Monday, 19 May 2014

Hari Sukan Sekolah

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam buat semua.

Hari ini aku terpaksa ambil cuti disebabkan pengasuh Mursi pulang ke kampung kerana ibunya sakit. Mursi pun sekarang sedang tidur dan mood untuk menulis blog tiba-tiba pula ada. Jadi apa tunggu lagi, sementara masih ada mood ni, baik update entri barang satu ataupun dua. :)

Pada awal bulan yang lalu, aku berpeluang mengikuti aktiviti Hari Sukan sekolah tempat aku bekerja. Kalau ikutkan sudah agak lama juga aku tidak beriadah sebegini. Tapi kali ini, aku bertindak sebagai seorang guru yang terpaksa menguruskan pelajar-pelajar yang mengambil bahagian dalam acara sukan. Seronok jugak sebenarnya bila dah lama tak terlibat dengan aktiviti sebegini. Memandangkan aku merupakan salah seorang staf yang agak baru di sekolah, jadi aktiviti sebegini sedikit sebanyak mampu merapatkan dan membina ukhuwwah antara aku dan juga guru-guru yang lain. Alhamdulillah, ada hikmahnya.

Aku dan kawan-kawan yang berselfie bersama :)
Kalau dulu masa sekolah, padang memang dah siap ada di sekolah masing-masing. Tapi bila sekolah di kota metropolitan ni, sekolah jarang yang ada padang sendiri. Jadi, sekolah aku terpaksa menyewa padang sekolah lain, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 10 Kota Damansara. Sekolah ni menjadi laluan aku setiap hari apabila hendak ke tempat kerja. jadi, tidak susah untuk suami mencari destinasinya. Staf sepatutnya dijadualkan kena berada di padang sekolah pada pukul 7 pagi. Tapi memandangkan aku ada anak kecil faham-faham aje lah. Mursi terpaksa aku tinggalkan di rumah pengasuh pada hari tersebut.

Aku bertugas sebagai ahli jawatankuasa makanan dan juga guru yang bertanggungjawab menguruskan pelajar bagi acara yang melibatkan pelajar darjah rendah, 1, 2 dan 3. Antara acara yang dipertandingkan ialah isi air dalam botol menggunakan span, melontar bola terbanyak ke dalam bakul, bawa bola ping pong dalam sudu, dan juga berlari dalam guni. Ada tiga rumah sukan yang bertanding iaitu rumah Merah, Hijau dan juga Biru. Apa yang seronoknya ialah bila dapat melihat pelajar-pelajar bersungguh-sungguh untuk menang. Mereka seronok bila dapat pingat selepas bermain. Kedudukan pertama, kedua dan ketiga semuanya dapat pingat. Ada pelajar yang menyertai semua acara yang dipertandingkan. Jadi, banyaklah pingat yang dia dapat.

Pelajar kelas aku, seronok dapat pingat. :)
Bila hari menginjak ke tengahari, hari dah semakin panas. Tapi syukur juga sebab cuaca baik. Hari sebelumnya cuaca hujan, nasib baik hari kejadian tidak hujan. Kesemua acara pelajar selesai dalam pukul 12 tengahari. Acara untuk guru dan pelajar juga turut dipertandingkan. Objektif utama adalah untuk mengurangkan jurang antara pelajar dan guru. Bagi pelajar dan guru perempuan, acara yang dipertandingkan ialah bola jaring. Pada awalnya, aku tidak ikut serta. Namun, selepas salah seorang dari guru sudah agak penat, aku mengambil keputusan untuk menggantikan dia. Bila lagi nak keluarkan peluh dan beriadah, ya tak? :) Aku bermain sekadar suka-suka saja. Tapi beruntung juga aku turut serta sebab dapat hadiah bekas makanan. Team cikgu menang. 

Gemuknya aku dalam gambar ni. Mungkin hanya ilusi optik. :P
Bila semua sudah selesai, kami mengemaskan apa-apa yang patut. Guru-guru dan staf yang terlibat disediakan makan tengahari iaitu nasi ayam. Semua telah beransur meninggalkan sekolah. Aku terpaksa menunggu suami pulang dari kerja. Hari Sabtu suami aku bekerja separuh hari. Alhamdulillah, hari sukan berakhir dengan jayanya. Tetapi ada juga permasalahan yang timbul. Memandangkan aku merupakan salah seorang ajk makanan, aku merasakan agak tidak patut sekiranya menyediakan makanan yang telah tamat tarikh luput kepada pelajar. Biskut tiger yang disediakan kepada pelajar untuk makan pagi ada antaranya yang telah tamat tarikh luput. Kami bahagian guru semua berharap agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku kepada pelajar.

Kesimpulannya, lepas ni insya-Allah akan banyak lagi aktiviti yang akan aku sertai. Dan aku akan cuba untuk berkongsi di sini, bukan apa sebagai kenangan untuk aku juga. Supaya ia tidak luput dari ingatan, akan teringat balik bila aku membacanya di sini. Untuk akhirnya, salam sayang buat semua. Wasalam.

Sunday, 4 May 2014

Suasana Kerja di Tempat Baru

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam buat semua.

Sebenarnya sudah agak lama aku ingin kongsikan mengenai suasana kerja di tempat baru. Namun, selalu tidak berkesempatan. Dengan rutin harian yang bertambah sejak mula bekerja dan juga masa terluang yang sedikit itu sedaya upaya dihabiskan untuk bersama dengan si permata hati. Iyalah, semenjak aku bekerja perasaan bersalah aku terhadap Mursi tidak pernah hilang. Rasa bersalah sebab tidak berjaya menjaga sendiri dan memberi didikan yang sempurna serta terpaksa menghantar dia ke rumah pengasuh. Jadi, masa yang berbaki aku akan gunakan dengan sebaik-baiknya.

Alhamdulillah, sudah genap dua bulan aku bekerja di IISKD. Aku semakin selesa dan telah selesai melalui fasa adaptasi walaupun mungkin ada sesetengah perkara lagi yang aku belum tahu sepenuhnya. Pada hari pertama aku mendaftar kerja, aku bersama 3 orang lagi staf baru perlu melalui orientasi. Ini bertujuan untuk mendedahkan kami mengenai segala yang berkaitan dengan sekolah dan perkara-perkara yang perlu kami ambil tahu lebih-lebih lagi berkenaan sesi pengajaran dan pembelajaran. Nasib baik pelajar sedang menduduki ujian penilaian berterusan (continual assessment), jadi tiada kelas pada minggu tersebut. Kalau tidak, mungkin aku akan terus mendapat jadual dan perlu mengajar pada hari pertama.

Orientasi berjalan selama 3 hari, banyak perkara yang aku belajar. Aku ditugaskan untuk mengajar subjek Sains bagi pelajar Tahun 3 dan 4. Gementar juga bila pertama kali perlu mengajar budak sekolah rendah ni, sebab sebelum ini mengajar budak besar. Tapi alah bisa tegal biasa. Memang pada setiap permulaan akan susah, namun lama kelamaan bila kita telah biasa, ianya akan menjadi mudah. Alhamdulillah. Kini, baru aku faham erti menyediakan pelan pengajaran (lesson plan) yang sebenar. Di sini, aku perlu menyediakan lesson plan untuk seminggu yang mana perlu dihantar kepada subject coordinator untuk diperiksa dan kepada HEA untuk dicop pada setiap hari Isnin setiap minggu. Sebelum ini, di tempat kerja lama perlu juga menyediakan lesson plan, namun aku boleh cilok-cilok untuk tidak buat. Di sini, tidak boleh lagi, tidak dapat tidak kena buat juga.

Biasanya aku akan siapkan lesson plan pada hujung minggu.
Pada minggu kedua aku bekerja, aku telah diamanahkan untuk menjadi guru kelas (homeroom teacher) bagi kelas Primary 3 Al-Qamar. Ini adalah kerana guru kelas sebelum ini telah berhenti untuk sambung belajar di peringkat master. Pada awalnya, aku agak keberatan juga, namun lama-kelamaan seronok juga. Bila menjadi guru kelas, aku akan selalu dikelilingi dengan budak-budak. Guru kelas atau homeroom teacher kat sekolah ini perlu berada di dalam kelas setiap masa melainkan jika perlu mengajar. Tempatnya bukan di dalam bilik guru. Jadi, jika pelajar ada sebarang masalah, mereka akan merujuk kepada aku selaku homeroom teacher mereka.

Antara aktiviti pelajar kelas P3 Al-Qamar
Di sini, pengisian rohani untuk guru pun tidak terkecuali. Pada pukul 8-9 pagi akan ada sesi halaqah untuk guru sementara pelajar akan ada sesi kelas hafazan. Kelas akademik akan bermula pada pukul 9 pagi. Kemudian, pelajar akan rehat untuk sarapan serta solat dhuha sebelum meneruskan sesi pembelajaran. Waktu makan tidak kira sarapan atau tengahari adalah berbeza untuk sekolah rendah dan juga sekolah menengah. Selepas makan tengah hari, mereka akan solat zuhur secara berjemaah dan seterusnya menyambung sesi pembelajaran sehingga pukul 3.40 petang. Antara pukul 3.40 hingga pukul 4.00 petang sepatutnya sesi homeroom. Pada masa ini homeroom teacher akan mengingatkan pelajar mengenai kerja rumah pada hari tersebut serta berikan kata-kata nasihat serta perangsang untuk mereka. Selepas itu, pelajar dibenarkan pulang. Masuk waktu asar, ustaz akan menjadi imam bagi pelajar-pelajar yang masih belum dijemput pulang oleh ibu bapa masing-masing. Guru-guru dan staf lain tamat waktu kerja pada pukul 5 petang. Tapi biasanya aku akan balik agak lewat disebabkan terpaksa menunggu suami yang habis kerja pada pukul 5.30 petang. Dalam tempoh itu, aku akan menyiapkan apa-apa kerja yang patut.

Insya-Allah aku akan ikhlaskan hati semasa bekerja di sini. Aku sebenarnya sedang menyemai pahala dengan mengajar mereka ilmu yang aku ada. Semoga dengan apa yang aku curahkan kepada mereka, mereka akan menjadi seorang insan yang berguna di masa yang akan datang. Jika berkesempatan, aku akan masukkan Mursi ke sekolah ini juga. Itupun kalau mampu, sebab mesti yurannya mahal kerana sekolah swasta. Walau apapun, doakan aku akan terus berjaya di dalam hidup!

Thursday, 1 May 2014

Kenduri Di Melaka

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam buat semua.

Alhamdulillah, masih berkesempatan meneruskan kehidupan hingga ke saat ini. Mursi semakin membesar, namun masa yang aku luangkan untuk dia semakin terbatas. Sudah hampir dua bulan aku bekerja di sekolah swasta yang aku ceritakan sebelum ini. Dan sepanjang tempoh itu juga Mursi dijaga oleh pengasuhnya. Dihantar ke rumah pengasuh dari awal pagi, lebih kurang dalam pukul 7.15 pagi, dan diambil pula lepas aku dan suami balik dari kerja lebih kurang pukul 6.15 petang. Bayangkan betapa lama masa yang aku kerugian untuk melihat perkembangannya sehari-hari? :(

Namun, aku sangat bersyukur dikurniakan anak yang sebaik Mursi. Dialah penyejuk hati dan penenang jiwa setelah aku balik dari kerja. Senyuman dan gelagatnya yang mencuit hati selalu membuatkan aku tertawa sendiri. Jika dibandingkan antara aku dengan suami, Mursi lebih selesa bersama dengan umminya. Biasa la, jiwa dan kasih sayang seorang ibu lebih tulus untuk si anak. Chewahh! :) Mursi tidak banyak ragamnya. Sejak hari pertama aku menyuap dia makanan pejal, dia makan apa sahaja yang aku sediakan. Langsung tidak memilih. Bermula dengan puri buah, sehinggalah sekarang sudah makan bubur nasi. Setiap kali masa makan, apa yang disuap semua akan habis dimakan. Alhamdulillah. Ya Allah, syukur sangat.

Mursi juga seorang anak yang tidak kuat merengek. Sesetengah bayi atau budak kecil, kalau tak kena sedikit saja mesti dah menangis. Tapi kalau Mursi, kadang-kadang bila hendak tidur pun dia masih tersenyum. Bila ditepuk-tepuk, tengok-tengok dia dah terlelap. Tapi biasanya aku akan tahu bila dia mengantuk. :) Baru-baru ini juga aku dengan kawan, Ida berpakat pergi ke kenduri kahwin kawan kami semasa bekerja di KIST dulu, Haziah. Semestinya aku membawa Mursi bersama. Pada awalnya, aku risau juga sebab takut Mursi buat hal semasa dalam perjalanan ke Melaka. Tapi alhamdulillah, Mursi baik sepanjang perjalanan pergi. Cuma merengek sedikit semasa dalam perjalanan pulang, mungkin sebab dia lapar dan letih sangat setelah seharian berjalan.

Kami bertolak lebih kurang dalam pukul 11.30 pagi. Ida datang menjemput aku dengan Mursi di rumah. Alhamdulillah, agak lama tidak bersua akhirnya dapat berjumpa lagi dengan Ida. Sepanjang perjalanan, banyak perkara yang kami bualkan. Mursi seronok bila dapat keluar jalan-jalan bersama dengan ummi. Lebih kurang tiga jam kemudian, kami akhirnya tiba ke tempat yang dituju. Ketika ini, pengantin sedang sibuk bergambar. Zya aku lihat cantik dan jelita mengenakan pakaian pengantin berwarna kuning. Memang macam raja sangat, maklumlah raja sehari.

Permaisuri di singgahsana, lengkap persalinan kuning... :)
Semasa di kenduri itu juga, kami berpeluang berjumpa dengan seorang lagi rakan sekerja semasa di KIST dulu, Ain. Alhamdulillah, Allah rezekikan aku dan Ida untuk berjumpa Ain di sini. Ain pun sudah tidak lama lagi bakal naik pelamin juga, Insya-Allah pada bulan Ogos nanti. Pada pertemuan ini juga aku boleh mengetahui perkembangan masing-masing. Alhamdulillah juga, Ain sekarang bakal bekerja di sebuah farmasi di kampung halamannya di Pahang. Semasa berjumpa, dia ada menyatakan bahawa dia akan mula bekerja pada pertengahan bulan nanti iaitu 15 April. Semoga segala urusanmu dimudahkan dik! Rezeki Allah ni di mana-mana, apatah lagi untuk orang yang bakal mendirikan masjid. Allah pasti akan bagi jalan-Nya.
 
Ida, Ain, Mursi dan Ummi...
Sebelum bertolak balik, kami sempat bergambar bersama-sama dengan pengantin. Tapi kami tidak sempat berbual banyak. Maklum sahaja raja sehari. Mesti tak menang tangan nak layan tetamu. Lagipun Zya ada sesi fotografi outdoor pulak. Teringat aku akan kekecohan dan keletahnya semasa kami masih bergelar rakan sekerja. Kalau Zya tidak banyak cakap, mungkin aku tidak berapa rapat dengannya. Disebabkan sikap peramah dialah yang membuatkan aku cepat mesra dengan Zya dan juga Ain.

Maaf Zya, akak terlindung pengantin pulak. Tak perasan. :)
Pesanan untuk Zya dan juga Ain yang bakal pengantin, jadilah seorang isteri yang solehah. Tidak mudah sebenarnya untuk menjadi solehah, perlukan kesabaran yang tinggi. Hormati suamimu selayak dia yang akan menentukan kamu ke syurga atau neraka. Zya, barakallahu lakuma. Selamat melayari alam rumahtangga, semoga masjid yang dibina akan berkekalan sehingga ke syurga, amin... Tidak lupa juga untuk Ida, nanti kalau dah sampai jodoh jangan lupa jemput akak jugak. Kalau ada rezeki lagi, akak nak ikut sekali pergi kenduri Ain nanti. Itupun kalau ada rezeki. Rasanya macam cuti sekolah, so mungkin awak pergi dari Besut. :)

Gembira untuk perkembangan adik-adikku ini. Semoga ukhuwah akan terus terjalin walaupun masing-masing telah ada laluan sendiri. Insya-Allah lain kali aku akan kongsikan lagi cerita dan perkongsian untuk semua. Wasalam walhamdulillah.