Thursday, 1 May 2014

Kenduri Di Melaka

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam buat semua.

Alhamdulillah, masih berkesempatan meneruskan kehidupan hingga ke saat ini. Mursi semakin membesar, namun masa yang aku luangkan untuk dia semakin terbatas. Sudah hampir dua bulan aku bekerja di sekolah swasta yang aku ceritakan sebelum ini. Dan sepanjang tempoh itu juga Mursi dijaga oleh pengasuhnya. Dihantar ke rumah pengasuh dari awal pagi, lebih kurang dalam pukul 7.15 pagi, dan diambil pula lepas aku dan suami balik dari kerja lebih kurang pukul 6.15 petang. Bayangkan betapa lama masa yang aku kerugian untuk melihat perkembangannya sehari-hari? :(

Namun, aku sangat bersyukur dikurniakan anak yang sebaik Mursi. Dialah penyejuk hati dan penenang jiwa setelah aku balik dari kerja. Senyuman dan gelagatnya yang mencuit hati selalu membuatkan aku tertawa sendiri. Jika dibandingkan antara aku dengan suami, Mursi lebih selesa bersama dengan umminya. Biasa la, jiwa dan kasih sayang seorang ibu lebih tulus untuk si anak. Chewahh! :) Mursi tidak banyak ragamnya. Sejak hari pertama aku menyuap dia makanan pejal, dia makan apa sahaja yang aku sediakan. Langsung tidak memilih. Bermula dengan puri buah, sehinggalah sekarang sudah makan bubur nasi. Setiap kali masa makan, apa yang disuap semua akan habis dimakan. Alhamdulillah. Ya Allah, syukur sangat.

Mursi juga seorang anak yang tidak kuat merengek. Sesetengah bayi atau budak kecil, kalau tak kena sedikit saja mesti dah menangis. Tapi kalau Mursi, kadang-kadang bila hendak tidur pun dia masih tersenyum. Bila ditepuk-tepuk, tengok-tengok dia dah terlelap. Tapi biasanya aku akan tahu bila dia mengantuk. :) Baru-baru ini juga aku dengan kawan, Ida berpakat pergi ke kenduri kahwin kawan kami semasa bekerja di KIST dulu, Haziah. Semestinya aku membawa Mursi bersama. Pada awalnya, aku risau juga sebab takut Mursi buat hal semasa dalam perjalanan ke Melaka. Tapi alhamdulillah, Mursi baik sepanjang perjalanan pergi. Cuma merengek sedikit semasa dalam perjalanan pulang, mungkin sebab dia lapar dan letih sangat setelah seharian berjalan.

Kami bertolak lebih kurang dalam pukul 11.30 pagi. Ida datang menjemput aku dengan Mursi di rumah. Alhamdulillah, agak lama tidak bersua akhirnya dapat berjumpa lagi dengan Ida. Sepanjang perjalanan, banyak perkara yang kami bualkan. Mursi seronok bila dapat keluar jalan-jalan bersama dengan ummi. Lebih kurang tiga jam kemudian, kami akhirnya tiba ke tempat yang dituju. Ketika ini, pengantin sedang sibuk bergambar. Zya aku lihat cantik dan jelita mengenakan pakaian pengantin berwarna kuning. Memang macam raja sangat, maklumlah raja sehari.

Permaisuri di singgahsana, lengkap persalinan kuning... :)
Semasa di kenduri itu juga, kami berpeluang berjumpa dengan seorang lagi rakan sekerja semasa di KIST dulu, Ain. Alhamdulillah, Allah rezekikan aku dan Ida untuk berjumpa Ain di sini. Ain pun sudah tidak lama lagi bakal naik pelamin juga, Insya-Allah pada bulan Ogos nanti. Pada pertemuan ini juga aku boleh mengetahui perkembangan masing-masing. Alhamdulillah juga, Ain sekarang bakal bekerja di sebuah farmasi di kampung halamannya di Pahang. Semasa berjumpa, dia ada menyatakan bahawa dia akan mula bekerja pada pertengahan bulan nanti iaitu 15 April. Semoga segala urusanmu dimudahkan dik! Rezeki Allah ni di mana-mana, apatah lagi untuk orang yang bakal mendirikan masjid. Allah pasti akan bagi jalan-Nya.
 
Ida, Ain, Mursi dan Ummi...
Sebelum bertolak balik, kami sempat bergambar bersama-sama dengan pengantin. Tapi kami tidak sempat berbual banyak. Maklum sahaja raja sehari. Mesti tak menang tangan nak layan tetamu. Lagipun Zya ada sesi fotografi outdoor pulak. Teringat aku akan kekecohan dan keletahnya semasa kami masih bergelar rakan sekerja. Kalau Zya tidak banyak cakap, mungkin aku tidak berapa rapat dengannya. Disebabkan sikap peramah dialah yang membuatkan aku cepat mesra dengan Zya dan juga Ain.

Maaf Zya, akak terlindung pengantin pulak. Tak perasan. :)
Pesanan untuk Zya dan juga Ain yang bakal pengantin, jadilah seorang isteri yang solehah. Tidak mudah sebenarnya untuk menjadi solehah, perlukan kesabaran yang tinggi. Hormati suamimu selayak dia yang akan menentukan kamu ke syurga atau neraka. Zya, barakallahu lakuma. Selamat melayari alam rumahtangga, semoga masjid yang dibina akan berkekalan sehingga ke syurga, amin... Tidak lupa juga untuk Ida, nanti kalau dah sampai jodoh jangan lupa jemput akak jugak. Kalau ada rezeki lagi, akak nak ikut sekali pergi kenduri Ain nanti. Itupun kalau ada rezeki. Rasanya macam cuti sekolah, so mungkin awak pergi dari Besut. :)

Gembira untuk perkembangan adik-adikku ini. Semoga ukhuwah akan terus terjalin walaupun masing-masing telah ada laluan sendiri. Insya-Allah lain kali aku akan kongsikan lagi cerita dan perkongsian untuk semua. Wasalam walhamdulillah.

2 comments:

liana said...

assalammualaikum...

cemburu ku melihat kamu semua berjumpa..nak etek!!..hehe

sebenarnya boleh akak terlupa hari bersejarah zya..tup2 tegk kat fb dh nikah..Allah..menyesal x sudah..

ain bulan 8 ye..kt pahang kan..kali ni kena igt tarikh nti..nti leh jmp kawan2 kt kist..dan semestinya mursi yg comel tu..inshaAllah..=)

dilla said...

waalaikumussalam...

sorry tau kak. hehe. noor pun kebetulan ida ada dekat sini, boleh ajak dan tumpang dia sekali.

ye, ain bulan 8, lepas raya. insyaAllah kalau ada rezeki kita jumpa kat sana ye. :)