Sunday, 27 December 2015

Mursi Pergi Kerja

Bismillahi walhamdulillah.

Alhamdulillah, sudah hampir sebulan aku dan team bekerja keras untuk sekolah baru kami. Sepanjang tempoh tersebut, kami bekerja dari pejabat sementara, bukan lagi di sekolah baru memandangkan sekolah tersebut masih lagi dalam proses pembinaan. Tinggilah harapan dan doa aku semoga ianya siap sepenuhnya untuk kami beroperasi pada awal tahun depan, insya-Allah.

Dalam pada aku bekerja di ofis sementara ini, ada seminggu yang Mursi terpaksa ikut ummi pergi kerja. Sebabnya pengasuh Mursi pulang ke kampung. Bukan main seronok dia boleh ikut ummi ke tempat kerja. Pada mulanya aku agak risau juga. Risau nanti Mursi akan buat hal dan tidak boleh bergaul dengan orang, nak menempel dekat ummi aje. Alih-alih, dia seronok berlari-lari keliling ofis, langsung tak layan ummi dia ni haa. :)

Mursi dan Muhammad, sedang melayan Upin & Ipin. :)

Gambar ni diambil oleh Aunti Fadz.

Memandangkan sekolah kami ni adalah sekolah baru, memang sangat banyak kerja yang perlu disiapkan. Aku sangat respek dengan kakak-kakak senior tempat aku bekerja ni. Mereka sangat komited dengan penubuhan sekolah ini, walaupun terlalu banyak ujian dan dugaan yang dihadapi sepanjang proses penubuhannya. Apa yang aku harapkan sekarang ialah semoga segala impian dan doa kami akan menjadi kenyataan. Sekolah kami akan berjaya dibuka pada sesi persekolahan 2016 yang akan datang. Amin... Jom doakan bersama. :)

Monday, 14 December 2015

Zon Selesa

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah atas segala nikmat yang masih dikecapi. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Cuba tengok tajuk entri kali ni? Zon selesa? Apa tu zon selesa? Kat mana pulak tempatnya zon selesa? Boleh pergi ke? Hehe. Sesungguhnya zon selesa itu bukanlah suatu tempat yang kita boleh pergi bila-bila masa. Aku hanya merujuk ia sebagai keadaan aku yang sebelum ini. Yang mana berada dalam keadaan zon selesa. Kerja yang sebelum ini, buat kerja dan bila cukup bulan akan terima gaji. Seperti yang aku khabarkan sebelum ini, aku telahpun berhenti kerja dari tempat kerja lama. Dan bermula bulan ini, dan telah pun bermula sebenarnya bekerja di tempat baru.

Tempat baru yang aku mula bekerja ini juga merupakan sebuah sekolah swasta, sama macam sebelumnya. Ianya adalah sebuah sekolah yang baru hendak ditubuhkan. Jadi, aku merupakan antara perintis bagi sekolah tersebut. Aku dan juga kawan-kawan yang lain merupakan satu kumpulan yang keluar dari tempat kerja lama dan beralih ke sini. Oleh kerana ia merupakan sekolah yang baru hendak didaftarkan, jadi banyak perkara yang perlu kami lakukan. Aku sangat kagum dan respek dengan kakak-kakak senior dalam kumpulan kami yang sangat komited dalam menubuhkan sekolah ini. Sepanjang tempoh penubuhan sehinggalah kepada hari terbuka (Open Day) sekolah kami semalam, aku telah melihat banyak masalah yang dihadapi. Itu mungkin hanya sebahagian daripada masalah yang terpaksa mereka kumpulan pengurusan perlu selesaikan. Namun, kami menganggapnya sebagai ujian daripada Allah. Walaupun diberikan ujian, Dia tidak lupa untuk sertakan bersama penyelesaian. Sesungguhnya setiap ujian yang kami hadapi adalah sebagai landasan untuk kami terus meminta dan berdoa kepada Dia.

Ujian yang dihadapi juga merupakan salah satu cara untuk mengajar kami semua supaya tahu dan kenal akan cabaran-cabaran yang mendatang. Hendak menubuhkan sebuah sekolah, bukannya senang. Bayangkan kami bergerak sendiri, dan dengan bantuan para ibu-bapa yang sangat ikhlas membantu demi menyediakan sebuah institusi pendidikan buat anak-anak mereka. Sekolah yang kami akan tubuhkan ini insya-Allah semata-mata atas niat keran Allah, untuk melahirkan insan dan hamba Allah yang betul-betul mengikut acuan Al-quran dan Sunnah. Setiap kali aku berdoa semoga segala urusan penubuhan sekolah ini akan dipermudahkan sehingga ke akhirnya. Aku juga menjadi semakin bersemangat dengan jalan yang aku pilih sekarang. Dengan sokongan dan dorongan dari rakan-rakan sekeliling, insya-Allah aku akan berusaha sehabis daya untuk menjayakan 'sekolah kami'.

Friday, 4 December 2015

Sikap Suami yang Tidak Disukai Isteri

Bisillahirrahmanirrahim.

Dalam melayari sebuah bahtera perkahwinan, suami isteri haruslah saling melengkapi. Kebiasaannya kelebihan pasangan akan menyempurnakan kelemahan pasangan yang satu lagi. Sepatutnya sikap saling bertolak-ansur haruslah disemat dalam hati setiap pasangan suami isteri.


Namun begitu, sebagai seorang manusia biasa, kadangkala ada beberapa sikap suami yang sangat tidak disenangi oleh seorang isteri. Bukan nak kata isteri ni tak ada kelemahan, tapi biasanya isteri akan cuba untuk menjadi yang terbaik buat suaminya. Suami bila sedar yang dia adalah seorang suami, yang beranggapan bahawa dia mempunyai kuasa 'veto' langsung tidak mahu berubah malah tidak belajar untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Antara beberapa sikap suami yang kadang-kadang kurang disenangi oleh seorang isteri ialah:

  • Mementingkan diri sendiri
Sebagai sepasang suami isteri, fitrahnya hendaklah saling menerima kelemahan pasangan. Jika suami mempunyai sikap mementingkan diri sendiri atau 'selfish' ini, memang sukar untuk dibawa berbincang. Sekiranya boleh dibawa berbincang sekalipun, hasil perbincangan hanya akan memberi keuntungan buat dirinya semata-mata. Contohnya bila tiba giliran balik beraya di kampung. Janganlah mentang-mentang kita suami, setiap kali cuti raya mesti balik belah suami. Walaupun secara luarannya isteri bersetuju, namun jauh di sudut hati pasti ada perasaan untuk bersama-sama keluarganya pada pagi hari raya. Namun, atas perbincangan kedua pihak juga. Berbincanglah dengan baik.
  • Sukar meminta maaf 
Walaupun sedar kesalahan adalah berpunca daripada dirinya, namun perkataan 'maaf' tersangatlah sukar untuk dilafazkan. Tidak jatuh maruah seorang suami kalau hanya sekadar menuturkan perkataan maaf atas kesalahan yang dilakukan. Malah perbuatan tersebut amatlah terpuji dan sangat disenangi oleh isteri. Bukan asyik isteri sahaja yang perlu mengalah dan meminta maaf atas kesalahan yang dia tidak buat hanya untuk membetulkan keadaan. Suami juga haruslah mengambil contoh daripada kisah-kisah Rasulullah sebagai seorang suami.
  • Tidak boleh menerima keluarga isteri
Bila seorang lelaki mengahwini seorang perempuan, bermakna dia perlu mengahwini ahli keluarganya sekali. Maksudnya bila seseorang berkahwin, dia perlulah menerima ahli keluarga pasangan dan menganggap mereka sebagai ahli keluarga sendiri. Ini bukan hanya wajib ke atas suami sahaja, isteri pun sama juga perlu menerima ahli keluarga suami. Bila balik ke rumah keluarga belah isteri, bertanyalah khabar pada ayah dan ibu mertua. Berbual-bual pasal perkembangan terkini, bukan sekadar menunjuk muka tanpa sepatah perkataan kemudian berlalu. Bila keadaan ini berlaku, isteri mesti menganggap bahawa suaminya tidak menyukai dan tidak menerima ahli keluarganya. Belajarlah bergaul mesra dengan ahli keluarga, bukan hanya hidup dengan dunia sendiri. Kalau balik hanya nak buat hal sendiri, baik tak payah balik langsung.
  • Panas baran
Isteri mana yang suka bila suaminya panas baran? Percayalah, jika disoal pasti semua perempuan bencikan lelaki yang panas baran. Tapi, kalau dah jodoh dengan lelaki yang panas baran nak buat macam mana kan? Redha aje la. Cuma satu aje yang kena ingat, bila suami tengah marah atau baran, cubalah jangan melawan. Banyakkan bersabar. Bila isteri mula melawan suami yang tengah marah, pasti akan bertambah parah. Jadi, isteri di luar sana, selalulah berdoa semoga sentiasa diberikan kesabaran yang tertinggi untuk menguruskan emosi suami. Banyakkan istighfar dan berselawat untuk tenangkan hati.
  • Kurang berkomunikasi
Antara salah satu punca perceraian ialah masalah kurang komunikasi dalam rumah tangga. Suami perlu beri perhatian bahawa seorang isteri inginkan perhatian. Perhatian yang macam mana? Bila suami balik rumah, sapalah isteri walau dengan sepatah perkataan, misalnya bagi salam. Dengan salam itu sendiri boleh menyejukkan hati isteri. Tanya bagaimana hari isteri dan kalau boleh masing-masing bercerita tentang hari yang dilalui masing-masing. Kalau ada masalah, jangan dipendam seorang, berkongsilah dengan isteri. Walaupun kadang-kadang suami tidak mahu menyusahkan isterinya, namun bila berkongsi cerita dan minta pendapat dari isteri, isteri akan merasa sangat dihargai dan disedari akan kewujudannya. Berceritalah apa sahaja. Kalau dengan kawan boleh berkongsi cerita dan bergelak ketawa, takkan dengan isteri sendiri dilayan seperti orang asing.
  • Ego
Yang paling sinonim dengan lelaki ialah ego. Ego seorang suami sangat tinggi. Dia merasakan hanya mereka sahaja yang betul, langsung tidak boleh ditegur. Wahai suami sekalian, tidak ke mana kamu dengan ego kamu. Kamu nak isteri hormat kamu dengan ego kamu yang setinggi langit itu? Nampak gaya takkan bertahan lama. Isteri memang akan hormat, tapi hanya disebabkan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Tapi percayalah, cinta dan kasih sayang semakin pudar sekiranya perasaan bahawa kamu sentiasa betul masih beraja di dalam diri. Rumah tangga akan bahagia seandainya suami tahu tanggungjawab, bukan hanya tahu mengarah itu ini, merasakan segala yang dia buat betul belaka. Kalau tak tahu, jangan malu nak mengaku, belajarlah untuk berubah ke arah kebaikan. Perbetulkan diri, jadi ketua keluarga yang sebetulnya. Pimpin dan bimbinglah isteri dan anak-anak ke jalan yang diredhai Allah, bukannya kita sendiri terpesong dari ajaran Dia.
  • Bila marah, keluar bahasa kasar
Ini satu lagi sikap suami yang sangat tidak disukai oleh isteri. Marah biarlah berpada-pada, jangan sampai keluar segala perkataan yang tidak sepatutnya. Bukan tidak boleh marah, tapi lihat kembali macam mana sifat Rasulullah dalam kehidupannya. Bukan mencela, tidak menghamburkan perkataan-perkataan yang kasar, tidak menyakiti isteri dan bukan marah mengikut perasaan. Cubalah kawal perasaan marah, bila dalam keadaan berdiri cubalah duduk bertenang. Ambil wuduk dan solat sunat minta petunjuk dari Allah. Semoga kita semua terhindar dari sifat mazmumah hasutan syaitan.

Di atas adalah antara sikap-sikap suami yang tidak disukai oleh isteri. Aku menulis dari persepsi seorang isteri. Segala yang baik jadikan iktibar dan pedoman. Yang penting, hidup suami isteri hendaklah sentiasa bertolak ansur dan sentiasa memperbaiki diri untuk menjadi seorang yang lebih baik. Wallahualam.

Sunday, 15 November 2015

Hari-hari Terakhir

Bismillahi wal hamdulillah

Minggu Terakhir

Minggu ni merupakan minggu terakhir bagi pelajar-pelajar sekolah aku untuk sesi persekolahan tahun ni. Hujung minggu ini pula merupakan hari untuk ambil report card.

Jadi, untuk minggu terakhir ini aku telah mengadakan jamuan kelas akhir tahun, dan juga jamuan perpisahan. Aku kan dah tak akan jumpa mereka lagi tahun depan. Tapi, mungkin sebahagian daripada mereka aku akan jumpa lagi di sekolah yang baru. Mana tahu... :)

Aku telah mengadakan jamuan akhir tahun pada hari Rabu, selepas cuti Deepavali. Sebelum itu, aku terlebih dahulu telah memaklumkan kepada parents yang aku akan mengadakan jamuan. Jadi, mereka boleh menyediakan makanan untuk dibawa oleh anak mereka ke sekolah.

Jamuan Akhir Tahun

Small gift yang dimaksudkan. :)
Sempena jamuan perpisahan kali ini, aku ada menyediakan small gift untuk mereka. Sebagai tanda ingatan, walaupun ianya murah dan mereka boleh beli sepuluh yang sama, tapi nilainya tak sama. Ianya tanda ingatan seorang guru buat anak muridnya. Lagipun, aku menjadi guru homeroom bagi kebanyakan mereka untuk tempoh dua tahun. Suatu tempoh masa yang agak lama juga. Jadi aku dah mengenali mereka dengan cukup baik. (Ye ke? :))

Antara makanan yang dibawa.
Semasa hari jamuan, ada beberapa orang yang tidak hadir. Pelbagai makanan serta juadah yang dibawa ke majlis, antaranya ada spagetti, brownies, puding kastard, puding trifle dan banyak lagi. Tapi majoritinya adalah manisan pemanis mulut, dan tidak lupa makanan ringan ataupun jajan. Majlis dimulakan pada waktu tengahari dengan ucapan ringkas daripada aku dan diikuti dengan jamuan makan. Memang mereka dah tak sabar-sabar nak makan, dari pagi lagi duk minta nak makan makanan yang dibawa.

Gelagat Pelajar

Seronok aku melihat gelagat dan reaksi mereka makan bersama-sama. Mungkin suatu hari nanti aku akan merindui saat-saat bersama dengan mereka. Gelagat Khairiyah dan Aleya yang selalu menceriakan. Khairina yang selalu mengadu dengan memek muka yang tidak puas hati. Si Falysha yang suka menjerit dan membingitkan suasana kelas. Kusya yang paling tinggi di dalam kelas, bila bercakap sangat lembut dan penuh dengan kasih sayang. Myra pula yang selalu tegur pakaian teacher dia ini dan selalu bertanya "Teacher sihat hari ini?" Semoga mereka terus berjaya di dunia dan juga di akhirat.

Yang lelaki pula mesti aku akan rindu dengan Adam yang selalu ada saja alasan bila disuruh buat kerja. Senyuman Syahir yang selalu nampak gigi dan menceriakan, gelagat Samuel yang mukanya selalu tiada perasaan, watak Rusyaidi yang sangat lemah lembut dan sopan bila bercakap dengan guru, waktu bermain dengan kawan-kawan pun boleh nampak kesopanannya, si Ishyraf yang selalu menunjukkan sikap ingin bersaing dengan kawan-kawan siapa yang lebih baik. Aduhai...moga kalian semua terus fokus dan matang dalam menghadapi hari-hari mendatang.

Jom layan gambar-gambar mereka. :)









Aktiviti Lain

Selain dari jamuan akhir tahun kelas, aku juga kekenyangan di hari-hari minggu terakhir ini sebab jamuan di kelas-kelas lain juga. Tiga hari aku tidak makan di dining hall, sebab dah kenyang makan di jamuan kelas lain. :) Aku dan kawan-kawan juga menyiapkan apa yang patut untuk hari ambil report card nanti. Segala dokumen yang diperlukan aku siapkan secepat mungkin. Dan turut diadakan aktiviti untuk pelajar seperti pertandingan mewarna bagi pelajar darjah 1 hingga darjah 3, pertandingan melukis poster adab dalam islam bagi pelajar darjah 4 hingga 6 dan juga hari keusahawanan untuk pelajar menengah. Alhamdulillah, segalanya bergembira sebelum mereka mula bercuti.

Akhirnya, minggu ini berakhir. Minggu depan merupakan minggu terakhir aku di sekolah ini. Lepas ini aku sudah tidak lagi berkhidmat di sini. Beberapa aktiviti telah dijadualkan untuk kami pada minggu hadapan. Semoga aku tabah untuk seminggu lagi, kemudian aku sekeluarga akan pulang ke kampung. Doakan semoga aku mendapat keberkatan walau di mana jua dan dipermudahkan urusan di hari-hari mendatang. Ada masa aku akan menulis lagi, untuk kenangan di masa akan datang. :)

Sunday, 8 November 2015

Penghujung

Bismillahi walhamdulillah.

Dah hampir masuk pertengahan November, bulan kedua akhir untuk tahun ni. Dah penghujung tahun juga la maknanya. Cepatnya masa berlalu. Aku masih aku yang sebelum ni, tak berubah apa-apa melainkan usia yang makin meningkat, badan yang semakin berisi dan kedut-kedut kat muka yang makin nampak, kot... :)

Aku meneruskan hidup dengan rutin yang sama, bangun pagi pergi kerja. Hantar Mursi ke rumah pengasuh. Kat sekolah masuk kelas, melayan budak-budak. Petang balik kerja, ambil anak yang sehari tak jumpa. Sampai rumah siapkan makan malam. Malam pulak melayan mursi main sebelum dia tidur dan aku pun terlelap. Begitulah rutin aku setiap hari melainkan hujung minggu yang mana aku tak perlu pergi kerja. Walau apapun, aku sentiasa bersyukur dengan setiap apa yang dinikmati. Tak semua orang merasai apa yang aku nikmati sekarang, walaupun ada kalanya hidup tidak selalu cerah.

Sempena nak melangkah ke tahun baru nanti, aku juga akan melangkah meninggalkan tempat kerja sekarang. Insya-Allah aku akan berhijrah. Kalau ada rezeki aku akan berkhidmat di sekolah lain pula. Nanti aku kongsikan bila aku dah rasmi bekerja di sana. Untuk yang sekarang ini, aku telah menghantar notis berhenti kerja dua bulan, bermula 12 Oktober yang lepas. Kiranya tempoh aku berkhidmat di tempat kerja sekarang ialah sampai 12 Disember akan datang.

Keputusan yang dibuat adalah setelah mendapat persetujuan dari suami dan aku juga bersama-sama dengan beberapa orang kawan di tempat kerja sekarang. Kiranya kami meletak jawatan secara berjemaah. Sebab kenapa kami berbuat demikian adalah kerana sudah tidak tahan lagi dengan sistem pengurusan dan pentadbiran pihak sekolah. Terlalu banyak perkara yang kami rasakan tidak betul dan menidakkan jasa sesetengah cikgu yang telah lama berkhidmat untuk mereka. Aku tak mahu memburukkan mereka lebih-lebih, tapi cukuplah sekadar coretan di sini menjadi ingatan dan kenangan buat aku suatu hari nanti. Aku percaya yang suatu hari nanti aku akan baca semula segala coretan di sini. Jadi, masa tu bila aku terbaca mesti aku akan ingat semula. :)

Offer Letter tempat kerja baru

Aku berharap moga-moga penghijrahan aku kali ini akan membawa kebaikan pada aku dan semua di sekeliling aku. Walaupun aku mendapat kerja di tempat lain, jauh di sudut hati aku masih berdoa semoga aku dapat bekerja dan menetap di kampung, maksud aku di Terengganu. Hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di tempat sendiri. Hehe, berpantun la pulak. Tapi memang betul pun, aku lebih suka bekerja di tempat sendiri. Walaupun Terengganu tidaklah semaju dan sepadat di sini, tapi keadaan yang tidak sesak itu yang aku suka. Aku tak mahu anak aku bersekolah di sini. Budaya yang tidak sihat banyak. Jiran-jiran pun tak kenal sesama sendiri. Aku tak suka. Insya-Allah, semoga suatu hari nanti aku ada rezeki mendapat kerja di kampung. Amin...

Baru-baru ini juga aku ada memohon jawatan GSTT di Yayasan Terengganu. Harap-harap la ada rezeki aku kali ni. Mana tahu ada rezeki. Cuba aje la dulu. Selebihnya aku berserah pada Dia. Ok, itu aje nak cerita untuk kali ni. Lain kali aku menulis lagi. Mencatat segala kisah hati yang ingin aku lakar di sini. Hehe, tagline sekali. Semoga esok masih ada untuk semua. Wasalam.

Friday, 23 October 2015

Mursi Jumpa Speech Therapist

Bismillahi wal hamdulillah

Kalau entri sebelum ni, Mursi jumpa dengan pakar audio. Semalam giliran Mursi untuk jumpa dengan speech therapist pulak.

Sampai hospital

Temujanji yang sepatutnya sama tarikh dengan berjumpa audiologis terpaksa ditunda ke tarikh semalam. Macam biasa, kami bertolak awal pagi ke hospital. Untuk mengelakkan masalah parking. Namun, walaupun masa bertolak dari rumah adalah lebih kurang dengan yang lepas, kesesakannya agak berbeza. Orang yang mengunjungi hospital semalam lebih ramai kalau nak dibandingkan dengan minggu lepas. Jadi, suami tidak mendapat parking sebaliknya hanya double park sahaja.

Setelah selesai parking kereta, kami bersama-sama terus ke bahagian klinik pakar untuk pendaftaran. Sekali lagi agak terkejut. Kali ni nombor giliran yang dapat adalah yang ke-99, berbanding dengan yang lepas iaitu giliran ke-23. Memandangkan nombor giliran masih lambat, suami ajak pergi sarapan dahulu di kafe hospital. Aku menurut sahaja, sedangkan pada awalnya aku enggan. Sebabnya aku dah makan roti dari rumah dan suami berpuasa sunat. Akhirnya, suami tak jadi puasa sebab nak ajak aku sarapan. Aku cakap taknak sarapan kalau hanya aku seorang saja yang makan. :)

Giliran Mursi

Memang masa sarapan kami makan dengan tenang, tak ada kelam-kabut sebab ingat nombor giliran lambat lagi. Aku makan nasi goreng sikit dan bihun sikit. Berkongsi dengan Mursi. Suami pula makan nasi lemak. Alhamdulillah, kenyang rezeki dari Allah sarapan. Bila dah selesai semua, kembali ke bahagian pendaftaran. Tengok-tengokdah terlepas nombor giliran! Tergelak sekejap dengan suami, sebab memang tak sangka akan terlepas giliran. Mungkin ramai yang macam kami, fikir giliran lambat lagi pergi makan dulu. :) Kami terus saja ke kaunter dan beritahu kerani bahawa kami terlepas giliran. Nasib baik kakak tu tidak marah. Selepas daftar nama Mursi, aku ambil kad untuk terus ke klinik audio dan speech. Tapi nasib baik suami perasan yang pelekat kad pesakit tertera nama orang lain, nama india pula tu! Pergila tukar balik dengan kakak yang comel tu. Hehe.

Dah siap daftar kat kaunter utama, aku terus ke klinik audio dan speech, untuk daftar di klinik itu pula. Tapi daftar kat sini tak lama macam dekat kaunter utama. Tapi bilangan pesakit berkali ganda jika dibandingkan dengan yang lepas. Jadi, aku membuat kesimpulan bahawa hari Rabu adalah merupakan hari kebanyakan temujanji dibuat. :) Nombor giliran Mursi ialah yang keempat, bagi golongan kanak-kanak. Sementara menunggu, Mursi macam biasalah. Main berlari-lari ke sana ke mari. Tapi kali ni agak terbatas sebab ramai orang yang lalu-lalang.

Sebelum sesi terapi.
Sesi Terapi

Sebaik sahaja sampai giliran Mursi, kami dibawa ke bilik terapi. Mursi dah start nak berpaut dengan ummi saja dah bila nampak doktor tu. Doktor perempuan juga, sama macam sesi audio test yang lepas. Dalam bilik terapi, Mursi sepatutnya perlu duduk atas sebuah kerusi yang disediakan. Ummi pula hanya duduk di sebelahnya. Tapi pada permulaan, Mursi agak enggan sampailah doktor tersebut mengumpan dia dengan mainan magnet yang dilekatkan pada board. Sesi bermula dengan doktor menunjukkan beberapa keping mainan magnet dan meminta Mursi melekatkannya pada board yang disediakan. Antara mainan yang disediakan ialah bentuk bola, matahari, ikan, buah pisang, buah epal dan burung. Jadi Mursi perlu meletakkan mainan tersebut pada tempat yang betul di atas board bergambar berdasarkan cerita yang diceritakan oleh doktor tadi.

Ujian ini dinilai berdasarkan kebolehan Mursi untuk meletakkan setiap mainan di tempat yang betol, contohnya matahari perlu diletakkan di langit, bola diletak antara budak lelaki dan perempuan yang sedang bermain, buah pisang dan epal perlu diletakkan di atas pinggan atau di dalam bakul manakala burung pula dilekatkan pada langit. Jadi, apa yang Mursi buat ialah dia hanya melekatkan mainan tersebut di mana sahaja pada board tersebut. Ada la beberapa kali dia menurut perintah bila diarahkan melekatkannya pada satu-satu tempat.

Selesai sesi terapi tersebut, doktor ada bertanyakan beberapa soalan yang berkaitan. Contohnya adakah Mursi menunjukkan perangai yang pelik, atau tidak bergaul dengan orang lain. Aku menjawab jujur segala pertanyaan yang ditanya. Doktor merumuskan bahawa, hasil daripada ujian dan pemerhatian, dia menyatakan bahawa peringkat Mursi hanyalah pada usia antara 0-12 bulan, walhal umurnya yang sebenar sudahpun dua tahun lebih. Itu adalah keputusan daripada sesi yang pertama ini. Seterusnya doktor akan memberikan tarikh temujanji untuk sesi yang berikutnya.

Kesimpulan Ummi

Namun, bagi aku sebagai ummi keadaan Mursi adalah normal. Dan aku merasakan ujian yang dilakukan tidak merangkumi tahap Mursi yang sebenarnya. Bayangkan Mursi baru pertama kali jumpa dengan doktor, takkan la dia nak dengar dan ikut sebiji-sebiji apa yang doktor tu ceritakan. Lagi satu, dekat rumah Mursi tidak didedahkan dengan mainan yang berbentuk magnet begitu. Jadi agak sukar untuk dia mengenalpasti bentuk dan gambar yang dilihat. Mungkin di sini adalah kekurangan aku sendiri, aku mengaku. Tak apa sayang ummi, anak ummi sihat sahaja di mata ummi. Biasalah tu lambat bercakap sikit. Orang lain pun ada yang lebih teruk dari Mursi. :) Sebelum pulang, kami menerima tarikh temujanji yang berikutnya untuk sesi rawatan Mursi iaitu pada bulan Januari tahun hadapan. Lepas balik dari hospital, ummi boleh sambung bermain dengan Mursi sebab sekolah cuti, jerebu. :)

Saturday, 17 October 2015

Notis Tuntutan

Bismillahi wal hamdulillah.

Notis Tuntutan

Kadang-kadang Allah hantarkan peringatan melalui berbaga-bagai cara. Tapi aku tak pasti sama ada apa yang aku lalui ini adalah merupakan teguran daripada Allah ataupun sebaliknya. Mungkin Dia nak tegur aku supaya menyegerakan membayar hutang dan tidak berbuat tidak tahu sahaja. Bila difikirkan balik, apa yang aku pinjam adalah apa yang sepatutnya kami sebagai rakyat dapat, iaitu pinjaman pendidikan. Namun, aku tetap positif. Allah ingin menegur aku mengenai sesuatu.

Minggu lepas, aku mendapat message daripada adik aku mengatakan ada surat daripada PTPTN sampai ke rumah. Ia merupakan notis tuntutan yang mana meminta aku membayar keseluruhan baki pinjaman, jika tidak aku akan berdepan dengan tindakan undang-undang. Ayahku pun susah hati dengan surat tersebut, sehinggakan di menelefon aku untuk bertanyakan selanjutnya. Kesian pok, susah hati dibuatnya. Maaf ye pok, anakmu masih lagi membuatkanmu risau walaupun sudah besar panjang.


Jalan Penyelesaian

Keesokan harinya iaitu hari Jumaat aku menelefon pihak PTPTN dan bertanya dengan lebih lanjut mengenai perkara tersebut. Dan memang, tidak dapat tidak aku terpaksa menjelaskan keseluruhan baki pinjaman. Namun aku meminta sedikit kelonggaran. Pihak PTPTN menawarkan supaya aku membayar jumlah minimum iaitu sebanyak RM1000 sebelum hujung bulan ini. Dan baki selebihnya akan dijelaskan melalui ansuran bulanan setelah bertukar kepada sistem Ujrah. Pada mulanya aku bersetuju untuk menjelaskan jumlah minimum tersebut.

Namun, setelah suami membuat penelitian dan pencarian di internet, ada satu cara lagi untuk menyelesaikan masalah ini. Dia mencadangkan aku menjelaskan hutang melalui akaun 2 KWSP. Setelah berhubung dengan pihak PTPTN mengenai ini, aku bersetuju dan akan menyelesaikannya secepat mungkin. Namun aku perlu ke kaunter PTPTN terlebih dahulu untuk meminta surat tawaran dan perjanjian pinjaman yang telah aku tandatangani pada tahun 2006 dahulu, iaitu tahun pertama aku mula melanjutkan pengajian di universiti.

Sesi Urusan PTPTN dan KWSP

Pada hari Selasa lepas, aku dan suami ke kaunter PTPTN di Wisma Chase Perdana bagi mengambil surat perjanjian dan tawaran serta penyata pengesahan baki dari pihak PTPTN. Segalanya dipermudahkan, tidak ramai yang berurusan di kaunter pada hari tersebut dan aku merupakan peminjam pertama yang berurusan. Urusan yang disangkakan mengambil masa yang lama rupanya hanya mengambil masa tak sampai setengah jam. Dan kami boleh terus ke KWSP untuk urusan yang seterusnya. Alhamdulillah. Tetapi selepas berurusan di kaunter PTPTN, kami terpaksa balik ke rumah semula untuk mengambil transkrip ijazah aku. Kalau tahu boleh terus ke KWSP, baik aku bawa terus segala dokumen yang diperlukan. Nak buat macam mana, terpaksa jugalah balik ambil supaya boleh terus selesai hari ini.

Setelah segala dokumen diambil, kami terus ke ibu pejabat KWSP di Jalan Raja Laut. Lokasinya yang di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur agak meyukarkan suami untuk mencari parking. Hampir beberapa kali berpusing di tempat yang sama semata-mata untuk mencari parking. Nasib baik emosi suami masih terkawal. :) Akhirnya, setelah penat berlegar-legar, kami parking di basement bangunan. Ada disediakan parking untuk pelawat. Kena bayar RM3 untuk satu jam pertama, padahal urusan tak sampai setengah jam pun. :(

Urusan di kaunter KWSP juga tiada masalah. Segalanya Allah permudahkan, Alhamdulillah. Sebaik sahaja sampai, aku diarah mengisi borang yang berkaitan dan mengambil nombor giliran. Orang pun tidak ramai yang berurusan di kaunter. Selepas beberapa orang, tibalah giliran aku untuk berurusan. Segala dokumen lengkap, borang lengkap dan tiada masalah, maka urusan pun selesai. Aku diberitahu bayaran akan dibuat dalam tempoh 21 hari bekerja dan emel akan dihantar kepada aku setelah bayaran dibuat. Jadi sekarang, aku hanya perlu menunggu. Setakat ini, aku boleh menarik nafas lega kerana hutangku dengan PTPTN telah langsai. Alhamdulillah. Setakat ini, tiada lagi potongan dibuat dari KWSP apabila aku melihat baki penyata secara online. Mungkin masih pending. Aku hanya perlu bersabar.

Setelah segalanya selesai, kami pulang ke rumah. Dalam perjalanan balik, suami belikan nasi ayam kegemaran sebagai makan tengahari. Selepas makan semua, aku ke sekolah untuk terus berkhidmat. :)

Saturday, 10 October 2015

Mursi's Audio Test

Bismillahi wal hamdulillah.

Khamis lepas merupakan tarikh temujanji Mursi di Hospital Sungai Buluh. Temujanji untuk berjumpa dengan pakar audiologi bagi melihat perkembangannya. Sepatutnya temujanji hari ini adalah sekali dengan temujanji untuk berjumpa pakar terapi pertuturan juga, tapi terpaksa ditunda ke minggu depan. Makanya, minggu depan terpaksalah ummi dan ayah ambil cuti separuh hari lagi untuk bawa Mursi ke hospital. Demi anak tersayang, apa saja untukmu, nak. Jangan pernah mengeluh ye wahai diri. :)

Pendaftaran

Aku dan suami bertolak ke hospital awal pagi, walaupun temujanji dijadualkan pada pukul 10.30 pagi. Kami bertolak pada pukul 7 pagi, disebabkan risau tiada parking kalau bertolak lambat. Kebiasaannya memang macam tu. Sebaik saja sampai di klinik pakar, aku terpaksa beratur menunggu pintu dibuka untuk pendaftaran. Pertama kali sampai hospital kena beratur. Itupun barisan dah agak panjang semasa aku sampai. Pendaftaran ini adalah fasa pertama, belum lagi pendaftaran untuk ke klinik audiologi. Kemudian, selepas selesai sesi pendaftaran, barulah perlu mendaftar sekali lagi di klinik audiologi.

Bila sampai di klinik audiologi, orang tidak ramai pun. Nombor giliran Mursi adalah yang kedua. Tetapi walaupun tidak ramai pesakit, tempoh menunggu saja macam ada sepuluh pesakit menunggu. Tak apalah, aku faham. Inikan hospital kerajaan. Tak nak komen lebih-lebih.

Giliran Mursi

Sepanjang tempoh menunggu giliran, Mursi memang tak duduk diam. Dia berjalan ke sekeliling hospital, yang mana masih dalam jangkauan aku dan suami. Dia pergi ke tempat budak-budak lain. Apa yang kelakarnya ialah, dia mendapat huluran makanan daripada orang lain. Malu aku dibuatnya. Kebetulan semasa dia berkeliaran dekat tempat budak-budak dalam klinik itu, mereka sedang makan. Jadi ada antara ibu mereka menghulurkan makanan kepada Mursi. Padahal dia pun sudah makan kentang goreng yang aku bawa bekal dari rumah. Mursi dapat karipap, sekeping biskut dan sebiji nugget dari 3 orang yang berasingan. Alahai Mursi anak ummi...

Setelah agak lama, maka giliran pun tiba. Kami masuk ke dalam bilik yang ditetapkan. Namun, pemeriksaan yang pertama diadakan ialah melihat ke dalam telinga Mursi. Katanya banyak tahi telinga ataupun ear wax katanya. Jadi, dia minta rujuk semula kepada klinik ENT. Terpaksa ke kaunter pendaftaran yang mula-mula tadi, kemudian ambil pula nombor giliran yang baru untuk ENT bagi keluarkan ear wax, lepas tu barulah boleh sambung dengan audio test yang sepatutnya. Tidak ke buang masa dekat situ dan buat dua kerja? Ok, faham. Kecelaruan dan ketidaksefahaman antara audiologis dan juga jururawat di situ. Susah la kalau tiada kesefahaman kerja macam ni. Yang jadi mangsa pesakit, membazir masa bagi ibu bapa yang bawa anak kecil.

Ujian Audio

Maka dipendekkan cerita, semasa proses mengeluarkan tahi telinga dari telinga Mursi, bukan satu operasi yang mudah. Mursi menangis semahu-mahunya. Mana tidaknya, kalau aku jadi Mursi mesti takut. Terpaksa dibaringkan di atas katil, kemudian dibedung dengan kain kedua-dua belah tangan, terdapat lampu terpasang di atas kepala, dan ada orang ramai (jururawat) di sekeliling. Mestilah suasana tersebut merupakan satu perkara yang asing baginya. Tak mustahil la dia menangis meraung semahu-mahunya. Boleh lagi doktor yang incharge tanya, "dia pernah buat macam ni ke? kuat sangat menangis..." Alahai la doktor. Tak ada common sense ke?

Selepas selesai sesi mengeluarkan ear wax Mursi, kena tunggu lagi untuk ujian audio yang sepatutnya. Sebaik sahaja giliran sampai, kami masuk semula ke dalam bilik yang awal tadi. Kali ni dengan audiologis lain pula. Ujian pertama, dia mengambil gelombang kedua-dua belah telinga Mursi. Alhamdulillah, normal. Kemudian, kami dibawa masuk ke sebuah bilik kecil yang kedap bunyi. Langsung tidak boleh dengar bunyi dari luar. Di sini, Mursi akan diuji sama ada dia peka kepada sesuatu bunyi atau tidak. Bunyi yang dikeluarkan adalah berbeza frekuensi dia. Apabila bunyi tersebut keluar, ada patung yang akan kelihatan di sebelah kanan Mursi.

Semasa ujian ini dijalankan, kedudukan Mursi adalah di atas ribaan aku. Peringkat pertama iaitu tanpa menggunakan headphone / earphone, Mursi lulus ujian ini. Namun masih perlu ujian seterusnya iaitu untuk menentukan kedua-dua belah telinganya berfungsi normal. Dan ini memerlukan Mursi untuk memakai headphone / earphone. Namun, sekali lagi Mursi tidak memberi kerjasama. Dia menangis dan tidak mahu memakai alat tersebut. Jadi, audiologis memutuskan bahawa kami perlu datang lain kali untuk diulangi ujian yang sama. Dia bagi tips supaya mencuba memakaikan earphone / headphone kepada Mursi bagi memudahkan sesi akan datang. Namun, jika tidak berjaya juga, akan dilakukan ujian tidur. Jadi, untuk kali ni memang kami tidak mendapat keputusan lagi. Terpaksa tunggu untuk ujian yang berikutnya iaitu dijadualkan pada 5 November akan datang.

Selesai

Semuanya selesai lebih kurang dalam pukul 11 pagi. Aku berbelah bahagi pada awalnya sama ada nak pergi kerja ataupun tidak. Tapi bila difikirkan banyak kali, aku kena pergi juga sebab budak-budak dah tak lama lagi nak peperiksaan akhir semester. Jadi, lepas makan dan hantar Mursi ke rumah pengasuh, aku terus ke tempat kerja. Sampai ke sekolah dalam pukul 12.45 tengahari, dan terus masuk kelas. Alhamdulillah, atas segala yang berlaku hari ni. Aku tidak mengambil gambar pun semasa di hospital. Jadi, entri kali ni memang tiada gambar. :) Harap sudi membaca. Ok, jumpa lagi di lain masa. Insya-Allah akan ada entri lain selepas ini dalam masa terdekat. :)

Friday, 9 October 2015

Aidil Adha 1436H

Bismillah wal hamdulillah

Nak share juga pasal Hari Raya Korban baru-baru ini. Iyela, raya Aidilfitri dah share, kali ini pun nak share jugak. 

Memandangkan aku ni seorang cikgu, jadi aku dapat cuti seminggu. Kebetulan cuti Aidiladha jatuh pada minggu cuti sekolah pertengahan semester kedua. Dapatlah aku cuti lebih, alhamdulillah. Aku berpeluang balik kampung, tapi aku balik dengan adik aku. Suami masih perlu bekerja, jadi dia balik agak lambat. Aku tumpang adik balik pada hari Sabtu, bertolak balik selepas Isyak dari rumah Kak di Kajang. 

Lebih kurang pukul 3.30 pagi keesokannya, kami selamat sampai di kampung halaman. Perancangan asalnya aku mahu menumpang Kak untuk balik kampung. Tetapi beberapa hari sebelum cuti sekolah, adik memberitahu yang dia balik bersama isteri dan anak-anaknya dahulu dengan flight. Kemudian dia balik semula ke Semenyih (rumah sewa dia) untuk selesaikan beberapa perkara. Jadi, bila aku fikir balik baik aku tumpang adik saja memandangkan dia hanya pulang seorang diri, Tak adalah aku menyusahkan dia.

Seronok la juga menghabiskan masa di kampung. Boleh bertemu muka dengan adik-beradik yang lain serta ayah tercinta. Walaupun tiada ke mana-mana dan hanya duduk di rumah, tetapi lebih menyeronokkan jika nak dibandingkan kalau duduk di rumah di Damansara Damai. Tiada apa-apa aktiviti yang boleh dilakukan. Mursi pun boleh berjumpa dengan sepupu-sepupu dan makcik-pakciknya. Boleh bermain di laman, bermain dengan pokok, kucing dan tengok ayam. Dan juga dapat bintik-bintik gatal bekas gigitan nyamuk. Haih, bertambah lagi la parut-parut di kulit anak ummi. Tak apalah sayang, barulah nampak anak kampung. :)

Suami bertolak pada hari Rabu selepas balik dari kerja. Sampai di kampung lebih kurang dalam pukul 6 petang. Pada hari tersebut, aku berpuasa Sunat Arafah. Alhamdulillah, Allah bagi kesempatan untuk aku berpuasa. Biasanya Hari Raya Haji aku berpeluang sambut bersama keluarga aku. Jadi, kali ni aku bersama-sama menyambut raya di Tok Dor. Pada tahun ini juga adik-beradik aku melakukan ibadah korban atas seekor lembu. Jadi, masing-masing bersiap sedia di rumah pada hari raya pertama untuk melapah dan membahagikan daging korban. 

Besar harapan aku untuk menunaikan solat sunat hari raya Aidil Adha. Jadi pagi raya tersebut aku join kakak-kakakku ke masjid untuk solat raya. Mursi kubawa bersama. Sejak dari awal aku berpesan kepada dia supaya jangan menangis sebab ummi hendak sembahyang. Tapi sebaik sahaja sampai di masjid, Mursi buat perangai. Dia menangis tak mahu duduk dan tak bagi aku sembahyang. Aduhai anak ummi, Mursi. Ruginya ummi sebab tak dapat sembahyang raya, walhal ummi dah siap sedia nak sembahyang. :(

Tak banyak gambar, ni aje gambar di hari raya kami. :)
Sebaik sahaja selesai sembahyang raya, puak lelaki bersiap sedia untuk ke tempat sembelihan lembu. Oleh kerana lembu yang ingin dikorbankan agak jauh, jadi bertolak ke sana sebaik sahaja lepas solat sunat hari raya. Sementara itu, mak tiri aku juga masuk bahagian korban sekali dengan adik dia. Tetapi lembu yang lain, tidak sekali dengan adik-beradik. Jadi, lembu korban mak siap lebih cepat berbanding lembu seekor lagi. Mak memang bercadang untuk membuat jamuan makan daging korban dan jemput orang kampung. jadi, kami membantu apa-apa yang patut. Sejujurnya, aku memang seronok bila ada keramaian macam ni, asalkan tidak ada perselisihan dan percanggahan pendapat. :)



Lewat tengahari barulah mereka balik dengan daging sembelihan korban. Kemudian sesi bersambung lagi dengan pemotongan daging untuk dibahagi-bahagikan pula. Antara yang masuk bahagian korban ialah Kak Ngah, Kak Na, Kak Tie, Kak Mah dan Adik. Aku je masih belum pernah masuk bahagian korban. Tak apalah, insya-Allah suatu hari nanti. Bila ada rezeki lebih. Akikah Mursi pun masih ditangguhkan. :(

Aku dan suami bercadang untuk balik ke Kampung Batin sebelah petang. Tapi ditangguhkan ke malam. Selepas Isyak kami bertolak balik ke sana. Macam biasa, kami balik ke rumah Kak Ma, kakak ipar aku. Tak ramai adik-beradik lain yang ada, cuma kakak ipar, Kak Da, adik ipar, Siti dan Jepah  yang ada balik. Itupun mereka tak tidur rumah Kak Ma, tapi tidur di rumah emak. Jadi, tak semeriah macam Hari Raya Aidilfitri.

Keesokannya, aku dan suami ke Kelantan. Kak Da ajak kami ke sana, alang-alang dah ke sana mereka ajak ke Tak Bai, sempadan Thailand. Yang jadinya boleh ke sana hanya bermula dengan cakap-cakap kosong aje. Lepas tu, aku saja ajak-ajak ayam suami aku untuk jalan-jalan ke sana. Tak sangka pulak dia bersetuju nak ikut. Tak Bai ni tempat beli-belah aje, macam pasar Siti Khadijah kat Kelantan. Tak tahulah aku naka cakap barang dia murah sangat. Tapi bolehla. Nak ke sana kena naik bot. Mursi menangis semasa dalam perjalanan pergi ke sana. Mungkin dia tak biasa. Di sana aku hanya beli baju-baju Mursi, sebab dah lama tak beli baju untuk dia. Suami aku pun beli baju T-shirt untuk diri sendiri. Sebab dah lama juga dia tak beli baju sendiri. Aku pula? Beli 2 helai skirt aje. :)

Alhamdulillah, raya haji kali ni agak bermakna. Banyak perkara dan aktiviti yang aku lakukan. Semoga tahun-tahun mendatang lebih bermakna untuk aku dan semua, insya-Allah.

Wednesday, 7 October 2015

Aku Pemalas

Aku kan pemalas
Bangun tidur terus siapkan bekal anak
Tunggu anak bangun, sipkan diri sendiri dulu
Jemur kain andai menunggu di mesin

Aku kan pemalas
Anak bangun terus mandikan
Perangai anak cepat redakan
Rela dihentak dipukul anak demi sayang

Aku kan pemalas
Balik kerja terus ke dapur
Anak dilayan mana yang patut
Sambil menyiap menu santapan malam

Aku kan pemalas
Anak menangis aku redakan 
Anak mengamuk aku leraikan
Anak membuang aku cucikan

Aku kan pemalas
Baju yang kotor aku setelkan
Pinggan di sinki aku bersihkan
Mainan bersepah aku simpankan

Bila terpaksa buat lebih sikit
Bila tak sedar kerja yang menanti lagi banyak
Bila rasa tidak dihargai
Aku terus dilabel pemalas
Adilkah? Adilkah?

Thursday, 17 September 2015

Field Trip ke Zoo Negara

Bismillahi wal hamdulillah.

Aktiviti Tahunan

Seperti yang dijanjikan, aku akan share mengenai lawatan ke Zoo Negara pada minggu lepas. Sebenarnya, aktiviti lawatan ni memang menjadi aktiviti tahunan sekolah. Dan sememangnya ia akan diadakan pada masa peperiksaan UPSR. Salah satu sebab ialah untuk memberikan persekitaran yang kondusif buat calon-calon peperiksaan supaya lebih fokus. Kalau pelajar lain sekolah macam biasa, mungkin sedikit sebanyak akan mengganggu konsentrasi mereka.

Nak dijadikan cerita, aku tersenarai untuk menjadi director program ni. Memang dari awal tahun lagi dah diberitahu mengenai jawatan tersebut. Tapi memang tidak ambil serius lagi. Sampailah awal bulan Ogos kot, aku dah mula risau. Mana nak cari tempat untuk bawa budak ni pergi lawatan. Aku kena jadi director bagi lawatan pelajar-pelajar Primary 1 sampai Primary 3. :) Sepatutnya aku kena siapkan proposal program dua bulan sebelum tarikh lawatan. Tapi biasalah, suka buat kerja last minute. Beberapa minggu sebelum hari kejadian baru sibuk nak cari tempat yang sesuai.

Persediaan Program

Pada awalnya, aku pilih tiga tempat; Kilang Coklat Grandeur di Selayang, Petrosains KLCC dengan Zoo Negara. Bila dicadangkan kepada pengurusan, akhirnya dia setuju dengan Zoo Negara. Nasib aku agak baik juga sebab dia tidak banyak soal. Biasanya kalau berurusan dengan dia ada aje yang dia tidak puas hati. Alhamdulillah Allah permudahkan langkah aku yang pertama. So, aku proceed dengan Zoo Negara. Dari buat budget, uruskan bas, hubungi pihak Zoo dan lain-lain yang semuanya aku buat seorang. Sebenarnya ada aje ajk yang terlibat, tapi memandangkan semua pun sibuk juga jadi aku setelkan mana-mana yang boleh. Cuma aku minta mereka beri kerjasama semasa hari kejadian.

Akhirnya, tibalah masa lawatan. Kami bertolak dari sekolah lebih kurang pukul 9.30 pagi dengan menaiki dua buah bas. Pelajar dibahagikan kepada lapan kumpulan dan diketuai oleh seorang guru pengiring. Budak-budak ni bukan selalu naik bas. Ada yang tak pernah naik pun. Jadi bila dapat naik bas dengan kawan-kawan, bukan main seronok lagi la mereka. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dalam 40 minit. Kami sampai di Zoo Negara pada pukul lebih kurang 10.15 pagi.

Pakai mask sebab musim jerebu.

Sesi Lawatan

Sebaik sampai aje di Zoo, aku terus ke kaunter tiket dan menunjukkan surat menyatakan kami akan adakan lawatan. Aku juga turut membeli tiket masuk untuk semua. Alhamdulillah orang tak ramai. Mungkin bukan waktu cuti atau hujung minggu, jadi tak ramai pelawat. Setelah selesai, aku segera menuju ke kumpulan sekolah di mana pelajar-pelajar sedang diawasi oleh guru masing-masing. Pelajar yang mengikuti sesi lawatan adalah seramai 92 orang dan 9 orang guru pengiring serta seorang pekerja biasa sekolah. Apabila selesai semua ahli kumpulan mengenakan tag dari pihak Zoo, kami pun bergerak untuk masuk ke dalam bersama kumpulan masing-masing. Sebaik sahaja melepasi pintu masuk, ada jurugambar yang dah standby untuk ambil gambar pelawat terutamanya dari sekolah-sekolah. Biasalah tu, bisnes kan. Lepas dah siap ambil gambar, dia akan promote supaya kita membeli gambar yang telah diambil. Untuk kali ni, aku membeli gambar dengan pakej yang ditawarkan iaitu 10 keping untuk RM100 bagi gambar bersaiz 6R berserta frame dari Zoo Negara. Gambar tu sekarang ada dengan salah seorang guru pengiring, Teacher Azeanti. Tapi sebelum tu, aku dah siap scan awal-awal. :) Untuk kenangan.

Kenang-kenangan aku menguruskan program lawatan.

Kami bermula dengan menyaksikan pertunjukan haiwan, yang dijadualkan pada pukul 11 setiap hari. Masuk aje dalam ruang pertunjukan, baru nampak ramai orang. Kebanyakannya pelajar sekolah, macam kami juga. Dekat luar tadi tak nampak sangat ramai orang. Ada la dua tiga haiwan yang buat pertunjukan, antaranya singa laut, burung kakak tua, bangau, helang dan ada lagi beberapa haiwan. Aku dah lupa nama dia. :) Agak seronok juga, sebab ni merupakan kali kedua aku sampai di Zoo Negara. Dulu tak pernah tengok pertunjukan haiwan ni. Dan dulu aku datang dengan keluarga, masa tu aku masih belajar di UKM kalau tak silap. 

Antara beberapa haiwan yang membuat pertunjukan.

Selepas pertunjukan dari beberapa jenis haiwan Zoo Negara, kami meneruskan sesi lawatan. Sesi lawatan kami termasuk juga untuk melawat panda. Kebetulan panda betina baru saja melahirkan anak, jadi kami hanya dapat melawat panda jantan sahaja. Jadi, sementara kami ingin menuju ke tempat konservasi panda, kami melawat dulu haiwan-haiwan yang lain seperti kancil, rusa, kanggaru, badak sumbu dan lain-lain. Bila melalui haiwan-haiwan di Zoo Negara ni, terdetik juga dalam hati. Kesian dekat binatang ni semua, sebab terpaksa hidup di Malaysia yang bukan habitat semula jadi mereka. Contohnya unta. Cuaca dan persekitaran yang tidak sesuai mungkin membantutkan perkembangan dan kesihatannya. Ia dikira zalim kepada binatang, bagi pendapat aku la.

Bila dah sampai dekat pusat konservasi panda, sekali lagi kami diminta berkumpul. Sebabnya ada jurugambar Zoo Negara nak ambil gambar. Macam biasalah, lepas ambil gambar dia akan promote gambar kat kita. Tapi kali ni aku tak beli dah. Cukuplah yang tadi sahaja. Lagipun, kali ni tidak ada pakej macam tadi. Sekeping berharga RM12. Kawan aku je yang beli dua keping. Tak sempat lagi nak pinjam dari dia untuk scan. :)

Muka masing-masing dah penat.


Bila masuk aje ke dalam kawasan panda ni, mula-mula kami diberitahu tidak boleh buat bising dan kalau nak ambil gambar pun mestilah tanpa flash. Dalam hati aku, "beruntung kau panda, dapat jagaan rapi". Sebaik sahaja masuk tengok panda, bagi aku yang tak berapa reti sangat nak menghargai ni tak ada apa yang menarik pun. Panda tu tidur aje, muka dia pun tak nampak. Setiap sesi lawatan diberikan masa selama 20 minit. Tapi aku rasa tak sampai 10 minit kami semua dah keluar. :P Lagipun semua budak-budak ni dah penat, sebab dah jauh berjalan. Lepas ni memang ingat nak keluar aje dan terus makan dan boleh balik.

Panda kebanggan negara kita.


Penutup

Akhirnya selepas beberapa kali sesat nak cari pintu keluar sampai juga kami ke tempat mula-mula kami masuk tadi. Sebelum balik, aku belikan sepasang baju untuk Mursi kesayangan ummi. Tapi bila balik try kat dia, kecik la pulak. Hurm... Sebelum balik, kami makan tengahari dulu dan akan solat sebaik sampai di sekolah nanti. Alhamdulillah, selesai tugas aku untuk hari ni. Bila sampai aje sekolah masa tu dalam pukul 3 petang, aku terus balik sebab Mursi mengamuk rumah pengasuh dia. Aku terlupa nak bekalkan susu, sebab susu di rumah pengasuh dia dah habis. Lagipun tak ada apa sangat dah yang nak diselesaikan di sekolah. Pelajar-pelajar semua akan terus balik. Lega aku bila program ni selesai. Harapnya aku tak perlu jadi director untuk mana-mana program lain lagi tahun depan. :)

Sunday, 13 September 2015

Cerita Raya 2015

Bismillahirrahmanirrahim.

Cerita dah basi, baru nak tulis. Ah, lantaklah. Nak share jugak. Biarlah dah basi pun. :P

Raya tahun ni pun macam raya tahun lepas juga. Aku berhari raya pertama di rumah suami aku dahulu. Dan aku rasakan tahun-tahun yang mendatang pun beginilah adatnya. Hari raya pertama di rumah suami, dan petang harinya baru balik ke rumah aku di Tok Dor. Bukan apa, sebabnya adik beradik ipar aku akan berkumpul di Kampung Batin pada hari raya pertama sahaja. Manakala adik beradik aku pula kebanyakannya akan balik kampung pada petang hari raya. Jadi, dua-dua pun ada kelebihannya. Adillah tu. Aku pun boleh bersama-sama dengan keluargaku beraya bersama.

Aku dan suami bertolak balik ke kampung pada pagi 16 Julai, Khamis. Bukan main suami aku nak bertolak awal pagi, sebelum Subuh katanya. Aku ni selaku isteri yang taat, bersiaplah apa yang patut. Kemas beg, sediakan makanan untuk sahur sebab cadangnya nak bersahur dalam perjalanan. Last-last, lepas Subuh jugak baru bertolak. Ingin mengelak jammed asalnya tu yang nak gerak dari rumah awal-awal pagi. Tapi Alhamdulillah jalan masa tu tak adalah jammed sangat. Masih bergerak dan sampai di rumah kakak iparku pada tengahari.

Petang itu sempatlah kami berbuka puasa beramai-ramai. Mursi macam biasa la, mula-mula jumpa dengan sepupu-sepupu dia susah sikit nak mesra. Tapi bila dah lama sikit, barulah ummi susah nak ajak masuk dalam rumah. Iyelah, asyik nak main aje kat luar. Sibuk nak main dengan abang-abang dan kakak-kakak sepupu dia.

Pagi raya tahun ni aku berazam untuk pergi solat sunat hari raya. Sebab dah beberapa tahun aku tak dapat solat raya. Kali terakhir ialah masa aku sambut raya pertama dengan suami, tiga tahun lepas. Kalau aku kat kampung aku dulu, mesti semua bersiap-siap cepat pagi raya takut terlepas untuk solat sunat hari raya. Tapi aku perhatikan keluarga suami aku ni tak macam tu. Kalau siapa nak pergi, boleh pergi, siapa yang taknak pergi pun tak apa. Memang la ia sunat sahaja, tapi setahun sekali je kot jumpa. Itula, aku niat nak pergi juga tahun ni. Lagi[un masjid bukannya jauh sangat dari rumah. Jalan kaki je kot. Aku bersiap apa yang patut, Mursi pun aku bawa sekali. Aku dukung Mursi ke masjid, disebabkan dah tergesa-gesa aku seorang aje yang ke masjid. Suami aku dah pergi dulu. Sampai aje di masjid, tengok orang dah mula solat. Aku letak Mursi kat belakang. Pada mulanya dia tak menangis. Belum sempat habis rakaat pertama dia dah menangis. Makin lama makin kuat. Tapi aku teruskan juga, khusyuk memang dah tak ada lah. Hehe. Mungkin Mursi takut tengok keadaan ramai sangat orang, lagipun dia tak pernah tengok keadaan macam tu. Lepas selesai solat aje, aku terus tenangkan Mursi dan balik ke rumah. Dengar khutbah raya dari rumah aje. :)

Juadah pagi raya rumah kakak ipar aku cuma ketupat segera dan kuah kacang sahaja. Sebabnya dah bercadang untuk makan di rumah Makde, iaitu ibu tiri suami. Dia menjemput kami sekeluarga untuk makan di sana. Dia masak nasi dagang katanya. Lepas selesai solat sunat hari raya dan berkumpul semua, kami pun bertolak ke rumah Makde. Tapi sebelum tu, tak lupa untuk ambil gambar famili. Untuk kenang-kenangan. Lepas siap bergambar semua barulah kami gerak ke rumah Makde.

Baby Faariha Huwaina. 1st raya of her. :)

My little family. :)

Semua sekali masuk gambar. :)

Gelagat Mursi di pagi raya. Anak ummi dah besar!
Alhamdulillah, dapat berjumpa dan bermaaf-maafan di hari raya. Trend ziarah-menziarahi saudara-mara di hari raya masih lagi diamalkan oleh keluarga suami aku. Boleh dikatakan setiap kali raya, mereka akan menziarahi saudara yang sama sahaja yang mana yang masih hidup. Alhamdulillah, aku pun dapat la bertemu muka dengan makcik dan pakcik saudara aku belah suami.

Lepas habis sesi menziarah, kami pulang semula ke rumah kakak ipar aku. Petangnya aku dan suami akan balik ke kampung aku pula. Yeayy, boleh jumpa dengan kesayangan-kesayangan semua. Lama tak berjumpa, rindu mestilah ada walaupun jarang berhubung. Tapi sekarang canggih, dah ada whatsapp group untuk famili juga. Boleh selalu bertanya khabar. Aku bertolak ke kampung selepas Asar. Alhamdulillah, selamat sampai di kampung tercinta sebelum Maghrib. Habis sesi ziarah-menziarahi pada hari raya pertama. Sambung pula dengan berkongsi cerita dengan adik-beradik sebelah malamnya. :)

Keesokannya sesi ziarah-menziarahi saudara-mara belah aku pula. Sempat la ke rumah mak saudara dan pak saudara aku yang dekat-dekat. Aku juga sempat beraya di rumah kawan aku masa sekolah rendah dulu. Dah lebih sepuluh tahun tak jumpa. Alhamdulillah, tahun ni Allah bagi peluang jumpa dengan dia. Masih sama macam dulu, bercakap tak berhenti. :) Itulah dia Norlaini. Belum lagi bertemu jodoh, insya-Allah akan tiba masanya.

Norlaini, moga cepat bertemu jodoh ye. :) Anak kawan yang dia pegang tu.
Tumpang pelamin sepupu, bergambar dengan kakak-kakakku. :)
Alhamdulillah, raya tahun ni lebih baik dari yang sebelumnya. Tapi keadaan rumah di kampung makin uzur. makin dimamah anai-anai sebab tiada siapa yang bermastautin di situ. Kalau dulu aku ada bolehlah tengok-tengokkan dan anai-anai pun tak adalah nak bermaharajalela sangat. Bila dah tak ada orang yang duduk makin seronoklah mereka. Kalau dibaiki pun selagi tak ada orang yang menghuninya setakat berkumpul setahun sekali, tak berbaloi juga. Rumah itu ajelah yang tinggal kenangan bersama arwah mak. Sedih pula bila dah makin uzur. Hurm, sampai sini aje lah untuk cerita raya tahun ni. Nanti sambung cerita lain pulak. :)

Friday, 11 September 2015

Kini Kembali

Bismillahi wal hamdulillah.

Sibuk ke? Banyak kerja ke? Hurm... Malas yang sebetulnya. Tu la sebabnya dah berbulan-bulan blog ni sepi aje. :)

Alhamdulillah, masih bernafas. Itu yang penting. Tapi ada yang tidak kurang pentingnya, apa khabar iman aku hari ni? Menaikkah? Menurunkah? Sama macam semalamkah? Renung dan cuba koreksi diri balik. Aku rasa menaik tu tak adalah agaknya, menurun nau'zubillah. Walhal terlalu banyak masa dihabiskan untuk perkara yang sia-sia. Astaghfirullahal 'adzhim.

Ada beberapa peristiwa yang aku nak kongsikan sepanjang beberapa bulan menyepi ini. Sekarang baru ada semangat dan kesempatan waktu untuk meng'update' blog sekejap. Mudah-mudahan Allah lapangkan masa dan terus memberi semangat untuk aku bercerita dan berkongsi di entri yang akan datang. Insya Allah. Untuk kepuasan sendiri juga sebenarnya, bukan untuk sesiapa. Andai ada yang baik boleh diambil, maka ambillah sebagai pedoman. Sekadar melayan minat yang suka menulis. Masih banyak yang perlu aku belajar.

Sebelum berundur, tengok la gambar aku yang terbaru. Ni semasa pergi lawatan ke Zoo Negara dua hari lepas. Entri akan datang insya-Allah aku akan bercerita lebih panjang. Wasalam. Senyum selalu.

Aku dan anak-anak yang comel :)

Saturday, 6 June 2015

Khasiat Biji Kurma

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, dapat ilmu baru daripada perkongsian seorang sahabat di facebook. Sebelum ni, demi Allah langsung tak pernah tahu yang biji kurma pun boleh dikitar semula. Terima kasih kepada saudari Munirah kerana telah berkongsi cara bagaimana untuk kita manfaatkan biji kurma, yang sememangnya kita tahu banyak khasiat yang telah diceritakan dalam al-quran.

Jadi, sebagai peringatan dan juga panduan supaya tidak lupa, aku akan kongsikan ia bersama-sama, agar semakin ramai yang tahu mengenainya. Memandangkan bulan puasa pun dah tak lama, aku berazam untuk mengumpul biji kurma supaya aku dapat hasilkan serbuk kurma macam ini. Jom kita tengok cara-caranya.


Saudari Munirah menggunakan kurma ajwa. Gambar di atas tu menunjukkan cara step-by-step bagaimana dia memproses biji kurma sehingga menjadi serbuk.

  1. Basuh biji kurma dan ditos kering.
  2. Taburkan di atas dulang atau penutup periuk untuk dijemur selama seharian.
  3. Gorengkan biji kurma tanpa menggunakan minyak. Goreng sehingga hangus dan biji kurma menjadi hitam legam. Pada ketika ini, biji kurma akan mengeluarkan bau harum dan wangi seperti biji kopi.
  4. Tumbuk biji kurma dengan batu lesung ataupun boleh dikisar dengan menggunakan pengisar kering (jangan risau kerana biji kurma sudah garing dan teksturnya tidak keras).
  5. Seterusnya boleh disimpan di dalam botol kaca dan ia boleh digunakan untuk jangkamasa yang lama.

Sama dengan khasiat buah kurma yang mampu memberikan tenaga berpanjangan untuk tubuh, bijinya juga baik untuk kulit dan boleh dibuat minuman seperti kopi. Antara khasiat lain yang boleh didapati daripada biji kurma ini ialah:


  1. Sebagai minuman pengganti kopi, warnanya tidak segelap kopi tetapi rasanya seakan-akan kopi. Ianya memberi tenaga yang baik kepada peminum.
  2. Ia juga boleh digunakan sebagai bahan perapan daging dicampur dengan pelbagai rempah ratus dan Subhanallah daging  perapan akan menjadi teramat lembut.
  3. Digunakan sebagai scrub badan. Gabungan scrub biji kurma dengan pevoo dan madu akan membuatkan kulit badan anda selembut bayi. Natural? Yes and safe!
  4. Jika anda mengalami masalah keguguran rambut yang serius dan kronik sehingga menyebabkan anda BOTAK! Maka inilah natural remedy atau ramuan semulajadi untuk mengaktifkan sel kulit kepala yang sudah mati. Amalan menyapu biji kurma yang dicampur dengan Minyak Zaitun Ramallah Extra Virgin PEVOO, maka hasilnya adalah terbaik. Penggunaan secara konsisten setiap hari sebelum tidur insya-Allah akan membuatkan sel kulit kepala yang bermasalah kembali sihat dan anak-anak rambut kembali keluar dengan sihat!

Masya-Allah, Allah takkan sebut mengenai kebaikan sesuatu dalam al-quran melainkan ianya akan mendatangkan kebaikan dan barakah jua buat umat manusia. Apa yang kita perlu hanyalah yakin, tawakal dan istiqamah dalam amalan. Insya-Allah.

Wednesday, 3 June 2015

Hak Muslim Terhadap Muslim

Bismillahirrahmanirrahim.

Macam biasa aku cuba nak kongsikan apa yang aku dengar daripada slot motivasi pagi di radio IKIM setiap pagi Isnin hingga Jumaat. Untuk kali ini, aku kongsikan apa yang aku dapat semasa aku dengar slot tersebut pada minggu lepas. Minggu ni dan minggu depan, aku cuti. Makanya tak dengar IKIM, sebab habiskan masa cuti dengan si permata hati. :)

Tajuk yang ingin aku kongsikan ialah enam hak seorang muslim terhadap muslim yang lain, yang kita kadang-kadang tidak cakna. Bukan nak mengata orang lain, aku sendiri pun kadang-kadang terlepas pandang pasal hak saudara seislamku yang lain. Jadi, bila aku menulis dan berkongsi ni sebenarnya lebih kepada untuk mengingatkan diri aku sendiri juga. Mari kita lihat apa dia enam hak seorang muslim lain yang patut kita tunaikan:

#1: Bila berjumpa, mulakan dengan salam

Kalimah salam mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Assalamualaikum, salam yang diberi mampu memberi kelapangan dan rasa kebahagiaan yang tidak mampu digambarkan. Aku pun pernah memulakan salam kepada sesiapa yang aku jumpa, memang rasa hati lapang teramat. Kalau tak percaya, boleh cuba. Menyebarkan salam boleh menjadi sebab rasa kecintaan sesama muslim dan boleh membawa kita semua ke syurga Allah. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

“Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam beliau bersabda : Kalian tidak akan masuk Jannah sampai kalian beriman dan kalian tidak akan beriman sampai kalian saling mencintai. Maukah kalian aku tunjukkan apa yang bisa membuat kalian saling mencintai? Para Shahabat berkata : “Tentu ya Rasulullah..” Sebarkanlah salam diantara kalian”.(HR. Muslim no.54).

#2: Bila dijemput olehnya, penuhilah undangannya

Seandainya ada rakan sekerja kita menjemput kita ke rumahnya untuk makan-makan, seharusnya kita merasa gembira. Gembira kerana kita mendapat rezeki melalui rakan kita, gembira kerana rakan kita masih mengingati untuk menjemput kita ke majlis di rumahnya. Bayangkan jika kita tidak dijemput, mesti kita akan berkecil hati. Sebab itu bila diundang, maka kita wajib memenuhi undangan. Ataupun kita tidak lagi diundang oleh rakan jika dia ada majlis sebab dia tahu kita tak akan datang. Terdapat banyak hadis mengenai perihal ini, antaranya:

"Jika salah seorang dari kalian diundang, hendaknya ia penuhi undangan tersebut, jika ia sedang berpuasa, maka hendaklah ia mendo'akannya, & jika ia sendang tak berpuasa, hendaknya ia memakannya." (HR. Muslim No.2584).

#3: Bila diminta nasihat, berilah nasihat

Selaku seorang sahabat, seandainya sahabat kita di dalam masalah dan dia meminta pendapat atau nasihat, cubalah sedaya-upaya memberi pendapat. Berilah nasihat yang memberangsangkan walaupun kita sedar kita ni bukannya seorang yang sempurna. Tapi, itulah gunanya sahabat. Saudara semuslim akan cuba menolong saudaranya yang dalam kesusahan. Bukannya biarkan dia dengan masalahnya sendiri, sedangkan kita bersenang dan bersuka ria. Mungkin nasihat dan kata-kata perangsang kita akan membuatkan dia lebih kuat dan membawa dia dekat kepada Allah. Lumrahnya bila seseorang dilanda masalah, dia akan lebih dekat dengan Allah. Sahabat yang baik juga adalah satu anugerah yang tidak ternilai. 

#4: Bila dia bersin, doakan dia

Bila kita bersama dengan seseorang yang bersin dan dia memuji Allah, maka hendaklah kita mendoakannya. Sesungguhnya Allah menyukai bersin, oleh sebab itu kita digalakkan memuji Allah sebaik sahaja kita bersin. Maka kita juga disarankan mendoakan orang yang bersin dan memuji Allah tersebut. Terdapat hadis mengenai bersin ini:

Dari Abu Musa Al Asy’ari radhiallahu anhu berkata: “Saya mendengar Rasulullah ﷺ  bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu sekalian bersin dan memuji Allah(mengucapkan “Alhamdulillah”), maka doakanlah dia (dengan mengucapkan “Yarhamukallah”).  Dan apabila dia tidak memuji Allah, maka janganlah kamu mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam riwayat Abu Hurairah radhiallahu anhu, ia berkata bahawa Rasulullah ﷺ  bersabda :
“Jika salah seorang dari kamu bersin, hendaklah ia mengucapkan ‘Alhamdulillah’ (Segala puji bagi Allah)’ dan saudaranya atau orang yang bersamanya mengatakan kepadanya‘Yarhamukallah’ (Semoga Allah merahmatimu)’. Jika salah seorang mengucapkan‘Yarhamukallah’, maka orang yang bersin tersebut hendaklah menjawab ‘Yahdiikumullah Wayushlih Baalakum’  (Semoga Allah memberikanmu petunjuk dan memperbaiki keadaanmu).” (Hadis Riwayat Imam Bukhari r.a.)

#5: Bila dia sakit, ziarahilah ia

Kita bekerja dalam satu pejabat. Kebanyakan rakan sekerja kita akan jumpa dan tengok setiap hari. Bila terperasan salah seorang tidak datang, tanyakan khabarnya. Seandainya dia jatuh sakit, adalah menjadi hak dia untuk menerima kunjungan daripada kita, rakan sekerja. Kerana itu adalah salah satu hak seorang muslim terhadap muslim yang lain. Mungkin hari ini hari dia, mana tahu esok lusa kita pula yang ditimpa musibah. Masa itulah kita akan menunggu-nunggu kedatangan rakan-rakan sekerja.

#6: Bila sudah meninggal dunia, ziarahilah pusaranya

Begitu juga bila ada antara saudara kita yang meninggal dunia. Hantarlah jenazahnya ke kubur ataupun ziarahilah pusaranya.

Allah swt akan memberikan pakaian kehormatan bagi mu’min yang berta’ziyah kepada saudaranya sebagaimana yang diriwayatkan Ibnu Majah dari Amr bin Haram : "Tiadalah di antara mu’min berta’ziyah kepada saudaranya yang mendapat musibah, kecuali Allah mengenakan pakaian kehormatan pada hari kiamat".


Allahu, betapa indahnya ajaran Islam. Kita sebagai muslim ada hak daripada saudara muslim yang lain. Jika kita menjaga hak saudara semuslim kita, nescaya kita juga akan dijaga hak kita oleh Allah untuk mendapat hak yang sewajarnya. Apa yang aku kongsikan di sini adalah lebih kepada untuk mengingati diri aku sendiri. Sifat insan itu adalah pelupa. Jadi, kita hendaklah selalu saling ingat-mengingatkan antara satu sama lain. Semoga sedikit sebanyak menjadi saham buat aku di sana, Insya-Allah, amin...