Bismillahirrahmanirrahim.
Salam buat semua.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana masih diberi peluang untuk hidup hari ini. Alhamdulillah jua, aku dikurniakan seorang suami. Sebab masih ramai yang belum bertemu dengan jodoh masing-masing. Syukur jua dipanjatkan kerana suamiku adalah yang terbaik. Suami yang baik adalah suami yang sedar akan tanggungjawabnya dalam rumahtangga. Mempunyai kerja yang baik, mampu memberi nafkah buat keluarganya. Jua yang bersifat baik terhadap isteri dan berlemah lembut dengannya. Aku menerima suamiku seadanya, walaupun aku sedar aku bukanlah yang terbaik. Setiap insan pasti punya kelemahan dan kekurangan yang perlu dilengkapi oleh pasangan masing-masing.
Hari ini teringin untuk berkongsi sesuatu yang agak serius. :) Mengenai perkahwinan. Sebagi seorang isteri, aku pasti semua ingin menjadi isteri yang solehah dan penyejuk hati buat suami. Aku juga begitu, dan aku juga sedar yang aku bukanlah solehah di mata suami. Aku masih belajar untuk menjadi seorang isteri yang lebih bersifat penyabar, seorang yang lebih bertolak ansur, pandai memikat dan mengambil hati suami, serta seorang yang tidak terlalu sensitif terhadap perkara-perkara yang remeh. Dalam aku belajar, aku ada terbaca mengenai wasiat seorang ibu buat anak perempuannya sebelum dia berkahwin pada zaman kegemilangan Islam.
Wasiat ini adalah dari isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah
dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja
hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat
kepada anak perempuannya:
“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku
percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan
untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal. Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan
kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup
tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan
untuk mereka.
Wahai puteriku, sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu
dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada
seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana
itu, jadilah ‘budak’ wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi ‘budak’
bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.
Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.
Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.
Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.
Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.
Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.
Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya.
Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya.
Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada
pengkhianatannya.
Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih
atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang
yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.
Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.
Ketahuilah,
sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu
mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan
kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau
yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.”
Walaupun begitu, nasihat yang diberikan adalah berdasarkan kepada beberapa asas yang penting. Antaranya adalah:
- Suami yang dicari adalah suami yang beriman lagi taat kepada perintah Allah.
- Ketaatan kepada suami adalah wajib dengan syarat beliau tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah.
- Begitulah hukum Allah, di sana sentiasa ada ‘dua bahagian muka syiling’. Kalau diperhati setiap nasihat di atas, perbuatan kita yang positif akan menghasilkan reaksi dan tindak balas positif juga dengan izin Allah.
Semoga segala nasihat dan panduan yang diberikan akan menjadi pegangan buat aku serta sahabat-sahabat lain di luar sana. Jika ada sikap atau perangai suami yang tidak berkenan di hati, jangan mencemuh atau bersifat benci kepadanya. Sentiasa ingat bahawa dialah suami, syurga kita nanti. Teruskan berdoa agar suami berubah menjadi pemimpin keluarga yang lebih baik dan terbaik. Kita hanya mengenalinya selepas berkahwin, sedangkan dia telah biasa dengan kehidupannya selama berpuluh-puluh tahun sebelum bersama kita. Jadi perubahan akan mengambil masa yang agak lama. Teruskan berdoa dan berdoa, nescaya Allah tidak akan menghampakan hamba-Nya.
Semoga perkongsian kali ini memberi sedikit manfaat buat semua, insya-Allah.

No comments:
Post a Comment