Wednesday, 20 May 2015

Niat kerana Allah

Bismillahirrahmanirrahim.

Biasanya setiap pagi Khamis setiap minggu akan ada pengisian khusus untuk guru perempuan di sekolah. Itupun baru bermula dalam sebulan yang lalu. Objektif utamanya adalah untuk mempersiapkan kami guru perempuan supaya mempunyai isi untuk disampaikan kepada pelajar-pelajar perempuan keesokan harinya. Semasa pelajar lelaki keluar untuk solat Jumaat, pelajar perempuan pula akan ada sesi halaqah yang akan dihandle oleh kami, guru-guru perempuan. 

Majlis ilmu ini dikendalikan oleh Ummu Imtiyaz. Ia akan bermula dua sesi, iaitu sesi pertama dari pukul 10.00-10.30 pagi, dan sesi kedua pada setengah jam yang berikutnya. Ia adalah dislot berdasarkan masa lengang guru tersebut. Aku telah dislotkan dalam sesi yang pertama. Alhamdulillah, setakat majlis ini bermula aku mendapat sedikit ilmu untuk dijadikan peringatan, serta panduan dalam hidup. Tetapi aku terlepas pertemuan pertama, terlupa.

Di sini aku nak kongsikan serba sedikit apa yang aku dapat daripada majlis ilmu Khamis lepas. Alhamdulillah, aku ke sana adalah semata-mata kerana Allah. Bila kita buat sesuatu kerana Dia, pasti hati akan terasa sangat lapang dan seronok menimba ilmu. Dan itulah yang aku rasa, dan itu juga antara isi yang diselitkan semasa perkongsian ilmu bersama Ummu Imtiyaz pada hari tersebut. Buat sesuatu perkara biarlah semata-mata kerana Allah, bukan disebabkan terpaksa ataupun kerana disuruh oleh pihak atasan.


Permulaan majlis kami diminta untuk berkongsi satu kebaikan yang kami buat dalam hari-hari yang lepas. Orang pertama yang berkongsi kebaikan ialah Kak Miza.

Kak Miza: "Saya selalu kalau masuk dan keluar tandas kena jirus air dulu."

Ummu Imtiyaz: "Kenapa awak buat macam tu?"

Kak Miza: "Sebab bau hancing. Tak selesa nak kencing. Biar orang yang masuk tandas lepas saya tak bau hancing najis saya."

Ummu Imtiyaz: "Itulah, kita selalu buat sesuatu kerana benda lain dulu. Bukan kerana Allah. Cuba kita niatkan kita jirus air tu kerana Allah. Kita, kalau buat sesuatu kerana Dia, kita tidak akan rasa terpaksa. Kalau kita fikirkan balik, buat apa sibuk nak jirus air semua. Lantak pi lah dorang yang nak guna tandas. Tapi bila kita buat kerana Allah, Allah sukakan kebersihan. Kita akan rasa seronok dan gembira bila kita buat sesuatu"

Aku rasa ramai di kalangan kita ni lupa nak niatkan sesuatu yang kita buat tu adalah kerana Dia. Aku pun sama. Dengan tutur kata Ummu Imtiyaz yang sungguh lembut dan santun, aku rasa kata-kata dan perkongsiannya sangat menyentuh hati.

Selepas Kak Miza ceritakan kebaikan yang dia buat, beralih kepada Kak Naz untuk kongsikan apa kebaikan yang dia dah buat.

Kak Naz: "Saya suka belanja kawan."

Ummu Imtiyaz: "Kenapa awak buat macam tu?"

Kak Naz: "Sebab nak eratkan lagi silaturrahim."

Ummu Imtiyaz: "Bagus belanja kawan tu. Awak niat tak kerana Allah?"

Kak Naz: "Tak, terlupa. :)"

Selepas giliran Kak Naz, maka sampailah pada giliran aku pula. Aku sebenarnya dah bersedia dengan jawapan. Sampai berdebar-debar tunggu giliran sampai pada aku. Sesak dada bila kuat sangat berdebar. :)

Aku: "Saya mungkin sikap sabar. Sebagai seorang ibu yang bekarjaya dan mempunyai anak yang masih kecil, sabar adalah sangat-sangat dituntut."

Ummu Imtiyaz: "Sabar ni ada dua, kerana Allah dan juga kerana nafsu."

Aku: "Boleh tak ustazah jelaskan contoh macamana sabar kerana Allah dan sabar kerana nafsu?"

Ummu Imtiyaz: "Ok, contohnya anak kita sedang menangis. Menangis sebab mahukan coklat, sedangkan dia masih belum memakan nasi. Macamana kita handle anak kita itu. Kalau kita ikutkan dan terus berikan coklat kepadanya, itu adalah contoh sabar kerana nafsu. Kerana kita tak mahu dia terus menangis. Tapi kalau sabar kerana Allah, kita akan tegas mendidik anak kita. No chocolate before you eat rice. Once kita dah ikut kemahuan anak kita, percayalah nanti dia akan merengek dan menangis lagi bila mahukan sesuatu."

Aku: "Ok, baik ustazah. Tapi macamana pula kalau kita sebagai ibu faham akan hal tersebut, sebaliknya pasangan kita yang tidak faham. Mereka lebih cenderung untuk mendiamkan anak daripada terus menangis dengan memberikan gadget dan sebagainya. Apa yang perlu kita buat?"

Ummu Imtiyaz: "Apabila melibatkan pasangan, kita hanya boleh berdoa. Kita tahu lelaki ini biasanya ego. Sekiranya kita tegur, jarang mereka akan menerima bulat-bulat apa yang kita cakap. Apa yang boleh kita buat hanyalah berdoa. Tugas kita hanyalah mendidik anak kita dengan didikan yang sepatutnya. Semoga anak kita nanti yang akan menjadi wasilah kepada perubahan pasangan kita. Insya-Allah. Ianya merupakan suatu proses yang panjang. Sebab itulah kata kuncinya ialah SABAR."

Apabila ustazah cakap begitu, aku rasa satu kekuatan untuk aku meneruskan kehidupan. Lepas ini aku perlu lebih terbuka dan lebih tenang bila berhadapan dengan sikap pasangan yang kadangkala kurang memahami. Semoga Allah terus memberikan aku kekuatan untuk terus bersabar. Aku kahwin dengan dia biarlah semata-mata kerana Allah. Biar apa yang dia buat pada kita, seandainya kita sudah niatkan kita bersamanya kerana Allah, insya-Allah Dia akan mudahkan segala urusan mendatang. Kita akan berasa lebih tenang, sebab kita tahu Allah ada untuk kita mengadu.

Kemudian, pengajian diteruskan dengan mentadabbur ayat dari surah Al-Imran ayat 105.

"And be not as thise who divided and differed among themselves after the clear proofs had come to them. It is they for whom there is an awful torment." (3:105)

Ustazah ada jelaskan secara ringkas mengenai ayat ini, tapi bersambung minggu depan. Insya-Allah Khamis ini akan aku ikuti sambungannya. Dan semoga aku dapat berkongsi lagi buat peringatan bersama. Insya-Allah.

No comments: