Dalam mengharungi kemanisan hidup berumahtangga, jangan dilupa menjaga hati pasangan kita. Setiap dari kita telah dicipta dengan kelebihan dan kekurangan sendiri. Jadi, sebuah perkahwinan adalah satu hubungan yang saling melengkapkan. Jadikan kelebihan diri sebagai pelindung kepada kekurangan pasangan. InsyaAllah sebuah perkahwinan akan bahagia.
Kata orang, jika suami banyak cakap mesti akan dapat isteri yang pendiam. Kalau dua-dua banyak cakap, pasti akan timbul masalah besar. Jika suami seorang yang agak lepas tangan, mesti isteri seorang yang agak cermat. Senang nak uruskan rumah tangga dan anak-anak. Dan begitulah sebaliknya. Setiap pasangan pasti dicipta untuk saling melengkapkan antara satu sama lain.
Haruslah diingat sentiasa supaya kita dapat menerima setiap kelebihan dan kelemahan pasangan. Jangan memperkecilkan kekurangan suami atau isteri sehingga dia berasa jauh hati denganmu. Terutamanya bagi isteri, ingatlah bahawa syurgamu terletak di bawah keredhaannya. Jangan sesekali membuatkan dia berjauh hati dan merasa kecewa denganmu.
Coretan kali ini adalah pesanan buat semua dan terutama sekali buat diri yang menulis ini. Semoga aku sentiasa dapat menjaga hati suamiku dan redha serta berlapang dada dalam menerima segala kekurangan dan kelebihan suamiku. Sesungguhnya dialah syurgaku.
Ya Allah...
Kau limpahkan rahmat serta kasih sayang-Mu ke atas rumah tangga kami.
Jadikan kami pasangan yang sentiasa berkasih sayang kerana-Mu.
Hindarilah kami dari melakukan kemaksiatan kepada-Mu.
Kau jagalah perlakuanku dan peganglah hatiku agar terus dapat berbakti kepada dia suamiku...
Semoga coretan kali ini akan memberi kesan kepada semua yang membaca, InsyaAllah. Buat suami juga, isteri bukanlah hamba abdi. Belailah dia dengan kasih sayang, namun sesekali dengan ketegasan. Sesungguhnya hati wanita sangat lembut, sangat mudah tersentuh. Andai kamu suami menyakitkan hati isteri, bersegeralah sedar akan kesilapanmu. Jangan bentengkan ego, kelak nanti dua-dua merana.

No comments:
Post a Comment