Monday, 23 September 2013

Cerita Bersalin

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam buat semua.

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah... Syukur atas segala nikmat kurniaan dari Yang Maha Esa kerana aku telah selamat melahirkan. Walaupun agak lewat aku update pasal kelahiran permata hati, namun aku memang berniat untuk kongsikan di blog ni. Sebulan yang lalu, 25 Ogos 2013 bersamaan 18 Syawal 1434 Hijrah aku telah selamat melahirkan seorang khalifah kecil ke muka bumi ni. Alhamdulillah, seorang bayi lelaki yang comel, sempurna segalanya.

Kat sini, aku nak kongsikan cerita kelahiran putera kecilku ke dunia. Alhamdulillah, doa aku untuk bersalin semasa suami di sisi termakbul. Pada pagi Ahad tu, lebih kurang pukul 3 pagi aku dah rasa sakit perut. Sakit perut yang lain macam. Aku agak mungkin ni la dia sakit nak bersalin. Tambahan lagi tanda kedua ialah keluar lendir yang bercampur darah. Aku teringat kata-kata nurse yang mengatakan itu juga adalah salah satu tanda nak bersalin. Tapi, masa tu aku tahan je dulu. Aku dah beritahu suami, tapi aku nak bertahan sampai lepas subuh. Kalau ikutkan, dia nak je terus ke hospital. Dalam tempoh sakit sampai la waktu subuh, aku memang tak dapat nak tidur dah. Masuk je waktu, aku terus mandi dan solat. Sebelum turun, aku sempat minum milo dan makan telur separuh masak. Untuk persediaan tenaga la katakan.

Lebih kurang pukul 6.15 pagi, aku dan suami pun bertolak ke hospital besar, HSNZ. Sampai je hospital, aku ke bahagian ibu dan anak untuk pemeriksaan awal. Doktor start cek bukaan jalan aku. Dan masa ni bukaan baru 3 cm dan doktor mengarahkan aku ditahan di wad bersalin. Masa ni, kontraksi dah makin kerap. Di wad, nurse lakukan pemeriksaan jantung bayi atau CTG. Hasil pemeriksaan, jantung bayi aku agak lemah dan tidak stabil. Sekali lagi aku diperiksa bukaan jalan oleh doktor. Dah pun 5 cm. Disebabkan bayi aku ada sedikit masalah, doktor mengarahkan aku terus ditolak ke dewan bersalin. Masa tu lebih kurang pukul 10.45 pagi.

Semasa di dewan bersalin, pemeriksaan jantung bayi terus dilakukan. Tapi keadaan bayi aku masih sama. Pukul 11.30 pagi, doktor pecahkan air ketuban. Aku dapat ingat masa ni sebab dalam dewan bersalin tu ada jam dinding. Setiap yang berlaku aku akan cuba rekodkan masa. :) Lepas air ketuban dipecahkan, kontraksi makin kerap dan lebih sakit. Alhamdulillah, masa aku tengah bertarung dengan kesakitan ni suami aku ada di sisi. Kehadiran dia saat itu sedikit sebanyak mengurangkan kesakitan yang aku rasa.

Jam 2.25 petang, doktor mula suruh aku meneran sepenuh hati. Disebabkan masalah jantung bayi yang agak tak stabil, dan menurut doktor kedudukan kepala bayi yang masih agak tinggi, aku perlu meneran dengan bersungguh-sungguh. Doktor cuma beri aku masa 10 minit untuk teran, dan kalau bayi masih tak keluar jugak, vakum akan digunakan. Dengan penuh semangat dan pengalaman pertama bersalin, aku cuba untuk meneran. Memang mulanya aku agak tak pandai untuk meneran, namun selepas beberapa kali mencuba dan dengan bantuan doktor, tepat jam 2.35 petang bayi aku selamat dilahirkan. Namun, disebabkan masalah sebelum ni, bayi aku terpaksa dimasukkan ke NICU tanpa belum sempat aku menatap mukanya yang suci. Agak terkilan juga masa ni. Tapi takpela, untuk keselamatan bayiku jua.

Alhamdulillah, aku selamat menjadi ibu. Terasa lengkaplah diri aku sebagai seorang wanita. Aku telah melahirkan seorang anak lelaki seberat 3.22 kg. Aku amat bersyukur kepada Allah kerana semuanya berjalan dengan lancar walaupun ada sedikit ujian. Alhamdulillah, aku dan anakku selamat. Aku dan suami telah menjadi ummi dan ayah buat seorang permata hati kami. Memang pengalaman bersalin adalah pengalaman yang tak dapat dilupakan. Dengan kesakitan kontraksi yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata, doktor pelatih lelaki yang melakukan pemeriksaan bukaan jalan, kehadiran doktor-doktor pelatih lelaki yang agak ramai dalam dewan bersalin, rasa luka dijahit yang mengambil masa agak lama, dan macam-macam lagi la pengalaman. Semoga aku terus kuat untuk melalui tempoh-tempoh masa berpantang ni yang tinggal beberapa hari saja lagi. Dan seterusnya menjadi ummi yang kuat dan tabah dalam membesarkan bayiku.

Bayiku di wad NICU. Sebak hati tengok keadaan dia.

p/s: Entri akan datang, aku akan sambung cerita bersalin dan bayi pulak. :)


No comments: