Bismillahirrahmanirrahim.
Tahun ni aku dah dapat green light untuk memandu kereta sendiri ke tempat kerja. Tapi sebelum nak dapat green light tu, semestinya aku akan dipantau. Iyelah, mana boleh terus-terus bawa kereta sendiri aje. Pada awal-awal mula kerja tahun ni, suami aku menjadi co-pilot aku di sebelah, memantau aku memandu samada boleh lepas ke tidak. Hehe. Alhamdulillah, sekarang aku dah berani pandu kereta sendiri di bandar yang sibuk ini. Itupun sekadar pergi dan balik kerja sahaja.
Biasanya aku akan bertolak dari rumah pukul 7 pagi, kemudian hantar Mursi ke rumah pengasuhnya. Sempat la aku sampai ke tempat kerja sebelum pukul 8. Itupun kadang-kadang merah juga punch-card. Biasanya kalau dalam kereta aku akan dengar radio, dan pukul 7.30 aku cuba dengar slot motivasi pagi di radio IKIM.FM. Kali ni aku nak berkongsi beberapa tips suami isteri yang aku dapat dari slot tersebut minggu lepas. Tips ini pun aku ada kongsikan dengan suami aku juga. :) Ada beberapa tips yang dikongsikan oleh penceramah, tapi aku cuba sampaikan apa yang aku ingat mengikut kefahaman aku sendiri. Insya-Allah, moga ianya menjadi sedikit peringatan buat kita.
Tip 1: Selalu hormat-menghormati
Perasaan hormat dalam hubungan rumah tangga sangatlah penting. Terutamanya isteri perlu hormat suami. Sedar bahawa isteri perlu mempunyai rasa hormat, jangan bersikap kurang ajar dan jangan melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh suami. Namun, suami juga perlu menghormati isteri. Isteri merupakan insan terpenting dalam sesebuah rumah tangga. Jangan anggap isteri sebagai orang gaji, mengarahkan dia berbuat segala kerja tanpa mengira masa.
Tip 2: Sentiasa tolong-menolong
Sikap tolong-menolong dalam rumah tangga akan melahirkan sebuah rumah tangga yang aman harmoni. Suami menolong isteri melakukan kerja rumah, contohnya menjaga anak ketika isteri sedang memasak dan sebagainya. Ataupun suami meletakkan pakaian yang telah dipakai di tempat yang sepatutnya walaupun tidak mampu untuk menolong isteri mencuci pakaian. Isteri juga haruslah menolong suami sekiranya diperlukan. Seperti yang kita tahu, isteri biasanya akan menyiapkan segala kerja rumah. Memasak, mengemas rumah, menjaga anak, mendidik anak, dan memastikan segalanya dalam keadaan yang teratur. Namun, itu bukanlah alasan untuk tidak menolong suami seandainya suami meminta pertolongan.
Tip 3: Memanggil dengan panggilan yang disukai pasangan
Suami dipanggil 'abang' atau 'hubby' oleh isteri, isteri pula dipanggil 'sayang' atau 'baby' oleh suami. Panggillah dengan panggilan yang disukai masing-masing. Jangan panggil hanya dengan nama, tiada kemesraan. Sedangkan Rasulullah memanggil Aisyah isterinya dengan panggilan Aisyah Humaira' (kemerah-merahan). Panggilan yang sangat disukai oleh isterinya.
Tip 4: Selalu mengucapkan terima kasih
Apabila suami menolong isteri, janganlah terlalu berat mulut untuk mengucapkan terima kasih. Walaupun suami hanya menolong menjaga anak atau memakaikan baju anak, ucapkanlah terima kasih. Suami akan merasa lebih dihargai. Begitu juga buat suami. Ringankanlah mulut selalu mengucapkan terima kasih kepada isteri. Isteri telah banyak melakukan kerja rumah dan menjaga anak, serta memastikan rumah tangga dalam keadaan terurus. Hargailah isteri dengan ucapan terima kasih. Itupun sudah memadai. Jika isteri menerima ucapan penghargaan daripada suami, nescaya segala penat lelah seharian akan hilang bagai angin lalu.
Tip 5: Sentiasa maaf-memaafkan
Dalam hubungan suami isteri, mustahil tidak akan ada perselisihan faham. Kadang-kadang tu, perkara yang kecil pun boleh jadi sebab bermasam muka. Contohnya bila suami bercakap dengan nada yang berbeza daripada biasa. Ini boleh menyebabkan hati isteri tersinggung. Jika berlaku demikian, suami haruslah menjelaskan kepada isteri mengapa dia bersikap demikian. Mungkin tidak sengaja ataupun dia sedang mempunyai masalah. Jika ada perselisihan, terus luahkan, jangan pendam. Sikap saling memaafkan ini boleh mengelakkan daripada perselisihan yang lebih besar.
Tip 6: Komunikasi dalam perhubungan
Jangan diam dan dingin dalam hubungan rumah tangga, sangat bahaya. Komunikasi antara perkara yang penting dalam sesebuah perhubungan. Luahkan segala apa yang terbuku, bahkan ceritakan pada pasangan apa yang dilalui sepanjang hari. Jadikan pasangan sebagai teman yang paling rapat, sebab dia yang tahu segala baik buruk kita. Jadi pada dialah sepatutnya kita ceritakan segala, bukannya pada kawan sekerja. Ini tidak, dengan rakan sekerja boleh bergelak ketawa, tetapi bila sampai di rumah bersama pasangan masing-masing diam membisu. Sibuk dengan melayan perasaan masing-masing. Manfaatkan masa bersama-sama dengan sebaiknya. Insya-Allah rumah tangga akan aman bahagia.
Tip 7: Sentiasa memeluk pasangan
Pelukan dapat menenangkan pasangan. Malah ada kajian yang meyatakan bahawa dengan memeluk pasangan dapat memanjangkan umur pasangan kita. Jadi, jangan menganggap yang pelukan hanya akan membuang masa. Malah ia dapat memberi rasa selamat buat isteri, kerana dia yakin dan percaya suami pasti akan sentiasa ada di sampingnya. Jadi, selalulah memeluk pasanagan. Jadikan ia sebagai satu tabiat yang sangat membahagiakan.
Tip 8: Solat berjemaah
Yang paling penting dalam hidup berkeluarga ialah amalan solat berjemaah. Suami kalau boleh imamkan solat isteri. Andai masih belum mempunyai anak, cubalah sedaya upaya solat berjemaah. Jika sudah menjadi amalan, ia akan terasa lain bila ditinggalkan. Andai sudah mempunyai anak, ia akan menjadi satu contoh teladan yang baik untuk anak-anak. Selesai sembahyang, isteri memohon kemaafan daripada suami. Suami juga akan sentiasa dihormati dan dihargai oleh isteri kerana mampu menjadi pemimpin yang terbaik buat keluarga.
Itulah antara tip suami isteri yang dapat aku kongsikan bersama. Semoga sedikit sebanyak dapat diambil manfaat daripadanya. Insya-Allah.

No comments:
Post a Comment