Bismillahirrahmanirrahim.
Salam buat semua.
Alhamdulillah, seronok aku melihat perkembangan si jantung hati Mursi di depan mata. Usianya sudah nak memasuki 6 bulan dalam beberapa hari lagi. Masih belum boleh merangkak, tetapi cubaan untuk merangkak sudah ada. Punggungnya selalu diangkat, cuma tangan dia sahaja yang belum pandai. Mungkin dalam sedikit masa lagi. Sekarang semakin mencabar untuk mengendalikan dia terutamanya semasa mandi. Biasanya aku hanya dirikan dia sahaja ketika mandi. Tapi sekarang dia sudah pandai untuk meneroka apa sahaja yang ada di sekelilingnya. Dia sudah pandai berpusing-pusing badan seluruh bilik mandi. Yang lagi seronok tengok ialah apabila dia menepuk-nepuk air yang penuh dalam baldi. Ekspresi muka dia sangat takjub dengan apa yang dia lihat.
Sekarang Mursi sudah kemas dalam mencapai dan menggenggam sesuatu. Yang paling dia suka capai ialah rambut ummi dia. Kalau dia dapat dan tarik, memang akan ada rambut yang terlekat di tangannya. Adui, botaklah ummi kalau macam ni selalu Mursi... Kadang-kadang kalau dia pegang dan main dengan patung mainan dia yang 2 ekor itu, (aku bagi nama Morso dan Marsa) sampai berbuih-buih la mulut dia. Terlampau khusyuk. Bila hendak tidur, sekarang ni dia hendak ummi dia yang dodoikan. Sebelum ni sudah boleh dodoikan terus dari atas tilam, tapi sekarang kena ummi dia dodoikan sambil beriba pulak. Tapi alhamdulillah, bagi aku Mursi tidak banyak buat perangai. Cuma kadang-kadang saja dia menangis bila hendak tidur. Tapi biasanya aku akan tahu bila masa dia dah mengantuk.
Namun, bermula bulan depan ummi sudah tidak boleh 24 jam lagi dengan Mursi. Ummi akan mula bekerja minggu depan. Alhamdulillah, aku telah diterima bekerja sebagi guru di salah sebuah sekolah swasta di Kota Damansara. Integrated Islamic School Kota Damansara (IISKD) bakal menjadi tempat aku mencari rezeki bagi membantu suami dari segi kewangan. Aku telah menjalani temuduga pada 13 Februari yang lepas. Apa yang aku hendak kongsikan ialah sekolah ini merupakan sebuah sekolah yang menjadikan konsep tarbiyah sebagai kaedah pendidikannya. Dalam borang yang aku perlu isi sebelum temuduga, terdapat beberapa soalan yang tidak dijangka. Contohnya, 'pada pendapat anda, apakah konsep Pendidikan Islam yang perlu diterapkan?', 'adakah anda pernah menyertai mana-mana persatuan dakwah dan apakah sumbangan anda?', dan beberapa soalan lagi yang agak mencabar pengetahuan dan pendapat aku. Satu perkara lagi yang menarik perhatian ialah calon yang merokok adalah tidak layak memohon. Jadi, dari situ aku berpendapat bahawa sekolah ini amat menjaga asas pendidikannya.
Memandangkan nama sekolah ini dalam Bahasa Inggeris, jadi sudah boleh diagak bahawa ia merupakan sekolah yang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Aku ditemuduga oleh panel dari Nigeria, yang menjadi guru di sini. Dari pemerhatian aku, kebanyakan guru di sini adalah merupakan foreigner. Sudah semestinya aku ditemuduga dalam English! Oh, sudah lama aku tidak bercakap dalam bahasa tersebut. Sekiranya aku diterima bekerja, semestinya aku terpaksa mempraktikkan bahasa ini dalam percakapan sehari-hari. Selepas sesi temuduga, panel tersebut berpuas hati dan aku terpaksa melalui fasa yang kedua iaitu microteaching. Sebelum masuk kelas untuk mengajar, aku terlebih dahulu diberikan buku dan perlu memilih mana-mana tajuk yang akan diajar. Subjek yang diberikan ialah Sains Tahun 6. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Pelajar-pelajar semuanya memberikan kerjasama yang baik dan ceria. Aku amat teruja dan satu pengalaman yang baru bagi aku.
Setelah selesai semuanya, terdapat satu lagi fasa yang aku perlu lalui iaitu berjumpa dengan ahli lembaga pengarah sekolah ini. Tapi ianya akan dimaklumkan kemudian. Petang hari tersebut, aku mendapat panggilan daripada sekolah ini, dan memaklumkan supaya datang kembali ke sekolah pada Khamis 20 Februari untuk berjumpa dengan orang yang berkenaan. Alhamdulillah, hasil daripada perjumpaan ini akhirnya aku telah diterima untuk berkhidmat di sini sebagai guru dan akan memulakan tugas pada bulan depan iaitu 3 Mac 2013, insya-Allah. Syukur pada-Mu ya Allah kerana telah memakbulkan doaku. Mungkin ini adalah hadiah hari jadiku pada hari sebelumnya.
Untuk itu, aku terpaksa mencari pengasuh untuk Mursi. Aku juga perlu mempersiapkan mental dan fizikal untuk mula bekerja kerana aku akan mengajar sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris. Tidak dapat tidak aku terpaksa meningkatkan kemahiran komunikasi dalam bahasa tersebut. Walaupun semasa microteaching yang lepas aku ada terkeluar hanya SATU ayat Melayu, itu pun telah ditegur oleh panel yang menilai. Strictly must fully English! Insya-Allah aku dapat mengatasi cabaran tersebut. Semoga segalanya akan berjalan lancar.
p/s: Tak sabar hendak suapkan Mursi makanan pejal pertama. Minggu depan dah boleh makan!




