Saturday, 25 April 2015

Perkongsian Dalam Perkahwinan

Bismillahirrahmanirrahim.


Dalam sesebuah hubungan khususnya sebuah perkahwinan, matlamat utama yang ingin dicapai adalah kebahagiaan. Tiada siapa yang berkahwin untuk derita. Dan tiada siapa yang akan berkahwin andai tahu dia tidak akan bahagia. Salah satu kunci kebahagiaan dalam sesebuah rumahtangga ialah dengan mengutamakan Allah melebihi segala-galanya. Seorang isteri mengharapkan seorang suami yang mampu membimbing dirinya serta keluarga ke jalan yang diredhai, mampu membetulkan segala kesalahan dan saling mengingatkan jika masing-masing terlalai dengan dunia.

Perkara yang sangat-sangat diperlukan dalam sesebuah rumah tangga ialah KESABARAN. Baik isteri mahupun suami, keduanya memerlukan kesabaran. Suami perlu sabar dalam menghadapi kerenah isteri yang bermacam-macam. Perempuan, yang paling sinonim ialah suka membebel. Suami kena tahan telinga dalam hal ini. Lagi satu perempuan juga suka membeli-belah. Ada yang tidak suka, tapi mungkin hanya seorang salam seribu. Oleh yang demikian, suami harus faham dan sabar dengan kerenah isteri. Tanpa bebelan mereka, nescaya akan sunyilah rumah tangga sehari-hari. Bagi isteri pula, kesabaran amatlah penting dalam menangani sikap suami atau lelaki yang lebih sinonim dengan ego. Lelaki hanya merasakan mereka saja yang betul, jadi keputusan atau pendapat mereka haruslah dituruti. Andai isteri bersifat suka melawan atau mahu menang juga, habislah... Pergaduhan akan berpanjangan sehinggalah salah seorang yang mengalah.

Perkahwinan adalah perkongsian. Berkongsi segala-galanya. Daripada tidak tahu apa-apa sebelum kahwin, kepada segala tabiat buruk pasangan akan terbongkar. Oleh yang demikian, suami mahupun isteri tidak mampu lagi melindungi segala yang disembunyikan selama tempoh belum berkahwin. Dalam sesebuah perkahwinan, setiap pasangan harus berkongsi rasa, berkongsi masalah, berkongsi kegembiraan, berkongsi segala-galanya. Haruslah diketahui wahai suami, isteri amat memerlukan perhatianmu. Walaupun kamu menganggap ianya adalah sesuatu yang remeh, namun percayalah ia akan memberi nilai yang besar buat isteri. Sebagai contoh, berbual mengenai aktiviti seharian. Tidak kisahlah aktiviti di tempat kerja, perihal kawan-kawan dan sebagainya. Andai suami selalu berkongsi cerita dengan pasangan. nescaya isteri akan merasa sangat dihargai. Apa tidaknya, suami menganggap isteri sebagai teman baiknya, mampu meluahkan segala yang dilalui dalam kehidupan sehari-hari. Memang begitulah sepatutnya dalam sesebuah perhubungan.

Perkongsian beban. Perkahwinan juga menuntun setiap pasangan untuk saling meringankan beban. Lebih-lebih lagi bagi isteri yang berkerjaya. Zaman sekarang isteri sudah jarang hanya menjadi suri rumah. Dengan tuntutan kos sara hidup yang semakin meningkat, adalah mustahil bagi seorang suami untuk menganggung segala perbelanjaan keluarga. Melainkan dia adalah seorang menteri. Oleh yang demikian, suami haruslah peka dengan keadaan isteri. Jika suami balik dari kerja dalam keadaan penat, maka begitulah jua keadaan isteri. Namun, isteri perlu menyambung tugasan di rumah pula sebagai seorang suri rumah. Memasak, jaga anak dan menyiapkan tugasan-tugasan yang lain. Adalah sangat dituntut dalam Islam suami menolong isteri dalam meringankan tugasan rumah. Malah Rasulullah jua menolong isterinya dalam melakukan kerja-kerja seharian. Janganlah hanya terbaring rehat apabila pulang dari kerja sedangkan isteri ber'kung-kang' di dapur.

Saling bertolak-ansur, bertanggungjawab, menyayangi pasangan dan sedar akan peranan masing-masing adalah antara kunci kebahagiaan rumah tangga. Andai ada masalah, teruslah berbincang dengan sebaiknya dan bukanlah bergaduh dan saling menyalahkan. Sikap diplomasi dan tolak ansur suami sememangnya dikagumi isteri. Semoga terus berjuang dalam menjadi pasangan yang bahagia berlandaskan syariat Allah. Jangan dilupa segala suruhan dan larangan-Nya. Insya-Allah rumah tangga akan bahagia.

No comments: