Wednesday, 18 March 2020

Mimpi Ngeri Belum Berakhir

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Allahuakbar, satu pengalaman yang baru dalam hidup. Andainya aku diberikan rezeki panjang umur beberapa tahun lagi, aku mahu segala kenangan pada tahun ini diabadikan di sini. Buat masa sekarang ni, hidup aku rasakan terlalu dekat dengan kematian. Negara Malaysia kini sedang dalam perintah kawalan pergerakan yang mana telah diumumkan oleh YB Perdana Menteri kelmarin.


Ini adalah berikutan pandemik penyakit virus corona (COVID-19) yang melanda seluruh dunia sekarang ni. Bagi aku, COVID-19 ni adalah merupakan satu teguran Allah buat seluruh umat manusia. Tidak dapat disangkal lagi akan kekuasaan Allah kerana Dia Maha berkuasa. Dia mampu menjadikan makhluk sekecil virus namun mampu memberi kesan yang sangat hebat di seluruh dunia. Manusia di seluruh dunia terkesan dengan pembawakan wabak ini.

Lagi mencemaskan aku adalah berita yang aku terima semalam. Aku dapat tahu bahawa salah seorang bapa pelajar kelas aku didapati positif COVID-19 tersebut. Aku bayangkan contact aku dengan pelajar sepanjang 2 minggu ini. Walaubagaimanapun, pelajar tersebut bersama ibunya masih menunggu keputusan ujian saringan, masih belum disahkan samada positif atau sebaliknya. Aku berdoa semoga dia dan keluarganya terhindar daripada wabak tersebut. Seandainya mereka juga didapati positif, aku juga terpaksa membuat ujian saringan COVID-19.

Perintah kawalan pergerakan yang diumumkan akan berlangsung selama 14 hari bermula pada hari ini iaitu 18 Mac sehingga 31 Mac. Semoga Malaysia terus dipelihara dan rakyat Malaysia patuh akan arahan daripada kerajaan. Ini adalah untuk kebaikan kita semua. Tindakan ini diambil susulan daripada bilangan kes di kalangan rakyat Malaysia meningkat secara mendadak. Dan terbaharu semalam juga telah mencatatkan 2 kes kematian yang disebabkan oleh virus tersebut. Allahuakbar!!

Ya Allah...
Pandanglah kami dengan pandangan rahmatMu,
Angkatlah doa kami Ya Allah,
Segeralah Kau angkat wabak COVID-19 ini,
Agar dapat kami terus beribadat kepada-Mu dengan lebih khusyuk,

Ya Allah...
Engkau yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu,
Engkau yang menciptakan virus ini dan aku harap Engkau juga yang akan membawa virus ini pergi secepatnya,
Perkenankan Ya Allah,
Kami bermohon,
Andainya ini tanda penghujung kehidupan dunia,
Ku mohon matikan aku dalam iman dan islam Ya Allah,
Matikan aku dengan pengakhiran yang baik.

Perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan juga menyebabkan banyak kepanikan yang berlaku. Orang ramai melakukan perbelanjaan panik, habis semua barang di pasaraya diborong untuk dibuat stok di rumah. Allah... Kerajaan arahkan rakyat kurangkan pergerakan dan perhimpunan ramai, tapi orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung. Allah...mungkin ada di kalangan kalian yang membawa virus ke kampung, kepada ibu bapa kita yang masih tua dan golongan yang lebih mudah dijangkiti. Allah...permudahkan segalanya ya Allah...

Semoga segala yang berlaku ini berlalu dan biarlah ia hanya menjadi sebuah mimpi ngeri dalam hidupku dan kita semua. Banyakkan berdoa semua.

1 comment:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.