Wednesday, 2 November 2016

Setelah Sekian Lama

Bismillahirrahmanirrahim.

Sudah lama tidak bersiaran, seakan-akan lupa macamana gaya bahasa yang pernah digunakan untuk menulis di sini. Tidak kisahlah macamana gaya bahasa yang digunakan, yang penting isi penting yang ingin diluahkan sampai. Insya Allah.

Hari ini 2 November 2016. Berada di hujung-hujung tahun 2016. Sekejap je rasanya masa berlalu. Terasa baru sahaja memasuki tahun 2016, meneruskan kerjaya di tempat dan suasana yang baru. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Segalanya dipermudahkan. Namun ada sedikit ujian yang melanda kehidupan aku baru-baru ini.

Aku pernah mendengar kata-kata dari orang yang berpengalaman iaitu tempoh antara tahun pertama hingga tahun kelima perkahwinan adalah satu fasa untuk mencari titik persefahaman dan juga persamaan. Dalam tempoh dan fasa ini, akan kerap berlaku perselisihan faham, masalah komunikasi, dan pergaduhan antara suami isteri. Aku juga tidak terkecuali. Ujian yang datang itu sebenarnya akan lebih mematangkan sesebuah perhubungan. Cubalah cedok sebanyak-banyak hikmah yang mungkin terselit di sebalik apa yang berlaku.

Bagi diri aku sendiri, aku sepatutnya tidak patut meletakkan harapan dan jangkaan yang terlampau tinggi pada suami. Jangan bayangkan dia akan menjadi seorang suami yang romantik sentiasa, mampu berjemaah dengan keluarga lima waktu sehari semalam, boleh berkongsi segalanya dengan isteri dan sebagainya. Biasanya lelaki sangat sinonim dengan ego. Mungkin golongan mereka tidak mampu untuk menerima sekiranya perempuan yang menegur walaupun menegur untuk kebaikan. Apa yang perlu dilakukan, terimalah mereka dengan seadanya mereka, dan sekiranya ada sikap dan perangai mereka yang tidak menyenangkan hati tegurlah dengan berhemah. Seandainya teguran kita boleh mengundang kemarahan, maka hentikanlah teguran itu. Sebaliknya mengadulah kepada Allah, kerana sesungguhnya hanya Dia yang memegang hati hamba-hamba termasuklah suami kita sendiri. Doakan semoga mereka terus diberi hidayah untuk menjadi seorang suami yang lebih baik dan TERBAIK untuk keluarga.

Bagi lelaki ataupun suami pula, cubalah kawal ego anda. Tidak akan jatuh maruahmu seandainya memohon kemaafan atas sesuatu kesalahan. Walaupun pada dasarnya bukan kamu sebenarnya yang bersalah. Percayalah bahawa dengan kemaafan yang dipohon, perempuan atau isteri akan lebih menghormati dan juga menyayangi lebih dari sebelumnya. Berkongsilah apa sahaja yang kamu ingin kongsikan, luahkan apa sahaja yang terbuku di hati. Jadikan isteri sebagai sahabat karibmu. Bergurau sendalah dengan mereka, kerana ini adalah perkara yang paling menyenangkan isteri apabila masing-masing berada di rumah. Sekali-sekala ringankan tangan membantu isteri melakukan kerja rumah, contohilah Rasulullah yang sememangnya ikutan terbaik sebagai seorang suami.

Walau apapun yang berlaku, segalanya adalah dalam pengetahuan Allah jua. Apa yang penting, masing-masing perlu tahu dan sedar akan tanggungjawab masing-masing. Sedar apa tujuan berumahtangga dan berkeluarga. Pada hujungnya, pasti kita mengharapkan akan dikumpulkan semula di dalam syurga Allah. Insya-Allah.



No comments: