Sunday, 24 May 2015

Tips Suami Isteri

Bismillahirrahmanirrahim.

Tahun ni aku dah dapat green light untuk memandu kereta sendiri ke tempat kerja. Tapi sebelum nak dapat green light tu, semestinya aku akan dipantau. Iyelah, mana boleh terus-terus bawa kereta sendiri aje. Pada awal-awal mula kerja tahun ni, suami aku menjadi co-pilot aku di sebelah, memantau aku memandu samada boleh lepas ke tidak. Hehe. Alhamdulillah, sekarang aku dah berani pandu kereta sendiri di bandar yang sibuk ini. Itupun sekadar pergi dan balik kerja sahaja.

Biasanya aku akan bertolak dari rumah pukul 7 pagi, kemudian hantar Mursi ke rumah pengasuhnya. Sempat la aku sampai ke tempat kerja sebelum pukul 8. Itupun kadang-kadang merah juga punch-card. Biasanya kalau dalam kereta aku akan dengar radio, dan pukul 7.30 aku cuba dengar slot motivasi pagi di radio IKIM.FM. Kali ni aku nak berkongsi beberapa tips suami isteri yang aku dapat dari slot tersebut minggu lepas. Tips ini pun aku ada kongsikan dengan suami aku juga. :) Ada beberapa tips yang dikongsikan oleh penceramah, tapi aku cuba sampaikan apa yang aku ingat mengikut kefahaman aku sendiri. Insya-Allah, moga ianya menjadi sedikit peringatan buat kita.


Tip 1: Selalu hormat-menghormati

Perasaan hormat dalam hubungan rumah tangga sangatlah penting. Terutamanya isteri perlu hormat suami. Sedar bahawa isteri perlu mempunyai rasa hormat, jangan bersikap kurang ajar dan jangan melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh suami. Namun, suami juga perlu menghormati isteri. Isteri merupakan insan terpenting dalam sesebuah rumah tangga. Jangan anggap isteri sebagai orang gaji, mengarahkan dia berbuat segala kerja tanpa mengira masa.

Tip 2: Sentiasa tolong-menolong

Sikap tolong-menolong dalam rumah tangga akan melahirkan sebuah rumah tangga yang aman harmoni. Suami menolong isteri melakukan kerja rumah, contohnya menjaga anak ketika isteri sedang memasak dan sebagainya. Ataupun suami meletakkan pakaian yang telah dipakai di tempat yang sepatutnya walaupun tidak mampu untuk menolong isteri mencuci pakaian. Isteri juga haruslah menolong suami sekiranya diperlukan. Seperti yang kita tahu, isteri biasanya akan menyiapkan segala kerja rumah. Memasak, mengemas rumah, menjaga anak, mendidik anak, dan memastikan segalanya dalam keadaan yang teratur. Namun, itu bukanlah alasan untuk tidak menolong suami seandainya suami meminta pertolongan.

Tip 3: Memanggil dengan panggilan yang disukai pasangan

Suami dipanggil 'abang' atau 'hubby' oleh isteri, isteri pula dipanggil 'sayang' atau 'baby' oleh suami. Panggillah dengan panggilan yang disukai masing-masing. Jangan panggil hanya dengan nama, tiada kemesraan. Sedangkan Rasulullah memanggil Aisyah isterinya dengan panggilan Aisyah Humaira' (kemerah-merahan). Panggilan yang sangat disukai oleh isterinya.

Tip 4: Selalu mengucapkan terima kasih

Apabila suami menolong isteri, janganlah terlalu berat mulut untuk mengucapkan terima kasih. Walaupun suami hanya menolong menjaga anak atau memakaikan baju anak, ucapkanlah terima kasih. Suami akan merasa lebih dihargai. Begitu juga buat suami. Ringankanlah mulut selalu mengucapkan terima kasih kepada isteri. Isteri telah banyak melakukan kerja rumah dan menjaga anak, serta memastikan rumah tangga dalam keadaan terurus. Hargailah isteri dengan ucapan terima kasih. Itupun sudah memadai. Jika isteri menerima ucapan penghargaan daripada suami, nescaya segala penat lelah seharian akan hilang bagai angin lalu.

Tip 5: Sentiasa maaf-memaafkan

Dalam hubungan suami isteri, mustahil tidak akan ada perselisihan faham. Kadang-kadang tu, perkara yang kecil pun boleh jadi sebab bermasam muka. Contohnya bila suami bercakap dengan nada yang berbeza daripada biasa. Ini boleh menyebabkan hati isteri tersinggung. Jika berlaku demikian, suami haruslah menjelaskan kepada isteri mengapa dia bersikap demikian. Mungkin tidak sengaja ataupun dia sedang mempunyai masalah. Jika ada perselisihan, terus luahkan, jangan pendam. Sikap saling memaafkan ini boleh mengelakkan daripada perselisihan yang lebih besar.

Tip 6: Komunikasi dalam perhubungan

Jangan diam dan dingin dalam hubungan rumah tangga, sangat bahaya. Komunikasi antara perkara yang penting dalam sesebuah perhubungan. Luahkan segala apa yang terbuku, bahkan ceritakan pada pasangan apa yang dilalui sepanjang hari. Jadikan pasangan sebagai teman yang paling rapat, sebab dia yang tahu segala baik buruk kita. Jadi pada dialah sepatutnya kita ceritakan segala, bukannya pada kawan sekerja. Ini tidak, dengan rakan sekerja boleh bergelak ketawa, tetapi bila sampai di rumah bersama pasangan masing-masing diam membisu. Sibuk dengan melayan perasaan masing-masing. Manfaatkan masa bersama-sama dengan sebaiknya. Insya-Allah rumah tangga akan aman bahagia.

Tip 7: Sentiasa memeluk pasangan

Pelukan dapat menenangkan pasangan. Malah ada kajian yang meyatakan bahawa dengan memeluk pasangan dapat memanjangkan umur pasangan kita. Jadi, jangan menganggap yang pelukan hanya akan membuang masa. Malah ia dapat memberi rasa selamat buat isteri, kerana dia yakin dan percaya suami pasti akan sentiasa ada di sampingnya. Jadi, selalulah memeluk pasanagan. Jadikan ia sebagai satu tabiat yang sangat membahagiakan.

Tip 8: Solat berjemaah

Yang paling penting dalam hidup berkeluarga ialah amalan solat berjemaah. Suami kalau boleh imamkan solat isteri. Andai masih belum mempunyai anak, cubalah sedaya upaya solat berjemaah. Jika sudah menjadi amalan, ia akan terasa lain bila ditinggalkan. Andai sudah mempunyai anak, ia akan menjadi satu contoh teladan yang baik untuk anak-anak. Selesai sembahyang, isteri memohon kemaafan daripada suami. Suami juga akan sentiasa dihormati dan dihargai oleh isteri kerana mampu menjadi pemimpin yang terbaik buat keluarga.

Itulah antara tip suami isteri yang dapat aku kongsikan bersama. Semoga sedikit sebanyak dapat diambil manfaat daripadanya. Insya-Allah.

Wednesday, 20 May 2015

Niat kerana Allah

Bismillahirrahmanirrahim.

Biasanya setiap pagi Khamis setiap minggu akan ada pengisian khusus untuk guru perempuan di sekolah. Itupun baru bermula dalam sebulan yang lalu. Objektif utamanya adalah untuk mempersiapkan kami guru perempuan supaya mempunyai isi untuk disampaikan kepada pelajar-pelajar perempuan keesokan harinya. Semasa pelajar lelaki keluar untuk solat Jumaat, pelajar perempuan pula akan ada sesi halaqah yang akan dihandle oleh kami, guru-guru perempuan. 

Majlis ilmu ini dikendalikan oleh Ummu Imtiyaz. Ia akan bermula dua sesi, iaitu sesi pertama dari pukul 10.00-10.30 pagi, dan sesi kedua pada setengah jam yang berikutnya. Ia adalah dislot berdasarkan masa lengang guru tersebut. Aku telah dislotkan dalam sesi yang pertama. Alhamdulillah, setakat majlis ini bermula aku mendapat sedikit ilmu untuk dijadikan peringatan, serta panduan dalam hidup. Tetapi aku terlepas pertemuan pertama, terlupa.

Di sini aku nak kongsikan serba sedikit apa yang aku dapat daripada majlis ilmu Khamis lepas. Alhamdulillah, aku ke sana adalah semata-mata kerana Allah. Bila kita buat sesuatu kerana Dia, pasti hati akan terasa sangat lapang dan seronok menimba ilmu. Dan itulah yang aku rasa, dan itu juga antara isi yang diselitkan semasa perkongsian ilmu bersama Ummu Imtiyaz pada hari tersebut. Buat sesuatu perkara biarlah semata-mata kerana Allah, bukan disebabkan terpaksa ataupun kerana disuruh oleh pihak atasan.


Permulaan majlis kami diminta untuk berkongsi satu kebaikan yang kami buat dalam hari-hari yang lepas. Orang pertama yang berkongsi kebaikan ialah Kak Miza.

Kak Miza: "Saya selalu kalau masuk dan keluar tandas kena jirus air dulu."

Ummu Imtiyaz: "Kenapa awak buat macam tu?"

Kak Miza: "Sebab bau hancing. Tak selesa nak kencing. Biar orang yang masuk tandas lepas saya tak bau hancing najis saya."

Ummu Imtiyaz: "Itulah, kita selalu buat sesuatu kerana benda lain dulu. Bukan kerana Allah. Cuba kita niatkan kita jirus air tu kerana Allah. Kita, kalau buat sesuatu kerana Dia, kita tidak akan rasa terpaksa. Kalau kita fikirkan balik, buat apa sibuk nak jirus air semua. Lantak pi lah dorang yang nak guna tandas. Tapi bila kita buat kerana Allah, Allah sukakan kebersihan. Kita akan rasa seronok dan gembira bila kita buat sesuatu"

Aku rasa ramai di kalangan kita ni lupa nak niatkan sesuatu yang kita buat tu adalah kerana Dia. Aku pun sama. Dengan tutur kata Ummu Imtiyaz yang sungguh lembut dan santun, aku rasa kata-kata dan perkongsiannya sangat menyentuh hati.

Selepas Kak Miza ceritakan kebaikan yang dia buat, beralih kepada Kak Naz untuk kongsikan apa kebaikan yang dia dah buat.

Kak Naz: "Saya suka belanja kawan."

Ummu Imtiyaz: "Kenapa awak buat macam tu?"

Kak Naz: "Sebab nak eratkan lagi silaturrahim."

Ummu Imtiyaz: "Bagus belanja kawan tu. Awak niat tak kerana Allah?"

Kak Naz: "Tak, terlupa. :)"

Selepas giliran Kak Naz, maka sampailah pada giliran aku pula. Aku sebenarnya dah bersedia dengan jawapan. Sampai berdebar-debar tunggu giliran sampai pada aku. Sesak dada bila kuat sangat berdebar. :)

Aku: "Saya mungkin sikap sabar. Sebagai seorang ibu yang bekarjaya dan mempunyai anak yang masih kecil, sabar adalah sangat-sangat dituntut."

Ummu Imtiyaz: "Sabar ni ada dua, kerana Allah dan juga kerana nafsu."

Aku: "Boleh tak ustazah jelaskan contoh macamana sabar kerana Allah dan sabar kerana nafsu?"

Ummu Imtiyaz: "Ok, contohnya anak kita sedang menangis. Menangis sebab mahukan coklat, sedangkan dia masih belum memakan nasi. Macamana kita handle anak kita itu. Kalau kita ikutkan dan terus berikan coklat kepadanya, itu adalah contoh sabar kerana nafsu. Kerana kita tak mahu dia terus menangis. Tapi kalau sabar kerana Allah, kita akan tegas mendidik anak kita. No chocolate before you eat rice. Once kita dah ikut kemahuan anak kita, percayalah nanti dia akan merengek dan menangis lagi bila mahukan sesuatu."

Aku: "Ok, baik ustazah. Tapi macamana pula kalau kita sebagai ibu faham akan hal tersebut, sebaliknya pasangan kita yang tidak faham. Mereka lebih cenderung untuk mendiamkan anak daripada terus menangis dengan memberikan gadget dan sebagainya. Apa yang perlu kita buat?"

Ummu Imtiyaz: "Apabila melibatkan pasangan, kita hanya boleh berdoa. Kita tahu lelaki ini biasanya ego. Sekiranya kita tegur, jarang mereka akan menerima bulat-bulat apa yang kita cakap. Apa yang boleh kita buat hanyalah berdoa. Tugas kita hanyalah mendidik anak kita dengan didikan yang sepatutnya. Semoga anak kita nanti yang akan menjadi wasilah kepada perubahan pasangan kita. Insya-Allah. Ianya merupakan suatu proses yang panjang. Sebab itulah kata kuncinya ialah SABAR."

Apabila ustazah cakap begitu, aku rasa satu kekuatan untuk aku meneruskan kehidupan. Lepas ini aku perlu lebih terbuka dan lebih tenang bila berhadapan dengan sikap pasangan yang kadangkala kurang memahami. Semoga Allah terus memberikan aku kekuatan untuk terus bersabar. Aku kahwin dengan dia biarlah semata-mata kerana Allah. Biar apa yang dia buat pada kita, seandainya kita sudah niatkan kita bersamanya kerana Allah, insya-Allah Dia akan mudahkan segala urusan mendatang. Kita akan berasa lebih tenang, sebab kita tahu Allah ada untuk kita mengadu.

Kemudian, pengajian diteruskan dengan mentadabbur ayat dari surah Al-Imran ayat 105.

"And be not as thise who divided and differed among themselves after the clear proofs had come to them. It is they for whom there is an awful torment." (3:105)

Ustazah ada jelaskan secara ringkas mengenai ayat ini, tapi bersambung minggu depan. Insya-Allah Khamis ini akan aku ikuti sambungannya. Dan semoga aku dapat berkongsi lagi buat peringatan bersama. Insya-Allah.

Saturday, 16 May 2015

Minggu Peperiksaan

Bismillahirrahmanirrahim. 

Alhamdulillah, Selamat Hari Guru buat semua guru di Malaysia. Hari ini 16 Mei merupakan hari guru, hari untuk mengingati pengorbanan dan jasa seorang guru dalam mendidik. Aku juga bersyukur kerana aku merupakan salah seorang yang disambut pada hari ini. Sejak aku menamatkan pengajian ijazah aku pada 2010, aku memulakan kerjaya sebagai seorang pendidik. Sampailah sekarang, aku masih lagi mendidik. Cuma bezanya, kalau empat tahun lepas aku mendidik golongan lepasan SPM, namun kini aku bertanggungjawab mendidik anak-anak yang lebih kecil.


Sambutan hari guru sekolah aku akan diadakan pada 28 Mei 2015, sebelum pelajar-pelajar bermula cuti persekolahan. Ini adalah disebabkan oleh mereka sedang menduduki peperiksaan semester pertama bermula pada minggu ini. Insya-Allah, jika dipanjangkan umur aku dapat menyambut hari guru yang kedua aku di sini. Tahun lepas aku berasa sangat seronok apabila pertama kali menyambutnya dalam suasana yang agak meriah. Disebabkan aku merupakan homeroom teacher ataupun guru kelas budak-budak yang kecil, jadi suasana yang aku rasakan lebih meriah. Dengan mendapat hadiah yang pelbagai, aku rasa sangat dihargai. 

Memandangkan minggu ini dan minggu yang berikutnya adalah minggu peperiksaan, jadi aku tidak mempunyai kelas. Jadual agak lengang berbanding dengan hari biasa. Cuma perlu mengawasi kelas semasa pelajar menduduki peperiksaan. Masa yang terluang aku gunakan untuk menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh sebelum ini. Contohnya menyiapkan rekod pelan pengajaran. :)

Sekolah aku merupakan sekolah swasta, jadi kebanyakan pelajarnya adalah dari golongan yang berada. Jika tidak, mana mungkin mereka mampu bersekolah di sini. Jadi, ada sesetengah pelajar yang langsung tidak menunjukkan minat untuk belajar. Ada suatu hari yang aku perlu menjadi pengawas peperiksaan kelas pelajar Tahun 6. Ada seorang pelajar lelaki yang sememangnya dikenali satu sekolah dengan perangai dan sikapnya yang langsung tidak mahu belajar. 

Datang ke sekolah semata-mata memenuhi kehendak ibu dan ayahnya. Bila aku mengawasi kelas dia, masa tu subjek English kertas 2, kena buat esei dalam Bahasa Inggeris. Masa yang diperuntukkan adalah satu jam. Maka dalam satu jam itulah dia duduk di tempatnya tanpa langsung berusaha menjawab kertas soalannya. Lebih kurang setengah jam peperiksaan bermula, dia meminta izin untuk keluar ke tandas. Aku hanya mampu menggeleng. Sedih, kesal. Tak tahu apa yang difikirkan olehnya. Suatu hari nanti, aku yakin dia pasti akan menyesal dengan tindakannya yang mensia-siakan masa mudanya. Semoga Allah memberi kesedaran kepadanya sebelum terlambat.

Bukannya cikgu-cikgu tidak memberi nasihat, menegur dan memotivasi, namun sudah berbuih mulut kami. Tiada sebarang perubahan. Hendak dirotan, dipukul dan sebagainya, nanti lain pula jadinya. Maklumlah, anak orang kaya. Akhir sekali, kami cikgu-cikgu hanya membiarkan dia dengan dunianya. Hanya jika dia berbuat sesuatu kesalahan yang agak serius, barulah akan dikenakan tindakan oleh pihak disiplin.

Untuk akhirnya, Selamat Maju Jaya buat semua anak-anak didikku. Subjek aku iaitu Sains akan bermula minggu depan. Semoga semua beroleh keputusan yang cemerlang, insya-Allah.

Friday, 1 May 2015

It's May!

Selamat Hari Pekerja. Hari ni cuti umum, semua yang bekerja akan bercuti. Tetapi aku percaya masih ada sebilangan yang tetap bekerja pada hari ini. Hari ini aku tidak ke mana-mana. Hanya menghabiskan masa dengan Mursi di rumah, sebab gaji belum dapat dan suami pun bukan kaki keluar jalan-jalan. Hehe.


Kejap aje dah masuk bulan Mei. Aku pun dah lebih setahun bekerja di IISKD. Dalam tempoh setahun lebih ni, aku dah semakin memahami amalan 'politikus' di tempat kerja sekarang. Konklusinya, aku dapat simpulkan ianya lebih kurang sama dengan tempat kerja aku yang dulu. Entahlah, bila dah jadi macam ni aku rasakan 'adakah semua syarikat swasta macam ni?'. Sepanjang pengalaman aku, masalah yang dihadapi oleh pekerja swasta boleh dikatakan sama. Gaji yang tidak tetap waktu, gaji staf tidak dinaikkan dengan seadilnya (ada yang dapat kenaikan gaji, ada yang tidak), beban kerja yang melampau dan sebagainya. Wallahu'alam.

Walaupun begitu, aku tetap berusaha mengintai peluang yang lebih baik. Hidup di zaman sekarang, tidak mampu lagi dengan hanya mempunyai gaji di bawah 2 ribu. Hidup di kota, kos hidup yang semakin meningkat, harga barang yang setiap hari makin naik, dengan cukai GSTnya lagi... Memang mengeluh panjang setiap kali memikirkannya. Kalau diberi peluang untuk mendapat kerja yang lebih baik, aku akan berhenti kerja. Insya-Allah, semoga dipermudahkan.

Sampaikan suami aku cakap baik tak perlu beri adik kepada Mursi lagi, disebabkan kedudukan kami sekeluarga yang masih belum stabil. Kalau diikutkan umur Mursi, dah boleh jadi abang long. Insya-Allah, semoga suatu hari nanti Allah permudahkan urusan aku sekeluarga. Moga dimurahkan rezeki kami dan dilapangkan jalan kami dalam mencari rezeki yang halal.