bukan nak kata isteri ni tak ada kelemahan, tapi biasanya isteri akan cuba untuk menjadi yang terbaik buat suaminya. Suami bila sedar yang dia adalah seorang suami, yang beranggapan bahawa dia mempunyai kuasa 'veto' langsung tidak mahu berubah malah tidak belajar untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Antara beberapa sikap suami yang kadang-kadang kurang disenangi oleh seorang isteri ialah:
- Mementingkan diri sendiri
Sebagai sepasang suami isteri, fitrahnya hendaklah saling menerima kelemahan pasangan. Jika suami mempunyai sikap mementingkan diri sendiri atau 'selfish' ini, memang sukar untuk dibawa berbincang. Sekiranya boleh dibawa berbincang sekalipun, hasil perbincangan hanya akan memberi keuntungan buat dirinya semata-mata. Contohnya bila tiba giliran balik beraya di kampung. Janganlah mentang-mentang kita suami, setiap kali cuti raya mesti balik belah suami. Walaupun secara luarannya isteri bersetuju, namun jauh di sudut hati pasti ada perasaan untuk bersama-sama keluarganya pada pagi hari raya. Namun, atas perbincangan kedua pihak juga. Berbincanglah dengan baik.
- Sukar meminta maaf
Walaupun sedar kesalahan adalah berpunca daripada dirinya, namun perkataan 'maaf' tersangatlah sukar untuk dilafazkan. Tidak jatuh maruah seorang suami kalau hanya sekadar menuturkan perkataan maaf atas kesalahan yang dilakukan. Malah perbuatan tersebut amatlah terpuji dan sangat disenangi oleh isteri. Bukan asyik isteri sahaja yang perlu mengalah dan meminta maaf atas kesalahan yang dia tidak buat hanya untuk membetulkan keadaan. Suami juga haruslah mengambil contoh daripada kisah-kisah Rasulullah sebagai seorang suami.
- Tidak boleh menerima keluarga isteri
Bila seorang lelaki mengahwini seorang perempuan, bermakna dia perlu mengahwini ahli keluarganya sekali. Maksudnya bila seseorang berkahwin, dia perlulah menerima ahli keluarga pasangan dan menganggap mereka sebagai ahli keluarga sendiri. Ini bukan hanya wajib ke atas suami sahaja, isteri pun sama juga perlu menerima ahli keluarga suami. Bila balik ke rumah keluarga belah isteri, bertanyalah khabar pada ayah dan ibu mertua. Berbual-bual pasal perkembangan terkini, bukan sekadar menunjuk muka tanpa sepatah perkataan kemudian berlalu. Bila keadaan ini berlaku, isteri mesti menganggap bahawa suaminya tidak menyukai dan tidak menerima ahli keluarganya. Belajarlah bergaul mesra dengan ahli keluarga, bukan hanya hidup dengan dunia sendiri. Kalau balik hanya nak buat hal sendiri, baik tak payah balik langsung.
- Panas baran
- Kurang berkomunikasi
Antara salah satu punca perceraian ialah masalah kurang komunikasi dalam rumah tangga. Suami perlu beri perhatian bahawa seorang isteri inginkan perhatian. Perhatian yang macam mana? Bila suami balik rumah, sapalah isteri walau dengan sepatah perkataan, misalnya bagi salam. Dengan salam itu sendiri boleh menyejukkan hati isteri. Tanya bagaimana hari isteri dan kalau boleh masing-masing bercerita tentang hari yang dilalui masing-masing. Kalau ada masalah, jangan dipendam seorang, berkongsilah dengan isteri. Walaupun kadang-kadang suami tidak mahu menyusahkan isterinya, namun bila berkongsi cerita dan minta pendapat dari isteri, isteri akan merasa sangat dihargai dan disedari akan kewujudannya. Berceritalah apa sahaja. Kalau dengan kawan boleh berkongsi cerita dan bergelak ketawa, takkan dengan isteri sendiri dilayan seperti orang asing.
- Ego
Yang paling sinonim dengan lelaki ialah ego. Ego seorang suami sangat tinggi. Dia merasakan hanya mereka sahaja yang betul, langsung tidak boleh ditegur. Wahai suami sekalian, tidak ke mana kamu dengan ego kamu. Kamu nak isteri hormat kamu dengan ego kamu yang setinggi langit itu? Nampak gaya takkan bertahan lama. Isteri memang akan hormat, tapi hanya disebabkan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Tapi percayalah, cinta dan kasih sayang semakin pudar sekiranya perasaan bahawa kamu sentiasa betul masih beraja di dalam diri. Rumah tangga akan bahagia seandainya suami tahu tanggungjawab, bukan hanya tahu mengarah itu ini, merasakan segala yang dia buat betul belaka. Kalau tak tahu, jangan malu nak mengaku, belajarlah untuk berubah ke arah kebaikan. Perbetulkan diri, jadi ketua keluarga yang sebetulnya. Pimpin dan bimbinglah isteri dan anak-anak ke jalan yang diredhai Allah, bukannya kita sendiri terpesong dari ajaran Dia.
- Bila marah, keluar bahasa kasar
Di atas adalah antara sikap-sikap suami yang tidak disukai oleh isteri. Aku menulis dari persepsi seorang isteri. Segala yang baik jadikan iktibar dan pedoman. Yang penting, hidup suami isteri hendaklah sentiasa bertolak ansur dan sentiasa memperbaiki diri untuk menjadi seorang yang lebih baik. Wallahualam.

No comments:
Post a Comment