Saturday, 30 November 2013

Checkup 3 Bulan

Bismillahirrahanirrahim.

Sejak akhir-akhir ni, Mursi selalu je merengek, menangis-nangis lebih-lebih lagi bila dia nak tidur.Aku perasan perubahan ni lepas balik dari check-up kat klinik minggu lepas, semasa umur Mursi masuk 3 bulan. Dan untuk pertama kalinya aku bawa Mursi untuk check-up di sini, di Damansara Damai ni. Tapi kat sini tak ada klinik kesihatan yang terdekat. Suami aku google pasal klinik kesihatan, yang paling dekat ialah Klinik Kesihatan Sungai Buluh.

Pada 20hb yang lepas merupakan tarikh untuk check-up Mursi yang tercatat dalam buku rekod sebelum ni. Aku pergi klinik ikut tarikh tu je la, senang. Hari Rabu, so suami ambil keputusan untuk half day aje hari ni. Ye la, kalau tak aku nak pergi klinik dengan sapa. Dah la tak tahu kat mana-mana, jalan kat sini pun aku tak mahir lagi. Sampai hari ni, aku tak pandu lagi kereta sorang-sorang. Kalau ke mana-mana mesti suami ada bersama. Dia la yang drive. Jadi kami bertolak awal pagi, takut ramai orang. Tak boleh nak jangka suasana klinik kat sini. Kalau kat klinik desa dulu memang la tak ramai orang. Cepat dan senang je prosedur dia. Kat sini tak tahu hujung pangkalnya lagi.

Suami macam biasa la, guna GPS nak tengok jalan. Kalau tak guna tu, tak sampai la kami ke klinik jawabnya. Hehe. Dalam duk guna tu pun, sesat jugak. Bukan apa, tersalah masuk jalan. Sekali dah tersalah masuk, ia akan recalculate jalan lain, mungkin akan jadi agak jauh dari jalan yang asal tadi. Hehe. Lebih setengah jam juga nak sampai klinik ni. Sampai-sampai je tengok ramainya orang!. Terus tanya nurse yang dekat kaunter mengenai prosedur yang perlu dibuat. Sebelum tu aku beritahu la yang kami baru berpindah menyewa ke sini. Nurse tu cakap sepatutnya kalau yang kawasan Saujana Damansara tempat aku menyewa tu, kena pergi ke klinik bergerak setiap Jumaat di kawasan berdekatan Park Avenue. Tapi untuk hari ni diterima untuk rawatan sebab tak tahu lagi.

Disebabkan pesakit yang agak ramai, kena ambil nombor giliran. Pada pemerhatian aku, kat sini ramai pesakit India dan sebahagian lagi Cina. Melayu tak ramai sangat, hanya sebilangan kecil. Memang 1 Malaysia la kawasan yang aku tinggal sekarang ni. Hehe. Sedang duduk menunggu, aku terdengar nombor giliran aku dipanggil untuk masuk ke bilik 14. Aku cepat-cepat ajak suami ke sana. Tapi bila aku masuk bilik tu, nurse tanya nama anak. Bukan nama Mursi pun. Rupanya aku tersalah dengar. Aduh, malunya! Sepatutnya kena timbang berat dan ukur panjang baby dulu dekat bahagian luar, baru boleh masuk bilik rawatan. Lepas tu, barulah nombor kami dipanggil untuk ditimbang berat dan diukur panjang Mursi oleh nurse pelatih yang bertugas. Dahla asyik terkeluar loghat teganu, suami aku asyik tegur je. Stress jadinya. Dah nak terkeluar dari mulut, nak buat macamana cik abang oi... Huhu. Biasa la, dah lama tak speaking luar. Dulu masa belajar kawan-kawan semua tak sangka aku berasal dari Terengganu sebab tak ada loghat masa bercakap. Kena training balik ni.

Lepas diukur dan ditimbang, barulah boleh masuk bilik rawatan. Dalam bilik rawatan ni kena dengar ceramah lagi. Biasalah nurse, bila dah tahu aku campurkan susu formula untuk Mursi membebel panjang la dia. Bukannya aku tak nak bagi dan sememangnya itulah impian aku untuk menyusu Mursi dengan susu badanku sendiri. Bukannya bagi minum susu lembu tu. Huhu. Tapi masalahnya Mursi tak nak hisap direct. Sedih tau bila dalam keadaan macam ni. Kalau boleh diundurkan masa, aku akan paksa diri aku dan Mursi untuk menyusu juga dulu. Aku rasa kalau dipaksa dari dulu, mesti Mursi akan hisap juga. Mungkin dulu kurang sokongan dari luar supaya aku teruskan paksa diri untuk menyusu Mursi, sebab tu aku ikutkan je apa kata orang lain iaitu bagi je susu formula. Tapi sekarang menyesal dah tak berguna lagi. Mursi lagi suka hisap susu formula dengan botol, senang dan mudah bagi dia. Huhu.

Lepas daripada bilik rawatan, Mursi kena dicucuk untuk 3 bulan di bilik rawatan sebelah pula. Yang cucuk masa ni ialah nurse pelatih lelaki. Dia main cucuk je, langsung tak ada sikap lemah lembut. Tahula awak tu nurse, atleast cuba la bagi kata-kata penenang sikit untuk si anak walaupun dia masih kecil dan tidak faham apa-apa. Ni tak, dalam keadaan yang aku dan Mursi tak berapa nak ready lagi dia terus cucuk. Selak Mursi menangis lepas tu. Haish... Lepas dah setel semua, kami pun pulang ke rumah. Masa tu dah tengahari. Bila dah sampai rumah, ada sedikit salah faham antara aku dan suami. Pasal isu loghat teganu tu la. Tak habis-habis. Haih... Suami terus pegi kerja masa tu dengan keadaan yang kurang menenangkan aku. Tapi biasa la, salah faham suami isteri kejap je. Petang bila dia balik kerja, semua dah ok.

Untuk kali ni, aku selitkan sekeping gambar Mursi terbaru. Hehe. Dah besar anak aku ni, 3 bulan dah. Dia sekarang ni dah mengiring, cubaan untuk meniarap. Tapi tak berjaya lagi. Bila diletak dalam keadaan meniarap, kepala dia dah kuat. Dah boleh angkat sendiri. :) Yang paling latest ialah Mursi yang dah botak, gambar tengah tu! Hehe.

Thursday, 28 November 2013

Bakal Cikgu Sekolah

Bismillahirrahmanirrahim.

Ok, sebelum ni aku ada bagitau yang aku akan kerja tak lama lagi. Dan Alhamdulillah, aku bakal menjadi cikgu sekolah tak lama lagi, Insya-Allah. Macamana aku dapat kerja tu?

Begini ceritanya. :) Hari terakhir aku di tempat kerja yang lama dulu, kawan satu jabatan aku, Ida ada bagitau yang dia ada hantar resume melalui emel ke sekolah ni, Sekolah Rendah Islam Pintar (SRIP) di Shah Alam. Dan dia berjaya dipanggil interview pada 6, 7, atau 8 November. Memandangkan ianya masih terbuka, aku pun cuba nasib juga. Bukan aku seorang yang cuba nasib, Kak Yana dan Ain pun sekali. Ye la, semua dah tak sanggup nak berlama-lama di K**T ni.

Aku hantar emel masa tu dah petang, lepas balik dari makan tengahari. Tak sampai sejam, aku dapat balasan emel untuk menghadiri interview pada tarikh yang sama. Bila aku dah dapat balasan emel, barulah Kak Yana dan Ain pun terus hantar. Mereka pun sama-sama dapat panggilan interview yang sama. Bukan main seronok kami masa tu sebab semua dapat panggilan interview. Dah siap rancang nanti nak pergi sama-sama (Ida, Kak Yana dan Ain) dan nak jumpa kat KL kononnya. Aku kemungkinan memang dah ada kat KL masa tu. Tapi, last-last aku seorang je yang pergi interview, yang lain semua tak jadi pergi.

Oleh kerana aku seorang je yang jadi, suami setuju nak teman aku pergi interview. 6 November lepas, aku ditemani suami pergi ke sekolah tersebut yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam. Aku pergi dari rumah makcik kat Taman Medan. Suami aku kerja separuh hari aje hari tu, sebab nak teman aku punya pasal. Terima kasih sayang. Mursi aku tinggalkan pada sepupu yang dah tak pergi sekolah untuk dijaga, tapi sebelum aku turun dari rumah, makcik pun dah balik dari kerja. So, aku takdela risau sangat sebab Mursi ada orang yang jaga.

Sampai je aku kat sekolah tersebut, aku diminta isi borang dan terpaksa menunggu sebelum tiba giliran aku dipanggil. Sebenarnya aku tak buat sebarang persediaan untuk ditemuduga. Aku hanya tawakal pada Allah, kalau ada rezeki dapatlah. Aku kasihankan suami aku yang terpaksa bekerja keras untuk mencari nafkah kami sekeluarga. Aku memang pasrah kalau gaji yang ditawarkan adalah lebih rendah dari kerja sebelum ni. Niat aku cuma nak bantu suami. Semasa temuduga, aku seolah-olah diajak berbual sahaja oleh 2 orang panel. Aku tahu orang yang menemuduga aku ni adalah orang kuat sekolah tersebut. Sebab aku dah tengok carta organisasi sekolah semasa menunggu tadi. Menurut mereka, memang gaji adalah agak rendah dari apa yang aku minta. Keputusan temuduga akan diberitahu kemungkinan pada 17 November nanti.

Namun, pada 12 November yang lepas aku mendapat mesej. Mesej yang mengatakan aku diterima untuk berkhidmat di SRIPBJ dan diminta memberi jawapan penerimaan atau penolakan sebelum 20 November. Aku tidak terus membalas mesej tersebut sehinggalah aku tanya pendapat suami. Suami suruh tanya mengenai gaji terlebih dahulu, kalau melebihi seribu bolehlah diterima. Kalau kurang dari itu, mungkin ditolak sebab kurang berbaloi jugak kot. Banyak melibatkan kos juga nanti kalau dah kerja. Keesokannya aku hubungi nombor tersebut dan alhamdulillah, aku telah menerima jawatan sebagai guru di Sekolah Rendah Islam Pintar Bukit Jelutong. Tapi tarikh mula kerja masih belum diberitahu, mungkin akan diberitahu kemudian bila dah dekat nak buka sekolah.

Masalah yang sedang bermain di fikiran aku dan suami sekarang ialah nak mencari pengasuh Mursi. Kalau boleh, aku tak mahu Mursi dihantar ke taska dulu. Sebab dia kecil lagi dan memandangkan sejak kebelakangan ni banyak cerita yang memburukkan taska pada kaca mata aku sedang berlegar-legar di tv mahupun di media sosial. Aku jadi takut dan fobia nak hantar Mursi ke taska, walaupun tak semua taska macam tu. Tengok la macamana, masih dalam usaha mencari pengasuh untuk Mursi. Dah la sekarang ni dia asyik meragam aje. Lebih-lebih lagi bila nak tidur, asyik menangis aje. Tak yakin pulak nak tinggal pada pengasuh, takut pengasuh tak tahan dengan dia. Huhu.

Walau apapun, aku sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kami sekeluarga. Andai kata aku terpaksa tolak untuk menjadi cikgu, aku redha demi anak tercinta. Tapi itu pun atas persetujuan suami jugak. Kalau dia setuju aku tak bekerja, aku ikut saja. Kesian kat dia la, dia yang terpaksa tanggung semua. Dah banyak sangat dia berkorban untuk kami. Abang, you are my hero! Love you till jannah!

Wednesday, 27 November 2013

Rumah Sewa

Bismillahirrahmanirrahim.

Baru sekarang aku merasa rutin harian jadi suri rumahtangga. Bangun awal-awal pagi masakkan bekal untuk suami bawak gi keje. Lepas tu kemas-kemas rumah sikit sementara tunggu Mursi bangun. Kalau ada pakaian yang dah kering, lipat dulu. Sebab mesin basuh tak ada lagi buat masa sekarang ni. Tu yang lambat sikit pakaian nak kering. Bila Mursi bangun, mandikan dia dan main-main dengan Mursi. Petang pulak kadang-kadang tak ada buat apa pun, tengok tv je. Lepas suami balik, masak lauk untuk makan malam pulak. Bila dah makan malam, rehat-rehat je la sambil melayan si kecil Mursi sampai tertidur. Begitulah rutin hari berikutnya. Untuk tempoh waktu ni, aku masih rasa seronok sebab dapat jadi suri rumah untuk suami tercinta. Perkara yang aku tak dapat buat selama setahun lebih sepanjang kami PJJ. Tapi, kalau lama-lama macam ni pun boleh bosan juga. Hehe.

Sebelum dapat rumah sewa yang aku duduk sekarang ni, banyak juga la cuba contact orang yang incharge dalam hal ni. Tapi nasib kurang menyebelahi kami. Ada satu hari tu, makcik aku dan suami dia ajak aku pergi tengok dekat flat yang berdekatan Taman Medan ni. Memang banyak flat kat sini. Tapi hari tu sempat singgah 3 flat je. Yang pertama terjumpa dengan kakak cleaner flat tanya-tanya kot ada rumah kosong untuk disewa. Kakak tu cakap mungkin ada, dan minta nombor telefon aku. Dia cakap kalau ada nanti dia beritahu sebab kena tanya ketua flat tu dulu. Tapi sampai sekarang dia tak pernah call. Haish... Flat yang kedua pulak tersalah singgah. Sebabnya flat tu adalah flat PPR. Yang hanya dikhaskan untuk orang-orang yang tertentu saja terutamanya warga Selangor. Sah-sah la aku tak dapat. Akhir sekali flat yang kami singgah adalah flat yang agak rendah dari dua flat sebelumnya.Tapi tak jumpa orang yang tahu tentang status samada terdapat rumah kosong atau tak. Lepas tu kami balik rumah sebab dah petang.

Hujung minggu aku di rumah makcik, suami datang lepas balik kerja. Sabtu tu dia kerja separuh hari. Masih dalam usaha mencari. Dalam tengahari kot, cuba call nombor agen hartanah ni. Alhamdulillah, rumah yang ditanya masih available dan terletak di Damansara Damai. Kami bersetuju untuk pergi melihat rumah tersebut petang ni. Bila dah sampai, terus ambil kunci dari agen (aku tak tahu nama dia siapa) ni dan bersedia untuk melihat rumah yang dimaksudkan. Ada dua rumah sebenarnya, satu  ialah flat di Apartmen Lestari dan satu lagi di Saujana Damansara, rumah kedai. Mula-mula kami pergi flat, tingkat 5 tiada lif! Masuk je dalam rumah tu, bersepah barang yang ditinggalkan tuan rumah sebelum ni. Bilik air pun sempit, sangat tak selesa bagi aku. Kemudian, terus ke rumah yang kedua. Agak pening nak cari rumah kedai ni sebab banyak sangat blok. Akhirnya jumpa jugak, bangunan paling tepi sekali. Rumahnya agak memuaskan, kedudukan hanya di tingkat 1. Lantai bermozek dan ada beberapa perabot yang ditinggalkan oleh tuan sebelumnya. Antara dua buah rumah yang dilihat tadi, aku secara jujurnya memilih rumah ini!

Akhirnya, kami telah sebulat suara bersetuju untuk menyewa rumah kedai tersebut. Sewa bulanannya adalah RM500, tetapi depositnya agak tinggi iaitu RM2250. Deposit ni termasuk sewa bulan pertama (500), 2 bulan sewa (1000) + bil api, air (250) dan juga bayaran perjanjian setahun (500). Suami aku setuju sebab dah penat nak cari rumah lain. Sebelum ni dia agak berkira-kira juga kalau deposit lebih 2 ribu. Takpela, kami terpaksa berjimat-jimat dulu untuk bulan pertama ni sebab dah banyak habis duit. Alhamdulillah, keesokannya kami dah boleh pindah masuk rumah tersebut.


Gambar ruang tamu
Perabot yang aku maksudkan sebelum ni adalah tv, rak tv, mesin basuh (rosak), peti sejuk (rosak), meja makan, tilam, sofa, almari, penyidai pakaian dan kabinet dapur. Atleast boleh la aku gunakan mana-mana yang masih elok. Rumah ni ada tiga bilik dan satu bilik air. Dapurnya tak adalah besar sangat dan tak adalah kecil sangat. Muat la untuk aku memasak sorang-sorang. Hehe. So far setakat hari ni semuanya ok bagi aku. tak ada masalah dan gangguan pelik-pelik. Hari pertama lagi suami dah pagar rumah dengan bacaan al-quran. Insya-Allah dilindungi. Aku boleh agak penyewa sebelum ni adalah bukan Islam, berdasarkan frame gambar yang ditinggalkan, botol beer dalam kabinet dapur dan akhbar yang berbahasa Cina. Tapi aku tak pasti pulak agama apa. Dalam kabinet dapur pun ada banyak peninggalan sebenarnya, tapi suami aku suruh buang semuanya. Untuk keselamatan dan pelihara diri dari segala yang dilarang.

Bila dah pindah masuk rumah ni, aku sangat berharap semoga hubungan aku dan suami akan jadi lebih rapat dan bertambah kasih sayang antara kami. Kami dapat sama-sama melihat Mursi membesar depan mata. Mursi pun boleh merasa kehadiran dan kasih sayang ayahnya setiap masa walaupun agak terbatas sebab suami balik kerja kadang-kadang malam. Aku pun tak lama lagi akan mula kerja jugak. Nanti aku akan ceritakan di lain kali pasal macamana aku dapat kerja ni. Rasanya cukuplah dulu sampai sini corat-coret untuk hari ni. Insya-Allah kalau ada masa dan kesempatan aku akan update lagi. Tata.

Thursday, 21 November 2013

Perjalanan Bermula

Bismillahirrahmanirrahim.

Aduhai, banyak kisah sebenarnya nak cerita. Tapi tak tahu nak mulakan dari mana. Ok, biar aku mulakan dari hari aku dan suami mula meninggalkan Terengganu tercinta.

Akhirnya, pada tanggal 3 November yang lepas, kami bergerak dari rumah. Tapi, perjalanan ni masih belum menuju ke destinasi akhir. Hari ni (3 November) ada majlis kenduri kahwin kawan suami di Kelantan. Tapi sebelum ke sana, kami singgah dulu di rumah Kak Ma, kakak ipar aku di Kampung Batin. Berjumpa untuk kali terakhir sebelum berangkat ke Kuala Lumpur. Bolehlah Kak Ma dan anak-anaknya melepaskan rindu pada Mursi. Lepas ni entah bila pula mereka boleh berjumpa. Dalam tengahari, barulah kami bertolak ke destinasi berikutnya iaitu Machang, Kelantan. Alhamdulillah, selamat sampai dan terus memenuhkan perut yang memang tersedia lapar. Hehe. Kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan adalah kawan satu tempat kerja dengan suami, Suria dan Asma. Aku tak kenal rapat pun dengan mereka. Semasa kami sampai, mereka sedang bergambar. Aku dan suami pun join sekali.


Gambar pengantin kami tak tangkap pun, cuma gambar kami bertiga je yang ada. Merasa jadi pengantin baru semula. Hehe. Ni jugak merupakan gambar pertama kami bertiga, sebelum ni tak pernah lagi ambil gambar bertiga dengan Mursi. :)

Bila dah ambil gambar, suami pun dah berborak-borak dengan kawan-kawan dia, kami meminta diri untuk pulang. Suami memang dah beritahu awal-awal yang kami akan bermalam di rumah Kak Da (kakak ipar) malam ni. Jadi, lepas majlis terus ke sana la. Rumah Kak Da di Panji (kalau tak silap la...), agak pening juga suami nak cari rumah dia. Biasalah, guna GPS. Dah kongsi lokasi melalui whatsapp pun boleh sesat lagi sebab lokasi yang dikongsi kurang tepat. Akhirnya, dalam pukul 6 petang sampai juga ke rumah Kak Da. Abang Ha (suami Kak Da) tak ada kat rumah sebab pergi stadium untuk tengok perlawanan akhir bola sepak antara Kelantan dengan Pahang. Akhirnya kecewa sebab Kelantan kalah malam tu. Abang Ha memang semangat kalau bab bola Kelantan ni. Yang ada kat rumah masa tu anak-anak sedara seramai 7 orang dan Siti (adik ipar) yang bercuti hujung minggu. Dia belajar dekat UiTM Dungun.

Keesokannya barulah kami nak bertolak ke Kuala Lumpur. Tapi memandangkan kami masih belum mempunyai rumah sewa, jadi aku terpaksa menumpang dulu di rumah makcik, Mi di Taman Medan. Dari sini agak dekat dengan tempat kerja suami. Jadi senang untuk dia ulang alik dari bilik sewa dia ke sini. Kami bertolak agak lewat hari tu, dalam pukul 12 tengahari. Semuanya menggunakan GPS. Sampaikan pada awalnya entah jalan mana-mana yang kena lalu untuk keluar dari Kelantan. Jalan kebun getah yang sempit, penuh dengan lubang kiri kanan. Hanya Tuhan je yang tahu perasaan masa tu. Tawakal aje la. Tapi alhamdulillah, akhirnya sampai juga ke rumah makcik dalam pukul 9 malam.

Suami ikut tidur sekali rumah makcik sebab esoknya masih cuti, cuti Awal Muharram. Kami mula mencari rumah sewa. Tu pun hanya melalui internet, web mudah.my. Kebanyakannya deposit rumah agak tinggi walaupun sewa bulanan cuma RM500. Ada tu pulak sejam iklan terus dah ada yang masuk. Susah jugak nak cari rumah sewa ni. Ada je bangunan rumah flat sekitar sini, tapi tak mula mencari lagi. Lagipun tak tahu nak mula dari mana. Tak apa la, cari ikut internet dulu.

Sebelum dapat rumah sewa, aku menumpang di rumah Mi selama lebih kurang seminggu juga. Hari Ahad berikutnya barula kami dapat rumah sewa. Cukup la dulu untuk kali ni. Untuk next entry, aku akan cerita lebih lanjut lagi pasal rumah sewa ni ye. Semoga kehidupan aku dan kalian semua lebih baik hendaknya. Tata. Wasalam.