Saturday, 2 November 2019

Hujung-hujung Kehamilan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Pejam celik pejam celik dah masuk minggu ke-34 kehamilan aku yang kedua ni. Cepatnya rasa masa berlalu. Rasa macam baru lagi aku dapat tahu yang aku positive pregnant. Allahuakbar, hanya kepada Engkau segala pujian yang selayaknya.

Alhamdulillah, aku sangat bersyukur untuk pengalaman mengandung pada kali ni. Aku rasa segala urusan aku semasa kehamilan ini Allah sangat permudahkan. Bermula dari fasa awal-awal kehamilan sehinggalah ke saat ini, tiada perkara yang aku rasa menyusahkan. Semuanya Allah bantu dan permudahkan. Tiada fasa morning sickness yang terlampau teruk. Sebab bagi sesetengah orang akan melalui fasa ini dengan agak teruk sampai tak boleh melakukan rutin seharian. Segala bau aku boleh bau. Memasak pun boleh seperti biasa. Kerja-kerja di sekolah alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Tiada sehari pun yang aku ambil cuti sakit sepanjang mengandung kecuali time-off pada hari-hari yang aku perlu melakukan checkup bulanan di klinik. Alhamdulillah, thumma alhamdulillah.

Sekarang sudahpun berada di hujung-hujung kehamilan, perlu melakukan checkup dua minggu sekali di klinik sehingga melahirkan nanti. Perut pun dah semakin ke depan, makin sukar untuk bangun duduk dan tidur malam pun sudah tidak selena dulu. Tapi itu semua normal la bagi perempuan yang mengandung. Just enjoy the moment, ummi! Inshaa-Allah dalam beberapa minggu lagi aku akan dapat memeluk bayi yang telah aku kandungkan selama sembilan bulan ni. Semoga Allah permudahkan sehingga ke akhirnya.

Harapanku pada kali ni aku nak berpantang sendiri. Sedikit demi sedikit barang keperluan bayi dan keperluan berpantang aku sediakan. Buat masa sekarang, aku nak teruskan pemikiran positif supaya emosi aku tidak terganggu. Ini pun penting sebenarnya, apatah lagi ahli keluarga boleh dikatakan agak jauh. Tiada siapa yang boleh nak minta tolong. Aku nak jadi seorang isteri dan ummi yang berdikari, kuat dan sentiasa berfikiran positif. Perlu ada kekuatan mental dan fizikal yang kuat, apatah lagi kali ni aku berazam dari awal lagi semoga Allah kabulkan doaku supaya dapat menyusukan bayi yang baru lahir nanti dengan susu badanku sehingga berumur dua tahun. Semoga dipermudahkan Ya Allah...



Mursi pun tak sabar nak tunggu adik dia lahir. Semoga Mursi dapat jadi seorang abang yang penyayang, dan boleh tolong ummi jaga adik nanti. Bila makin besar, makin banyak la akalannya. Ummi setiap hari berazam taknak marah-marah, nak jadi seorang ummi yang penyabar. Tapi mesti ada je yang akan buat ummi jadi singa setiap hari. Maafkan ummi sayang...

Mengandung kali ni ummi tak banyak ambil gambar. Entahlah, memang selalu pun ummi jarang nak bergambar sangat. Tapi ada juga keinginan nak simpan kenangan gambar mengandung kali ni. Boleh jadi kenangan masa depan. Hehe. Untuk akhirnya, semoga ummi terus kuat dan dipermudahkan urusan oleh Allah sehingga ke akhirnya dan selepas kelahiran baby nanti. Doakan semuanya berjalan lancar, dapat bersalin normal dan bayi tiada apa-apa masalah.. Aamiin Ya rabbal alamin. Doakan ye semua, inshaa-Allah. Mungkin entry lepas ni bila ummi dah selamat bersalin. Cerita pengalaman bersalin kat sini pula. Hihi. Sampai jumpa lagi. Tata...

Saturday, 25 May 2019

Buku Pink Kedua

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, dah lebih separuh Ramadan berlalu. Syukur juga Allah masih beri kekuatan untuk aku meneruskan ibadah puasa dalam keadaan di awal kehamilan ni. Semoga aku terus kuat sehingga ke akhir Ramadan, amin.

Sekarang juga merupakan fasa morning sickness orang kata. Ada hari-hari yang aku akan rasa loya dan muntah-muntah selepas sahur dan berbuka. Namun alhamdulillah, masih mampu bertahan. Masih mampu bertoleransi. Kali ni aku nak cerita pasal buku pink kedua. Dalam minggu pertama puasa lepas tahu yang aku pregnant, tanya la kawan-kawan klinik mana yang terdekat untuk aku buat monthly checkup nanti. Tanya-tanya dan cari-cari jugak, maka klinik yang paling dekat ialah Klinik Desa Subang. Dekat la dari rumah sewa aku yang sekarang.

Hari pertama aku pergi tu hari Rabu. Pergi la tanya kat kaunter. Namun malangnya, nurse cakap pemeriksaan ibu mengandung mengikut hari dan kawasan tempat tinggal. Kawasan rumah sewa aku tu kena datang hari Selasa dengan Khamis sahaja untuk pemeriksaan. Makanya, aku perlu la datang sekali lagi keesokan harinya. Kena dua kali kerja. Tapi takpela, sekarang anak-anak kat sekolah tengah minggu peperiksaan. Tak perlulah skip kelas banyak-banyak.

Keesokannya, aku kembali lagi ke klinik. Hari yang sangat mencabar dan panjang bagi aku. Almaklumlah, bila nak buka buku banyak sikit prosedur yang kena buat. Kena isi borang beberapa salinan. Kena ambil darah. Periksa tekanan darah dan segala prosedur yang perlu. Yang menjadikan hari ini sangat panjang ialah kerana terpaksa menunggu lama. Betullah, penantian itu satu penyeksaan. 

Bila nombor giliran aku dipanggil untuk berjumpa nurse, barulah lega sikit. Timbang berat, periksa apa yang perlu. Kali ni untuk kandungan kedua ni, berat aku cuma 50kg. Kurang 10kg daripada masa aku mengandungkan Mursi dulu. Alhamdulillah. Semoga sepanjang kehamilan ni berat aku tak naik banyak sangat. Apa yang aku rasakan bagus berbanding masa aku buka buku pink untuk Mursi dulu, kat sini dia periksa juga samada kita ada kanser payudara ke tidak. Makanya, nurse akan cek payudara kita samada terdapat ketulan atau benjolan ataupun tidak. Periksa samada tangan atau kaki ada bengkak ataupun tidak.



Aku terlupa untuk bawa hasil scan yang aku dah buat di klinik swasta sebelum ni. Sebabnya doktor nak tengok. Makanya, aku terpaksa tunggu sesi petang pula untuk berjumpa doktor dengan membawa gambar scan tersebut. Jadi, aku terpaksa balik rumah dulu, lepas solat Zuhur aku kembali ke klinik untuk berjumpa dengan doktor.

Bila berjumpa dengan doktor, dia cakap hasil scan tersebut berbeza lebih 7 hari daripada usia kandungan aku yang sepatutnya. Kalau diikutkan tarikh akhir period aku, usia kandungan aku dah masuk 9 minggu. Namun, hasil scan dari klinik menunjukkan janin aku baru berusia 7 minggu. Jadinya, doktor menyarankan aku untuk membuat scan lagi selepas 2 minggu dari tarikh hari ini. Doktor memberi tarikh 3 Jun untuk aku kembali ke klinik untuk buat scan. Bagi aku doktor ni tidak mesra pesakit. Entahlah, mungkin perasaan aku saja kot. Mungkin dia penat sebab puasa ataupun terlalu ramai pesakit hari ni.

Yang itu tarikh untuk scan. Tarikh untuk checkup seterusnya ialah pada 4 Jun, iaitu sehari selepas tarikh scan. Aku pun lurus bendul, lupa nak pick tarikh yang sama untuk scan dan checkup. Kalau tak, tak perlulah datang dua kali ke klinik. Tarikh tu memang dekat sangat dah nak raya. Dan tahun ni aku bakal balik ke kampung pada malam raya. Sebab suami aku tidak dapat cuti awal memandangkan dia baru sahaja bertukar tempat kerja. Doakan semoga segalanya dipermudahkan untuk aku sekeluarga, Aaminnn.

Cukuplah dulu untuk setakat ni. Inshaa-Allah lain kali aku akan corat-coret lagi. Semoga terus dipanjangkan umur untuk kita berjumpa lagi di Ramadan yang akan datang. Semoga segala amalan kita diterima dan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah hendaknya, inshaa-Allah.

Tuesday, 7 May 2019

Rezeki Ramadhan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar!. Segala puji bagi Allah. Bermula bulan Ramadhan bagi tahun 1440H untuk tahun ni. Kali ni aku nak kongsi satu berita gembira. Berita gembira pada 1 Ramadhan. Allahuakbar. Tiada kata yang mampu aku ucapkan atas segala nikmat yang Dia berikan buatku. 😇

Sebelum ni aku ada berkongsi yang aku ada buat ujian UPT dan keputusannya negatif. Keputusan yang membuatkan aku murung sepanjang hari. Namun, kali ni Allah telah menjawab dan mengabulkan doa aku. Semalam iaitu bersamaan 1 Ramadhan 1440H, aku lakukan ujian tersebut sekali lagi. Subhanallah, keputusan kali ni betul-betul membuatkan aku rasa Allah tu tersangatlah Maha Baik. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Berkuasa atas segala sesuatu. Keputusannya positif! Aku mengandung! Allahuakbar!💗


Memang sejak seminggu yang lalu aku rasa badan lain macam. Selalu mengantuk, penat dan letih asyik rasa nak tidur je. Kemudian tiba-tiba je dapat selesema berair hidung. Bila makan pun asyik rasa tak kenyang je. Rupa-rupanya ummi kena makan untuk dua orang dah. 😉 Alhamdulillah, syukur Ya Allah. Memang dah sebulan period aku tak datang, macam yang sebelum ni juga. Tapi aku tak meletakkan harapan yang tinggi bahawa aku mengandung. Tapi bila dah start puasa ni, sebagai langkah berhati-hati maka aku buatlah cek. Pagi semalam pergi beli UPT dekat Guardian, tengahari tu terus cek dekat sekolah. Biasanya aku buat ujian ni pagi. Tapi memandangkan puasa dan tak minum air dah lebih kurang 7 jam, tu yang main redah je buat UPT waktu tengahari. 😁 

Bila naik line dekat T tu, Ya Allah tak tahu nak cakap apa. Terus terketar-ketar tangan, perasaan tak percaya. Dahla warna dia sangat terang dan pekat. Alhamdulillah. Orang pertama yang aku bagitahu pasal ni ialah bestfriend aku, Fifi. Gugurlah airmata kesyukuran aku di depan dia. Allahuakbar. Memang tak terucap dengan kata-kata rasa syukur aku pada Dia. Sebab aku tahu, aku minta ni dekat Allah dalam setiap doaku. Allah makbulkan akhirnya, Maha Baiknya Allah pada hamba-hamba-Nya. 😢

Untuk mengesahkan lagi keputusan ujian UPT tersebut, petangnya aku singgah di klinik untuk membuat scan ultrasound. Alhamdulillah, keputusannya memang betul. Aku memang betul-betul mengandung. Alhamdulillah. Syukur Ya Allah. Menurut hasil keputusan scan, kandungan aku berusia lebih kurang 7 minggu. Tarikh aku dijangka bersalin ialah pada hujung tahun ini, bulan Disember inshaa-Allah. 😍


Langkah seterusnya yang akan aku ambil ialah pergi buka buku di klinik kesihatan yang terdekat. Aku masih belum pasti klinik mana yang perlu aku tuju untuk buka buku pink. Doakan semoga segala urusan aku dipermudahkan. Semoga perjalanan kehamilan kali ini pun berjalan lancar dan tiada sebarang masalah. Semoga Allah beri aku kekuatan untuk aku menyempurnakan ibadah puasa pada tahun ini, Inshaa-Allah. Hanya doa yang mampu aku panjatkan. 💗

Reaksi Mursi bila tahu ummi ada baby dalam perut, bukan main excited dia. Dah lama dia duk minta nak adik, nak baby. Alhamdulillah, kali ni Allah dah makbulkan doa kita sayang. Suami aku pun semalam bila aku bagitahu yang aku mengandung, dia ucapkan 'Tahniah'. 😅 Tahniah untuk abang jugak. Akhirnya kita ada rezeki untuk dapat anak lagi. Alhamdulillah.

Akhirnya, aku mengharapkan yang baik-baik sepanjang kehamilan ini. Semoga aku diberi kekuatan untuk meneruskan puasa sebulan dan kekuatan juga untuk mengawal emosi sepanjang kehamilan. Aku takut juga sebenarnya. Inshaa-Allah, aku tahu Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya yang memohon pertolongan. Amin... Doakan yang terbaik.

Saturday, 27 April 2019

Dapat Hadiah!

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Inshaa-Allah kali ni nak kongsi kelas Living Skills baru-baru ni. Lebih tepatnya kelas lepas sebaik sahaja naik dari cuti sekolah. Aku dah plan awal dan dah pesan dekat anak-anak yang kelas lepas cuti ni mereka akan belajar untuk balut hadiah sendiri. Bawa satu barang sebagai hadiah dan sekeping kertas pembalut hadiah. Bukan main excited lagi masing-masing dan tak sabar nak habis cuti sekolah seminggu katanya sebab nak ada kelas Living Skills. 😍

Sebenarnya, entry ni dah ditulis awal, tapi sebab tak dan nak habiskan, dan ada masalah nak download dan upload gambar, makanya tergendala sampai ke hari ni. Inshaa-Allah hari ni cuba habiskan. 😅

Untuk kelas Living Skills ni, aku minta anak-anak bawa satu barang yang berharga kurang dari RM10 dan sekeping kertas pembalut hadiah. Jangan tak tahu, balut hadiah pun kena belajar juga tau. Apa-apa yang kita buat pun mesti bermula dari kita tak tahu. Mesti kena belajar dulu. Tapi anak-anak ni cepat belajar. Ada yang sekali tunjuk dan ajar pun dah pandai buat sendiri. Cuma beberapa orang sahaja yang perlukan lebih perhatian dan tunjuk ajar.

Lepas semua siap balut hadiah masing-masing, mereka berpeluang untuk dapat hadiah pulak. Aku buat sesi tukar-tukar hadiah. Aku tulis nama setiap pelajar dalam kertas, dan digulung. Kemudian setiap orang kena ambil satu nama. Jadinya, dia terpaksa berikan hadiah tersebut kepada kawan yang nama dia dapat tadi. Seronok juga kan buat macam ni? Teringat dulu-dulu, excited tau bila ada sesi tukar-tukar hadiah. Sebab ada sense of surprise di situ.😍

Alhamdulillah, aktiviti balut dan tukar-tukar hadiah kali ni berjalan lancar. Anak-anak pun seronok. Aku kalau boleh akan cuba sedaya upaya untuk buat sesi pembelajaran menarik. Sebab itulah yang akan jadi kenangan dan terpahat lama di ingatan anak-anak murid. Inshaa-Allah. 😇 Jomlah layan gambar-gambar kat bawah ni. Gambar sepanjang aktiviti Living Skill kali ni. 😘







Bila anak-anak seronok, teacher pun mestilah seronok juga. Alhamdulillah, 'ala kulli hal. 💗 Lepas ni aku akan kongsikan lagi apa antara aktiviti Living Skills yang aku ajar anak-anak ni. Bukan apa, sebab subjek ni tak ada silibus khusus. Cuma Teacher kena pandai sesuaikan apa yang perlu diajar pada anak-anak, yang berguna dalam hidup mereka berdasarkan umur mereka sekarang. Sampai jumpa lagi, inshaa-Allah. Moga kita semua sentiasa di dalam rahmat-Nya.

Sunday, 31 March 2019

Cuti Sekolah

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, berakhir sudah cuti seminggu. Cuti pertengahan penggal persekolahan. Cuti kali ni aku balik kampung di Terengganu. Balik berdua je, dengan Mursi. Dah beberapa kali juga kami balik berdua tanpa suami. Yela, suami susah nak ambil cuti. Lagipun, dia baru je masuk kerja selepas lebih kurang 8 hari cuti sakit akibat terkena virus chickenpox. Berjangkit dengan aku la tu. 😔 Maaf ye abang.

Makanya, aku berdua dengan Mursi balik kampung pada hari Sabtu. Kami bertolak pagi, lebih kurang dalam pukul 8.30 pagi. Aku memandu terus ke kampung aku di Tok Dor. Kebetulan kakak aku yang dari Kajang juga balik kampung. Adik-beradik yang lain juga berjanji untuk berkumpul bersama di rumah Tok Dor. Mereka bergotong-royong untuk bersihkan kubur arwah mak pada pagi Sabtu tersebut. Tetapi, aku tak sempat turut serta, sebab aku sampai dah agak petang lebih kurang dalam pukul 2.30 petang baru aku selamat sampai. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah menyelamatkan perjalanan kami berdua. Memang aku agak mengantuk semasa memandu balik kampung kali ni. 😴

Balik kampung kali ni berpeluang jumpa anak buah baru, iaitu anak Kak Tie. Anak kelima dia, lelaki. Rezeki Kak Tie dapat kelima-lima anak lelaki. Hero-hero semuanya. Alhamdulillah. 😁 Dia masih tak berputus asa untuk mengandung lagi, biar dapat anak perempuan juga seorang katanya. 😉 Aku doakan lepas ni Kak Tie dimurahkan rezeki untuk mengandung lagi dan dapat anak perempuan pula, inshaa-Allah. Tapi tak sempat nak ambil gambar anak buah baru. Sekejap sangat jumpa. Masa jumpa tu pun baby asyik tidur je. Kecil sangat lagi baby, baru je hari yang ke-21 masa aku pergi melawat tu.

Balik kampung kali ni juga ada berita gembira buat kami sekeluarga. Alhamdulillah, abang ipar aku iaitu Abang Wan, suami Kak Na dah sembuh. Sebelum ni dia kena minor stroke. Ada effect pada anggota badan sebelah kiri kalau tak silap aku. Dan akibat daripada itu, dia mengalami kemurungan. Sebelum terkena stroke ni, dia merupakan seorang yang sangat peramah dan banyak mulut. Bila terkena kemurungan tu, dia berubah menjadi orang lain. Jadi tak mahu berjumpa orang, bila kita tanya pun nak tak nak je dia jawab. Totally different. Tapi alhamdulillah. Kuasa Allah tiada siapa yang tahu kan. Selepas lebih kurang 2 tahun lebih keadaan dia macam tu, akhirnya dia pulih seperti sedia kala. Seolah-olah tersedar dari mimpi katanya. Subhanallah, hikmah sabar dan doa seorang isteri. Akhirnya suami pulih seperti sedia kala. Aku balik hari tu pun memang gembira, seronok la bila Abang Wan dah sihat seperti biasa. Macam Abang Wan yang dulu. Alhamdulillah, syukur pada-Mu. 😇

Rambut Mursi masa balik kampung kali ni dah agak panjang. Yela, mana taknya, last Mursi potong rambut ialah masa balik kampung hujung tahun lepas. Potong masa di rumah Kak Mah di Dungun. Kali ni, Tokki pula yang tolong bawa Mursi pergi potong rambut di Bukit Payung. Terima kasih Tokki. Mungkin lepas ni Mursi akan potong rambut bila balik kampung time cuti raya nanti pulak. 😂


Cuti kali ni juga sebenarnya nak tolong kakak aku, Kak Mah untuk jaga anak dia yang kecil, baby Uwais. Sebabnya pengasuh anak dia ambil cuti 3 hari iaitu hari Selasa, Rabu dan Khamis. Jadinya, dia minta aku tolong jagakan anak dia untuk 3 hari tersebut. Jadi aku telah pergi ke rumahnya di Dungun pada petang Isnin dan terus bertolak ke Subang Bestari dari sana pada pagi Jumaat nanti. Aku memang dah plan untuk balik ke Subang Bestari pada pagi hari Jumaat. Hari Sabtu keesokannya aku bercadang untuk memenuhi jemputan majlis perkahwinan sahabat sekampus UKM dulu di Johor.

Bila aku jaga baby Uwais ni, alahai makin teringin pula nak dapat anak lagi. Mursi pun dah pandai minta nak adik. "Ummi, nak adik." 😏 Pagi Jumaat sebelum nak bertolak pagi, siap pesan lagi dekat Ummi nak main dengan baby Uwais dulu sebelum balik Selangor. Pesan dekat Ummi sebelum masuk tidur malam sebelumnya. Kesian anak Ummi, nak adik ye. Mursi doa kat Allah ye. Minta Allah bagi Mursi adik sorang. 😉


Pagi Jumaat sebelum bertolak balik ke Subang Bestari

Itulah serba sedikit catatan aku untuk cuti sekolah kali ni. Buat kenang-kenangan di masa akan datang. Sebab aku tahu memori kita ni terbatas. Bila aku catatkan kat sini, sekurang-kurangnya bila baca akan ingat semula. Alhamdulillah, aku selamat tiba Selangor pada pukul 1.30 petang Jumaat. Alhamdulillah juga aku bertolak balik pagi. Sebabnya bila aku scroll Facebook pada malamnya terdapat lori yang terbakar di Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur. Banyak kereta yang tersangkut dalam kesesakan. 😌 Okay lah, jumpa lagi di lain coretan. Semoga kita semua sentiasa tergolong di dalam golongan orang-orang yang sentiasa melakukan kebaikan. Ameen. Babai, Assalamualaikum. 💗

Wednesday, 20 March 2019

Living Skills

بسم الله الرحمن الرحيم
 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, kali ni rasa nak share serba sedikit apa yang aku ajar anak-anak kat sekolah. Aku sebenarnya seorang Cikgu Sains yang mengajar anak-anak Primary 1 sampai Primary 3. Ada 5 kelas semua sekali. Dalam masa yang sama, aku juga mengajar subjek Living Skills  untuk anak-anak kelas yang aku jadi homeroom teacher, iaitu Primary 2. Alhamdulillah, aku seronok sebenarnya jadi cikgu. Sebab boleh dengar cerita-cerita menarik, dan kadang-kadang lucu dari anak-anak ni. Mereka kan semua masih suci. 😊

Kali ni aku nak share pasal subjek Living Skills. Subjek ni lebih kurang macam kemahiran hidup, yang anak-anak perlu tahu sesuai dengan umur mereka. Hari tu aku ada ajar mereka untuk cuci tandas. Kemahiran ni penting sebenarnya. Selain boleh ajar mengenai kebersihan, aku juga berkongsi yang bila kita mencuci tandas atau bilik air ni sebenarnya boleh merendahkan ego diri kita. Boleh jadikan kita seorang yang selalu merendah diri.

Yelah, tandas kan kita tahu satu tempat yang kotor. Tempat yang kita akan masuk bila hanya kita berhajat untuk buang air samada kecil atau besar. Bila sebut tandas je, mesti kita akan berasa jijik dan kotor. Bila kita sendiri yang bersihkan bilik air atau tandas, sebenarnya kita dah menurunkan ego dan jadi seorang yang merendah diri. Jom layan gambar anak-anak cuci tandas. 😆





Haa...nampak kan mereka sangat seronok? Bila mula-mula aku cakap yang hari ni kena cuci tandas, bukan main lagi, "taknak la Teacher", "kotor la Teacher" dan macam-macam lagi la. Bila dah hari kejadian, bukan main seronok lagi. Sebab tu best ajar anak-anak kecil ni. Mereka akan menurut tanpa banyak membantah. Alhamdulillah. Harapan aku semoga anak-anak dapat  manfaat daripada kelas Living Skills kali  ni. Supaya mereka boleh tolong cuci bilik air dan tandas di rumah mereka sendiri. Boleh juga terapkan nilai rendah diri (humble) dalam diri mereka. Inshaa-Allah. 😇

Monday, 18 March 2019

Perancangan Dia

بسم الله الرحمن الرحيم
 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Permulaan minggu yang baru, Isnin hari ni. Semoga semangat semua pun baru di permulaan hari ni, inshaa-Allah. Rajin pulak aku nak menulis hari ni. Bila mood rajin datang ni, tak boleh disia-siakan, rugi. 😄 Alhamdulillah, hampir setahun aku amalkan diet seimbang sejak aku join program FLC. Aku ada ceritakan pasal program ni dalam post aku yang sebelum ni. Aku mula join bulan Mac ahun lepas dan berakhir bulan Oktober. Alhamdulillah, syukur sangat sebab daripada join program tu aku dah hilang lebih kurang 20kg.

Sekarang aku masih lagi amalkan pemakanan sihat dan seimbang serta melakukan aktiviti senaman bila berkelapangan. Tapi tak adalah strict sangat macam masa join program tu dulu. 😆 Syukur bila diet ada ilmu ni, aku dapat kekalkan berat badan walaupun sudah tidak join program tersebut. Masih mampu amalkan ilmu-ilmu yang diajar oleh cikgu. Alhamdulillah juga sebab daripada join program tersebut masalah cyst yang aku dapat sebelum ni dah tak ada. Masalah period aku yang tidak teratur sebelum ni pun alhamdulillah dah normal. Cuma bulan lepas je tak datang period. Ingatkan dah lekat, Mursi dah nak dapat adik. Tapi, masih belum rezeki nampaknya. 😔

Bercakap pasal ni, aku sebenarnya agak berharap juga untuk dapat rezeki mengandung lagi tahun ni. Ye, aku faham masih belum ada rezeki. Tapi bila bulan lepas tidak datang period, aku sangat berharap yang aku mengandung. Berdebar-debar untuk buat Urine Pregnancy Test (UPT). Sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi yang aku mengandung dan dapat baby. Allahuakbar. Bila bangun pagi untuk buat test tu (lebih valid uji pada urin awal pagi), harapan tinggi sangat. Namun, lepas seminit, 2 minit hatta 5 minit pun, tetap single line. Agak kecewa juga. Seharian aku jadi down kat sekolah. Itulah orang cakap, kita tak boleh letakkan harapan terlalu tinggi atas setiap perkara. Bila ia tidak berlaku atau berlaku bukan mengikut kehendak kita, pasti akan kecewa. Allahuakbar.😥


Allah masih belum makbulkan doa aku. Lepas dah mengadu dengan Allah, barulah hati rasa lebih tenang. Mungkin Allah ada perancangan yang lebih baik untuk aku. Yang penting, sentiasalah redha dan terus berdoa pada Dia. Berceritalah apa saja dengan Allah, pasti kita akan lebih tenang inshaa-Allah. Suami pun perasan yang aku lewat datang period. Dia pun mengharapkan aku mengandung. Belum rezeki kita lagi la bang, kita cuba lagi ye! 😉

Begitulah hidup kita ni. Kita merancang, tetapi Allah juga merancang. Yakinlah bahawa perancangan Allah adalah yang terbaik. Walaupun kita mungkin tak nampak apa hikmahnya sekarang, inshaa-Allah pasti ada hikmah yang terbaik buat kita di sebaliknya. Semoga Allah murahkan rezeki semua, terutama sahabat-sahabat aku yang masih mengharapkan zuriat daripada rahim mereka sendiri. Siapa yang tak inginkan cahaya mata bila dah berkahwin. Kalau tanya pasangan yang baru kahwin, mesti mereka semua pun tak sabar nak dapat anak. Tapi tu semua bukan kerja kita. Kerja Allah. Tugas kita doa, doa dan teruskan berdoa, dan jangan lupa buat segala suruhan dan tinggalkan segala larangan Dia. Inshaa-Allah. Salam sayang untuk semua. 💗 Sehingga bertemu lagi di post yang akan datang (tak tahulah bila 😂). Wassalam.

Sunday, 3 March 2019

Aku dan Chickenpox

بسم الله الرحمن الرحيم
 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, masih bernafas. Alhamdulillah Allah masih pinjamkan nyawa. Alhamdulillah atas segala nikmat yang Engkau berikan. Sesungguhnya tiada apa yang mampu aku persembahkan melainkan kehambaan kepada-Mu walaupun dalam serba kekurangan.

Alhamdulillah juga atas ujian kesakitan yang Engkau berikan. Untuk pengetahuan, minggu lepas aku telah dijangkiti oleh chickenpox! Tak pernah terlintas di fikiran yang aku akan dapat chickenpox ni masa umur dah dewasa macam ni. Dan masa ulangtahun kelahiran aku yang ke-32 tahun! Semuanya di dalam pengetahuan dan perancangan Allah jua.

Sebenarnya, sejak beberapa minggu kebelakangan ini memang anak-anak didik kat sekolah ramai yang diserang chickenpox. Seolah-olah ia menjadi satu wabak yang mudah berjangkit. Lepas seorang-seorang yang lain pula yang dijangkiti. Dan pada Jumaat 15 Februari, pihak sekolah telah memberi cuti peristiwa kepada pelajar. Namun kami guru-guru terpaksa datang ke sekolah untuk mensanitasi keseluruhan sekolah. Dan aku memang telah rasa tidak sedap badan dan sakit kepala berdenyut-denyut sehari sebelumnya. Namun aku gagahkan jua diri untuk datang sekolah dengan tujuan sanitasi kelas aku sendiri. Sebab fikirkan kesihatan anak-anak.


Muka aku hari Jumaat tu. Masa ni dah rasa panas badan, nak demam. Sakit kepala, berpeluh-peluh je badan.
Balik je dari sekolah tengahari Jumaat tu, perasan ada beberapa biji air timbul di badan. Rasa dah tak sedap dah. Bila dah petang, makin banyak pulak naik biji-biji air tu. Ni memang dah confirm chickenpox ni. Sebab berjangkit dari sekolah. 

Keesokan malamnya (Sabtu) baru aku ke klinik. Suami bawa ke klinik bahagian kecemasan Hospital Sungai Buloh. Nak pergi siang tu dia kerja. Malam-malam dah tak ada klinik yang buka. Memang aku sekeluarga dari dulu jarang ke klinik swasta. Biasanya memang akan terus ke klinik kerajaan. Periksa suhu agak tinggi malam tu, 39.8°C! 

Kalau klinik kerajaan ni satu kekurangan dia korang terpaksa tunggu lama la sikit berbanding klinik swasta. Bila jumpa doktor malam tu, memang doktor cakap chickenpox la. Doktor tu pun siap bagitahu lagi dia pun belum kena. Doktor perempuan, muda lagi. Maksudnya chickenpox ni tak semestinya kena masa bayi atau kanak-kanak sahaja. Masa besar pun akan kena jugak. Jadi, beringat-ingatlah untuk sesiapa yang belum kena lagi. Jadi, doktor bagi cuti sakit seminggu. Kalau masih belum baik sepenuhnya boleh sambung cuti katanya. Dapat ubat antiviral dan krim Calamine di samping beberapa ubatan yang lain.

Maka bermulalah cuti sakit ataupun cuti kuarantin aku di rumah selama seminggu. Mursi pun terpaksa cuti sekali. Ya Allah, hanya Tuhan je tahu rasa sakit kena chickenpox ni. Tumbuh kat bahagian muka, badan dan kaki tapi muka dan badan yang paling banyak. Kat bahagian kepala pun ada tumbuh juga. Bila solat masa sujud tu tahan je la. Rasa berdenyut kepala hanya Allah je yang tahu.

Satu yang aku rasa sangat bersyukur ialah dikurniakan sahabat yang sangat prihatin, Kak Fizah. Dia tinggal di apartmen sebelah je dari rumah aku. Orang kata kalau kena chickenpox ni boleh amalkan petua mandi dan sapu dengan daun semambu. Makanya Kak Fizah ni la yang bersusah-payah carikan daun semambu untuk aku. Sampaikan kena marah dengan jiran India tempat dia ambil daun tu. Orang India ni mereka kuat percaya pada pantang larang, tak boleh ambil daun semambu lepas pukul 5.30 petang. Masa tu Kak Fizah ambil dah malam. Jadinya, kena marahlah dia sebab dia tetap ambil juga. Allahu, kesian Kak Fizah...

Antara gambar muka aku semasa chickenpox. Sekarang masih banyak parut yang tinggal.
Antara beberapa pantang lain yang aku baca, tak boleh menggoreng dalam rumah dan tak boleh makan makanan bergoreng. Tapi yang ni aku tak ikut sangat pun. Sebabnya aku masak nasi goreng untuk Mursi makan. Yang lain-lain antara pantangnya ialah tak boleh makan kicap, tak boleh kena hujan dan makan makanan yang boleh menyebabkan gatal. Bab makan rasanya aku makan je, telur ayam ikan semua makan. Alhamdulillah, tak adalah gatal sampai teruk sangat.

Alhamdulillah, cuti sakit seminggu yang doktor berikan cukup. Isnin berikutnya aku dah boleh ke sekolah. Cuma muka ajelah yang masih berparut. Redha ajelah bila anak murid tegur kenapa muka teacher macam tu. Huhu. Sekarang amalkan sapu krim Herbal Blend dari Shaklee. Harap-harapnya boleh mengurangkan parut dengan cepat. Sebab baca review pengguna cakap elok krim tu. Kita try ajela. Ikhtiar, Allah semua yang tetapkan.

Muka lepas cuti seminggu sebab kena chickenpox. Masih penuh parut.
Hehe, panjang pulak post kali ni. Biarlah, sekali-sekala. Tulis buat kenangan sendiri. Nanti-nanti boleh baca lagi. Buat simpan sini. Dan elok je lepas lebih kurang seminggu ummi baik dari chickenpox, anak bujang pulak yang kena. Mursi pulak kena naik biji-biji air chickenpox tu. Aduhai, kesian dia. Ummi mintak maaf sayang. Padahal masa kecik dia dah kena pun. Sekarang ni tengah kuarantin dia pulak. Ummi cuti pulak la seminggu lagi. Semoga anak ummi cepat sembuh. Ameen.

Akhir kalam, sakit itu adalah ujian. Ujian Allah nak tengok samada kita sebagai hamba ni sabar ke tak hadapinya. Inshaa-Allah ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Semoga hati-hati kita lebih dekat pada Dia di saat susah dan senang. Ameen...

Saturday, 12 January 2019

Selamat Tahun Baru 2019

بسم الله الرحمن الرحيم
 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Selamat Tahun Baru 2019! Baru nak ucap walaupun dah 12 hari pun di tahun baru ni. Apa kisah, bukannya ada syarat pun sampai bila boleh ucap. Haha. Kira masih awal lagi ni, awal tahun baru.

Jadi, kita sekarang dah pun masuk tahun 2019. Apa azam baru semua? Macamana dengan azam kalian di tahun lepas? Semua dah tercapai ataupun dicarry forward semula ke tahun ni? Haha. Walau apapun, semoga segala azam dan impian kalian semua tercapai. Dan terus bersemangat untuk mencapai azam masing-masing.

Alhamdulillah, bila masuk tahun baru biasanya aku akan ada semangat baru. Semangat dia agak lain macam kan bila masuk tahun baru ni. Aku sebagai cikgu ni rasa lebih bersemangat terutamanya untuk menjadi seorang cikgu yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Inshaa-Allah, doakan aku ye. 

Untuk tugasan tahun ni, aku diamanahkan untuk menjadi homeroom teacher bagi pelajar tahun 2, Primary 2 Zaid bin Thabit. Dan aku juga diamanahkan untuk mengajar subjek Sains bagi Tahun 1 sampai Tahun 3. 5 kelas semuanya, dicampur sekali dengan subjek Living Skills bagi kelas aku sendiri. Inshaa-Allah akan aku cuba sehabis baik untuk menjadi guru kelas dan guru subjek yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.

Semoga tahun 2019 ini membawa lebih makna buat aku dan sahabat-sahabat sekerja yang lain. Tahun 2018 yang berlalu meninggalkan banyak kenangan dan juga boleh dikatakan ujian buat kami. Masalah kesefahaman antara kami sahabat-sahabat seperjuangan. Terdapat sedikit perselisihan yang sedikit sebanyak meninggalkan parut di hati masing-masing. Walaupun sekarang semuanya bersikap seolah-olah tiada apa yang telah berlaku.

IHS Family (teachers masa Recognition Day 2018)
Aku sentiasa berdoa semoga Allah perkukuhkan ikatan ukhuwwah antara kami, dan menyatukan hati kami semua dalam mendukung amanah mendidik anak-anak kami di IHS. Bila masalah sebegini berlaku, pasti ada kesan luka di hati walaupun luarannya nampak seperti tiada apa yang terkesan. Inshaa-Allah mudah-mudahan kesan luka atau parut tersebut terus hilang tanpa meninggalkan walau sedikit kudis pun kepada kami seiring dengan perjalanan masa.

Alhamdulillah, di tahun 2019 ini juga aku berazam untuk terus mengekalkan berat ideal yang telah aku capai sebelum ini hasil daripada join program FLC. Buat masa sekarang, berat aku masih bertahan antara 50-52kg macam tu. Alhamdulillah. Azam untuk terus mengamalkan gaya kehidupan yang sihat, pemakanan dan juga exercise. Inshaa-Allah. Doakan aku. 

Akhir kalam, aku doakan kita semua terus diberi kekuatan dan ditetapkan iman dalam menghadapi hari-hari mendatang di tahun 2019 ini. Semoga berjumpa lagi di lain coretan, dan coretan ini pun sekadar coretan untuk menjadi cebisan memori aku suatu hari nanti. Babai...