Sunday, 31 March 2019

Cuti Sekolah

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, berakhir sudah cuti seminggu. Cuti pertengahan penggal persekolahan. Cuti kali ni aku balik kampung di Terengganu. Balik berdua je, dengan Mursi. Dah beberapa kali juga kami balik berdua tanpa suami. Yela, suami susah nak ambil cuti. Lagipun, dia baru je masuk kerja selepas lebih kurang 8 hari cuti sakit akibat terkena virus chickenpox. Berjangkit dengan aku la tu. 😔 Maaf ye abang.

Makanya, aku berdua dengan Mursi balik kampung pada hari Sabtu. Kami bertolak pagi, lebih kurang dalam pukul 8.30 pagi. Aku memandu terus ke kampung aku di Tok Dor. Kebetulan kakak aku yang dari Kajang juga balik kampung. Adik-beradik yang lain juga berjanji untuk berkumpul bersama di rumah Tok Dor. Mereka bergotong-royong untuk bersihkan kubur arwah mak pada pagi Sabtu tersebut. Tetapi, aku tak sempat turut serta, sebab aku sampai dah agak petang lebih kurang dalam pukul 2.30 petang baru aku selamat sampai. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah menyelamatkan perjalanan kami berdua. Memang aku agak mengantuk semasa memandu balik kampung kali ni. 😴

Balik kampung kali ni berpeluang jumpa anak buah baru, iaitu anak Kak Tie. Anak kelima dia, lelaki. Rezeki Kak Tie dapat kelima-lima anak lelaki. Hero-hero semuanya. Alhamdulillah. 😁 Dia masih tak berputus asa untuk mengandung lagi, biar dapat anak perempuan juga seorang katanya. 😉 Aku doakan lepas ni Kak Tie dimurahkan rezeki untuk mengandung lagi dan dapat anak perempuan pula, inshaa-Allah. Tapi tak sempat nak ambil gambar anak buah baru. Sekejap sangat jumpa. Masa jumpa tu pun baby asyik tidur je. Kecil sangat lagi baby, baru je hari yang ke-21 masa aku pergi melawat tu.

Balik kampung kali ni juga ada berita gembira buat kami sekeluarga. Alhamdulillah, abang ipar aku iaitu Abang Wan, suami Kak Na dah sembuh. Sebelum ni dia kena minor stroke. Ada effect pada anggota badan sebelah kiri kalau tak silap aku. Dan akibat daripada itu, dia mengalami kemurungan. Sebelum terkena stroke ni, dia merupakan seorang yang sangat peramah dan banyak mulut. Bila terkena kemurungan tu, dia berubah menjadi orang lain. Jadi tak mahu berjumpa orang, bila kita tanya pun nak tak nak je dia jawab. Totally different. Tapi alhamdulillah. Kuasa Allah tiada siapa yang tahu kan. Selepas lebih kurang 2 tahun lebih keadaan dia macam tu, akhirnya dia pulih seperti sedia kala. Seolah-olah tersedar dari mimpi katanya. Subhanallah, hikmah sabar dan doa seorang isteri. Akhirnya suami pulih seperti sedia kala. Aku balik hari tu pun memang gembira, seronok la bila Abang Wan dah sihat seperti biasa. Macam Abang Wan yang dulu. Alhamdulillah, syukur pada-Mu. 😇

Rambut Mursi masa balik kampung kali ni dah agak panjang. Yela, mana taknya, last Mursi potong rambut ialah masa balik kampung hujung tahun lepas. Potong masa di rumah Kak Mah di Dungun. Kali ni, Tokki pula yang tolong bawa Mursi pergi potong rambut di Bukit Payung. Terima kasih Tokki. Mungkin lepas ni Mursi akan potong rambut bila balik kampung time cuti raya nanti pulak. 😂


Cuti kali ni juga sebenarnya nak tolong kakak aku, Kak Mah untuk jaga anak dia yang kecil, baby Uwais. Sebabnya pengasuh anak dia ambil cuti 3 hari iaitu hari Selasa, Rabu dan Khamis. Jadinya, dia minta aku tolong jagakan anak dia untuk 3 hari tersebut. Jadi aku telah pergi ke rumahnya di Dungun pada petang Isnin dan terus bertolak ke Subang Bestari dari sana pada pagi Jumaat nanti. Aku memang dah plan untuk balik ke Subang Bestari pada pagi hari Jumaat. Hari Sabtu keesokannya aku bercadang untuk memenuhi jemputan majlis perkahwinan sahabat sekampus UKM dulu di Johor.

Bila aku jaga baby Uwais ni, alahai makin teringin pula nak dapat anak lagi. Mursi pun dah pandai minta nak adik. "Ummi, nak adik." 😏 Pagi Jumaat sebelum nak bertolak pagi, siap pesan lagi dekat Ummi nak main dengan baby Uwais dulu sebelum balik Selangor. Pesan dekat Ummi sebelum masuk tidur malam sebelumnya. Kesian anak Ummi, nak adik ye. Mursi doa kat Allah ye. Minta Allah bagi Mursi adik sorang. 😉


Pagi Jumaat sebelum bertolak balik ke Subang Bestari

Itulah serba sedikit catatan aku untuk cuti sekolah kali ni. Buat kenang-kenangan di masa akan datang. Sebab aku tahu memori kita ni terbatas. Bila aku catatkan kat sini, sekurang-kurangnya bila baca akan ingat semula. Alhamdulillah, aku selamat tiba Selangor pada pukul 1.30 petang Jumaat. Alhamdulillah juga aku bertolak balik pagi. Sebabnya bila aku scroll Facebook pada malamnya terdapat lori yang terbakar di Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur. Banyak kereta yang tersangkut dalam kesesakan. 😌 Okay lah, jumpa lagi di lain coretan. Semoga kita semua sentiasa tergolong di dalam golongan orang-orang yang sentiasa melakukan kebaikan. Ameen. Babai, Assalamualaikum. 💗

Wednesday, 20 March 2019

Living Skills

بسم الله الرحمن الرحيم
 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, kali ni rasa nak share serba sedikit apa yang aku ajar anak-anak kat sekolah. Aku sebenarnya seorang Cikgu Sains yang mengajar anak-anak Primary 1 sampai Primary 3. Ada 5 kelas semua sekali. Dalam masa yang sama, aku juga mengajar subjek Living Skills  untuk anak-anak kelas yang aku jadi homeroom teacher, iaitu Primary 2. Alhamdulillah, aku seronok sebenarnya jadi cikgu. Sebab boleh dengar cerita-cerita menarik, dan kadang-kadang lucu dari anak-anak ni. Mereka kan semua masih suci. 😊

Kali ni aku nak share pasal subjek Living Skills. Subjek ni lebih kurang macam kemahiran hidup, yang anak-anak perlu tahu sesuai dengan umur mereka. Hari tu aku ada ajar mereka untuk cuci tandas. Kemahiran ni penting sebenarnya. Selain boleh ajar mengenai kebersihan, aku juga berkongsi yang bila kita mencuci tandas atau bilik air ni sebenarnya boleh merendahkan ego diri kita. Boleh jadikan kita seorang yang selalu merendah diri.

Yelah, tandas kan kita tahu satu tempat yang kotor. Tempat yang kita akan masuk bila hanya kita berhajat untuk buang air samada kecil atau besar. Bila sebut tandas je, mesti kita akan berasa jijik dan kotor. Bila kita sendiri yang bersihkan bilik air atau tandas, sebenarnya kita dah menurunkan ego dan jadi seorang yang merendah diri. Jom layan gambar anak-anak cuci tandas. 😆





Haa...nampak kan mereka sangat seronok? Bila mula-mula aku cakap yang hari ni kena cuci tandas, bukan main lagi, "taknak la Teacher", "kotor la Teacher" dan macam-macam lagi la. Bila dah hari kejadian, bukan main seronok lagi. Sebab tu best ajar anak-anak kecil ni. Mereka akan menurut tanpa banyak membantah. Alhamdulillah. Harapan aku semoga anak-anak dapat  manfaat daripada kelas Living Skills kali  ni. Supaya mereka boleh tolong cuci bilik air dan tandas di rumah mereka sendiri. Boleh juga terapkan nilai rendah diri (humble) dalam diri mereka. Inshaa-Allah. 😇

Monday, 18 March 2019

Perancangan Dia

بسم الله الرحمن الرحيم
 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Permulaan minggu yang baru, Isnin hari ni. Semoga semangat semua pun baru di permulaan hari ni, inshaa-Allah. Rajin pulak aku nak menulis hari ni. Bila mood rajin datang ni, tak boleh disia-siakan, rugi. 😄 Alhamdulillah, hampir setahun aku amalkan diet seimbang sejak aku join program FLC. Aku ada ceritakan pasal program ni dalam post aku yang sebelum ni. Aku mula join bulan Mac ahun lepas dan berakhir bulan Oktober. Alhamdulillah, syukur sangat sebab daripada join program tu aku dah hilang lebih kurang 20kg.

Sekarang aku masih lagi amalkan pemakanan sihat dan seimbang serta melakukan aktiviti senaman bila berkelapangan. Tapi tak adalah strict sangat macam masa join program tu dulu. 😆 Syukur bila diet ada ilmu ni, aku dapat kekalkan berat badan walaupun sudah tidak join program tersebut. Masih mampu amalkan ilmu-ilmu yang diajar oleh cikgu. Alhamdulillah juga sebab daripada join program tersebut masalah cyst yang aku dapat sebelum ni dah tak ada. Masalah period aku yang tidak teratur sebelum ni pun alhamdulillah dah normal. Cuma bulan lepas je tak datang period. Ingatkan dah lekat, Mursi dah nak dapat adik. Tapi, masih belum rezeki nampaknya. 😔

Bercakap pasal ni, aku sebenarnya agak berharap juga untuk dapat rezeki mengandung lagi tahun ni. Ye, aku faham masih belum ada rezeki. Tapi bila bulan lepas tidak datang period, aku sangat berharap yang aku mengandung. Berdebar-debar untuk buat Urine Pregnancy Test (UPT). Sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi yang aku mengandung dan dapat baby. Allahuakbar. Bila bangun pagi untuk buat test tu (lebih valid uji pada urin awal pagi), harapan tinggi sangat. Namun, lepas seminit, 2 minit hatta 5 minit pun, tetap single line. Agak kecewa juga. Seharian aku jadi down kat sekolah. Itulah orang cakap, kita tak boleh letakkan harapan terlalu tinggi atas setiap perkara. Bila ia tidak berlaku atau berlaku bukan mengikut kehendak kita, pasti akan kecewa. Allahuakbar.😥


Allah masih belum makbulkan doa aku. Lepas dah mengadu dengan Allah, barulah hati rasa lebih tenang. Mungkin Allah ada perancangan yang lebih baik untuk aku. Yang penting, sentiasalah redha dan terus berdoa pada Dia. Berceritalah apa saja dengan Allah, pasti kita akan lebih tenang inshaa-Allah. Suami pun perasan yang aku lewat datang period. Dia pun mengharapkan aku mengandung. Belum rezeki kita lagi la bang, kita cuba lagi ye! 😉

Begitulah hidup kita ni. Kita merancang, tetapi Allah juga merancang. Yakinlah bahawa perancangan Allah adalah yang terbaik. Walaupun kita mungkin tak nampak apa hikmahnya sekarang, inshaa-Allah pasti ada hikmah yang terbaik buat kita di sebaliknya. Semoga Allah murahkan rezeki semua, terutama sahabat-sahabat aku yang masih mengharapkan zuriat daripada rahim mereka sendiri. Siapa yang tak inginkan cahaya mata bila dah berkahwin. Kalau tanya pasangan yang baru kahwin, mesti mereka semua pun tak sabar nak dapat anak. Tapi tu semua bukan kerja kita. Kerja Allah. Tugas kita doa, doa dan teruskan berdoa, dan jangan lupa buat segala suruhan dan tinggalkan segala larangan Dia. Inshaa-Allah. Salam sayang untuk semua. 💗 Sehingga bertemu lagi di post yang akan datang (tak tahulah bila 😂). Wassalam.

Sunday, 3 March 2019

Aku dan Chickenpox

بسم الله الرحمن الرحيم
 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, masih bernafas. Alhamdulillah Allah masih pinjamkan nyawa. Alhamdulillah atas segala nikmat yang Engkau berikan. Sesungguhnya tiada apa yang mampu aku persembahkan melainkan kehambaan kepada-Mu walaupun dalam serba kekurangan.

Alhamdulillah juga atas ujian kesakitan yang Engkau berikan. Untuk pengetahuan, minggu lepas aku telah dijangkiti oleh chickenpox! Tak pernah terlintas di fikiran yang aku akan dapat chickenpox ni masa umur dah dewasa macam ni. Dan masa ulangtahun kelahiran aku yang ke-32 tahun! Semuanya di dalam pengetahuan dan perancangan Allah jua.

Sebenarnya, sejak beberapa minggu kebelakangan ini memang anak-anak didik kat sekolah ramai yang diserang chickenpox. Seolah-olah ia menjadi satu wabak yang mudah berjangkit. Lepas seorang-seorang yang lain pula yang dijangkiti. Dan pada Jumaat 15 Februari, pihak sekolah telah memberi cuti peristiwa kepada pelajar. Namun kami guru-guru terpaksa datang ke sekolah untuk mensanitasi keseluruhan sekolah. Dan aku memang telah rasa tidak sedap badan dan sakit kepala berdenyut-denyut sehari sebelumnya. Namun aku gagahkan jua diri untuk datang sekolah dengan tujuan sanitasi kelas aku sendiri. Sebab fikirkan kesihatan anak-anak.


Muka aku hari Jumaat tu. Masa ni dah rasa panas badan, nak demam. Sakit kepala, berpeluh-peluh je badan.
Balik je dari sekolah tengahari Jumaat tu, perasan ada beberapa biji air timbul di badan. Rasa dah tak sedap dah. Bila dah petang, makin banyak pulak naik biji-biji air tu. Ni memang dah confirm chickenpox ni. Sebab berjangkit dari sekolah. 

Keesokan malamnya (Sabtu) baru aku ke klinik. Suami bawa ke klinik bahagian kecemasan Hospital Sungai Buloh. Nak pergi siang tu dia kerja. Malam-malam dah tak ada klinik yang buka. Memang aku sekeluarga dari dulu jarang ke klinik swasta. Biasanya memang akan terus ke klinik kerajaan. Periksa suhu agak tinggi malam tu, 39.8°C! 

Kalau klinik kerajaan ni satu kekurangan dia korang terpaksa tunggu lama la sikit berbanding klinik swasta. Bila jumpa doktor malam tu, memang doktor cakap chickenpox la. Doktor tu pun siap bagitahu lagi dia pun belum kena. Doktor perempuan, muda lagi. Maksudnya chickenpox ni tak semestinya kena masa bayi atau kanak-kanak sahaja. Masa besar pun akan kena jugak. Jadi, beringat-ingatlah untuk sesiapa yang belum kena lagi. Jadi, doktor bagi cuti sakit seminggu. Kalau masih belum baik sepenuhnya boleh sambung cuti katanya. Dapat ubat antiviral dan krim Calamine di samping beberapa ubatan yang lain.

Maka bermulalah cuti sakit ataupun cuti kuarantin aku di rumah selama seminggu. Mursi pun terpaksa cuti sekali. Ya Allah, hanya Tuhan je tahu rasa sakit kena chickenpox ni. Tumbuh kat bahagian muka, badan dan kaki tapi muka dan badan yang paling banyak. Kat bahagian kepala pun ada tumbuh juga. Bila solat masa sujud tu tahan je la. Rasa berdenyut kepala hanya Allah je yang tahu.

Satu yang aku rasa sangat bersyukur ialah dikurniakan sahabat yang sangat prihatin, Kak Fizah. Dia tinggal di apartmen sebelah je dari rumah aku. Orang kata kalau kena chickenpox ni boleh amalkan petua mandi dan sapu dengan daun semambu. Makanya Kak Fizah ni la yang bersusah-payah carikan daun semambu untuk aku. Sampaikan kena marah dengan jiran India tempat dia ambil daun tu. Orang India ni mereka kuat percaya pada pantang larang, tak boleh ambil daun semambu lepas pukul 5.30 petang. Masa tu Kak Fizah ambil dah malam. Jadinya, kena marahlah dia sebab dia tetap ambil juga. Allahu, kesian Kak Fizah...

Antara gambar muka aku semasa chickenpox. Sekarang masih banyak parut yang tinggal.
Antara beberapa pantang lain yang aku baca, tak boleh menggoreng dalam rumah dan tak boleh makan makanan bergoreng. Tapi yang ni aku tak ikut sangat pun. Sebabnya aku masak nasi goreng untuk Mursi makan. Yang lain-lain antara pantangnya ialah tak boleh makan kicap, tak boleh kena hujan dan makan makanan yang boleh menyebabkan gatal. Bab makan rasanya aku makan je, telur ayam ikan semua makan. Alhamdulillah, tak adalah gatal sampai teruk sangat.

Alhamdulillah, cuti sakit seminggu yang doktor berikan cukup. Isnin berikutnya aku dah boleh ke sekolah. Cuma muka ajelah yang masih berparut. Redha ajelah bila anak murid tegur kenapa muka teacher macam tu. Huhu. Sekarang amalkan sapu krim Herbal Blend dari Shaklee. Harap-harapnya boleh mengurangkan parut dengan cepat. Sebab baca review pengguna cakap elok krim tu. Kita try ajela. Ikhtiar, Allah semua yang tetapkan.

Muka lepas cuti seminggu sebab kena chickenpox. Masih penuh parut.
Hehe, panjang pulak post kali ni. Biarlah, sekali-sekala. Tulis buat kenangan sendiri. Nanti-nanti boleh baca lagi. Buat simpan sini. Dan elok je lepas lebih kurang seminggu ummi baik dari chickenpox, anak bujang pulak yang kena. Mursi pulak kena naik biji-biji air chickenpox tu. Aduhai, kesian dia. Ummi mintak maaf sayang. Padahal masa kecik dia dah kena pun. Sekarang ni tengah kuarantin dia pulak. Ummi cuti pulak la seminggu lagi. Semoga anak ummi cepat sembuh. Ameen.

Akhir kalam, sakit itu adalah ujian. Ujian Allah nak tengok samada kita sebagai hamba ni sabar ke tak hadapinya. Inshaa-Allah ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Semoga hati-hati kita lebih dekat pada Dia di saat susah dan senang. Ameen...