Bismillahirrahmanirrahim.
Salam buat semua.
Dalam perjalanan balik dari membeli barang dapur Ahad lepas, suami bertanya samada hendak ke taman atau tidak. Dengan pantas aku menjawab 'Nak pergi!'. Dia bertanya lagi, dan jawapanku masih tetap sama. Sampai tiga kali suamiku bertanyakan soalan yang sama. Aku rasa suara aku dah cukup kuat untuk didengari oleh suami yang memandu di sebelah. Rupa-rupanya dia ingatkan aku bertanya balik dekat dia, 'nak pergi?'. Pentingnya nada yang betul semasa bertanya dan menjawab soalan. :) Sebenarnya dah banyak kali dia berjanji hennak membawa aku dan Mursi berjalan-jalan ke taman, tak kisahlah taman yang mana. Tapi setiap kali itulah rancangan hanya tinggal rancangan. Akhirnya minggu lepas tertunailah hajat aku untuk beriadah di taman.
Taman yang aku maksudkan adalah Taman Layang-layang Metropolitan yang terletak di Kepong, Kuala Lumpur. Taman inilah yang paling dekat dengan rumah kami. Taman ini di tengah-tengah laluan jalanraya, jadi trafik ke sini kalau dah petang memang agak sesak. Memang akan bersusun kereta di tepi jalan beberapa meter di laluan masuk ke sini. Kalau sesiapa yang selalu menonton drama tv, mesti akan perasan ada scene dalam drama yang dilakukan di sini. Kami bertolak dari rumah lepas solat Asar. Lebih kurang 15 minit kemudian kami tiba ke tempat yang dituju.
Suami parking kereta di laluan yang bertentangan dengan pintu masuk ke taman dan menyeberangi melalui jejantas. Pada pendapat aku, taman ini memang menjadi tumpuan sebab ia merupakan salah satu kawasan rekreasi yang besar, boleh melakukan pelbagai aktiviti di samping mempunyai tasik yang luas. Orang ramai berpusu-pusu masuk ke sini. Dan yang pasti aktiviti utama di sini ialah bermain layang-layang. Bermula dari pintu masuk lagi telah ada penjual yang menjual layang-layang pelbagai jenis dan warna. Tapi tujuan kami bukan hendak bermain layang-layang pun. Cuma ingin meluangkan masa bersama-sama sambil beriadah. Aku sebenarnya hendak membawa Mursi ke tempat yang ramai orang supaya dia boleh menerokai dunia luar. Bukan sekadar sehari-hari di dalam rumah bersama ummi sahaja. Malangnya, dia lebih suka tidur daripada melihat orang ramai, mungkin disebabkan angin yang mendodoi. :)
Kawasan di sini memang luas, selain daripada padang yang boleh tahan luas untuk bermain layang-layang, turut disediakan trek bagi orang yang ingin berjoging. Selain daripada itu, ada juga yang berbasikal. Dan yang paling menarik perhatian aku ialah kawasan rata yang boleh bermain roller-blade dan skate board. Tiba-tiba rasa teringin hendak bermain roller-blade. :) Kami berjalan melalui kawasan tasik, menurut suami ia adalah tasik semulajadi. Tasiknya agak luas, tapi aku tidak dapat melihat sebarang aktiviti tasik. Mungkin tiada aktiviti seperti berkayak dan lain-lain. Riadah kami hanyalah berjalan melihat pemandangan. Walaupun hanya berjalan, berpeluh jugak. Sudah agak lama aku tidak melakukan aktiviti sebegini apatah lagi selepas berkahwin. Dulu semasa belajar selalu beriadah di Taman Tasik Titiwangsa.
Lebih kurang sejam di sini, kami mengambil keputusan untuk mula beransur pulang. Mursi terjaga semasa dalam perjalanan ke kereta. Mursi, Mursi... bertuah betul anak ayah dengan ummi ni. Suami cakap lepas ni mungkin boleh datang lagi. Aktiviti hujung minggu sebegini sebenarnya boleh mengeratkan lagi hubungan antara kami. Kalau hari biasa, suami sibuk bekerja, pulang pun hari sudah menjelang malam. Kurang komunikasi dalam rumahtangga. Jadi hari minggu sebeginilah sepatutnya dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Minggu depan ke mana la pula agaknya ye? Hurm...

No comments:
Post a Comment