Tuesday, 31 December 2013

Selamat Tinggal 2013

Bismillahirrahmanirrahim.

Insya-Allah malam ni adalah malam terakhir kita semua di tahun 2013 ni. Terdetik nak tulis entri mengenai hidup aku sepanjang tahun ini. Tinggal beberapa jam je lagi sebelum kita semua berada di tahun baru, 2014. Memang niat nak cukupkan entri blog ni 50 sebelum masuk ke tahun baru. Alhamdulillah, dengan ter'publish'nya entri malam ni, maka tercapailah hajat di hati. :)

Kali ni kiranya aku nak imbau kembali apa yang berlaku sepanjang tahun 2013. Perkara-perkara yang penting bagi aku untuk diingati. Aku ni kadang-kadang agak pelupa, banyak perkara yang berlaku dalam hidup aku dah lupa. Semoga dengan entri yang aku buat ni dapat membantu aku mengasah sedikit demi sedikit sikap pelupa tu. Sedih jugak bila ada yang tanya tentang sesuatu perkara atau peristiwa, aku tak ingat. :(

  1. Pada awal tahun 2013, bulan Januari aku mendapat berita gembira. Berita yang selama ni ditunggu-tunggu oleh setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga. Alhamdulillah, pada 2 Januari aku telah mendapat keputusan positif UPT. Berita ni aku segera kongsikan bersama suami yang pada masa ni baru balik ke Kuala Lumpur dari bercuti hujung minggu di kampung. Suami minta aku sahkan dengan buat pemeriksaan doktor di klinik. Dengan ditemani sahabat sekerja, aku ke Klinik Mamad untuk membuat pemeriksaan dan akhirnya aku telah disahkan hamil. Masa tu kandungan aku 7 minggu.
  2. Kemudian, pada bulan Februari pula aku telah dimasukkan ke hospital disebabkan oleh gastrik pada awalnya. Bila dilakukan pemeriksaan lanjut, aku disahkan mendapat appendiks dan terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang appendiks dengan segera. Risiko pembedahan mungkin boleh menyebabkan aku keguguran memandangkan kandungan aku masih baru. Pembedahan dilakukan pada 14 Februari di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Alhamdulillah, semuanya selamat dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Aku ada ceritakan pengalaman aku di beberapa entri, ini, ini, dan ini. :)
  3. Adik bongsu aku yang seorang dah berkahwin pada bulan Mei. Adik yang aku rasakan masih kecil, rupanya dah besar. Dah ada tanggungjawab sebagai seorang suami. Aku berkesempatan untuk turut hadir di hari bahagianya. Adik ipar aku orang Sepang, Selangor. Aku memandu kereta bersama dengan kakak dan abang ipar serta 2 orang anak saudara, berkonvoi bersama-sama 2 orang lagi kakakku dengan kenderaan masing-masing. Aku tak percaya dengan keadaan aku yang mengandung ni masih boleh memandu kereta dengan jarak yang agak jauh. Tapi bukannya aku seorang yang memandu, aku bergilir dengan abang ipar. Dan alhamdulillah, tahun depan aku bakal mendapat anak buah baru lagi. ;)
  4. Bulan Mei jugak aku dapat seorang anak buah. Kakak aku, Kak Mah yang majlis kahwin sekali dengan aku dah selamat melahirkan seorang puteri. Nurain Tasneem nama diberi, semoga dirimu menjadi anak yang solehah, harta berharga buat ummi dan abi samada di dunia mahupun di akhirat nanti. Kak Mah bersalin pada 14 Mei yang lepas, pada usia kandungan dia 37 minggu. Mengikut cerita Kak Mah, sepanjang proses kelahiran segalanya mudah. Aku juga berharap yang sama buat aku nanti. Insya-Allah.
  5. 2 Jun 2013, genaplah usia perkahwinan aku dan suami setahun. Tiada sambutan candle light dinner, surprised present, jambangan bunga dan kek, dan apa-apa yang sering dilakukan oleh pasangan-pasangan yang lain. Cukup sekadar kami saling mengingati antara satu sama lain. Tambahan lagi, kami pasangan yang baru ingin memulakan hidup, perlu lebih banyak menyimpan untuk perkara yang lebih penting bagi kegunaan di masa depan. Cukup sekadar keluar makan bersama, itupun bila suami pulang bercuti hujung minggu memandangkan kami masih PJJ masa ini.
  6. 25 Ogos 2013, aku telah selamat melahirkan seorang lagi khalifah ke muka bumi Allah ini. Seorang putera, mujahid yang telah diberi nama Ahmad Ayyash Mursi. Segala kesulitan yang terpaksa aku hadapi untuk melahirkan khalifah ini insya-Allah akan aku iktibarkan sebaik mungkin untuk mendidik dia menjadi seorang yang berjiwa kental, dan penuh dengan sifat-sifat mahmudah supaya dapat membimbing masyarakat sekelilingnya menjadi yang lebih baik. Insya-Allah. Kini, Mursi dah berusia 4 bulan lebih, membesar dengan sihat dan sempurna, alhamdulillah. Cuma dalam seminggu ini dia kurang sihat, demam selesema dan batuk. Semoga anak ummi sentiasa dalam lindungan dan peliharaan Allah selalu. Ayah dan ummi sayangkan Mursi dunia dan akhirat. Semoga Mursi menjadi aset kami yang paling berharga bila kami tiada lagi di dunia. Amin.
  7. Setelah tamat cuti bersalin 2 bulan, aku kembali masuk kerja pada 26 Oktober 2013 yang lalu. Pada pagi sebelum aku ke tempat kerja, berlaku suatu perkara yang aku amat takuti sepanjang aku tinggal di rumah pusaka arwah emak. Dan rentetan daripada peristiwa itu juga telah membawa aku berhenti kerja dan aku dapat tinggal bersama dengan suami di sini. Aku cuma masuk kerja seminggu sahaja, habiskan bulan Oktober. Bermula bulan berikutnya aku telah berhenti. Mungkin juga disebabkan masalah pembayaran gaji oleh pihak majikan, suami aku semakin kuat meminta aku berhenti kerja.
  8. Alhamdulillah, pada 10 November yang lalu aku secara rasminya telah berjaya tinggal bersama-sama dengan suami dan anak sebagai sebuah keluarga yang lengkap. Kami sekeluarga menyewa di Damansara Damai, dan insya-Allah akan tetap di sini untuk setahun yang akan datang. Aku masih berusaha untuk mencari kerja yang sesuai untuk turut membantu suami dalam menyediakan kemudahan kewangan bagi keluarga kami. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya, sampai sekarang aku masih belum berjaya mendapat pekerjaan. Mungkin hikmahnya aku dapat menjaga anakku dengan lebih sempurna, dan menjadi seorang suri rumah yang terbaik buat suami. 
Rasanya, itu aje kot yang aku dapat kongsikan perkara penting yang berlaku dalam tahun 2013. Semoga kita semua dapata mengambil iktibar atas setiap yang berlaku dan menjalani kehidupan yang lebih baik di masa yang akan datang. Tanamkan azam, semoga tahun 2014 yang bakal menjelma menjanjikan 1001 makna buat kita semua. Ok la, cukup dulu untuk kali ni. Semoga berjumpa lagi di entri yang berikutnya di tahun hadapan. Tata. :) Sebelum berpisah, nah gambar Mursi terbaru. Ni masa dia demam baru-baru ni. :)

2 comments:

liana said...

ala..comelnya mursi..mata bulat la..semoga Noor berbahagia bersama yg tersayang..dan selalu di bawah rahmat Allah..=)

dilla said...

Terima kasih kak. Doa noor pun selalu untuk akak di sana. :)