Sunday, 4 June 2017

5 Tahun

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, tanggal 2 Jun yang lepas maka genaplah usia perkahwinan aku dan suami 5 tahun. Syukur atas pertambahan usia perkahwinan kami. Tiada apa yang diminta semoga ikatan perkahwinan ini akan terus kekal sehingga ke akhir hayat.


Abang, 
Terima kasih kerana sudi menjadi seorang suami buat isterimu ini,
Sanggup menerima segala kelemahan dan kekurangan diri ini,
Masih bertahan dengan perangai saya yang selalu menyakitkan hati.

Abang,
Tiada lain yang aku inginkan,
Agar dirimu akan terus setia sepanjang perjalanan,
Menuntun diri ke arah jalan keredhaan.

Abang,
Semoga kita akan tua bersama-sama,
Semoga kita masuk syurga bersama-sama,
Semoga kita kekal sebagai suami isteri hingga ke akhirnya.

Abang,
Ku doakan semoga dikau terus dikuatkan iman,
Untuk menjadi imam terbaik buat keluarga kita,
Memimpin keluarga ke syurga-Nya.

(isterimu, 040617 / 9 Ramadhan 1438H)

Orang kata, fasa 5 tahun yang pertama adalah fasa ujian dalam hidup berumah tangga. Seandainya kita mampu mengharungi segala ujian dan dugaan sepanjang tempoh 5 tahun tersebut, Inshaa-Allah kita akan terus bersama hingga ke akhirnya. Semoga aku dan suami terus tabah melalui kehidupan berumahtangga. Memang, hidup berumahtangga bukan selalunya indah-indah belaka. Bukan selalunya sama dengan cerita dan drama-drama di televisyen. Jauh tersasar dari realiti. Segala kekurangan dan kelebihan pasangan akan diketahui apabila telah hidup bersama-sama.

Jadi, bagi pasangan yang bakal berkahwin, jangan mimpi yang indah-indah belaka. Hiduplah di alam realiti. Bukan sekadar fantasi yang ditayangkan di depan mata. Bersiap-sedia mental dan fizikal. Kahwin bukan perkara sehari dua. Ia melibatkan hidup ke akhir hayat. Kalau niat kahwin nak bersuka sahaja, baik nilai semula niat tu. Ia adalah soal tanggungjawab. Jika masing-masing sedar akan tanggungjawab masing-masing, inshaa-Allah bahagia hendaknya. ☺

Selamat menunaikan ibadah puasa. Ramadhan ke-9. 🌺🌺🌺

No comments: