Thursday, 16 January 2014

Doaku Untuk Suami

Bismillahirrahmanirrahim.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim,
Kau ampunilah segala dosa yang telah aku perbuat,
Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yang tidak terbatas,
Kau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal,
Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan,
Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista,
Kau kuatkanlah semangatku untuk menempuh segala dugaan-Mu,
Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan.

Ya Allah,
Sekiranya suamiku ini adalah pilihan-Mu di arash,
Berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya,
Sekiranya suamiku ini adalah suami yang akan membimbing tanganku di titian-Mu,
Kurniakanlah sifat kasih dan redha atas setiap perbuatannya,
Sekiranya suamiku adalah lelaki untukku di jannah-Mu nanti,
Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk tawadhuk atas segala perintahnya,
Sekiranya suamiku adalah yang terbaik untukku di dunia-Mu,
Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti hati dan perasaannya,
Sekiranya suamiku ini jodoh yang dirahmati oleh-Mu,
Maka berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah dan ragamnya.

Tetapi Ya Allah,
Sekiranya suamiku ini bukan ditakdirkan untukku seorang,
Kau tunjukkanlah jalan terbaik untuk aku harungi segala dugaan-Mu,
Sekiranya suamiku tergoda dengan keindahan dunia-Mu,
Limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya,
Sekiranya suamiku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan,
Kurniakanlah aku kekuatan-Mu untuk aku memperbetulkan keadaannya,
Sekiranya suamiku menyintai kesesatan,
Kau pandulah aku untuk menariknya keluar dari terus terlena,
Ya Allah, Kau juga Maha Mengampuni segala kesilapan dan keterlanjuranku,
Kau Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku,
Sekiranya aku tersilap membuat keputusan, 
Bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai,
Sekiranya aku lalai dengan tanggungjawabku sebagai isteri,
Kau hukumlah aku di dunia tapi bukan di akhirat-Mu,
Sekiranya aku ingkar dan derhaka,
Kau berilah aku petunjuk ke arah rahmat-Mu.

Ya Allah,
Sesungguhnya aku lemah tanpa petunjuk dari-Mu,
Aku buta tanpa bimbingan-Mu,
Aku cacat tanpa hidayah-Mu,
Aku hina tanpa rahmat-Mu,
Ya Allah, kuatkanlah hati dan semangatku,
Tabahkan aku menghadapi segala cubaan-Mu,
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suamiku,
Isteri yang menjadi penyejuk mata buatnya,
Isteri penenang jiwa bila dia memandangku,
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agama-Mu,
Bimbinglah aku untuk menjadi isteri yang solehah.

Hanya pada-Mu Ya Allah,
Ku pohon segala harapan serta pertolongan,
Kerana aku pasrah dengan dugaan-Mu,
Kerana aku sedar betapa hinanya aku,
Kerana aku insan lemah yang kerap keliru,
Kerana aku leka dengan segala keindahan dunia-Mu,
Kerana kurang kesabaranku menghadapi cabaran-Mu,
Kerana pendek akalku menghadapi ujian-Mu.

Ya Allah Ya Tuhanku,
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati,
Isteri yang dikasihi, isteri yang solehah,
Isteri yang sentiasa di hati suamiku,
Isteri yang menjadi bidadari buatnya di syurga-Mu,
Perkenankanlah doaku Ya Allah, perkenankanlah...
Amin Ya Rabbal Alamin...

p/s: Doa ni aku teringin nak share, sebenarnya dalam bentuk video. Tapi aku ada ubah-ubah sikit. Doa setiap isteri buat suaminya, insya-Allah.

No comments: