Friday, 23 October 2015

Mursi Jumpa Speech Therapist

Bismillahi wal hamdulillah

Kalau entri sebelum ni, Mursi jumpa dengan pakar audio. Semalam giliran Mursi untuk jumpa dengan speech therapist pulak.

Sampai hospital

Temujanji yang sepatutnya sama tarikh dengan berjumpa audiologis terpaksa ditunda ke tarikh semalam. Macam biasa, kami bertolak awal pagi ke hospital. Untuk mengelakkan masalah parking. Namun, walaupun masa bertolak dari rumah adalah lebih kurang dengan yang lepas, kesesakannya agak berbeza. Orang yang mengunjungi hospital semalam lebih ramai kalau nak dibandingkan dengan minggu lepas. Jadi, suami tidak mendapat parking sebaliknya hanya double park sahaja.

Setelah selesai parking kereta, kami bersama-sama terus ke bahagian klinik pakar untuk pendaftaran. Sekali lagi agak terkejut. Kali ni nombor giliran yang dapat adalah yang ke-99, berbanding dengan yang lepas iaitu giliran ke-23. Memandangkan nombor giliran masih lambat, suami ajak pergi sarapan dahulu di kafe hospital. Aku menurut sahaja, sedangkan pada awalnya aku enggan. Sebabnya aku dah makan roti dari rumah dan suami berpuasa sunat. Akhirnya, suami tak jadi puasa sebab nak ajak aku sarapan. Aku cakap taknak sarapan kalau hanya aku seorang saja yang makan. :)

Giliran Mursi

Memang masa sarapan kami makan dengan tenang, tak ada kelam-kabut sebab ingat nombor giliran lambat lagi. Aku makan nasi goreng sikit dan bihun sikit. Berkongsi dengan Mursi. Suami pula makan nasi lemak. Alhamdulillah, kenyang rezeki dari Allah sarapan. Bila dah selesai semua, kembali ke bahagian pendaftaran. Tengok-tengokdah terlepas nombor giliran! Tergelak sekejap dengan suami, sebab memang tak sangka akan terlepas giliran. Mungkin ramai yang macam kami, fikir giliran lambat lagi pergi makan dulu. :) Kami terus saja ke kaunter dan beritahu kerani bahawa kami terlepas giliran. Nasib baik kakak tu tidak marah. Selepas daftar nama Mursi, aku ambil kad untuk terus ke klinik audio dan speech. Tapi nasib baik suami perasan yang pelekat kad pesakit tertera nama orang lain, nama india pula tu! Pergila tukar balik dengan kakak yang comel tu. Hehe.

Dah siap daftar kat kaunter utama, aku terus ke klinik audio dan speech, untuk daftar di klinik itu pula. Tapi daftar kat sini tak lama macam dekat kaunter utama. Tapi bilangan pesakit berkali ganda jika dibandingkan dengan yang lepas. Jadi, aku membuat kesimpulan bahawa hari Rabu adalah merupakan hari kebanyakan temujanji dibuat. :) Nombor giliran Mursi ialah yang keempat, bagi golongan kanak-kanak. Sementara menunggu, Mursi macam biasalah. Main berlari-lari ke sana ke mari. Tapi kali ni agak terbatas sebab ramai orang yang lalu-lalang.

Sebelum sesi terapi.
Sesi Terapi

Sebaik sahaja sampai giliran Mursi, kami dibawa ke bilik terapi. Mursi dah start nak berpaut dengan ummi saja dah bila nampak doktor tu. Doktor perempuan juga, sama macam sesi audio test yang lepas. Dalam bilik terapi, Mursi sepatutnya perlu duduk atas sebuah kerusi yang disediakan. Ummi pula hanya duduk di sebelahnya. Tapi pada permulaan, Mursi agak enggan sampailah doktor tersebut mengumpan dia dengan mainan magnet yang dilekatkan pada board. Sesi bermula dengan doktor menunjukkan beberapa keping mainan magnet dan meminta Mursi melekatkannya pada board yang disediakan. Antara mainan yang disediakan ialah bentuk bola, matahari, ikan, buah pisang, buah epal dan burung. Jadi Mursi perlu meletakkan mainan tersebut pada tempat yang betul di atas board bergambar berdasarkan cerita yang diceritakan oleh doktor tadi.

Ujian ini dinilai berdasarkan kebolehan Mursi untuk meletakkan setiap mainan di tempat yang betol, contohnya matahari perlu diletakkan di langit, bola diletak antara budak lelaki dan perempuan yang sedang bermain, buah pisang dan epal perlu diletakkan di atas pinggan atau di dalam bakul manakala burung pula dilekatkan pada langit. Jadi, apa yang Mursi buat ialah dia hanya melekatkan mainan tersebut di mana sahaja pada board tersebut. Ada la beberapa kali dia menurut perintah bila diarahkan melekatkannya pada satu-satu tempat.

Selesai sesi terapi tersebut, doktor ada bertanyakan beberapa soalan yang berkaitan. Contohnya adakah Mursi menunjukkan perangai yang pelik, atau tidak bergaul dengan orang lain. Aku menjawab jujur segala pertanyaan yang ditanya. Doktor merumuskan bahawa, hasil daripada ujian dan pemerhatian, dia menyatakan bahawa peringkat Mursi hanyalah pada usia antara 0-12 bulan, walhal umurnya yang sebenar sudahpun dua tahun lebih. Itu adalah keputusan daripada sesi yang pertama ini. Seterusnya doktor akan memberikan tarikh temujanji untuk sesi yang berikutnya.

Kesimpulan Ummi

Namun, bagi aku sebagai ummi keadaan Mursi adalah normal. Dan aku merasakan ujian yang dilakukan tidak merangkumi tahap Mursi yang sebenarnya. Bayangkan Mursi baru pertama kali jumpa dengan doktor, takkan la dia nak dengar dan ikut sebiji-sebiji apa yang doktor tu ceritakan. Lagi satu, dekat rumah Mursi tidak didedahkan dengan mainan yang berbentuk magnet begitu. Jadi agak sukar untuk dia mengenalpasti bentuk dan gambar yang dilihat. Mungkin di sini adalah kekurangan aku sendiri, aku mengaku. Tak apa sayang ummi, anak ummi sihat sahaja di mata ummi. Biasalah tu lambat bercakap sikit. Orang lain pun ada yang lebih teruk dari Mursi. :) Sebelum pulang, kami menerima tarikh temujanji yang berikutnya untuk sesi rawatan Mursi iaitu pada bulan Januari tahun hadapan. Lepas balik dari hospital, ummi boleh sambung bermain dengan Mursi sebab sekolah cuti, jerebu. :)

Saturday, 17 October 2015

Notis Tuntutan

Bismillahi wal hamdulillah.

Notis Tuntutan

Kadang-kadang Allah hantarkan peringatan melalui berbaga-bagai cara. Tapi aku tak pasti sama ada apa yang aku lalui ini adalah merupakan teguran daripada Allah ataupun sebaliknya. Mungkin Dia nak tegur aku supaya menyegerakan membayar hutang dan tidak berbuat tidak tahu sahaja. Bila difikirkan balik, apa yang aku pinjam adalah apa yang sepatutnya kami sebagai rakyat dapat, iaitu pinjaman pendidikan. Namun, aku tetap positif. Allah ingin menegur aku mengenai sesuatu.

Minggu lepas, aku mendapat message daripada adik aku mengatakan ada surat daripada PTPTN sampai ke rumah. Ia merupakan notis tuntutan yang mana meminta aku membayar keseluruhan baki pinjaman, jika tidak aku akan berdepan dengan tindakan undang-undang. Ayahku pun susah hati dengan surat tersebut, sehinggakan di menelefon aku untuk bertanyakan selanjutnya. Kesian pok, susah hati dibuatnya. Maaf ye pok, anakmu masih lagi membuatkanmu risau walaupun sudah besar panjang.


Jalan Penyelesaian

Keesokan harinya iaitu hari Jumaat aku menelefon pihak PTPTN dan bertanya dengan lebih lanjut mengenai perkara tersebut. Dan memang, tidak dapat tidak aku terpaksa menjelaskan keseluruhan baki pinjaman. Namun aku meminta sedikit kelonggaran. Pihak PTPTN menawarkan supaya aku membayar jumlah minimum iaitu sebanyak RM1000 sebelum hujung bulan ini. Dan baki selebihnya akan dijelaskan melalui ansuran bulanan setelah bertukar kepada sistem Ujrah. Pada mulanya aku bersetuju untuk menjelaskan jumlah minimum tersebut.

Namun, setelah suami membuat penelitian dan pencarian di internet, ada satu cara lagi untuk menyelesaikan masalah ini. Dia mencadangkan aku menjelaskan hutang melalui akaun 2 KWSP. Setelah berhubung dengan pihak PTPTN mengenai ini, aku bersetuju dan akan menyelesaikannya secepat mungkin. Namun aku perlu ke kaunter PTPTN terlebih dahulu untuk meminta surat tawaran dan perjanjian pinjaman yang telah aku tandatangani pada tahun 2006 dahulu, iaitu tahun pertama aku mula melanjutkan pengajian di universiti.

Sesi Urusan PTPTN dan KWSP

Pada hari Selasa lepas, aku dan suami ke kaunter PTPTN di Wisma Chase Perdana bagi mengambil surat perjanjian dan tawaran serta penyata pengesahan baki dari pihak PTPTN. Segalanya dipermudahkan, tidak ramai yang berurusan di kaunter pada hari tersebut dan aku merupakan peminjam pertama yang berurusan. Urusan yang disangkakan mengambil masa yang lama rupanya hanya mengambil masa tak sampai setengah jam. Dan kami boleh terus ke KWSP untuk urusan yang seterusnya. Alhamdulillah. Tetapi selepas berurusan di kaunter PTPTN, kami terpaksa balik ke rumah semula untuk mengambil transkrip ijazah aku. Kalau tahu boleh terus ke KWSP, baik aku bawa terus segala dokumen yang diperlukan. Nak buat macam mana, terpaksa jugalah balik ambil supaya boleh terus selesai hari ini.

Setelah segala dokumen diambil, kami terus ke ibu pejabat KWSP di Jalan Raja Laut. Lokasinya yang di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur agak meyukarkan suami untuk mencari parking. Hampir beberapa kali berpusing di tempat yang sama semata-mata untuk mencari parking. Nasib baik emosi suami masih terkawal. :) Akhirnya, setelah penat berlegar-legar, kami parking di basement bangunan. Ada disediakan parking untuk pelawat. Kena bayar RM3 untuk satu jam pertama, padahal urusan tak sampai setengah jam pun. :(

Urusan di kaunter KWSP juga tiada masalah. Segalanya Allah permudahkan, Alhamdulillah. Sebaik sahaja sampai, aku diarah mengisi borang yang berkaitan dan mengambil nombor giliran. Orang pun tidak ramai yang berurusan di kaunter. Selepas beberapa orang, tibalah giliran aku untuk berurusan. Segala dokumen lengkap, borang lengkap dan tiada masalah, maka urusan pun selesai. Aku diberitahu bayaran akan dibuat dalam tempoh 21 hari bekerja dan emel akan dihantar kepada aku setelah bayaran dibuat. Jadi sekarang, aku hanya perlu menunggu. Setakat ini, aku boleh menarik nafas lega kerana hutangku dengan PTPTN telah langsai. Alhamdulillah. Setakat ini, tiada lagi potongan dibuat dari KWSP apabila aku melihat baki penyata secara online. Mungkin masih pending. Aku hanya perlu bersabar.

Setelah segalanya selesai, kami pulang ke rumah. Dalam perjalanan balik, suami belikan nasi ayam kegemaran sebagai makan tengahari. Selepas makan semua, aku ke sekolah untuk terus berkhidmat. :)

Saturday, 10 October 2015

Mursi's Audio Test

Bismillahi wal hamdulillah.

Khamis lepas merupakan tarikh temujanji Mursi di Hospital Sungai Buluh. Temujanji untuk berjumpa dengan pakar audiologi bagi melihat perkembangannya. Sepatutnya temujanji hari ini adalah sekali dengan temujanji untuk berjumpa pakar terapi pertuturan juga, tapi terpaksa ditunda ke minggu depan. Makanya, minggu depan terpaksalah ummi dan ayah ambil cuti separuh hari lagi untuk bawa Mursi ke hospital. Demi anak tersayang, apa saja untukmu, nak. Jangan pernah mengeluh ye wahai diri. :)

Pendaftaran

Aku dan suami bertolak ke hospital awal pagi, walaupun temujanji dijadualkan pada pukul 10.30 pagi. Kami bertolak pada pukul 7 pagi, disebabkan risau tiada parking kalau bertolak lambat. Kebiasaannya memang macam tu. Sebaik saja sampai di klinik pakar, aku terpaksa beratur menunggu pintu dibuka untuk pendaftaran. Pertama kali sampai hospital kena beratur. Itupun barisan dah agak panjang semasa aku sampai. Pendaftaran ini adalah fasa pertama, belum lagi pendaftaran untuk ke klinik audiologi. Kemudian, selepas selesai sesi pendaftaran, barulah perlu mendaftar sekali lagi di klinik audiologi.

Bila sampai di klinik audiologi, orang tidak ramai pun. Nombor giliran Mursi adalah yang kedua. Tetapi walaupun tidak ramai pesakit, tempoh menunggu saja macam ada sepuluh pesakit menunggu. Tak apalah, aku faham. Inikan hospital kerajaan. Tak nak komen lebih-lebih.

Giliran Mursi

Sepanjang tempoh menunggu giliran, Mursi memang tak duduk diam. Dia berjalan ke sekeliling hospital, yang mana masih dalam jangkauan aku dan suami. Dia pergi ke tempat budak-budak lain. Apa yang kelakarnya ialah, dia mendapat huluran makanan daripada orang lain. Malu aku dibuatnya. Kebetulan semasa dia berkeliaran dekat tempat budak-budak dalam klinik itu, mereka sedang makan. Jadi ada antara ibu mereka menghulurkan makanan kepada Mursi. Padahal dia pun sudah makan kentang goreng yang aku bawa bekal dari rumah. Mursi dapat karipap, sekeping biskut dan sebiji nugget dari 3 orang yang berasingan. Alahai Mursi anak ummi...

Setelah agak lama, maka giliran pun tiba. Kami masuk ke dalam bilik yang ditetapkan. Namun, pemeriksaan yang pertama diadakan ialah melihat ke dalam telinga Mursi. Katanya banyak tahi telinga ataupun ear wax katanya. Jadi, dia minta rujuk semula kepada klinik ENT. Terpaksa ke kaunter pendaftaran yang mula-mula tadi, kemudian ambil pula nombor giliran yang baru untuk ENT bagi keluarkan ear wax, lepas tu barulah boleh sambung dengan audio test yang sepatutnya. Tidak ke buang masa dekat situ dan buat dua kerja? Ok, faham. Kecelaruan dan ketidaksefahaman antara audiologis dan juga jururawat di situ. Susah la kalau tiada kesefahaman kerja macam ni. Yang jadi mangsa pesakit, membazir masa bagi ibu bapa yang bawa anak kecil.

Ujian Audio

Maka dipendekkan cerita, semasa proses mengeluarkan tahi telinga dari telinga Mursi, bukan satu operasi yang mudah. Mursi menangis semahu-mahunya. Mana tidaknya, kalau aku jadi Mursi mesti takut. Terpaksa dibaringkan di atas katil, kemudian dibedung dengan kain kedua-dua belah tangan, terdapat lampu terpasang di atas kepala, dan ada orang ramai (jururawat) di sekeliling. Mestilah suasana tersebut merupakan satu perkara yang asing baginya. Tak mustahil la dia menangis meraung semahu-mahunya. Boleh lagi doktor yang incharge tanya, "dia pernah buat macam ni ke? kuat sangat menangis..." Alahai la doktor. Tak ada common sense ke?

Selepas selesai sesi mengeluarkan ear wax Mursi, kena tunggu lagi untuk ujian audio yang sepatutnya. Sebaik sahaja giliran sampai, kami masuk semula ke dalam bilik yang awal tadi. Kali ni dengan audiologis lain pula. Ujian pertama, dia mengambil gelombang kedua-dua belah telinga Mursi. Alhamdulillah, normal. Kemudian, kami dibawa masuk ke sebuah bilik kecil yang kedap bunyi. Langsung tidak boleh dengar bunyi dari luar. Di sini, Mursi akan diuji sama ada dia peka kepada sesuatu bunyi atau tidak. Bunyi yang dikeluarkan adalah berbeza frekuensi dia. Apabila bunyi tersebut keluar, ada patung yang akan kelihatan di sebelah kanan Mursi.

Semasa ujian ini dijalankan, kedudukan Mursi adalah di atas ribaan aku. Peringkat pertama iaitu tanpa menggunakan headphone / earphone, Mursi lulus ujian ini. Namun masih perlu ujian seterusnya iaitu untuk menentukan kedua-dua belah telinganya berfungsi normal. Dan ini memerlukan Mursi untuk memakai headphone / earphone. Namun, sekali lagi Mursi tidak memberi kerjasama. Dia menangis dan tidak mahu memakai alat tersebut. Jadi, audiologis memutuskan bahawa kami perlu datang lain kali untuk diulangi ujian yang sama. Dia bagi tips supaya mencuba memakaikan earphone / headphone kepada Mursi bagi memudahkan sesi akan datang. Namun, jika tidak berjaya juga, akan dilakukan ujian tidur. Jadi, untuk kali ni memang kami tidak mendapat keputusan lagi. Terpaksa tunggu untuk ujian yang berikutnya iaitu dijadualkan pada 5 November akan datang.

Selesai

Semuanya selesai lebih kurang dalam pukul 11 pagi. Aku berbelah bahagi pada awalnya sama ada nak pergi kerja ataupun tidak. Tapi bila difikirkan banyak kali, aku kena pergi juga sebab budak-budak dah tak lama lagi nak peperiksaan akhir semester. Jadi, lepas makan dan hantar Mursi ke rumah pengasuh, aku terus ke tempat kerja. Sampai ke sekolah dalam pukul 12.45 tengahari, dan terus masuk kelas. Alhamdulillah, atas segala yang berlaku hari ni. Aku tidak mengambil gambar pun semasa di hospital. Jadi, entri kali ni memang tiada gambar. :) Harap sudi membaca. Ok, jumpa lagi di lain masa. Insya-Allah akan ada entri lain selepas ini dalam masa terdekat. :)

Friday, 9 October 2015

Aidil Adha 1436H

Bismillah wal hamdulillah

Nak share juga pasal Hari Raya Korban baru-baru ini. Iyela, raya Aidilfitri dah share, kali ini pun nak share jugak. 

Memandangkan aku ni seorang cikgu, jadi aku dapat cuti seminggu. Kebetulan cuti Aidiladha jatuh pada minggu cuti sekolah pertengahan semester kedua. Dapatlah aku cuti lebih, alhamdulillah. Aku berpeluang balik kampung, tapi aku balik dengan adik aku. Suami masih perlu bekerja, jadi dia balik agak lambat. Aku tumpang adik balik pada hari Sabtu, bertolak balik selepas Isyak dari rumah Kak di Kajang. 

Lebih kurang pukul 3.30 pagi keesokannya, kami selamat sampai di kampung halaman. Perancangan asalnya aku mahu menumpang Kak untuk balik kampung. Tetapi beberapa hari sebelum cuti sekolah, adik memberitahu yang dia balik bersama isteri dan anak-anaknya dahulu dengan flight. Kemudian dia balik semula ke Semenyih (rumah sewa dia) untuk selesaikan beberapa perkara. Jadi, bila aku fikir balik baik aku tumpang adik saja memandangkan dia hanya pulang seorang diri, Tak adalah aku menyusahkan dia.

Seronok la juga menghabiskan masa di kampung. Boleh bertemu muka dengan adik-beradik yang lain serta ayah tercinta. Walaupun tiada ke mana-mana dan hanya duduk di rumah, tetapi lebih menyeronokkan jika nak dibandingkan kalau duduk di rumah di Damansara Damai. Tiada apa-apa aktiviti yang boleh dilakukan. Mursi pun boleh berjumpa dengan sepupu-sepupu dan makcik-pakciknya. Boleh bermain di laman, bermain dengan pokok, kucing dan tengok ayam. Dan juga dapat bintik-bintik gatal bekas gigitan nyamuk. Haih, bertambah lagi la parut-parut di kulit anak ummi. Tak apalah sayang, barulah nampak anak kampung. :)

Suami bertolak pada hari Rabu selepas balik dari kerja. Sampai di kampung lebih kurang dalam pukul 6 petang. Pada hari tersebut, aku berpuasa Sunat Arafah. Alhamdulillah, Allah bagi kesempatan untuk aku berpuasa. Biasanya Hari Raya Haji aku berpeluang sambut bersama keluarga aku. Jadi, kali ni aku bersama-sama menyambut raya di Tok Dor. Pada tahun ini juga adik-beradik aku melakukan ibadah korban atas seekor lembu. Jadi, masing-masing bersiap sedia di rumah pada hari raya pertama untuk melapah dan membahagikan daging korban. 

Besar harapan aku untuk menunaikan solat sunat hari raya Aidil Adha. Jadi pagi raya tersebut aku join kakak-kakakku ke masjid untuk solat raya. Mursi kubawa bersama. Sejak dari awal aku berpesan kepada dia supaya jangan menangis sebab ummi hendak sembahyang. Tapi sebaik sahaja sampai di masjid, Mursi buat perangai. Dia menangis tak mahu duduk dan tak bagi aku sembahyang. Aduhai anak ummi, Mursi. Ruginya ummi sebab tak dapat sembahyang raya, walhal ummi dah siap sedia nak sembahyang. :(

Tak banyak gambar, ni aje gambar di hari raya kami. :)
Sebaik sahaja selesai sembahyang raya, puak lelaki bersiap sedia untuk ke tempat sembelihan lembu. Oleh kerana lembu yang ingin dikorbankan agak jauh, jadi bertolak ke sana sebaik sahaja lepas solat sunat hari raya. Sementara itu, mak tiri aku juga masuk bahagian korban sekali dengan adik dia. Tetapi lembu yang lain, tidak sekali dengan adik-beradik. Jadi, lembu korban mak siap lebih cepat berbanding lembu seekor lagi. Mak memang bercadang untuk membuat jamuan makan daging korban dan jemput orang kampung. jadi, kami membantu apa-apa yang patut. Sejujurnya, aku memang seronok bila ada keramaian macam ni, asalkan tidak ada perselisihan dan percanggahan pendapat. :)



Lewat tengahari barulah mereka balik dengan daging sembelihan korban. Kemudian sesi bersambung lagi dengan pemotongan daging untuk dibahagi-bahagikan pula. Antara yang masuk bahagian korban ialah Kak Ngah, Kak Na, Kak Tie, Kak Mah dan Adik. Aku je masih belum pernah masuk bahagian korban. Tak apalah, insya-Allah suatu hari nanti. Bila ada rezeki lebih. Akikah Mursi pun masih ditangguhkan. :(

Aku dan suami bercadang untuk balik ke Kampung Batin sebelah petang. Tapi ditangguhkan ke malam. Selepas Isyak kami bertolak balik ke sana. Macam biasa, kami balik ke rumah Kak Ma, kakak ipar aku. Tak ramai adik-beradik lain yang ada, cuma kakak ipar, Kak Da, adik ipar, Siti dan Jepah  yang ada balik. Itupun mereka tak tidur rumah Kak Ma, tapi tidur di rumah emak. Jadi, tak semeriah macam Hari Raya Aidilfitri.

Keesokannya, aku dan suami ke Kelantan. Kak Da ajak kami ke sana, alang-alang dah ke sana mereka ajak ke Tak Bai, sempadan Thailand. Yang jadinya boleh ke sana hanya bermula dengan cakap-cakap kosong aje. Lepas tu, aku saja ajak-ajak ayam suami aku untuk jalan-jalan ke sana. Tak sangka pulak dia bersetuju nak ikut. Tak Bai ni tempat beli-belah aje, macam pasar Siti Khadijah kat Kelantan. Tak tahulah aku naka cakap barang dia murah sangat. Tapi bolehla. Nak ke sana kena naik bot. Mursi menangis semasa dalam perjalanan pergi ke sana. Mungkin dia tak biasa. Di sana aku hanya beli baju-baju Mursi, sebab dah lama tak beli baju untuk dia. Suami aku pun beli baju T-shirt untuk diri sendiri. Sebab dah lama juga dia tak beli baju sendiri. Aku pula? Beli 2 helai skirt aje. :)

Alhamdulillah, raya haji kali ni agak bermakna. Banyak perkara dan aktiviti yang aku lakukan. Semoga tahun-tahun mendatang lebih bermakna untuk aku dan semua, insya-Allah.

Wednesday, 7 October 2015

Aku Pemalas

Aku kan pemalas
Bangun tidur terus siapkan bekal anak
Tunggu anak bangun, sipkan diri sendiri dulu
Jemur kain andai menunggu di mesin

Aku kan pemalas
Anak bangun terus mandikan
Perangai anak cepat redakan
Rela dihentak dipukul anak demi sayang

Aku kan pemalas
Balik kerja terus ke dapur
Anak dilayan mana yang patut
Sambil menyiap menu santapan malam

Aku kan pemalas
Anak menangis aku redakan 
Anak mengamuk aku leraikan
Anak membuang aku cucikan

Aku kan pemalas
Baju yang kotor aku setelkan
Pinggan di sinki aku bersihkan
Mainan bersepah aku simpankan

Bila terpaksa buat lebih sikit
Bila tak sedar kerja yang menanti lagi banyak
Bila rasa tidak dihargai
Aku terus dilabel pemalas
Adilkah? Adilkah?