Monday, 19 May 2014

Hari Sukan Sekolah

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam buat semua.

Hari ini aku terpaksa ambil cuti disebabkan pengasuh Mursi pulang ke kampung kerana ibunya sakit. Mursi pun sekarang sedang tidur dan mood untuk menulis blog tiba-tiba pula ada. Jadi apa tunggu lagi, sementara masih ada mood ni, baik update entri barang satu ataupun dua. :)

Pada awal bulan yang lalu, aku berpeluang mengikuti aktiviti Hari Sukan sekolah tempat aku bekerja. Kalau ikutkan sudah agak lama juga aku tidak beriadah sebegini. Tapi kali ini, aku bertindak sebagai seorang guru yang terpaksa menguruskan pelajar-pelajar yang mengambil bahagian dalam acara sukan. Seronok jugak sebenarnya bila dah lama tak terlibat dengan aktiviti sebegini. Memandangkan aku merupakan salah seorang staf yang agak baru di sekolah, jadi aktiviti sebegini sedikit sebanyak mampu merapatkan dan membina ukhuwwah antara aku dan juga guru-guru yang lain. Alhamdulillah, ada hikmahnya.

Aku dan kawan-kawan yang berselfie bersama :)
Kalau dulu masa sekolah, padang memang dah siap ada di sekolah masing-masing. Tapi bila sekolah di kota metropolitan ni, sekolah jarang yang ada padang sendiri. Jadi, sekolah aku terpaksa menyewa padang sekolah lain, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 10 Kota Damansara. Sekolah ni menjadi laluan aku setiap hari apabila hendak ke tempat kerja. jadi, tidak susah untuk suami mencari destinasinya. Staf sepatutnya dijadualkan kena berada di padang sekolah pada pukul 7 pagi. Tapi memandangkan aku ada anak kecil faham-faham aje lah. Mursi terpaksa aku tinggalkan di rumah pengasuh pada hari tersebut.

Aku bertugas sebagai ahli jawatankuasa makanan dan juga guru yang bertanggungjawab menguruskan pelajar bagi acara yang melibatkan pelajar darjah rendah, 1, 2 dan 3. Antara acara yang dipertandingkan ialah isi air dalam botol menggunakan span, melontar bola terbanyak ke dalam bakul, bawa bola ping pong dalam sudu, dan juga berlari dalam guni. Ada tiga rumah sukan yang bertanding iaitu rumah Merah, Hijau dan juga Biru. Apa yang seronoknya ialah bila dapat melihat pelajar-pelajar bersungguh-sungguh untuk menang. Mereka seronok bila dapat pingat selepas bermain. Kedudukan pertama, kedua dan ketiga semuanya dapat pingat. Ada pelajar yang menyertai semua acara yang dipertandingkan. Jadi, banyaklah pingat yang dia dapat.

Pelajar kelas aku, seronok dapat pingat. :)
Bila hari menginjak ke tengahari, hari dah semakin panas. Tapi syukur juga sebab cuaca baik. Hari sebelumnya cuaca hujan, nasib baik hari kejadian tidak hujan. Kesemua acara pelajar selesai dalam pukul 12 tengahari. Acara untuk guru dan pelajar juga turut dipertandingkan. Objektif utama adalah untuk mengurangkan jurang antara pelajar dan guru. Bagi pelajar dan guru perempuan, acara yang dipertandingkan ialah bola jaring. Pada awalnya, aku tidak ikut serta. Namun, selepas salah seorang dari guru sudah agak penat, aku mengambil keputusan untuk menggantikan dia. Bila lagi nak keluarkan peluh dan beriadah, ya tak? :) Aku bermain sekadar suka-suka saja. Tapi beruntung juga aku turut serta sebab dapat hadiah bekas makanan. Team cikgu menang. 

Gemuknya aku dalam gambar ni. Mungkin hanya ilusi optik. :P
Bila semua sudah selesai, kami mengemaskan apa-apa yang patut. Guru-guru dan staf yang terlibat disediakan makan tengahari iaitu nasi ayam. Semua telah beransur meninggalkan sekolah. Aku terpaksa menunggu suami pulang dari kerja. Hari Sabtu suami aku bekerja separuh hari. Alhamdulillah, hari sukan berakhir dengan jayanya. Tetapi ada juga permasalahan yang timbul. Memandangkan aku merupakan salah seorang ajk makanan, aku merasakan agak tidak patut sekiranya menyediakan makanan yang telah tamat tarikh luput kepada pelajar. Biskut tiger yang disediakan kepada pelajar untuk makan pagi ada antaranya yang telah tamat tarikh luput. Kami bahagian guru semua berharap agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku kepada pelajar.

Kesimpulannya, lepas ni insya-Allah akan banyak lagi aktiviti yang akan aku sertai. Dan aku akan cuba untuk berkongsi di sini, bukan apa sebagai kenangan untuk aku juga. Supaya ia tidak luput dari ingatan, akan teringat balik bila aku membacanya di sini. Untuk akhirnya, salam sayang buat semua. Wasalam.

No comments: