Saturday, 16 May 2015

Minggu Peperiksaan

Bismillahirrahmanirrahim. 

Alhamdulillah, Selamat Hari Guru buat semua guru di Malaysia. Hari ini 16 Mei merupakan hari guru, hari untuk mengingati pengorbanan dan jasa seorang guru dalam mendidik. Aku juga bersyukur kerana aku merupakan salah seorang yang disambut pada hari ini. Sejak aku menamatkan pengajian ijazah aku pada 2010, aku memulakan kerjaya sebagai seorang pendidik. Sampailah sekarang, aku masih lagi mendidik. Cuma bezanya, kalau empat tahun lepas aku mendidik golongan lepasan SPM, namun kini aku bertanggungjawab mendidik anak-anak yang lebih kecil.


Sambutan hari guru sekolah aku akan diadakan pada 28 Mei 2015, sebelum pelajar-pelajar bermula cuti persekolahan. Ini adalah disebabkan oleh mereka sedang menduduki peperiksaan semester pertama bermula pada minggu ini. Insya-Allah, jika dipanjangkan umur aku dapat menyambut hari guru yang kedua aku di sini. Tahun lepas aku berasa sangat seronok apabila pertama kali menyambutnya dalam suasana yang agak meriah. Disebabkan aku merupakan homeroom teacher ataupun guru kelas budak-budak yang kecil, jadi suasana yang aku rasakan lebih meriah. Dengan mendapat hadiah yang pelbagai, aku rasa sangat dihargai. 

Memandangkan minggu ini dan minggu yang berikutnya adalah minggu peperiksaan, jadi aku tidak mempunyai kelas. Jadual agak lengang berbanding dengan hari biasa. Cuma perlu mengawasi kelas semasa pelajar menduduki peperiksaan. Masa yang terluang aku gunakan untuk menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh sebelum ini. Contohnya menyiapkan rekod pelan pengajaran. :)

Sekolah aku merupakan sekolah swasta, jadi kebanyakan pelajarnya adalah dari golongan yang berada. Jika tidak, mana mungkin mereka mampu bersekolah di sini. Jadi, ada sesetengah pelajar yang langsung tidak menunjukkan minat untuk belajar. Ada suatu hari yang aku perlu menjadi pengawas peperiksaan kelas pelajar Tahun 6. Ada seorang pelajar lelaki yang sememangnya dikenali satu sekolah dengan perangai dan sikapnya yang langsung tidak mahu belajar. 

Datang ke sekolah semata-mata memenuhi kehendak ibu dan ayahnya. Bila aku mengawasi kelas dia, masa tu subjek English kertas 2, kena buat esei dalam Bahasa Inggeris. Masa yang diperuntukkan adalah satu jam. Maka dalam satu jam itulah dia duduk di tempatnya tanpa langsung berusaha menjawab kertas soalannya. Lebih kurang setengah jam peperiksaan bermula, dia meminta izin untuk keluar ke tandas. Aku hanya mampu menggeleng. Sedih, kesal. Tak tahu apa yang difikirkan olehnya. Suatu hari nanti, aku yakin dia pasti akan menyesal dengan tindakannya yang mensia-siakan masa mudanya. Semoga Allah memberi kesedaran kepadanya sebelum terlambat.

Bukannya cikgu-cikgu tidak memberi nasihat, menegur dan memotivasi, namun sudah berbuih mulut kami. Tiada sebarang perubahan. Hendak dirotan, dipukul dan sebagainya, nanti lain pula jadinya. Maklumlah, anak orang kaya. Akhir sekali, kami cikgu-cikgu hanya membiarkan dia dengan dunianya. Hanya jika dia berbuat sesuatu kesalahan yang agak serius, barulah akan dikenakan tindakan oleh pihak disiplin.

Untuk akhirnya, Selamat Maju Jaya buat semua anak-anak didikku. Subjek aku iaitu Sains akan bermula minggu depan. Semoga semua beroleh keputusan yang cemerlang, insya-Allah.

No comments: