Monday, 5 November 2018

Setelah 5 Tahun

بسم الله الرحمن الرحيم
 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Ye, selepas lima tahun. Apa tu? 😉 Selepas lima tahun menyewa di Damansara Damai, akhirnya kami telah berpindah ke rumah sewa baru. Alhamdulillah. Rumah sewa di Damansara Damai merupakan rumah pertama yang aku duduk selepas mengikut suami tinggal bersama. Pada masa tu, Mursi baru je berumur 3 bulan. Sekarang dah 5 tahun. Memang genap 5 tahun kami menyewa di situ.

Kami mengambil keputusan untuk berpindah kerana ingin mencari dan melihat suasana baru. Pada awal bulan Oktober, kami sudah mula mencari-cari rumah sewa. Sebabnya kontrak rumah sewa yang sebelum ni akan tamat pada awal November. Kami mencari di portal Mudah.my. Aku dan suami mencari rumah di kawasan Subang Bestari yang mana berdekatan dengan tempat kerja aku dan juga di kawasan Sungai Buloh.

Sebelum berjumpa dengan rumah yang dipersetujui sekarang, kami telah melihat beberapa buah rumah juga di apartmen yang berhampiran. Bermula dengan rumah di tingkat 4. Kurang bersetuju sebab sewa yang agak mahal dan berada di tingkat paling atas. Kemudian kami meninjau-ninjau di apartmen yang sama, contact nombor-nombor yang ditulis di banner dan digantung di luar rumah. Banyak rupanya rumah yang nak disewa. 😄 Kemudian ada sebuah rumah di groundfloor. Aku berminat dah dengan rumah ni, tapi agen dia Cina. Dia main letak je harga sewa RM800 sedangkan belum tanya tuan rumah dia lagi. Yang ni kami kiv dulu. Kemudian kami tinjau-tinjau lagi. Ada la beberapa buah rumah lagi yang kami tengok.

Rumah sekarang ni aku dapat daripada mesej whatsapp yang diforward oleh kawan sekerja aku. Memang tak diiklankan dalam mudah.my pun. Suami yang suruh aku pergi tengok, sebab hari kerja. So, aku pergi tengok rumah ni dengan Mursi je masa tu. Dan alhamdulillah, tuan rumah dia pun sangat baik. Kak Zaiton dan Pakcik Hassan namanya. Rumah di tingkat 3, dan harga sewa pun berpatutan kalau nak dibandingkan dengan rumah yang dah kami tengok sebelum ni.

Rumah ni ada 3 bilik tidur dan 2 bilik air
Alhamdulillah, dah seminggu kami berpindah ke sini. Kiranya seminggu awal sebelum kami pulangkan kunci rumah sewa sebelum ni kepada tuan rumah. Dan rumah pun masih lagi tidak berkemas habis. Tak tahu mana nak letak barang kecil-kecil dan juga baju. 🙊 Kena ambil masa untuk tempoh bertenang, baru boleh setelkan semua. 

Rumah kali ni boleh dikatakan besar la dari rumah sebelum ni. Kalau diikutkan, jauh sangat beza. Rumah sebelum ni memang tak nampak suasana luar, sebab bangunan rumah kedai kan. Kiri kanan depan belakang semua bangunan. Balik kerja ataupun hari cuti, duduk ajelah terperap dalam rumah tengok dinding. Rumah baru ni at least boleh la buka tingkap, angin boleh masuk. Boleh la bernafas sikit. Kalau nak ajak kawan datang pun, takdelah segan sangat. Hehe. Suami pun cakap, macamana la kami boleh bertahan dalam rumah yang kecik tu selama 5 tahun. 😆

Banyak juga berhabis beli barang untuk masuk rumah sewa baru ni. Yelah, sebelum ni takde beli perabot langsung. Satu sebab rumah kecil, dan kami pun baru je memulakan kehidupan bersama. Tapi kali ni, banyak beli barang atau perabot yang besar-besar. Kami beli set bilik tidur, katil dan tilam Mursi serta peti dan mesin basuh baru. Suami cakap, lepas ni takkan pindah dah selagi tak cukup duit untuk pindah rumah sendiri. Amin, doakan ye kami murah rezeki untuk ada rumah sendiri. Kalau pindah lepas ni, confirm kena sewa lori. 😉

Ok, tu je nak cerita. Panjang la pulak. Mentang-mentang dapat cuti hujung minggu yang panjang sekali dengan cuti Deepavali. Hehe. Kita update blog la. Lama sangat blog ni takde update. Untuk kenangan masa hadapan. Inshaa-Allah. Sampai jumpa lagi. 👋👋👋

Saturday, 8 September 2018

Mursi 5 Tahun

بسم الله الرحمن الرحيم
 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

ALhamdulillah, masih diberi peluang oleh Allah untuk hidup. Dapat terus menikmati segala nikmat kurniaan Yang Maha Esa.

Alhamdulillah juga, Mursi sudah pun genap usia 5 tahun pada 25 Ogos yang lepas. Teringat lagi masa nak lahirkan dia dulu. Masa tu masih lagi zaman pjj dengan suami. Tapi alhamdulillah, ALlah beri rezeki suami ada di sisi di saat nak melahirkan Mursi. Lahir pada waktu petang, di Hospital Sultanah Nur Zahirah Terengganu. Pengalaman pertama buat ummi, moga-moga diberi kesempatan lagi untuk merasai pengalaman yang sama nanti. Amin...

Tahun ni, ummi beri peluang pada Mursi untuk sambut birthday dia bersama kawan-kawan kat sekolah. Tapi bukan 25 haribulan, sebab tarikh tu jatuh pada hari Sabtu. Jadinya, hari Isnin baru ummi belikan kek untuk dia. Bukan apa, setiap kali ada kawan-kawan yang sambut birthday kat sekolah, mesti balik tu dia akan cerita. Bagilah Mursi pun ada pengalaman yang sama, dapat sambut birthday dengan kawan-kawan. 😍


Ummi beli kek Secret Recipe je, mentang-mentang kedai kek dekat dengan tempat kerja. Jadinya, ummi beli on-the-spot je. 😄 Beli kek 'White Chocolate Macademia'. Sedap juga, alhamdulillah. Boleh la buat kenang-kenangan untuk Mursi.

Banyak dah perkembangan Mursi sepanjang 5 tahun ni. Banyak kerenah pun ye jugak. Tapi apa yang buatkan ummi rasa bersyukur sangat ialah Mursi dah naik baca Al-Quran. Dah tamat baca Iqra'. Terima kasih ustazah yang banyak mengajar Mursi. Ummi tolong sambung ajar kat rumah. Alhamdulillah, Mursi seorang yang terang hati. Surah-surah pendek pun dah banyak yang boleh dihafaz. 😇

Tiada apa yang ummi harapkan, cuma doa yang baik-baik saja untuk anak ummi sorang ni. 

Semoga anak ummi terus membesar dengan sihat.
Semoga anak ummi terus jadi seorang anak yang mendamaikan hati.
Semoga anak ummi jadi seorang anak yang soleh, pandai, sabar dan semua sifat mahmudah hiasi diri anak ummi ni.
Semoga Mursi terus menjadi harta buat ayah dan ummi bila kami dah tak ada nanti.

Aminn ya rabbal alamin...

Semoga tahun depan kita masih diberi peluang untuk sambut birthday Mursi bersama-sama lagi, inshaa-Allah. 😘

Friday, 17 August 2018

Berat Ideal

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Mood menulis bila datang kena manfaatkan betul-betul. Hari ni Jumaat, bersamaan 5 Zulhijjah 1439H. Hari ni merupakan hari terakhir sekolah sebelum bercuti lebih kurang seminggu sempena Hari Raya Aidi Adha dan juga cuti pertengahan penggal persekolahan. Inshaa-Allah pagi esok aku akan bertolak pulang ke kampung, bersama Mursi berdua sahaja. 😉

Saja nak update blog, nak update pasal perkembangan terkini misi turunkan berat badan aku. Alhamdulillah, aku dah berjaya dapatkan berat ideal, dengan angka 5 di depan. Alhamdulillah, alhamdulillah alhamdulillah. Seronok tak terkata bila dapat berat masa zaman anak dara dulu. Tapi kalau boleh nak turunkan lagi beberapa kilogram, sampai ke 50kg inshaa-Allah. Doakan aku. 😇


Gambar kiri tahun 2015. Perasan tak stripe jubah tu? Stripe tu ditambah sebab tak muat! Dekat lengan pun sama. Gambar kanan gambar terbaru. Bukak semula stripe, jadi baju asal. Alhamdulillah, seronok. 😍

Tak sabar nak dapat berita gembira pula nanti. Semoga ummi mampu berikan Mursi seorang adik. Semoga dengan berkat usaha ummi turunkan berat badan, ummi berjaya mengandung lagi. inshaa-Allah. Mursi pun dah tak lama lagi, cuma beberapa hari saja lagi genap 5 tahun. Dah besar sangat dah anak ummi ni, layak sangat dah nak jadi abang. Tapi kalau kita tanya dia nak adik ke tak, mesti dia jawab taknak adik. 😂

Kalau nak tahu macamana aku boleh kuruskan badan? Aku dah ceritakan di entri sebelum ni. Kalau nak baca, boleh klik sini. Jom, sama-sama kita amalkan cara hidup sihat. Inshaa-Allah lepas ni hidup akan lebih bermakna bila kita amalkan gaya hidup sihat. 😊

Oklah, sampai sini dulu. Baju pun tak kemaskan lagi, satu apa pun tak kemas lagi nak balik kampung esok. Mursi tak sabar-sabar nak balik kampung. Semoga semuanya selamat. Selamat Hari Raya Korban semua. Jumpa lagi di entri yang lain. Inshaa-Allah. ✌

Saturday, 9 June 2018

Erti Hari Raya

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Salam 24 Ramadhan. Cuti sekolah dah bermula. Mood raya semua orang pun dah mula on rasanya. Tengok update di FB dan juga ig, dah ramai yang bergerak balik ke kampung. Tidak kurang juga yang sibuk menyiapkan kuih raya. Geng-geng tukang jahit pula sibuk menyiapkan tempahan baju raya pelanggan. 

Aku? Macam biasa, mood nak raya tidak seberapa. Mungkin sebab kita dah dewasa dan semakin tua. Bukannya anak kecil yang seronok nak balik raya dan menghitung jumlah duit raya. 😉 Lagi pula, masing-masing sudah berkeluarga semua. Aku biasanya berhari raya pertama di rumah keluarga suami saban tahun. Memang begitulah tradisi yang ditetapkan. Aku menurut sahaja.

Tahun ni juga merupakan tahun yang agak menyedihkan tapi menyenangkan dalam masa yang sama. Lebih setahun yang lepas, ayah telah bercerai dengan mak tiri aku. Mungkin raya kali ni agak menyedihkan buat dia, namun menyenangkan juga. Sebabnya bukan apa, mak tiri memang agak keterlaluan pada satu-satu masa. Perangai dia yang membuatkan ayah dan kami adik-beradik tidak senang dengannya. Mungkin ada hikmah yang besar di sebalik perceraian yang berlaku, inshaa-Allah.

Bila keadaan ni berlaku, kami adik-beradik sudah tawar hati untuk balik ke rumah di kampung. Sebabnya rumah bekas isteru ayah cuma di sebelah sahaja. Buatkan kami rasa tidak senang dan lagi suka bila tak tengok muka dia. Allah... Tapi aku juga kesiankan si ayah. Semalam pun dah telefon bertanya bila akan pulang ke kampung. Katanya dia akan beraya di rumah itu, menunggu kepulangan anak-anak pulang beraya. Sedih pula bila difikirkan. 😢

Persiapan raya tahun ni pun tidak seberapa. Aku langsung tiada membeli kuih raya atau kerepek raya. Entahlah, mood nak raya tu hilang. Cuma rasa rindu nak berjumpa dengan ayah dan adik-beradik yang lain saja. Adakah ini normal? Jubah raya pun dah lama beli, sebelum raya lagi. Beli sepasang aje, dan sepasang lagi pun ada tapi tak niat pun nak buat baju raya. Cuma beli untuk dipakai pada hari biasa. Cuma minggu lepas keluar untuk beli baju raya suami dan Mursi saja dan sepasang selipar raya untuk aku dan Mursi.

Inshaa-Allah aku sekeluarga akan pulang ke kampung pada Rabu depan. Suami start bercuti pada hari tu sehingga 19 haribulan. Lebih kurang seminggu juga di kampung. Alhamdulillah. Semoga raya tahun ni boleh melawat saudara-mara dan kawan-kawan yang lama tak jumpa. Inshaa-Allah.

Kenangan raya tahun akhir sebelum bergelar isteri 😍 Dengan kakak tersayang.
Selamat hari raya semua. Semoga kita dapat manfaatkan malam-malam terakhir bulan Ramadhan tahun ni. Jangan sia-siakan pahala yang dah kita kumpul dengan sikap berlebih-lebihan pada hari raya. Amin. Semoga kita berjumpa lagi dengan Ramadhan tahun depan.

Saturday, 2 June 2018

2 Jun 2012 ~ 2 Jun 2018

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, dah masuk bulan Jun. Dah setengah tahun berlalu untuk tahun 2018 ni. Dan hari ni dah masuk hari ke-17 Ramadhan. Allah, tak lama lagi Ramadhan dah nak pergi. Setakat mana kita manfaatkan bulan yang penuh keberkatan ni? Alhamdulillah, tahun ni aku rasa Ramadhan aku lebih bermakna. Semoga semangat Ramadhan tahun ni dapat aku teruskan di bulan-bulan yang seterusnya. Aminn, doakan...

Hari ni, 2 Jun 2018 genaplah 6 tahun usia rumahtangga aku dan juga suami. Alhamdulillah. Kami berjaya melepasi fasa 5 tahun pertama. Semoga kami akan terus bersama untuk tahun-tahun yang akan datang. Doa yang selalu aku panjatkan setiap kali ulangtahun kami, semoga Allah sentiasa merahmati rumahtangga yang dibina. Limpahkan rahmat dan kasih sayang kepada keluarga kami. Serta campakkan rasa kasih dan sayang ke dalam hati-hati kami. Inshaa-Allah.


Semoga kasih sayang kami kekal sampai syurga, inshaa-Allah. Tahun ni pun ada juga puisi buat si suami. 😘

Abang,
Terima kasih atas segalanya,
Segala keringat yang kau berikan
Mencari nafkah buat kita sekeluarga.

Abang,
Teruslah tetap setia dan cinta,
Kasih pada diri ini hingga akhirnya,
Aku jua kan terus kekal bersama.

Abang,
Kuatkan hati dan iman,
Untuk terus bimbing kami ke syurga,
Kerna itu adalah sebaik-baik pengakhiran.

(isterimu, 020618 / 17 Ramadhan 1439H)

Pesanan buat pasangan yang bakal berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan bukan hanya manis-manis sahaja. Ia akan dipenuhi dengan semua perasa, ada masin, masam, pahit macam-macam lagi. Persiapkan mental. 😉 Yang penting, hadapi setiap ujian yang datang dengan penuh hikmah. Sentiasa bertolak ansur dan sabar serta redha dengan kekurangan pasangan. Mungkin sebelum kahwin kita tak nampak kekurangan dia, tapi bila dah kahwin kita akan berkongsi segala. Inshaa-Allah semoga Allah redha setiap apa yang kita lakukan.

Selamat menunaikan ibadah puasa. Ramadhan ke-17. 🌹

Sunday, 27 May 2018

Misi Turunkan Berat Badan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, hari ni dah masuk hari ke-11 Ramadhan. Allahuakbar, cepat sungguh masa berlalu. Dah bulan Mei, dah nak raya lagi, dah nak cuti sekolah pertengahan tahun. Masa berlalu tanpa tunggu kita pun. Terlalu banyak perkara yang berlaku tahun ni. 

Dalam post aku yang sebelum ni, aku ada ceritakan yang mana aku telah dapat tahu hasil dari pemeriksaan di hospital pakar sakit puan Hospital Sungai Buloh. Aku mempunyai PCOS. Dan, seperti tajuk post aku kali ni, aku nak berkongsi sedikit sebanyak usaha yang aku lakukan untuk merawat PCOS tersebut. Oleh kerana doktor menyarankan aku untuk menurunkan berat badan, maka aku cuba. Semoga dengan izin Allah, cyst ni terus hilang dari badan aku, aminn..

Sejak bulan Mac yang lepas, aku telah menyertai satu program yang mana ia dikenali sebagai program Fat Loss Challenge (FLC) yang dikendalikan oleh Coach Jaja. Dan alhamdulillah, selepas 2 bulan lebih menyertai program ini, berat aku dah banyak hilang.

Bagaimana boleh bermula?

Hurm, bagaimana aku bermula adalah daripada saranan kakakku yang terlebih dahulu menyertainya. Dia menyertai program ni dan ternyata ia mampu menurunkan berat badan. Pada awalnya, memang aku agak berat hati untuk join. Sebabnya pada masa tu masih belum dapat tahu pasal PCOS ni. Lagipula, rasa macam tak kuat pula hati nak kurangkan makan. 🙊 Namun, pada bulan Mac tu rasa macam "aku kena kuat. Kena ada usaha nak rawat PCOS ni". Akhirnya, aku kuatkan hati untuk join.

Bila dah nekad nak join, terus contact nombor Coach Jaja. Dan terus setelkan bayaran pendaftaran apa segala. Akhirnya, aku terjebak. Terjebak dengan kumpulan yang sangat supportive, masing-masing mempunyai objektif yang sama; mengamalkan gaya hidup sihat. Kurus itu adalah bonus. Seronok berdiet dengan ilmu tanpa sekatan makanan yang melampau. Kalau diet tapi banyak makanan yang tak boleh makan, itu bukan diet yang betul. Aku diet dengan seronok dan senang hati. 😍

Fat Loss Challenge Program

Aku cerita serba sedikit pasal program ni ye. Ia adalah merupakan online coaching melalui Whatsapp group. Coach akan mengedarkan resipi menu-menu sihat untuk dicuba. Percaya tak, semua resipi sihat yang diedarkan adalah sangat sedap. Kalau boleh semua resipi aku nak cuba. Tapi setakat ni, banyak juga yang aku dah cuba dan teryata memang sedap. Siapa cakap kalau nak diet tak boleh makan sedap-sedap. 😄 Di samping itu, Coach juga akan mengedarkan nota-nota yang berkaitan untuk diamalkan. Banyak ilmu yang boleh dapat, alhamdulillah.

Selain itu, setiap hari semua peserta perlu merekod setiap hidangan yang dimakan dan akan diperiksa oleh Coach. Dari situ, kita boleh tahu samada hidangan yang kita ambil bertepatan ataupun tidak berdasarkan objektif kita untuk turunkan berat badan. Jangan risau, hujung minggu tidak perlu hantar gambar hidangan. Kiranya hujung minggu bolehlah kalau nak cheat day. 😚 Setiap peserta juga perlu menghantar keputusan timbangan dan ukur lilit bahagian badan setiap dua minggu sekali.

Alhamdulillah, selepas 2 bulan lebih aku join, dah lebih kurang 10kg berat badan aku turun. Sekarang ni tak sabar nak hilangkan nombor 6 kat depan timbangan tu. Inshaa-Allah tak lama lagi, amin... Itulah serba sedikit yang aku nak kongsikan. Aku tulis kat sini pun sebenarnya untuk rujukan dan kenangan aku juga suatu hari nanti. Agak-agak bila nanti rasa tak sedar diri, boleh insaf semula. Nak dapat PCOS lagi ke? Kalaupun tak dapat yang tu, dapat penyakit lain pulak. Nak?? Nauzubillah... Semoga dapat manfaat. Selamat berbuka. 🌷

p/s: Gambar sebelah kanan tu diambil pada awal Mei lepas.

Wednesday, 21 February 2018

Catatan Hati Seorang Wanita

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Dengan nama Allah, kali ni aku nak mengabadikan sebuah catatan hati seorang wanita. Hari ni bersamaan 21 Februari 2018 (Rabu) merupakan hari kedua selepas aku berjumpa doktor di Klinik Obstetrik dan Ginekologi Hospital Sungai Buloh. Appointment aku pada hari Isnin lepas. Ia adalah merupakan follow-up susulan daripada beberapa appointment yang sebelum ni.

Aku dirujuk pada klinik pakar O&G adalah kerana masalah periodku yang tidak teratur. Pernah satu masa, aku datang period sampai 4 bulan non-stop. Allahu. Stressnya hanya Allah saja yang tahu. Sampai sekarang pun masih belum regular.

Pada hari Isnin lepas, doktor meminta aku melakukan ujian pap smear. Bila dengar je macam tu, rasa gerun juga. Sebab setahu aku, pap smear ni agak 'menyeramkan'. Kena masuk alat kat bahagian kemaluan kita. 😖 Tapi, aku kuatkan hati. Nasib baik juga doktor yang bertugas untuk turn aku ialah doktor perempuan. Ada tiga orang doktor dalam bilik masa tu. dan juga ada dua orang jururawat, seorang perempuan dan lelaki. Nasib baik jururawat lelaki tu minta izin dulu nak tengok untuk belajar. Dan of course lah, aku tak bagi. 😅 Semoga ada lagi pesakit yang membenarkan awak tengok prosedur ni  ye, adik jururawat.

Hasil daripada keputusan pap smear yang dilakukan, doktor mengesahkan aku mempunyai PCOS (Polycystics Ovary Syndrome). Allahu... Apa yang aku risaukan sebelum ni akhirnya berlaku pada diriku. Memang sebelum ni aku memang dah pernah dengar mengenai PCOS ni. Ia memang selalu dikaitkan dengan simptom masalah period yang tidak teratur. Hari tu, terungkailah sudah. 

Jadinya, doktor menyarankan aku untuk mengambil sejenis ubat, iaitu dalam kategori OCP untuk melancarkan semula masalah period yang tidak teratur. Antara saranan lain yang diberikan oleh doktor ialah supaya aku menurunkan berat badan. Allahu... Memang aku mengaku yang berat badan aku sudah di tahap obesiti. Susahnya nak turunkan berat. 😭😭 Inshaa-Allah kali ni aku kena tekad untuk turunkan berat. At least 10% daripada berat sekarang aku terpaksa hilangkan. Kuatkan aku ya Allah...

Temujanji yang berikutnya untuk aku berjumpa doktor semula ialah pada bulan Jun nanti, selepas empat bulan. Semoga bila aku jumpa doktor nanti, berat aku dah berkurang dan masalah PCOS aku pun dah tak ada. Amin...