Bismillahirrahmanirrahim.
Ok, sebelum ni aku ada bagitau yang aku akan kerja tak lama lagi. Dan Alhamdulillah, aku bakal menjadi cikgu sekolah tak lama lagi, Insya-Allah. Macamana aku dapat kerja tu?
Begini ceritanya. :) Hari terakhir aku di tempat kerja yang lama dulu, kawan satu jabatan aku, Ida ada bagitau yang dia ada hantar resume melalui emel ke sekolah ni, Sekolah Rendah Islam Pintar (SRIP) di Shah Alam. Dan dia berjaya dipanggil interview pada 6, 7, atau 8 November. Memandangkan ianya masih terbuka, aku pun cuba nasib juga. Bukan aku seorang yang cuba nasib, Kak Yana dan Ain pun sekali. Ye la, semua dah tak sanggup nak berlama-lama di K**T ni.
Aku hantar emel masa tu dah petang, lepas balik dari makan tengahari. Tak sampai sejam, aku dapat balasan emel untuk menghadiri interview pada tarikh yang sama. Bila aku dah dapat balasan emel, barulah Kak Yana dan Ain pun terus hantar. Mereka pun sama-sama dapat panggilan interview yang sama. Bukan main seronok kami masa tu sebab semua dapat panggilan interview. Dah siap rancang nanti nak pergi sama-sama (Ida, Kak Yana dan Ain) dan nak jumpa kat KL kononnya. Aku kemungkinan memang dah ada kat KL masa tu. Tapi, last-last aku seorang je yang pergi interview, yang lain semua tak jadi pergi.
Oleh kerana aku seorang je yang jadi, suami setuju nak teman aku pergi interview. 6 November lepas, aku ditemani suami pergi ke sekolah tersebut yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam. Aku pergi dari rumah makcik kat Taman Medan. Suami aku kerja separuh hari aje hari tu, sebab nak teman aku punya pasal. Terima kasih sayang. Mursi aku tinggalkan pada sepupu yang dah tak pergi sekolah untuk dijaga, tapi sebelum aku turun dari rumah, makcik pun dah balik dari kerja. So, aku takdela risau sangat sebab Mursi ada orang yang jaga.
Sampai je aku kat sekolah tersebut, aku diminta isi borang dan terpaksa menunggu sebelum tiba giliran aku dipanggil. Sebenarnya aku tak buat sebarang persediaan untuk ditemuduga. Aku hanya tawakal pada Allah, kalau ada rezeki dapatlah. Aku kasihankan suami aku yang terpaksa bekerja keras untuk mencari nafkah kami sekeluarga. Aku memang pasrah kalau gaji yang ditawarkan adalah lebih rendah dari kerja sebelum ni. Niat aku cuma nak bantu suami. Semasa temuduga, aku seolah-olah diajak berbual sahaja oleh 2 orang panel. Aku tahu orang yang menemuduga aku ni adalah orang kuat sekolah tersebut. Sebab aku dah tengok carta organisasi sekolah semasa menunggu tadi. Menurut mereka, memang gaji adalah agak rendah dari apa yang aku minta. Keputusan temuduga akan diberitahu kemungkinan pada 17 November nanti.
Namun, pada 12 November yang lepas aku mendapat mesej. Mesej yang mengatakan aku diterima untuk berkhidmat di SRIPBJ dan diminta memberi jawapan penerimaan atau penolakan sebelum 20 November. Aku tidak terus membalas mesej tersebut sehinggalah aku tanya pendapat suami. Suami suruh tanya mengenai gaji terlebih dahulu, kalau melebihi seribu bolehlah diterima. Kalau kurang dari itu, mungkin ditolak sebab kurang berbaloi jugak kot. Banyak melibatkan kos juga nanti kalau dah kerja. Keesokannya aku hubungi nombor tersebut dan alhamdulillah, aku telah menerima jawatan sebagai guru di Sekolah Rendah Islam Pintar Bukit Jelutong. Tapi tarikh mula kerja masih belum diberitahu, mungkin akan diberitahu kemudian bila dah dekat nak buka sekolah.
Masalah yang sedang bermain di fikiran aku dan suami sekarang ialah nak mencari pengasuh Mursi. Kalau boleh, aku tak mahu Mursi dihantar ke taska dulu. Sebab dia kecil lagi dan memandangkan sejak kebelakangan ni banyak cerita yang memburukkan taska pada kaca mata aku sedang berlegar-legar di tv mahupun di media sosial. Aku jadi takut dan fobia nak hantar Mursi ke taska, walaupun tak semua taska macam tu. Tengok la macamana, masih dalam usaha mencari pengasuh untuk Mursi. Dah la sekarang ni dia asyik meragam aje. Lebih-lebih lagi bila nak tidur, asyik menangis aje. Tak yakin pulak nak tinggal pada pengasuh, takut pengasuh tak tahan dengan dia. Huhu.
Walau apapun, aku sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kami sekeluarga. Andai kata aku terpaksa tolak untuk menjadi cikgu, aku redha demi anak tercinta. Tapi itu pun atas persetujuan suami jugak. Kalau dia setuju aku tak bekerja, aku ikut saja. Kesian kat dia la, dia yang terpaksa tanggung semua. Dah banyak sangat dia berkorban untuk kami. Abang, you are my hero! Love you till jannah!
No comments:
Post a Comment