Bismillahirrahmanirrahim.
Salam buat semua.
Tanggal 18 Februari 2014, genap 16 tahun pemergian ibuku. Setiap kali tarikh ini tiba, aku pasti akan mengira-ngira balik berapa tahun telah berlalu. Kerana bagi aku ia bagaikan baru je terjadi, seakan-akan tidak percaya telah berbelas-belas tahun ibu tiada. Ya Allah, setiap kali teringat pasti bergenang air mata. Betapa aku rindukanmu, ibu...:(
Pagi itu seperti biasa aku dan adik bersiap-siap untuk ke sekolah. Kami akan dihantar oleh ibu dengan membonceng motosikal. Seperti biasa kami bersiap, memakai baju sekolah, siapkan beg sekolah dan menyalin jadual. Aku tidak perasan sebarang kelainan pada ibuku. Walaupun kini aku tahu, mesti ada perubahan pada ibu daripada kebiasaan walaupun sedikit. Mungkin pada masa itu aku masih kecil, baru darjah 5 untuk mengesan perubahan pada orang yang akan meninggal dunia.
Apabila sampai di depan sekolah, ibu memberhentikan motor di seberang jalan. Aku dan adik terpaksa melintas jalan untuk masuk ke pintu pagar sekolah. Aku berjalan di hadapan manakala adik agak tertinggal di belakang. Jarak antara pintu pagar sekolah dengan bangunan kelas aku dipisahkan dengan dataran perhimpunan yang agak luas. Di pertengahan jalan menuju ke kelas, aku terdengar satu dentuman yang agak kuat. Hatiku telah berasa tidak sedap. Namun, langkah aku teruskan juga untuk menuju ke kelas. Selang beberapa minit bunyi dentuman tadi, dua orang rakan sekelasku memberitahu kepada aku satu berita yang aku sukar untuk percaya.
"Fadhilah, mak awak! Mak awak Fadhilah!" Masa ni, aku masih tak percaya dengan apa yang mereka cakapkan. Namun, tidak lama selepas itu, datang Cikgu Siti Eshah memberitahu perkara yang berlaku. Sebaik sahaja cikgu aku membuka mulut untuk memberitahu perkara tersebut, air mata aku memang dah berjuraian. Tidak dapat ditahan-tahan lagi. "Mak! Mak...!" Sebelum sempat sampai ke kelas, aku dan adik telah dibawa ke Bilik Guru Besar. Di sini aku menunggu cikgu menguruskan apa yang patut. Aku sendiri tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah aku dibawa pulang ke rumah.
Aku tidak diberitahu secara langsung mengenai keadaan ibuku. Aku cuma tahu melalui percakapan orang-orang sekeliling yang menyatakan bahawa ibuku terlibat dengan kemalangan. Bukan kemalangan biasa, tapi kemalangan ngeri yang melibatkan sebuah lori yang besar. Selepas ibu menghantar aku dan adik di depan sekolah, ibu ingin berpatah balik ke rumah. Semasa sedang memusing motor, datang lori dari arah belakang melanggar ibu. Dan keadaan ibu adalah sangat menyayat hati. Itupun aku dengar daripada percakapan sekeliling. Aduh, betapa runtunnya hatiku bila mendengarkan berita tersebut.
Sebaik tiba di rumah, orang kampung telah ada yang datang menziarah walaupun kemalangan baru saja berlaku. Tapi ramai yang datang bertanya mengenai berita yang diterima. Ayah sebelum itu keluar bekerja telah pulang dan ada kesan air mata di wajahnya. Mungkin itu merupakan kali pertama aku melihat ayah menangis. Segala persiapan untuk menerima jenazah ibu telah disediakan. Jenazah ibu telah dibawa ke hospital dan terus dimandikan di sana. Namun, walaupun segala persiapan untuk menyambut ibu tersedia, aku mendapat tahu bahawa jenazah ibu terus dibawa ke masjid untuk disembahyangkan dan tidak dibawa balik ke rumah. Keadaan jenazah ibu sangat uzur. Sudah tiada rupa manusia sempurna, hancur digilis lori besar yang kejam! Aku mendapat tahu bahawa pemandu lori yang terlibat sedang dalam keadaan mabuk! Sayunya hati aku bila tak dapat nak menatap wajah ibu untuk terakhir kalinya. Seingat aku, seharian aku menangis mengenangkan arwah ibu yang tidak sempat kutatap wajahnya sebelum disemadikan.
Walaupun aku masih kecil ketika ibu pergi, namun aku masih tidak lupakan kenangan bersama ibu. Antara yang masih aku ingat ialah ketika bersama-sama mencari kayu api dengan ibu di belakang rumah. Dulu, ibu berniaga kuih-muih. Antara kuih yang ibu buat ialah bahulu, yang perlu dibakar dengan kayu api. Ibu buat dari A sampai Z, dari mencari kayu api, membuat adunan, memukul telur berbelas-belas biji, membakar dengan dapur kayu yang memerlukan kesabaran. Kalau api menyala besar, akibatnya kuih akan hangus, begitu juga kalau terlebih masak di atas dapur. Aku melihat segala titik-titik peluh yang mengalir di wajah dan badan ibuku. Dia tak pernah mengeluh, ibu memang seorang yang penyabar. Biasanya ibu akan jual kuih dengan meletak di kedai orang, bukan jual sendiri. Bila suruh orang jual macam ni, untung yang dapat tidaklah seberapa. Sebab kena upah juga tuan kedai. Tapi ibu tak pernah berhenti. Bukan setakat kuih bahulu, nasi lemak, karipap, kuih apam pun ibu pernah jual.
Kalau aku nak cerita kenangan dengan ibu, memang tak akan habis. Walaupun aku hanya sempat sebelas tahun hidup dengan ibu, tapi kenangan antara aku dengan ibu akan hidup dalam hati aku sepanjang hayat. Cuma aku sedikit terkilan sebab tidak dapat berbakti kepada ibu bila aku dah besar. 12 orang anak ibu, semua tak pernah merasa bagi ibu duit gaji. Kakak-kakak aku masa ni semua masih belajar. Abang-abang yang dah bekerja tinggal jauh, tak sempat nak datang jenguk ibu. Aku akan selalu berdoa semoga ibu ditempatkan di dalam golongan orang-orang yang beriman serta diampunkan segala dosanya yang telah lalu.
Kepada yang masih mempunyai ibu, berbaktilah kepada mereka selagi mereka masih bernyawa. Jangan sampai dia dah tiada baru menyesal dan menangis sebab mengabaikannya dulu.

1 comment:
akak...pernah akak ceritakan dlu pada saya...sedihnya...semoga akak tabah selalu...sy tahu dia ibu yang baik...sbb dia dah lahirkan akak yg dah pun jd seorang ibu...dan sy pasti akak mmg ibu yang baik....
Post a Comment