Salam buat semua.
Sebenarnya sudah agak lama aku ingin kongsikan mengenai suasana kerja di tempat baru. Namun, selalu tidak berkesempatan. Dengan rutin harian yang bertambah sejak mula bekerja dan juga masa terluang yang sedikit itu sedaya upaya dihabiskan untuk bersama dengan si permata hati. Iyalah, semenjak aku bekerja perasaan bersalah aku terhadap Mursi tidak pernah hilang. Rasa bersalah sebab tidak berjaya menjaga sendiri dan memberi didikan yang sempurna serta terpaksa menghantar dia ke rumah pengasuh. Jadi, masa yang berbaki aku akan gunakan dengan sebaik-baiknya.
Alhamdulillah, sudah genap dua bulan aku bekerja di IISKD. Aku semakin selesa dan telah selesai melalui fasa adaptasi walaupun mungkin ada sesetengah perkara lagi yang aku belum tahu sepenuhnya. Pada hari pertama aku mendaftar kerja, aku bersama 3 orang lagi staf baru perlu melalui orientasi. Ini bertujuan untuk mendedahkan kami mengenai segala yang berkaitan dengan sekolah dan perkara-perkara yang perlu kami ambil tahu lebih-lebih lagi berkenaan sesi pengajaran dan pembelajaran. Nasib baik pelajar sedang menduduki ujian penilaian berterusan (continual assessment), jadi tiada kelas pada minggu tersebut. Kalau tidak, mungkin aku akan terus mendapat jadual dan perlu mengajar pada hari pertama.
Orientasi berjalan selama 3 hari, banyak perkara yang aku belajar. Aku ditugaskan untuk mengajar subjek Sains bagi pelajar Tahun 3 dan 4. Gementar juga bila pertama kali perlu mengajar budak sekolah rendah ni, sebab sebelum ini mengajar budak besar. Tapi alah bisa tegal biasa. Memang pada setiap permulaan akan susah, namun lama kelamaan bila kita telah biasa, ianya akan menjadi mudah. Alhamdulillah. Kini, baru aku faham erti menyediakan pelan pengajaran (lesson plan) yang sebenar. Di sini, aku perlu menyediakan lesson plan untuk seminggu yang mana perlu dihantar kepada subject coordinator untuk diperiksa dan kepada HEA untuk dicop pada setiap hari Isnin setiap minggu. Sebelum ini, di tempat kerja lama perlu juga menyediakan lesson plan, namun aku boleh cilok-cilok untuk tidak buat. Di sini, tidak boleh lagi, tidak dapat tidak kena buat juga.
![]() |
| Biasanya aku akan siapkan lesson plan pada hujung minggu. |
![]() |
| Antara aktiviti pelajar kelas P3 Al-Qamar |
Insya-Allah aku akan ikhlaskan hati semasa bekerja di sini. Aku sebenarnya sedang menyemai pahala dengan mengajar mereka ilmu yang aku ada. Semoga dengan apa yang aku curahkan kepada mereka, mereka akan menjadi seorang insan yang berguna di masa yang akan datang. Jika berkesempatan, aku akan masukkan Mursi ke sekolah ini juga. Itupun kalau mampu, sebab mesti yurannya mahal kerana sekolah swasta. Walau apapun, doakan aku akan terus berjaya di dalam hidup!


No comments:
Post a Comment